TEGAK DAN RUNTUH
Telah lalu kejadian itu dan dia telah memberi
bekas ke
dalam jantung saya; rupa-rupanya kedukaan dan cubaan
mesti diturunkan kepada manusia secukup-cukupnya dan
sepuas-puasnya, menanglah siapa yang tahan.
Semenjak kematian itu tidak beberapa kerap lagi saya datang
ke rumahnya, saya karam dalam permenungan, memikirkan
hidup saya di belakang hari, sebatang kara di dunia ini.
Pada suatu petang sedang matahari akan tenggelam ke
dasar lautan di Batang Arau, di antara hujung Gunung
Padang, di celah-celah ombak yang memecah ke atas pasir
yang putih di Pulau Pandan, di waktu saya sedang
berjalan seorang diri di pesisir Batang Arau yang indah,
melihat perahu keluar masuk, tiba-tiba
kelihatan oleh saya sebuah perahu tumpangan datang dari
seberang, di atasnya duduk tiga orang perempuan yang
agak tua berundung-undung kain bugis halus, setelah perahu
kecil itu merapat, keluar dari dalamnya
perempuan-perempuan itu, seorang di antaranya ialah Mak
Asiah sendiri, ia lekas melihat saya, "Oh, engkau
Hamid? Mengapa di sini?" Katanya.
"Berjalan-jalan emak," jawabku; " Dan emak dari mana?"
"Dari menziarahi kubur bapamu….mengapa engkau tak
datang-datang ke rumah semenjak ibumu meninggal?" Kerana Engku
Haji Jaafar tak ada lagi, akan engkau alangi saja datang
ke rumah?"
"Tidak emak, cuma kematian yang bertimpa-timpa itu agak
mendukacitakan hatiku, itu sebab saya kurang benar
keluar rumah."
"Tak boleh begitu, Hamid; sebabnya engkaulah yang mesti
menyabarkan hati kami. Besok engkau mesti datang ke
rumah, ibu tunggu kedatanganmu, banyak yang perlu kita
bincangkan."
"Baiklah mak."
"Saya tunggu, ya?"
"Baik, mak!"
Setelah itu ia pun pergi di tengah jalan, sebelum mereka
naik sadu, rupanya pembicaraan mereka terhadap
diri saya saja. Kerana tak berapa langkah jauhnya,
perempuan-perempuan tua yang lain semuanya menoleh
kepada saya sebagai rupa orang menunjukkan belas
kasihan.
Besoknya janji itu pun saya tepati.
Wahai tuan, hari itulah masa yang tak dapat saya
lupakan!
Saya datang ke rumah itu, rumah tempat saya
bersenda gurau dengan Zainab di waktu kecil. Rumah itu
seakan-akan kehilangan semangat dan memang kehilangan
semangat, kerana bekas-bekas kematian masih kelihatan
nyata. Pintu luar terbuka sedikit dan saya ketuk
daunnya yang mengadap ke dalam; pintu terbuka…. Zainab
yang membukakan.
"Abang Hamid!" katanya.
Waktu itu kelihatan nyata oleh saya mukanya merah,
nampak sangat gembiranya melihat kedatangan saya. Baharu
sekali itu dan baharu saat itu selama hidup saya melihat
mukanya demikian, yang tak pernah saya gambarkan dan
tuturkan dengan susunan kata, pendeknya wajah yang
memberikan saya pengharapan penuh.
"Bang Hamid!" katanya menyambung perkataannya, "Sudah
lama benar abang tak kemari, lupa agaknya abang kepada
kami!"
Gugup saya hendak menjawab; saya pintar mengarang khayal
dan angan-angan tetapi bila sampai di hadapannya saya
menjadi seorang yang bodoh.
"Tidak, Zainab" jawabku dengan gugup; "Tapi…..
bukankan kita sama-sama kematian?"
"Memang, kematian itulah yang sepatutnya menjadikan
abang kerap kemari."
Seketika itu mukanya kembali
ditekurkannya menghadapi kakinya, tangannya berpegang ke
pinggir pintu, rambutnya yang halus menutupi sebahagian
keningnya dan sepatah kata pun dia tidak berbicara lagi.
"Zainab…" kataku pula. "Sebetulnya tidak saya….
pernah
lupa datang kemari, barangkali engkaulah… agaknya yang …
lupa kepadaku."
Mendengar itu ia bertambah
menekur, tak berani ia mengangkat muka lagi, dan
saya pun gugup hendak menambah perkataan, memang bodoh
saya ini, dan pengecut!
Tiba-tiba dalam saya menyediakan perkataan yang akan
saya katakan pula dalam sedang merenungi kecantikan
Zainab, kedengaranlah dari halaman tapak kaki emak Asiah
menginjak batu; Zainab mengangkat mukanya seraya
berkata: "Itu ibu datang."
Saya masih dalam kebingungan, Zainab lalu ke hadapan saya
menyambut kedatangan ibunya. Ketika sampai ke beranda dia
berkata "Sudah lama Mid?"
"Baru sebentar ini, mak" jawabku.
Saya disuruh duduk, Zainab dengan segera pergi ke
belakang memasak
kopi sebagaimana kebiasaannya. "Hampir
mamak terlalai dari janji kita. Tadi mamak pergi ke rumah
orang sebelah, kerana tiada lama lagi dia akan
mengahwinkan anaknya; jadi dari sekarang sedang
bersiap-siap menyediakan yang perlu, maklumlah tetangga,
perlu bantu membantu."
Saya dengarkan perkataannya, tetapi fikiran saya masih
tetap ingat kepada kejadian tadi. Fikiran saya menjalar
ke mana-mana, memikirkan tegur Zainab dan mukanya yang
merah ketika mula-mula melihat saya; hanya suatu
kejadian yang tiba-tibakah itu, atau adakah dia merasai
sebagai yang saya rasai? Dalam pada itu Mak Asiah masih
tetap membicarakan beberapa perkara menyebut-nyebut jasa
suaminya, menyebut kebaikan ibuku. Akhirnya sampai
pembicaraan kepada Zainab.
"Bagaimanakah fikiranmu Hamid, tentang adikmu Zainab
ini?"
Darahku berdebar, detik-detik
jantung berhenti menantikan ujung pembicaraan itu.
"Apakah yang mamak maksudkan"
tanya saya.
"Segala famili-famili di
darat* telah bermuafakat dengan mamak hendak
mempertalikan Zainab dengan seorang anak saudara
almarhum bapamu, yang ada di darat itu, dia sekarang
sedang bersekolah di Jawa. Maksud mereka dengan
perkahwinan itu supaya hartabenda almarhum bapanya dapat
dijagai oleh familinya sendiri, oleh anak saudaranya,
sebab tidak ada saudara yang lain, dialah anak yang
tunggal. Pertunangan itu telah dirundingkan oleh orang
yang patut-patut, jika tiada aral melintang, bulan
hadapan ini hendak dipertunangkan dahulu, nanti apabila
tamat sekolahnya akan dilangsungkan perkahwinan. Hal ini
telah mamak rundingkan dengan Zainab, tetapi tiap-tiap
ditanya dia menjawab belum hendak bersuami, katanya,
tanah perkuburan ayahnya masih merah,
airmatanya belum kering
lagi. Itulah sebabnya engkau disuruh kemari, akan mamak lawan
berunding, mamak masih ingat pertalian engkau dan Zainab
masa engkau kecil dan masih sekolah;
engkau banyak mengetahui tabiatnya apa lagi engkau tidak
dipandangnya sebagai orang lain, sukakah engkau Hamid,
menolong mamak?" Lama saya termenung…..
"Mengapa engkau termenung, Hamid? Dapatkan menolong
mamak, melembutkan hatinya dan memujuk ia supaya
mahu? Hamid!.... mamak percaya sepenuh-penuhnya kepadamu
sebagai Allahyarham bapamu percaya kepada engkau!"
"Apakah yang akan dapat saya
tolong mak? Saya seorang
yang lemah. Sedangkan ibunya sendiri tak dapat mematah
dan melembutkan hatinya apatah lagi saya orang lain,
anak semangnya."
"Jangan bercakap begitu, Hamid, engkau bukan
mamak
pandang sebagai orang lain lagi, almarhum telah
memasukkan engkau ke dalam golongan kami, walaupun
beragih tetapi tak bercerai. Maka di atas namanya hari
ini, di atas nama Haji Jaafar mamak meminta tolong
melembutkan hati adikmu."
"Oh itu namanya perintah, saya kabulkan permintaan
mamak."
Mukanya kelihatan gembira, meskipun dia tak sempat
memperhatikan bagaimana perubahan muka saya yang telah
muram. Sebentar lagi Zainab membawa dua cangkir kopi
dan beberapa piring kuih. Ibunya melihat kepadanya
dengan kasih dan mesra, kerana pada diri anaknya itulah
tergantung pengharapannya yang penghabisan.
"Duduk, Nab, abang Hamidmu hendak berkata-kata sepatah
dua dengan engkau."
Saya masih agak bingung dan Zainab telah duduk dekat
ibunya dengan wajah agak kemalu-maluan.
Beberapa minit lamanya tenang saja dalam ruangan itu tak
seorang jua pun di antara kami yang berkata; ibunya
seakan-akan menunggu supaya perkataan itu lekas dimulai,
Zainab kelihatan malu tak mahu melihat muka saya, sedang
saya masih termenung memikirkan dari manakah percakapan
itu akan saya mulai.
"Bicaralah, Hamid, amat banyak masa terbuang," kata ibu
dengan tiba-tiba. Sulit sekali untuk memulai pembicaraan
itu, sulit menyuruh seorang mengerjakan suatu pekerjaan
yang berat hatinya melakukan, pekerjaan yang berlawanan
dengan kehendak hatinya sendiri. Tetapi di balik itu,
sebagai seorang anak muda yang telah dicurahi orang
kepercayaan dengan sepenuhnya, yang sudi mengorbankan
jiwa untuk menyimpan rahsia. Akhirnya hati saya dapat
saya bulatkan dan mulai berkata:
"Begini Zainab…. Sudah lama ayah meninggal, semenjak
itu lenganglah rumah ini, tiada seorang pembela pun yang
akan dapat menjaganya. Selain dari itu, menurut aturan
hidup di dunia, seorang gadis perlulah mengikut perintah
orangtuanya, terutama kita orang Timur ini. Buat
menunjukkan setia hormatnya kepada orangtuanya, ia perlu
menekan perasaan hati sendiri. Dia mesti ingat sebuah
saja, iaitu mempergunakan dirinya, baik murah atau
mahal, untuk berkhidmat kepada orangtuanya."
"Sekarang, kerana memikirkan kemuslihatan rumahtangga
dan memikirkan hati ibumu, pada hal hanya sendiri lagi
yang dapat engkau khidmati, ia berkehendak supaya engkau
mahu dipersuamikan….dipersuamikan dengan… kemanakan
ayahmu."
Seakan-akan terlepas dari suatu beban yang maha hebat
saya rasanya, setelah selesai perkataan yang sulit itu.
Selama saya berbicara Zainab masih tetap menekur ke
meja, tanganya mempermain-mainkan sebuah pontong macis,
diramas-ramasnya dan dipatah-patahnya, belum sebuah juga
perkataan keluar dari mulutnya. Setelah kira-kira lima
minit lamanya, baharulah mukanya diangkat, airmatanya
kelihatan mengalir, mengalir setitik dua titik ke
pipinya yang halus dan indah itu.
"Bagaimana, Zainab, jawablah perkataanku!"
"Belum abang, saya belum hendak kahwin."
"Atas nama ibu, atas nama almarhum ayahmu."
"Belum abang!"
"Sampai hati abang memaksa aku?"
"Abang bukan memaksa engkau, adik, ingatlah ibumu."
Mendengar itu dia kembali terdiam, ibunya pun terdiam,
ia telah menangis pula. Karam rasanya bumi ini saya
pijakkan, gelap tujuan yang akan saya tempuh. Dua
kejadian yang hebat telah membayang dalam kehidupan saya
sehari itu, tak ubahnya dengan seorang yang bermimpi
mendapat sebutir mutiara ditepi lautan besar, sebelum
mutiara itu dibawa pulang, tiba-tiba sudah tersedar;
meskipun mata dipaksa hendak tidur, mimpi yang tadi
telah tinggal mimpi, ia telah tamat sehingga itu tidak
akan bertambah-tambah lagi.
Selama ini saya masih ragu, adakah Zainab membalas cinta
saya; pertemuan saya dengan dia itu memberikan
pengharapan sedikit pada saya, tetapi belum pengharapan
itu dapat saya yakni tibalah penyerahan ibunya yang
berat itu.
Hanya hingga itu dapat saya ceritakan kepada tuan apa
yang terjadi sehari itu. Setelah itu saya pun pulang ke
rumah saya, di jalan pulang saya rasakan badan saya
sebagai bayang-bayang tanah serasa bergoyang saya
pijakkan.
|