BERJALAN JAUH
Dua kejadian yang berjuang pada hari itu, cukuplah untuk
menentukan tujuan nasib saya; nikmat hati hanya lalu
sebagai khayal belaka. Setelah melayap laksana satu
bayangan, ia pun hilang dan tidak akan kembali lagi.
Kepada Tuhan dapatlah saya menghantarkan satu kesyukuran
yang bersih, sebab saya telah dapat memberikan suatu
pengorbanan untuk seorang perempuan yang lemah, saya
telah menolongnya, membujuk anaknya yang keras.
Untuk itu perasaan hati sendiri telah saya tekankan;
sungguh besar sekali korban yang saya berikan, memang
kalau diukur dengan fikiran, saya ini hanya pantas
menjadi saudara Zainab, menjadi pembelanya, tetapi cinta
mempunyai suatu lapangan yang lebih luas daripada ukuran
fikiran itu. Inilah yang tertulis dalam hati, yang sukar
dilupakan selamanya. Ada suatu penjawapan yang tergantung,
yang belum sempat saya dengar dari mulut Zainab, dan keras
persangkaan saya akan dirinya pada hari itu; itulah yang
sentiasa menjadi penyakit pada saya, tetapi menjadi ubat
juga.
Kemudian saya insaf, bahawa alam ini penuh dengan
kekayaan. Allah menunjukkan kekuasaanNya. Tidaklah adil jika
semua makhluk dijadikan dalam tertawa, yang akan
menangis pun ada pula. Kita mesti mengukur perjalanan
alam dengan ukuran yang luas, bukan dengan nasib diri
sendiri.
Bukankah patut saya syukur dan terima kasih, sebab
seorang perempuan tua dapat saya tolong, saya patahkan
hati anaknya yang hanya satu tempat menumpahkan segala
pengharapannya. Kalau kelak terjadi perkahwinan Zainab
dengan kemanakan ayahnya dan mereka hidup beruntung,
sehingga emak Asiah waktu menutup mata tidak merasa
bahawa ia masih ada hutang piutang dengan anaknya,
bukankah saya yang telah mengusahakannya?
Memang, mula-mula hati itu mesti bergoncang; bukankan
loceng-loceng di rumah juga berbunyi keras dan berdengung
jika kena pukul? Tetapi akhirnya, dari sedikit ke
sedikit, dengung itu akan berhenti juga. Cuma saja saya
mesti berikhtiar, supaya luka-luka yang hebat itu jangan
mendalam kembali, saya mesti berusaha, supaya ia
beransur-ansur sembuh. Untuk itu saya mesti berusaha,
saya mesti meninggalkan Kota Padang, terpaksa tak
melihat wajah Zainab lagi, saya berjalan jauh.
Setelah saya siapkan segala yang perlu dan rumahtangga
saya dipertaruhkan kepada salah seorang handai
yang setia, dengan tak seorang pun yang mengetahui, saya
berangkat meninggalkan kota Padang, kota yang permai dan
yang sangat saya cintai itu, dengan menekankan dan
membunuh segala perasaan yang sentiasa mengharu hati,
saya tumpangi kereta yang berangkat ke Siantar.
Di kiri kanan saya banyak penumpang lain yang akan
menuju ke kota Medan, setelah saya sampai ke Medan, saya
buat surat kepada Zainab, sesudah hati saya, saya
beranikan; itulah surat saya yang pertama kali
kepadanya. Jika kelak ternyata dia tak cinta kepada
saya, syukur, sebab saya tak melihat mukanya yang kesal
membaca surat itu. Tetapi kalau ia nyata ada mempunyai
perasaan sebagai yang saya rasai dan surat itu
diterimanya dengan sepertinya, tentu sekurang-kurangnya
saya akan menerima belas kasihannya, sebagai seorang
melarat yang diarak oleh untung nasib saya.
Demikian bunyi surat itu masih hafaz oleh saya:
|
"Menyesal sekali, kerana sebelum berangkat tak sempat
saya bertemu muka dengan adinda lebih dahulu, maafkanlah
adik, kerana amat banyak halangan yang menyebabkan saya
tak sempat datang ketika itu, halangan yang tak dapat
saya sebutkan.
Barangkali agak sedikit tentu adik bertanya juga dalam
hati, apa gerangan sebabnya abang Hamid berangkat dengan
tiba-tiba. Biarlah hal itu menjadi soal buat sementara
waktu, lama-lama tentu akan hilang jua dengan sendiri.
Banyak hal-hal yang akan saya terangkan dalam surat ini,
tetapi tak sanggup pena saya melukiskan. Hanya dengan
surat ini saya bermohon sangat supaya adik menuruti
cita-cita ibu. Jika kelak maksud famili sampai dan adik
bersuami; berikan kepadanya kesetiaan yang penuh.
Akan hal diri saya ini, ingatlah sebagai mengingat
seorang yang telah pernah bertemu dalam peri
penghidupanmu, seorang sahabat dan boleh juga disebut
saudara yang ikhlas dan saya sendiri akan memandang
tetap engkau sebagai adikku.
Jika pergaulanmu kelak dengan suamimu berjalan dengan
gembira dan beruntung, sampaikanlah salam abang
kepadanya. Katakan bahawa di suatu negeri yang jauh,
yang tak tentu tanahnya, ada seorang sahabat yang
sentiasa ingat akan kita. Dan biarlah Allah memberi
perlindungan atas kita semuanya.
Wassalam abangmu,
Hamid.
|
Demikianlah bunyinya surat yang saya kirimkan.
Tiada
lama saya di Medan, saya menuju ke Singapura, mengembara
ke Bangkok, belayar terus memasuki tanah-tanah
Hindustan, dan dari Karachi belayar menuju ke Mesir
masuk ke Iraq, melalui Sahara Najad dan akhirnya
sampailah saya ke tanah suci ini.
Sekarang sudah tuan lihat, saya telah ada di sini,
di
bawah lindungan Ka`bah yang suci, terpisah daripada
pergaulan manusia yang lain. Di sinilah saya selalu
tafakur bermohon kepada Tuhan seru sekalian alam, supaya
Ia memberi saya kesabaran dan keteguhan hati menghadapi
kehidupan.
Setiap malam saya duduk ber`itikaf*(Bertekun) di dalam Masjidil-Haram, do'a saya telah berangkat ke langit
hijau,
membumbung ke dalam alam ghaib bersama-sama permohonan
segala makhluk yang makbul.
Segala peringatan kepada zaman yang lama-lama, dari sedikit
beransur-ansur lupa juga. Cuma sekali-sekali ia
terlintas di fikiran, ketika itu saya menarik nafas
panjang, kerana biar pun luka sembuh dengan kunjung,
bekasnya mesti ada juga. Tetapi hilang pula dengan
segera, bila saya bawa tawaf dan
sa`i** , atau saya bawa bertekun di dalam
masjid tengah malam. Sudah hampir datang
tamaninah***
ke dalam hati saya menurut persangkaan saya
mula-mula, tamatlah cerita ini sehingga itu.
|