Pasu Iban Sarawak- Gahnya "Nuan"

            Pasu Iban Sarawak adalah ciptaan tangan manusia dengan adunan tanah dan air. Reformasi tamadun manusia telah membawa perubahan demi perubahan kepada seni kerjatangan seramik. Penemuan pasu Iban di Gua Niah Sarawak membuktikan kerja tangan ini telah wujud sejak beratus tahun yang lampau. Antara kaum peribumi yang mewarisi kerjatangan ini adalah Iban, satu-satunya kaum yang demokratik dalam kehidupan seharian.

            Penghasilan pasu Iban dipercayai mempunyai unsur-unsur kerohanian kerana fungsinya lebih ke arah upacara-upacara rasmi kaum Iban. Gahnya "Nuan" satu rencana yang menggambarkan keunikan penghasilan pasu secara traditional dan keunikan ini digabungkan dengan cara hidup masyarakt suku kaum Iban.



Sumpit Sarawak

            Sumpit adalah sejenis peralatan memburu yang sering digunakan oleh masyarakat pribumi Sarawak sedikit masa dahulu. Terdapat kelebihan yang dimiliki oleh senjata ini iaitu kemampuannya mencapai sasaran dari jarak jauh disamping tidak mencemarkan alam sekitar. Bahan utama di dalam proses pembuatan sumpit adalah daripada kayu.Kayu dipilih mengikut kualiti dan mutu biasanya daripada kayu jenis "Belian". Proses pembuatan sumpit adalah rumit dan memerlukan kepakaran untuk menebuk kayu yang telah dipilih.



Tenunan Pua

            Pua, tenunan ikat-lungsin yang diwarisi turun-temurun oleh suku kaum Iban memaparkan identiti dan pegangan kuat kaum tersebut kepada adat dan tradisi hidup.Motif tumbuh-tumbuhan, binatang dan lambang makhluk seperti corak cicak (mengkarong), buaya, lembaga manusia (engkaramba) dan sebagainya memaparkan keunikan rekacorak tradisi tenunan pua.Selain daripada kegunaan di upacara adat istiadat dan keagamaan, tenunan pua juga boleh dijadikan pelbagai jenis pakaian tradisi. Antaranya ialah bidang (skirt), sirat (cawat), kalambi (jaket) dan dangdong (kain selempang).Jalinan hasil tenunan dan kegemilangan kombinasi warna dan corak tenunan yang mempersonakan, memaparkan keindahan serta nilai estetika dan mistik tenunan pua yang masih terpelihara hingga ke hari ini.



Bakul

            Bakul bersegi enan ganjil yg bersaku pd tepinya, diperolehi di hilir sungai katibas. Bahan-bahan untuk anyaman boleh didapati dengan mudah seperti rotan, buluh, daun nipah,mengkuang dan buluh bemban. Bahan-bahan ini telah diubah menjadi barang-barang yang amat berguna seperti bakul, terendak dan tikar. Sebahagian daripada barang-barang ini memiliki fungsi yang khas dan tersendiri dalam upacara-upacara keagamaan. Ada bakul yang disediakan khas untuk bercucuk tanam, menuai, menyimpan dan membanting padi termasuklah bakul khas untuk mengumpul buluh dan paku-pakis, untuk memancing dan menyimpan barangan peribadi. Ada terendak dibuat khas untuk kegunaan petani-petani semasa mereka berada di sawah bagi melindungi diri daripada panas dan hujan.

 

Cacah

            Satu lagi penampilan kesenian dalam perhiasan diri ialah cacah. Ianya banyak dipraktikkan oleh masyarakat tempatan Sarawak terutama sekali oleh orang-orang Kayan, Kenyah dan Iban. Berbagai bentuk cacah dilukis dan hanya beberapa jenis yang tertentu sahaja dianggap sesuai untuk bahagian badan. Sebagai contoh, bentuk bulat sesuai untuk bahagian bahu, dada atau bahagian luar pergelangan tangan sementara bentuk yang selalunya besar seperti anjing, kala jengking atau naga, dilukis di bahagian yang lebih besar seperti paha. Di kalangan orang Iban, hanya satu bentuk tertentu di khas untuk leher. apabila tangan seseorang dicacah, ianya bererti berani dalam peperangan atau seseorang itu pernah memenggal kepala manusia. Secara tradisinya golongan berada wanita Kenyah dan Kayan mempunyai lengan dipenuhi cacah yang dilukis pada lengan dari jari sehingga ke siku dan pada kaki dari bawah lutut hingga bahagian atas paha sebagai simbol status mereka.Kaum lelaki dan wanita juga menghias diri mereka dengan gelang yang diperbuat daripada tembaga dan cengkerang siput, dan anting-anting tembaga dan plumbum.



Ukiran

            Sarawak kaya dengan ukiran pada kayu.Rumah panjang dihiasi dengan ukiran yang dibuat oleh mereka sendiri.Mereka juga membuat ukiran pada alat-alat permainan tradisional seperti “sape”.Mereka menggunakan kayu yang lembut dan ukiran yangbersesuaian pada sape agar terhasil bunyi yang merdu.Setiap etnik ada kesenian ukiran yang unik.Orang Kayan ,Kenyah dan Ulu mengguakan hasil ukiran mereka untuk digunakan semasa perayaan Gawai Kenyalang.Orang Melanau menggunakan hasil ukiran mereka untuk mengubat penyakit yang rumit semasa upacara amal.



Penggunaan Manik
 

        Orang Ulu merupakan kumpulan pertama yang menghasilkan kraftangan menggunakan manik di Sarawak.Mereka membuat menggunakan kreativiti mereka sendiri.Rantai antik yang lama diubahsuai menggunakan manik-manik daripada China, Venice dan Barat Tengah.Orang Luna Bawang dan Long Tuma membuat manik seramik sendiri dan menggunakan manik itu untuk membuat pakaian, pembawa bayi, beg wanita dan topi.Pakaian wanita yang menari juga dihasilkan melalui manik bewarna - warni tetapi bercorakkan naga dan anjing dan berlatarbelakangkan warna merah atau hitam.