PERSATUAN IBUBAPA DAN GURU

SEKOLAH MENENGAH KEBAGSAAN PASOH 2

PERLEMBAGAAN DAN KAEDAH-KAEDAH PERSATUAN.

Kaedah A

Nama dan Alamat.

(1) Persatuan ini adalah dikenali dengan nama PERSATUAN IBU BAPA GURU

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PASOH 2.

 

(2) Alamat yang didaftarkan bagi Persatuan ini ialah

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PASOH 2

72300 SIMPANG PERTANG,

NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS.

 

Kaedah B

Maksud-maksud dan Tujuan-tujuan Persatuan.

(1) Maksud-maksud Persatuan ialah:-

(a) Untuk mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid di sekolah;

(b) Untuk membantu dan menambah usaha sekolah pada memenuhi kehendak-kehendak dan keperluan-keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan-kegiatan mereka;

(c) Untuk membolehkan ibu bapa-ibu bapa dan guru-guru di sekolah bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pelajaran pada amnya; dan

(d) Untuk memberi peluang kepada guru-guru dan ibu bapa-ibu bapa di sekolah berunding antara satu dengan lain berkenaan dengan cara memperbaiki taraf pelajaran anak-anak mereka pada amnya.

 

(2) Tujuan-tujuan Persatuan ialah:- 

(a) Untuk menntukan supaya murid-murid di sekolah memperolehi faedah maksimun daripada kemudahan-kemudahan pelajaran mereka;

(b) Untuk menentukan supaya murid-murid di dalamnya mempunyai sumber-sumber yang perlu untuk membuat kerja-kerja sekolah mereka,baik di rumah mahu pun di sekolah; dan

(c) Untuk mewujudkan alam sekeliling yang sebaik-baiknya bagi sekolah supaya membolehkan murid-murid mencapai perkembangan kerohanian, keakhlakan, otak dan jasmani.

 

Kaedah C

Tempat Diadakan Mesyuarat.

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PASOH 2

72300 SIMPANG PERTANG,NSDK.

 

Kaedah D

(1) Keanggotaan.

Tiap-tiap ibu bapa dan guru SMK Pasoh 2 adalah disifatkan sebagai ahli persatuan ini

 

(2) Jawatankuasa.

(i) Suatu jawatankuasa mengandungi Pegawai-pegawai berikut

hendaklah dilantik di mesyuarat agung tahunan:-

 

(a) Yang Di Pertua. (d) Bendahari Kehormat.

(b) Naib Yang Di Pertua. (e) 11 Ahli Jawatankuasa.

(c) Setiausaha Kehormat.

 

( Sebaik-baiknya bilangan ibu bapa dan bilangan guru dalam jawatankuasa hendaklah seimbang)

 

(i) Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan dan disokong dan pemilihan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam mesyuarat agung tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.

(i) Mana-mana kekosongan yang berlaku dalam jawatankuasa hendaklah dipenuhi oleh jawatankuasa dengan melantik seorang ahli biasa yang akan memegang jawatan hingga mesyuarat agung tahunan yang akan datang.

 

(3) Tugas Jawatankuasa

(i) Tugas jawatankuasa ialah mengelolakan dan mengaturkan kegiatan-kegiatan Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara yang menyentuh perjalanan Persatuan dengan tidak terkeluar dari dasar umum yang ditetapkan oleh mesyuarat agung.

(i) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh tiga bulan dan 14 hari pengumuman hendaklah diberikan kepada ahli-ahlinya.

(i) Yang di Pertua dengan bersendirian, atau tidak kurang daripada tiga orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa.

 

(4) Tugas Pegawai-pegawai.

(i) Yang Di Pertua hendaklah menjadi pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Dia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani minit-minit mesyuarat apabila telah diluluskan. Dalam masa ketiadaannya Naib Yang Di Pertua hendaklah memangku jawatannya.

(i) Setiausaha Kehormat hendaklah menjalankan urusan Persatuan menurut Perlembagaan dan melaksanakan arahan-arahan mesyuarat agung dan jawatankuasa.Ia hendaklah menyimpan minit-minit mesyuarat,mengurus hal-hal surat menyurat dan menyimpan semua buku,surat dan rekod lain. Ia hendaklah menyediakan laporan untuk dibentangkan kepada mesyuarat agung tahunan dan minit-minit yang berkenaan dengannya

(i) Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas kebetulannya. Ia hendaklah menyediakan penyata kira-kira bagi tiap-tiap kewangan sebelum 1hb Februari dan diserahkan untuk diaudit.

 

Kaedah E

Pendapatan. 

Persatuan hendaklah menubuhkan suatu kumpulan wang ke dalam mana akaun bank bagi semua derma atau sumbangan daripada ahli terhadap tujuan-

tujuan Persatuan dan kumpulan wang itu hendaklah diuruskan oleh Persatuan.

 

Kaedah F

Kuasa bagi membelanjakan wang Persatuan.

(i) Kuasa untuk membelanjakan wang persatuan ialah Jawatankuasa Persatuan dengan syarat ianya digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan persatuan.

(i) Bendahari Kehormat dibolehkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 500.00 pada suatu masa dan memasukkan semua wang yang lain ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa, Akaun bank itu hendaklah di atas nama Persatuan Ibu Bapa Guru SMK Pasoh 2.

(iii) Segala CEK atau kenyataan pengeluaran wang dan akaun Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh Bendahari dan

Yang Di Pertua atau Setiausaha.(mana-mana dua pegawai di atas)

(iv) Tahun Kewangan Persatuan ialah 1 hb Januari hingga 31 Disember.

 

Kaedah G

Penyimpanan Akaun-akaun pendapatan dan perbelanjaan Persatuan.

(i) Akaun Persatuan hendaklah diaudit pada tiap-tiap tahun oleh DUA ORANG yang tidak menjadi ahli Jawatankuasa dan mereka hendaklah dicalonkan oleh ahli-ahli Persatuan dalam mesyuarat agung tahunan.

(ii) Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk kelulusan mesyuarat agung tahunan yang berikutan.

(iii) Satu salinan Penyata Kira-kira yang telah diaudit dan diluluskan oleh mesyuarat agung tahunan hendaklah dihantar kepada Pendaftar Sekolah-sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

 

Kaedah H

Koram. 

(i) Koram bagi mesyuarat agung hendaklah tidak kurang daripada 45 orang (Bilangan mesti tidak kurang daripada 3 kali jumlah bilangan ahli-ahli jawatankuasa)

(ii) Koram bagi mesyuarat Jawatankuasa hendaklah sebanyak 2/3 bilangan ahli-ahli jawatankuasa.

Kaedah I

Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Tergempar

(i) Kuasa Persatuan hendaklah terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli.

(ii) Mesyuarat agung tahunan hendaklah diadakan pada tiap-tiap tahun sebelum akhir bulan Mei. 

(iii) Suatu Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah diadakan:-

(a) Apabila difikirkan perlu oleh jawatankuasa.

(b) Atas permintaan bertulis oleh sekurang-kurangnya 45 orang ahli Persatuan dan mesyuarat ini hendaklah diadakan dalam tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan permintaan tersebut.

 

(iv) Sekurang-kurangnya 14 hari notis hendaklah diberi secara bertulis untuk merngadakan mesyuarat agung tahunan dan sekurang-kurangnya 7 hari notis bertulis bagi mesyuarat agung tergmpar.

(v) Urusan mesyuarat agung tahunan ialah menerima laporan Jawatankuasa dan penyata kira-kira yang telah diaudit bagi tahun yang lalu, memilih pemegang-pemegang jawatan dan menimbangkan lain-lain perkara yang menyentuh kemajuan dan kebajikan Persatuan.

(vi) Urusan mesyuarat agung tergempar hendaklah dihadkan hanya kepada maksud mesyuarat itu diadakan.

 

Kaedah J

Harta dan Amanah.

(i) Persatuan adalah mempunyai kuasa untuk mempunyai,mengguna dan melupuskan apa-apa harta alih atau harta takalih yang mana pada pendapatnya dikira akan memudahkan ia menjalankan kuasa dan kewajipannya.

(ii) Empat orang pemegang amanah hendaklah dilantik dimesyuarat agung tahunan dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Persatuan dan mereka hendaklah menguruskan harta-harta itu mengikut cara yang diperintahkan oleh jawatanakuasa.

(iii) Pemegang amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau menukar harta kepunyaan Persatuan dengan tidak ada persetujuan dan kuasa yang diberi oleh mesyuarat agung ahli-ahli.

(iv) Seseorang pemegang amanah boleh dilucutkan daripada jawatan oleh Jawatankuasa oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri dan kerana lain sebab yang menyebabkan ia tidak boleh menjalankan tugasnya atau pekerjaannya tidak memuaskan. Jika berlaku kematian,letakan jawatan atau pembuangan bagi sesorang pemegang amanah sebelum mesyuarat agung tahunan maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh jawatankuasa sehingga pemegang amanah yang baru dilantik di dalan mesyuarat agung.

(v) Pemegang amanah yang dilucutkan jawatannya mengikut Perlembagaan ini berhak merayu kepada mesyuarat agung yang berkuasa memberi keputusan yang muktamat.

 

Kaedah L

Larangan.

(i) Persatuan tidak boleh memperluaskan bidang kuasanya kepada perkara perkara yang berkaitan dengan pekerjaan dan syarat-syarat perkhidmatan guru-guru dan kakitangan lain di sekolah.

(ii) Persatuan tidak boleh menjadi jentera bagi menyelesaikan pertikaian atau perkara-perkara lain yang berkaitan di antara Persatuan dan Pengetua atau kakitangan sekolah atau Jabatan Pendidikan Daerah/Negeri atau Kementerian Pendidikan atau Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.

 

Kaedah M

Tafsiran.

Sekiranya timbul sesuatu yang tidak jelas mengenai tafsiran dalam Perlembagaan ini, perkara itu hendaklah dirujukkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa. Keputusan Jawatankuasa mengenai perkara tersebut adalah muktamat. 

Kaedah N

Pembubaran.

Persatuan ini tidak boleh dibubarkan melainkan dengan kelulusan bertulis daripada Pendaftar Sekolah-sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan. Segala harta alih atau harta takalih tidak boleh dilupuskan malainkan dengan kelulusan Pendaftar Sekolah-sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

(En. Mazlan b. Hj. Abdullah)- Setiausaha Kehormat

(Pn. Siti Zaidah bt. Ismail)- Bendahari Kehormat

(En. Khairuddin b. Mat Wajib)- Yang Di Pertua

 

DILULUSKAN

PENDAFTAR SEKOLAH-SEKOLAH

JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SEMBILAN.

 

 

[LamanUtama][Sejarah][Organisasi][ProfilSekolah][Kurikulum]

[Kokurikulum][Peperiksaan][PIBG][Galeri][Rayuan Derma Surau]

[Tanya Pengetua][Berita Semasa][Hantar Kad]