APAKAH NAMANYA INI?

 

 

Saat yang ditakutkan itupun datanglah; dengan hati riang, bercampur masyghul, saya terpaksa meninggalkan bangku sekolah. Riang, kerana saya telah beroleh diploma dan masyghul kerana berpisah dengan bangku sekolah dan dengan teman-teman. Ertinya masa gembira, masa menghadapi zaman yang akan datang dengan penuh kepercayaan, telah habis.

Setelah guru membahagikan diploma kami masing-masing dengan bersorak-sorak kami meninggalkan perkarangan sekolah, kami bersalam-salaman satu dengan yang lain dan guru memberi kami peringatan, supaya sekolah kami diteruskan bagi siapa yang sanggup.

Anak-anak Belanda dan beberapa anak saudagar-saudagar yang mampu, dengan megah menyatakan di hadapan teman-temannya, bahawa sekolah itu akan diteruskannya; setelah habis cuti tahunan, mereka akan berangkat ke tanah Jawa menyambung pelajarannya. Saya sendiri, tidaklah saya khabarkan bahawa saya akan menambah pelajaran agama, kerana selama ini teman-teman mengejek-ejekkan saya, mengatakan saya gila agama.

Yang berasa sedih sangat, adalah anak-anak perempuan yang masuk pingitan (Terkurung di rumah saja) tamat sekolah bagi mereka ertinya suatu sangkar yang telah sedia buat seekor burung yang bebas terbang.

Zainab sendiri, semenjak tamat sekolah, ia pun telah tetap dalam rumah, didatangkan baginya guru dari luar yang akan mengajar berbagai-bagai kepandaian yang perlu bagi anak-anak perempuan, seperti menyulam, merenda, memasak dan lain-lainnya. Petang hari ia menyambung pelajarannya dalam perkara agama.

Saya, tidak beberapa bulan setelah tamat sekolah, berangkat ke Padang Panjang, melanjutkan cita-cita ibu saya dan kerana kemurahan Engku Haji Jaafar juga. Sekolah-sekolah agama yang ada di situ mudah sekali saya masuki, kerana lebih dahulu saya telah mempelajari ilmu umum; saya hanya tinggal memperdalam pengertian dalam perkara agama saja, sehingga akhirnya salah seorang guru memberi fikiran, menyuruh saya mempelajari agama di luar sekolah saja, sebab kepandaian saya lebih tinggi dalam hal ilmu umum daripada kawan-kawan yang lain.

Demikian lah pelajaran itu telah saya tuntut dengan bersungguh hati, tetapi…. semenjak mula saya pindah ke Padang Panjang, sentiasa saya merasa keseorangan. Kian lama saya tinggal dalam negeri dingin itu, kian terasa oleh saya bahawa saya sebagai seorang yang terpencil. Keindahan alam yang ada di sekeliling kota dingin itu menghidupkan kenang-kenangan saya kepada hal-hal yang telah lalu. Gunung Merapi dengan kemuncaknya laksana disepuhi emas, panas petang yang menyinari kemuncak tandikat waktu matahari akan terbenam dan mempertaruhkan jabatan memberi cahaya kepada bulan, singlang yang sentiasa diliputi dengan kebun-kebun tebunya yang beriak-riak ditiup angin, semuanya membangkitkan perasaan-perasaan yang ganjil, yang sangat mengganggu fikiran saya.

Saya berasa sebagai seorang yang kehilangan, padahal jika saya periksa penaruhan saya, peti, meja tulis, kain dan baju semuanya cukup. Tetapi badan saya ringan, seakan-akan suatu kecukupan yang telah kurang.

Cuma saya ingat, bahawa jika dengan teman-teman sama sekolah saya pergi melihat keindahan air terjun di Batang Anai atau mendaki Bukit Tuai, atau gua Batu Sungai Anduk, bila masa saya melihat keindahan

ciptaan alam itu, saya ingat alangkah senang hati Zainab jika ia turut melihat pula. Kerana saya tahu betul bahawa ia seorang anak perempuan yang dalam perasaannya; waktu sama-sama sekolah, ia suka benar mendengarkan nyanyian-nyanyian yang sedih, walaupun nyanyian Barat atau Timur. Bila mana lalu di hadapan rumahnya seorang buta bersama-sama cucunya yang kecil, kerapkali ia menitikkan airmata. Bagaimanakah perasaannya kelak jikalau dia ada pula di tempat yang indah itu?

Sentiasa saya hitung pertukaran hari ke bulan dan dari bulan ke tahun. Apabila cuti sekolah bagi bulan puasa telah hampir, gembiralah hati saya kerana akan dapat saya mengadap ibu saya memaparkan di hadapannya bahawa ia sudah patut gembira kerana anaknya ada harapan akan menjadi orang alim dan dapat pula bersimpuh di hadapan Engku Haji Jaafar yang dermawan, bahawa pertolongannya ada harapan akan berhasil, bersimpuh pula di hadapan Mak Asiah kerana dengan pertolongannya saja saya telah menjadi orang baik. Kemudian dari itu akan dapat pula bertemu dengan Zainab. Saya akan nyatakan di hadapannya pengalaman yang telah saya dapat selama pergi menuntut ilmu, dan saya hadiahkan kepadanya gambar dari "Panorama" keliling kota Padang Panjang yang saya ambil gambarnya bersama teman sejawat saya. Tentu akan saya terangkan di hadapannya dengan gembira, dengan besar hati, sehingga ia akan termanggu-manggu mendengar cerita saya, apa lagi ia amat sukar akan dapat keluar dari lingkungan rumahnya.

Apabila sekolah saya tutup, segala cita-cita yang telah saya reka selama belajar, dan telah saya susun di jalan antara Padang Panjang dengan Padang semuanya dapat saya jalankan; ibu saya menitik airmatanya kerana kegirangan, Engku Haji Jaafar tersenyum mendengar saya mengucapkan terima kasih. Mak Asiah memuji-muji saya sebagai seorang anak yang berbudi, cuma ketika berhadapan dengan Zainab dalam rumahnya, mulut saya tertutup, saya menjadi seorang yang bodoh dan pengecut.

"Bila abang pulang?" Katanya.

"Pukul sepuluh pagi tadi." Jawab saya.

"Apa khabar? Baik?"

"Alhamdulillah………."

Setelah itu saya menjadi bingung, tidak tentu lagi apa yang akan saya terangkan kepadanya. Segala rancangan saya terhadap dirinya yang saya reka-rekakan tadi, semuanya hilang. Ia melihat tenang-tenang kepada saya, seakan ada pembicaraan saya yang ditunggunya, tetapi kian lama saya kian gugup, sehingga sudah lalu hampir lima belas minit, tidak ada diantara kami yang bercakap.

"Mudah-mudahan kelak selamatlah, dan kerapkali datang kemari kalau masih di rumah" -katanya pula; lalu ia berdiri dari tempat duduknya, kembali ke pekarangan belakang, ke dalam pingitan. Saya pun berdiri saya ambil songkok saya sambil menarik nafas panjang saya pun keluar.

Dalam hati, saya teringat hendak menulis surat kepadanya akan ganti diri saya menerangkan segala perasaan hati. Surat itu akan saya tulis dengan tulus ikhlas, tidak bercampur dengan kata-kata yang dapat menyinggung perasaan hati, baik perkara cinta atau perkara-perkara lainnya, apa lagi surat itu tidak akan diketahui oleh orang isinya jika ditulis dalam bahasa Belanda. Tetapi ah...... saya tak sampai hati, sebab perbuatan itu hanya sehingga daerah persaudaraan antara adik dan kakak*(abang), tidaklah mengapa. Tetapi adalah saya ini seorang yang lemah, otak saya tak dapat mempengaruhi dan mengendalikan hati saya, sepandai-pandainya mengatur dan menyusun kata, akhirnya tentu salah satu perkataan di dalam surat itu terpaksa juga membawa erti lain, pada hal dalam perkara yang halus-halus anak perempuan amat dalam pemeriksaannya.

Cinta itu adalah "jiwa" antara cinta yang sejati dengan jiwa tak dapat dipisahkan, cinta pun merdeka sebagaimana jiwa. Ia tidak memperbezakan di antara darjat dan bangsa, di antara kaya dan miskin, mulia dan papa demikianlah jiwa saya, di luar daripada resam basi, terlepas daripada kekang kerendahan saya dan kemuliaannya; saya merasainya, bahawa Zainab adalah diri saya. Saya merasai ingat kepadanya adalah kemestian hidup saya. Rindu kepadanya membukakan pintu angan-angan saya menghadapi zaman yang akan datang.

Dahulu saya tidak pedulikan hal itu, tetapi setelah saya besar dan berpisah daripadanya, baharulah saya insaf, bahawa kalau bukan di dekatnya, saya berasa kehilangan.

Mustahil ia akan dapat menerima cinta saya, kerana dia langit dan saya bumi, bangsanya tinggi dan saya hidup daripada kasih sayang ayahnya. Bila saya tilik diri saya, tidak ada padanya tempat buat lekat hati Zainab. Jika kelak datang waktunya orang tuanya bermenantu, mustahil pula saya akan temasuk golongan orang yang terpilih untuk menjadi menantu Engku Haji Jaafar, kerana tidak ada yang akan dapat diharapkan dari saya, tetapi tuan…. kemustahilan itulah yang kerapkali memupuk cinta.

Setelah puasa habis, saya kembali ke Padang Panjang. Sebelum berangkat saya datang ke rumahnya menemuinya, menemui ayahnya dan ibunya. Daripada ayahnya saya dapat nasihat; "Belajarlah sungguh-sungguh, Hamid, mudah-mudahan engkau lekas pintar dalam perkara agama dan dapat hendaknya saya menolong engkau sampai tamat pelajaranmu….."
"Insya Allah Engku" - jawab saya.
Setelah itu saya berangkat; seketika saya melengung yang penghabisan ke belakang; iaitu kelihatan oleh saya Zainab berdiri di pintu tengah, melihat kepada saya. Di situ timbul pula kembali sifat saya yang pengecut; saya mengadap ke muka dan saya pun pergi……

APAKAH NAMANYA INI?

<< PENOLONG

SEPERUNTUNGAN >>

INDEX

* Penulis : Haji Abdul Malik Karim Abdullah (HAMKA)
* Tajuk : Dipetik dari buku Dibawah Lindungan Kaabah.
* Cetakan : Pustaka Antara