Membina sekolah selamat berasaskan kemesraan
KEPUTUSAN Kementerian Pendidikan melancarkan Program Sekolah Selamat pada
2002 sebenarnya bertunjangkan satu matlamat jitu – mewujudkan budaya
selamat di sekolah dan persekitaran secara berterusan dengan sokongan
keluarga dan komuniti setempat.
Objektif umumnya ialah untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan bahawa
keselamatan hendaklah dijadikan agenda utama dalam semua aspek pendidikan
di sekolah.
Jelas inisiatif baru itu bukan sekadar program ‘tangkap muat’ semata-mata.
Bahagian Sekolah menyediakan buku ‘Konsep dan Manual Sekolah Selamat’
sebagai panduan pelaksanaan menjadikan sekolah, komuniti dan keluarga
selamat untuk kanak-kanak.
Buku itu turut memuatkan aspek manual untuk pelajar menangani isu
keselamatan dalam bidang aktiviti pelajar, bencana alam, fizikal dan
bangunan sekolah, sosial, serta persekitaran dan lokasi sekolah.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Jabatan Sekolah), Datuk Kusaini
Hasbullah, dalam satu pertemuan baru-baru ini, menjelaskan sebenarnya
konsep sekolah selamat sudah pun ada dalam sistem pendidikan formal selama
ini.
“Memanglah menjadi hasrat guru, ibu bapa dan pelajar supaya semua yang
dilakukan tercapai dalam keadaan selamat. Sekiranya berjaya pun, berjaya
dengan selamat. Itu adalah hasrat serta cita-cita kementerian juga.
“Jadi konsep sekolah selamat ini daripada begitu umum, dibina dan
dikembangkan menjadi satu konsep khusus yang dilaksanakan di sekolah
seluruh negara. Malah, didapati kira-kira 84 peratus daripada keseluruhan
10,000 sekolah rendah dan menengah kini menjalankan konsep ini secara
aktif,” katanya.
Bagaimanapun, selepas lebih setahun pelaksanaan program itu, masyarakat
masih digemparkan dengan insiden memalukan dan berlawanan arus dengan
usaha bersungguh-sungguh banyak pihak untuk menjadikan negara pusat
kecemerlangan pendidikan.
Beberapa kejadian ‘membelasah’ yang tercetus antara pelajar, khususnya di
sekolah menengah berasrama, hingga mengakibatkan kecederaan serius
ternyata bukan lagi boleh dipandang ringan sebagai sekadar ‘kenakalan
budak hingusan’.
Kecederaan menimpa Mohd Hafizi Jumhari, 16, pelajar kursus Kejuruteraan
Mekanikal di Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, Ogos lalu, yang
dilaporkan sehingga terpaksa dibuang buah pinggang kirinya selepas
dipercayai dibelasah sekumpulan pelajar senior di asrama, boleh dijadikan
pembuka mata terhadap ancaman luar jangkaan di sekolah.
Adakah dengan kes gejala disiplin sedemikian secara tidak langsung
menunjukkan kegagalan Program Sekolah Selamat yang masih baru digerakkan?“Saya tidak fikir begitu sebab kita harus ingat kepada realiti masyarakat
bahawa negara kita sedang menuju kemajuan serta pembangunan dan manusianya
juga menjurus ke arah itu.
“Jadi dalam proses kemajuan dan pembangunan ini, tentulah sekali kita akan
menghadapi keadaan di mana ada sebilangan masyarakat yang terseleweng,
luar fokus mahupun tidak memahami.
“Kita menghadapi gejala yang berlaku di sekolah tetapi ia bukan berpunca
atau berkembang dari sekolah. Kita selalu kata sekolah dipersalahkan
kerana timbulnya masalah. Namun sebenarnya daripada pemerhatian saya,
sekolah hanyalah tempat perkara itu berlaku.
“Elemen dan proses pendidikan di kalangan anak kita bukan hanya di sekolah
tetapi di merata tempat. Bahkan ada orang bijak pandai mengatakan bahawa
pembelajaran secara formal hanya mencakupi lebih kurang 20 peratus
hidupnya, sementara 80 peratus lagi dia belajar daripada cara tidak formal
seperti di rumah, di kedai dan banyak lagi.
“Bagaimanapun apabila berlaku masalah seperti dalam masyarakat hari ini,
sekolah selalu disalahkan. Namun, kita tetap tidak boleh berhenti tanpa
melakukan sebarang usaha untuk menangani dan mengatasinya. Antara usaha
dijalankan ialah pelaksanaan konsep sekolah selamat ini,” tegas Kusaini.
Memang tidak dinafikan, pihak sekolah sering dilempar pelbagai tuduhan dan
dipersalahkan apabila berlaku insiden negatif membabitkan salah laku
pelajar. Antara dakwaan yang kerap dilontarkan ialah kelemahan pihak
pengurusan, guru disiplin dan warden asrama di sekolah.
Suatu fenomena yang perlu dipandang serius dalam menangani kemelut
disiplin pelajar kini ialah dalam keadaan tertentu, pihak sekolah,
khususnya guru, berada dalam keadaan ibarat ’ditelan mati emak, diluah
mati bapa’.
Ini kerana apabila guru bersikap lepas tangan terhadap salah laku pelajar,
kewibawaan dan komitmen mereka sebagai pendidik pasti dipertikaikan.
Begitupun dari satu sudut lagi, guru yang menjalankan hukuman disiplin
pula terdedah kepada risiko ‘diserang balik’ ataupun diambil tindakan
mahkamah oleh ibu bapa selain perbuatan balas dendam daripada pelajar
sendiri.
Di sini, penekanan Kusaini bahawa keberkesanan dan kejayaan pelaksanaan
Program Sekolah Selamat memerlukan pembabitan serta kerjasama tiga pihak
utama, iaitu warga sekolah, ibu bapa dan komuniti, wajar dijadikan
pegangan.
“Ketiga-tiga pihak ini harus bekerjasama dan juga memainkan peranan
masing-masing dalam membina persekitaran yang selamat di sekolah. Apabila
dikatakan selamat, bukan bermakna selamat dari segi prasarana atau fizikal
saja, tetapi juga selamat dari segi lain seperti perhubungan dan kasih
sayang.
“Keselamatan boleh dibina dengan keadaan kasih sayang, mesra dan kerjasama
sesama warga. Dengan adanya semangat sebegitu, perhubungan menjadi lebih
selamat serta mengurangkan permusuhan, perkauman dan juga prasangka.
“Untuk selamat, bukan bermakna sesebuah sekolah itu mesti dipagar dengan
pagar yang cantik semata-mata. Itu pun mustahak juga tetapi idea utamanya
ialah supaya setiap warga di sekolah berasa aman, tenteram, selesa dan
sentiasa mahu ke sekolah. Inilah persekitaran, budaya dan iklim di sekolah
yang mahu ditonjolkan oleh Kementerian Pelajaran,” katanya.
Justeru, walaupun belum tercapai sepenuhnya sasaran pelaksanaan Program
Sekolah Selamat, usaha kementerian itu sudah pun mula menampakkan hasil
positif apabila pemerhatian serta pemantauan dilakukan oleh Bahagian
Sekolah mendapati kebanyakan sekolah berjaya mempertingkatkan kesedaran
war-ga mereka mengenai kepentingan keselamatan.
Bukan itu saja, penubuhan Jawatankuasa Perundingan Disiplin Pelajar yang
dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan,
adalah langkah amat dialu-alukan untuk menyuntik strategi baru ke arah
mengurangkan sedapat mungkin pergolakan serta kemelut disiplin di kalangan
pelajar. Pastinya, hasil positif sangat diharapkan daripada jawatankuasa
itu yang menggemblengkan kebernasan fikiran daripada pelbagai pihak yang
arif dalam bidang tersendiri, termasuk golongan profesional dan wakil ibu
bapa.
Ekoran itu, baru-baru ini, jawatankuasa berkenaan melahirkan lima perakuan
dan tujuh inisiatif baru yang sudah mendapat perkenan Menteri Pendidikan
dan pelaksanaannya akan bermula tahun depan, di samping terus memberi
penekanan kepada 20 inisiatif sedia ada.
Menurut Kusaini, antara inisiatif baru berkenaan ialah melaksanakan
piawaian kualiti asrama serta mengadakan sistem pengurusan asrama secara
sistem rumah.
“Berdasarkan sistem rumah ini, suatu asrama itu akan dikongsi duduki
bersama oleh pelajar dari pelbagai tahun atau tingkatan persekolahan,
contohnya dikongsi bersama oleh pelajar tingkatan satu, dua dan tiga,
yakni tidak dikhususkan mengikut peringkat umur sebagaimana sekarang.
“Langkah ini bertujuan untuk membentuk persefahaman sesama mereka sekali
gus mewujudkan suasana perhubungan lebih baik kerana berdasarkan
pengalaman kementerian, apabila pelajar dikumpulkan dalam satu peringkat
umur saja di asrama, ada kecenderungan untuk ada ‘geng’ sendiri,” katanya.
Seterusnya, inisiatif baru berkenaan juga memberi peluang kepada pelajar
untuk menyuarakan pendapat dan pandangan melalui pelbagai saluran seperti
badan pengawas mahupun badan perwakilan pelajar di sekolah.
“Antara langkah yang sekolah boleh ambil ialah mengadakan dialog dengan
pelajar supaya suara mereka didengar dan diteliti oleh pihak pengurusan.
Ini bukan membabitkan aduan masalah saja tetapi juga cadangan ke arah
penambahbaikan.
“Berdasarkan pengalaman kita selama ini, pelajar memang berupaya
memberikan cadangan baik kepada sekolah kerana merekalah yang menghadapi
keadaan sebenar. Peluang pelajar berdialog dengan pihak sekolah adalah
antara strategi kaunseling dalam perihal disiplin.
“Bagaimanapun, pada masa sama, sekolah diminta bersikap tegas terhadap
pelajar dan jangan bertolak ansur dalam perkara yang mungkar. Pihak
sekolah tidak boleh mendiamkan perkara sedemikian, maknanya jika perlu
dikenakan hukuman, hukum.
“Dalam konteks ini, bermakna mesti ada keseimbangan antara langkah
kaunseling dan tindakan disiplin di mana yang menjadi ukuran kepada
kedua-dua imbangan ini ialah kemanusiaan kerana pelajar sedang membesar
serta membangun.
“Ada persekitaran yang perlu diambil tindakan disiplin dan ada juga yang
tidak perlu. Umpamanya, pelajar perempuan tidak memerlukan tindakan
disiplin seperti merotan kerana dengan sifat mereka yang sensitif serta
pemalu, teguran sudah pun mencukupi. Namun ada juga keadaan di mana
pelajar perempuan tidak makan ditegur dan perlu diberi ‘kejutan’.
Bagaimanapun, semua ini bergantung kepada persekitaran dan keadaan,”
katanya.
Satu lagi inisiatif baru yang cukup menarik ialah sekolah akan diberikan
peruntukan mencukupi bagi pengurusan hal ehwal pelajar bertujuan
mewujudkan kemesraan dan menjalin serta mengeratkan lagi perhubungan
dengan pihak ibu bapa dan juga masyarakat.
Strategi baru ini boleh dikatakan unik kerana melalui peruntukan yang
diterima, pihak sekolah akan ‘keluar dari sarang’ untuk memperkukuhkan
perhubungan dengan ibu bapa dan masyarakat seperti dengan mengadakan
program lawatan ke rumah pelajar berbanding selama ini hanya ibu bapa yang
dipanggil dan diminta ke sekolah.
Tidak dinafikan bahawa selama ini, ada sekolah yang ingin mengadakan
program ‘mesra rakyat’ seperti itu tetapi menghadapi masalah kekangan
kewangan berikutan tiada peruntukan khusus untuk pelaksanaan berkenaan.
Justeru, dengan adanya peruntukan baru itu, pihak sekolah boleh
mengaturkan program lawatan ke rumah pelajar untuk pelbagai tujuan seperti
kebajikan, menziarahi mereka yang sakit dan sempena sambutan perayaan.
Inisiatif seterusnya ialah penubuhan Biro Pelawat Sekolah yang akan
dianggotai oleh pelbagai pihak, termasuk wakil persatuan ibu bapa dan guru
(PIBG), bekas pelajar dan agensi kerajaan setempat, untuk melawat pelajar
secara berkala di sekolah sekali gus membentuk suasana perhubungan dan
persefahaman yang jitu.
Penubuhan Jawatankuasa Menangani Isu Budaya Negatif Di Kalangan Pelajar
Asrama yang dipengerusikan oleh Abdul Rafie dan pelaksanaan laporan adab
pelajar turut disenaraikan sebagai antara tujuh inisiatif baru berkenaan.
“Inisiatif ini bertujuan memperbaiki keadaan sekali gus mempertingkatkan
disiplin pelajar. Pelaksanaannya tidak hanya fokus kepada sekolah yang
didapati bermasalah tetapi meliputi secara menyeluruh,” katanya.