PENOLONG
Enam bulan kemudian.
Berhampiran dengan rumah kami ada sebuah gedung besar
berpekarangan yang cukup luas; dalam pekarangan itu ada
juga ditanam buah-buahan yang lazat seperti sauh dan
rambutan. Rumah itu lama tinggal kosong, kerana tuannya
seorang Belanda telah balik ke Eropah dengan mendapat
pencen. Yang menjaga rumah itu selama ini adalah seorang
jongos tua. Khabarnya konon rumah itu akan dijual, sebab
tuan itu tidak balik lagi ke negeri ini. Selama itu
kerap kali kami datang ke situ meminta buah rambutan dan
sauh kepada Pak Leman. Demikian nama jongos tua
itu.
Tiba-tiba rumah itu diperbaiki, kerana telah dibeli oleh
seorang saudagar tua yang hendak berhenti dari berniaga.
Ia akan hidup pada hari tua dengan senang, sebagai
berehat daripada pekerjaannya yang berat pada masa ia
muda memakan hasil daripada rumah-rumah sewa yang banyak
di Padang dan di Bukit Tinggi, demikian juga
sawah-sawahnya yang luas di sebelah Payakumbuh dan
Lintau.
Setelah rumah itu selesai diperbaiki, pindahlah orang
hartawan itu ke sana bersama dengan isteri dan seorang
anak perempuannya. Di hadapan rumah itu di atas satu batu
marmar yang licin ada tertulis perkataan; Haji Jaafar.
Tiap-tiap pagi saya lalu di hadapan rumah itu menjunjung
nyiru berisi goreng pisang, mata saya sentiasa
memandang ke jendela - jendelanya yang
berlangsir kain sutera kuning, hendak melihat keindahan
perhiasan rumahnya. Fikiran saya menjalar, memikirkan
kesenangan hati orang yang tinggal dalam rumah itu,
cukup apa yang dimakannya dan diminumnya; air liur saya
meleleh bila saya ingat, bahawa kami di rumah
kadang-kadang makan, kadang-kadang tidak. Setelah saya
meninggalkan halaman rumah itu, maka dengan suara yang
merawankan hati saya panggilkan jualan saya; "Beli
goreng pisang! Masih panas!" Lama kelamaan tertariklah perempuan yang setengah tua
itu hendak memanggil jualan saya, demikian juga anaknya.
Pernah kedengaran oleh saya ia berkata: "Panggillah Nab
kasihan juga saya!"
Perempuan itu suka memakan sirih, mukanya jernih,
peramah dan penyayang. Pak Leman yang telah jadi
jongos untuk memelihara perkarangan itu, belum pernah
dapat suara keras daripadanya. Anak perempuannya itu
masih kecil, sama dengan saya. Apa perintah ibunya
diikuti dengan patuh, rupanya ia amat disayangi kerana
anaknya hanya seorang itu.
Sudah dua tiga kali saya datang ke rumah indah dan bagus
itu; setiap saya datang setiap bertambah sukanya melihat
kelakuan saya dan belas kasihan akan nasib saya. Pada
suatu hari perempuan itu bertanya kepada saya; "Di mana
engkau tinggal anak, dan siapa ayah bondamu?"
"Saya tinggal dekat sahaja di sini mak"–jawab saya. "Itu rumah tempat kami tinggal, di seberang jalan. Ayah
saya telah mati dan saya tinggal dengan ibu saya.
Beliaulah yang membuat kuih-kuih ini; pagi-pagi saya
berjual goreng pisang dan kalau petang biasanya menjual
rakit udang (jengket udang) atau godok perut ayam."
"Berapakah keuntungan sehari?" –tanyanya pula.
"Tidak tentu, mak. Kadang-kadang kalau untung baik
dapat setali (25 sen), kadang-kadang kalau kurang dari
itu, sekadar cukup untuk kami makan setiap hari…."
"Kasihan…." – katanya sambil menarik nafasnya.
Setelah itu ia berkata pula: "Bawalah ibumu nanti
petang kemari, katakan mamak yang baharu pindah ke rumah
ini hendak berkenalan dengan ibu."
"Saya mak, ibu saya kurang benar keluar dari rumah."
"Suruhlah sahaja kemari, katakan mamak perlu hendak
bertemu."
"Baiklah kalau begitu , mak" – jawab saya.
Setelah itu saya pun pulang, sampai di rumah saya
katakanlah kepada ibu perkataan orang di gedung besar
itu. Mula-mula ibu seakan-akan hendak bertempik, dia
agak marah kepada saya, kalau-kalau saya telah
terlangsung mulut menerangkan untung nasib diri kepada
orang lain. Tetapi setelah mendengar keterangan saya,
hatinya pun senang. Pada petangnya takut-takut cemas
pergilah dia ke rumah besar itu.
Meskipun ibu saya merasa malu-malu dan insaf akan
kerendahan darjatnya, Mak Asiah, demikian nama isteri
Engku Haji Jaafar itu, sekali-kali tiada meninggikan
diri, sebagai kebiasaan perempuan-perempuan isteri orang
hartawan atau orang berpangkat yang lain. Bahkan ibuku
dipandangnya sebagai saudaranya, segala nasib dirinya
dan penanggungan ibu didengarnya dengan tenang dan muka
yang rawan, kadang-kadang ia pun turut menangis waktu
ibu menceritakan hal yang sedih-sedih. Sehingga waktu
cerita itu habis, terjadilah di antara keduanya
persahabatan yang kental, harga menghargai dan cinta
menyintai.
Semenjak itu saya sentiasa datang ke rumah itu. Saya
sudah beroleh seorang adik yang tidak berapa tahun
kecilnya daripada saya, iaitu anak perempuan di gedung
besar itu, Zainab namanya.
Peribahasa yang halus dari Mak Asiah, adalah didikan
juga daripada suaminya, seorang hartawan yang amat
peramah kepada fakir dan miskin. Konon khabarnya,
kekayaan yang di dapatnya itu adalah daripada usahanya
sendiri dan titik peluhnya, bukan waris daripada
orangtuanya. Dahulunya dia seorang yang melarat juga,
tetapi berkat yakinnya, terbukalah baginya pintu
pencarian. Sungguhpun ia telah kaya raya, sekali-kali
tidaklah ia lupa kepada keadaannya tempuh dahulu, ia
sangat insaf melihat orang-orang yang melarat, lekas
memberi pertolongan kepada orang yang berhajat.
Pada suatu pagi saya datang mendapatkan ibu saya dengan
perasaan yang sangat gembira, membawa khabar suka yang
sangat membesarkan hatinya, iaitu esok Zainab akan
dihantarkan ke sekolah dan saya akan dibawa sama. Saya
akan disekolahkan dengan belanja Haji Engku Jaafar
sendiri bersama-sama anaknya.
Mendengar perkataan itu bercucuran airmata ibuku kerana
sukacita, kejadian selama ini yang sangat
diharap-harapnya.
Esok paginya, saya tidak menjunjung nyiru tempat
kuih lagi, tetapi telah pergi ke sekolah menjunjung batu
tulis. Agaknya dua macam faedah yang akan diambil oleh
Engku Haji Jaafar menyerahkan saya, pertama untuk
menolong saya, kedua untuk jadi teman anaknya. Saya pun
insaf, lebih-lebih setelah dapat beberapa nasihat daripada
ibuku. Zainab telah saya pandang sebagai adik kandung,
saya jaga daripada gangguan murid-murid yang lain. Lepas
dari sekolah kerapkali saya datang dengan ibu ke rumah
besar itu, kalau-kalau ada yang patut kami bantu dan
kami tolong, kerana kami telah dipandang sebagai anggota
rumah yang indah itu.
Umur
saya lebih tua daripada Zainab dua tahun. Meskipun saya
hanya anak yang beroleh pertolongan daripada ayahnya,
sekali-kali tidaklah Zainab memandang saya sebagai orang
lain lagi, tidak pula ia pernah mengangkat diri, agaknya
kerana kebaikan didikan ayah-bondanya.
Cuma di
sekolah, anak-anak orang kaya kerapkali menggelakkan
saya anak yang berjual goreng pisang telah bersekolah
bersama-sama dengan anak orang hartawan.
Dua
perkataan yang manis, yang timbul daripada hati yang
suci, telah merapatkan kami, perkataan itu ialah abang
dan adik.Sampai sekarang, saya masih teringat nikmat kehidupan
dalam dunia anak-anak yang kerapkali diratapi oleh
ahli-ahli sya`ir, yang hanya datang sekali ke alam
manusia selama hidupnya. Waktu itu bila pulang dari
sekolah, saya dan Zainab bersama teman-teman kami yang
lain berlari-lari, berkejar-kejaran dan bermain galah
dalam perkarangan rumahnya, memanjat pohon rambutan yang
sedang ranum, kadang-kadang bercari-carian dan
bersorak-sorak. Waktu itu ibuku dan ibunya sedang duduk
di beranda belakang; ibuku sentiasa merendahkan diri,
melihat kami dengan rasa sukacita. Kadang-kadang waktu
petang kami duduk di beranda muka, membalik buku gambar,
bertengkar dan berkelahi, kemudian damai pula.
Hari Minggu kami diizinkan pergi ke tepi laut. Ke muara
atau ke tepi Batang Arau, melihat perahu pengail yang
sedang dikatung-katungkan gelombang di tengah lautan
yang luas, kain layarnya dipuput oleh angin yang
menghantarkannya ke tengah, akan mencari rezekinya.
Negeri Pariaman hijau nampaknya dari jauh, ombak memecah
dan menderum tiada berhenti memukul tepi pasir itu. Di
sana kami berlari-larian mengejar ambai-ambai yang segak
dan lekas lari ke sarangnya. Kadang-kadang kami buat
unggunan pasir sebagai rumah-rumah atau masjid-masjid,
tiba-tiba datang ombak yang agak besar, dihapuskannya
unggunan yang kami dirikan itu; anak-anak perempuan lari
ke tepi menyinsingkan tepi bajunya, takut tersiram air
laut.
Waktu
orang berlimau, sehari akan puasa, kami dibawa ke atas
puncak Gunung Padang, kerana di sanalah ayahku berkubur
dan beberapa famili ibu Zainab. Saya disuruh membawa air
wangi dalam botol. Zainab mambawa bunga-bungaan dan
ibuku beserta ibunya mengiring dari belakang.
Semuanya masih tergambar dalam fikiran saya hari ini,
masih saya ingat bahawa persaudaraan kami suci dan
ikhlas adanya, dari tahun berganti tahun, sampai kami
tamat dari sekolah pertengahan.
Amat
besar budi Engku Haji Jaafar kepada saya, banyak
kepandaian yang telah saya peroleh
kerana kebaikan budinya itu.
Dari sekolah rendah (H.I.S) saya sama-sama naik
dengan anaknya menduduki Mulo. Tetapi setelah tamat
dari sana, sekolah kami tak akan disambung lagi, kerana
sebenarnya didikan ibuku amat melekat kepada diri saya,
iaitu condong kepada mempelajari agama. Zainab pun
hingga itu pelajarannya, kerana dalam adat orang
hartawan dan bangsawan di Padang, kemajuan anak
perempuan itu hanya terbatas hingga Mulo, belum berani
mereka melebihi dari kebiasaan umum, melepaskan anak
perempuannya belajar jauh-jauh. Setelat tamat dari Mulo,
menurut adat, Zainab masuk dalam pingitan, ia tidak akan
dapat keluar lagi kalau tidak ada satu keperluan yang
sangat penting, ini pun harus ditemani oleh ibu atau
orang kepercayaannya, sampai datang masanya bersuami
kelak.
Dan
saya, bila sekolah itu tamat, akan berangkat ke Padang
Panjang, sebab Engku Haji Jaafar masih sanggup
membelanjai saya, apa lagi demikianlah cita-cita ibuku.
|