SEJARAH SMK
PASOH 2
Sekolah Menengah Pasoh 2 atau nama ringkasnya SMKPD (FELDA) telah
diasaskan pada bulan Januari 1981. Tn. Hj. Asmaon Bin Hj. Salikin
menjadi pengetua pertama sekolah ini. Mulai bulan Januari 1981 hingga
31 Mei 1981 pelajar perintisnya ialah seramai 103 orang telah
menumpang di Sekolah Kebangsaan Pasoh Dua kerana bangunan sekolah
masih belum siap.
Cadangan pembinaan sekolah telah pun disyorkan pada peringkat
awalnya oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan Felda
Pasoh Dua di dalam mesyuarat kali ke tiganya pada tahun 1979.
Cadangan ini juga telah di sokong oleh Jawatankuasa Biro Pendidikan
UMNO Bahagaian Jelebu. Cadangan pembinaan disyorkan oleh JKKR Felda
Pasoh Dua memandangkan kerumitan yang timbul untuk menghantar
anak-anak peneroka Felda Pasoh Dua ke peringkat sekolah Menengah.
Kedudukan Felda Pasoh yang jauh di pedalaman, perhubungan di antara
Felda Pasoh Dua dengan kawasan lain agak sukar kerana tidak ada
perkhidmatan bas penumpang.
Pada 18.12.80, bangunan pentadbiran yang bernilai RM868,000 telah
siap dibina. Bangunan ini mempunyai 10 buah kelas, sebuah bilik guru,
sebuah perpustakaan, tiga buah makmal, sebuah pejabat pentadbiran dan
sebuah bilik gerakan. Selain sebuah bangunan Pentadbiran tiga tingkat
dan sebuah kantin, bengkel seni perusahaan juga dibina. Pada
peringkat awal bangunan sekolah ini tidak mempunyai bekalan elektrik.
Oleh itu, sebuah generator elektrik telah dibekalkan.
Pada peringkat awalnya, Sekolah Menengah Pasoh Dua ini menerima
Murid dari 3 buah sekolah kebangsaan yang berhampiran iaitu Sekolah
Kebangsaan Air Hitam, Sekolah Kebangsaan Pasoh Tiga dan Sekolah
Kebangsaan Pasoh Dua.
Pertambahan murid semakin dirasakan dari setahun ke setahun. Oleh
yang demikian akhir tahun 1989 sebuah bangunan yang mengandungi empat
buah kelas, dua buah rumah guru telah dibina secara gotong-royong
yang bernilai RM76,000.
Pada bulan Julai 1990 sebuah bangunan Pusat Sumber telah dibina.
Bangunan dua tingkat ini menempatkan Pusat Sumber, Bilik Tayangan,
Bilik Komputer dan 5 buah kelas yang boleh dibuka untuk dijadikan
dewan.
SEJARAH PENTADBIRAN
Sejak 1981 hingga 1999 sekolah ini telah mempunyai tiga orang
pengetua. Yang pertama ialah Tn. Hj. Asmaon bin Hj. Salikin, kedua
ialah En. Abd. Jabar bin Kasim dan yang masih lagi bertugas di sini
ialah En. Abu Bakar bin Hasan.
Guru-guru yang berkhidmat di sekolah ini pada masa sekarang ialah
seramai 39 orang. Bilangan kakitangan Bukan Akedemik pula ialah
seramai 12 orang termasuk seorang kerani, 2 orang pembantu makmal dan
9 orang Pembantu Am.
Pentadbiran sekolah ini juga dibantu oleh Ahli Lembaga
Pengelola Sekolah yang terdiri daripada empat orang iaitu Tuan Syed
Othman b. Syed. Hassan, En. Mohamad b. Jaaman, En. Muhamad b. Ahmad
dan En. Zainal b. Yahya.
AKADEMIK.
Walaupun Sek. Men. Pasoh 2 ini terletak di sebuah kawasan FELDA,
pencapaiannya di dalam bidang pelajaran setanding dengan pencapaian
sekolah-sekolah di bandar.
Untuk memenuhi cita-cita wawasan 2020 SMP.2 mula mengorak langkah
yang positif melahirkan insan yang bermoral dan berpengetahuan. Oleh
yang demikian, SMP. 2 telah dipilih oleh Kementerian Pendidikan
memulakan pengajaran komputer. Sekolah ini telah dibekalkan sebanyak
20 komputer untuk memberi pengetahuan kepada pelajar-pelajar. Pelajar
perintisnya ialah pelajar Tingkatan 1 tahun1992. Mereka ini diajar
pengetahuan komputer dengan secukupnya.
Pihak sekolah menyediakan beberapa kemudahan kepada
pelajar-pelajar untuk mengembangkan bakat, minat dan kecenderungan
masing-masing menerusi kegiatan kokurikulum, ke arah membentuk
pelajar-pelajar sekolah ini menjadai manusia yang berhemah tinggi,
dapat mematuhi peraturan, menghormati dan menghargai kejayaan orang
lain serta merasakan mereka adalah penting di dalam setiap bidang
yang mereka ceburi.
Di dalam bidang sukan, sekolah ini pernah munjul sebagai Johan
dalam permainan Takraw bawah 15 tahun pada tahun 1990 dan 1991. Di
dalam permainan Bola Sepak , pasukan sekolah ini pernah muncul Naib
Johan peringkat Daerah Jempol pada tahun 1987 dan 1988 dan seorang
pemain sekolah ini telah dipilih untuk mewakili Negeri Sembilan bawah
15 tahun. Selain itu, Pasukan Bola baling sekolah telah muncul
sebagai Johan Daerah Jempol pada tahun 1993 dan pasukan Bola Baling
bawah 15 tahun ini juga muncul tempat keempat di peringkat Negeri.
Seramai empat orang pemain telah terpilih mewakili Negeri
Sembilan.
Seperti sekolah-sekolah lain, pelajar-pelajar sekolah ini juga
digalakkan berkoperasi. Koperasi sekolah ini ditubuhkan pada tahun
1990 dengan bilangan ahli seramai 238 orang. Setiap ahli membeli satu
unit saham bernilai RM 1.00 dan guru-guru membeli 10 unit saham.
Setiap tahun bilangan ahli meningkat dan keadaan ini menjadikan
Koperasi sekolah ini bertambah maju dan kukuh.
Sekolah ini juga merupakan sebuah sekolah yang baru dilahirkan di
kawasan FELDA gugusan Pasoh ini, maka ia belum mampu untuk melahirkan
tokoh yang berjaya dalam pelbagai bidang. Namun demikian beberapa
orang bekas pelajarnya telah berjaya dalam profesion masing-masing
seperti guru,pensyarah, pegawai bank dan lain-lain.
PENUTUP.
Walaupun sekolah ini merupakan sebuah sekolah di Rancangan FELDA,
namun ia telah mempunyai identitinya yang tersendiri. Perkembangan
yang menggalakkan adalah hasil kerjasama semua pihak. Perkembangan di
dalam bidang akedemik dan kokurikulum ini akan terus memenuhi impian
rakyat dan negara menuju Wawasan 2020.
[LamanUtama][Sejarah][Organisasi][ProfilSekolah][Kurikulum]
[Kokurikulum][Peperiksaan][PIBG][Galeri][Rayuan
Derma Surau]
[Tanya
Pengetua][Berita
Semasa][Hantar
Kad]