HARAPAN DALAM PENGHIDUPAN
"Ingatkah engkau, Ros, bahawa dahulu ada tinggal
berhampiran rumahku ini seorang anak muda bernama
Hamid?"
"Masakah
saya tak ingat, anak muda yang baik
budi dan beroleh pertolongan daripada almarhum ayahmu."
"Ah, Ros, saya amat kasihan kepada orang muda itu, dia
seorang muda yang hidup miskin, mendapat bantuan
daripada ayahku, semasa usianya baharu 4 tahun, ia telah
menjadi yatim,
ayahku yang membantunya, dan seketika sekolahnya akan
lanjut, ayahku meninggal pula, kemudian meninggal ibunya.
Rupanya kerana ia sentiasa dirondong malang, sangatlah
dukacita hatinya, berbulan-bulan khabar tidak berita pun
tidak, budinya baik sekali, pekertinya tinggi dan mulia;
memang dalam kalangan orang-orang yang dirodong malang
itu kerapkali timbul budi pekerti yang mulia, timbul
dengan baik dan suburnya, bukan kerana latihan manusia.
"Bertahun-tahun lamanya kami hidup seperti adik
beradik; maka pada dirinya saya dapati beberapa sifat
yang tinggi dan terpuji, yang agaknya tidak ada pada
pemuda-pemuda lain, baik dalam kalangan bangsawan atau
hartawan sekalipun. Sampai kepada saat yang paling akhir
daripada kehidupan ayahku, belum pernah ia menunjukkan
suatu perangai yang patut dicela, sehingga ibu-bapaku
amat memuji akan dia. Ia tahu benar akan kewajipannya.
Wahai Ros, saya tertarik benar kepadanya dan kepada
tabiatnya. Ia suka sekali bersunyi-sunyi, memisahkan
diri daripada pergaulan ramai, laksana seorang pendita
bertapa yang benci akan dunia lata ini. Kerapkali ia
pergi bermenung ke tepi pantai samudera Hindia yang luas
itu, memerhatikan pergelutan ombak dan gelombang,
seakan-akan fikirannya telah terpaku kepada
keindahan alam ini. Bila dia pulang ke rumah ibunya yang
dicintanya, ia menunjukkan khidmatnya dengan sepertinya
bila dia bertemu dengan saya, buah katanya tiada keluar
dari lingkar kesopanan, tahu ia menimbang hati dan
menjaga kata.
Sebagai kau tahu, kita pun tamat dari sekolah, maka
adat-istiadat telah mendinding pertemuan kita dengan
lelaki yang bukan muhrim bukan saudara atau famili
karib, waktu itulah saya merasai kesepian yang sangat.
Saya merasa kehilangan seorang teman yang sangat saya
takjupi. Keadaan memisahkan saya dengan dia, tiada dapat
lagi saya mendengarkan buah tuturnya yang lemah lembut.
Waktu itulah saya insaf, bahawa saya sudah ditimpa suatu
perasaan yang ganjil, saya lengang dan sunyi, ingatan
saya sebentar-sebentar kembali kepada Hamid saja.
"Engkaukan tahu, Ros, Hamid tidak begitu gagah, tidak
sepantas dan segalak pemuda lain, tetapi hati kecilku
amat kasihan kepadanya, agaknya, hidupnya yang sederhana
itulah yang telah memaut hati sanubariku. Saya sangat
hiba kepadanya kerana saya merasa tak ada orang lain
yang akan menghibai dirinya. Hairan Ros, saya telah
karam di dalam khayal, di dalam angan-angan.
Kadang-kadang saya singkirkan dia dari fikiran, kerana
timbul memikirkan takburku memikirkan darjatku, saya
merasai ketinggian dan kemuliaan diriku, lebih daripada
kedudukan darjat Hamid dan saya takut terjatuhnya ke
dalam jurang cinta, tetapi orang mengkhabarkan bahawa
takut itupun setengah daripada rupa cinta juga."
Maka di antara awan yang gelap gelita dan angin badai
yang berhembus semenjak pertengahan malam, tiba-tiba
cahaya fajar pun naiklah, itulah kenang-kenangan dan
pengharapan, daripada cinta dan rindu dendam. Sebenarnya
Ros…..saya cinta kepada Hamid.
Biar engkau tertawakan daku, sahabat, biar mulutmu
tersenyum simpul, saya akan tetap berkata, bahawa saya
cinta kepada Hamid. Ia tidak berpembela, tidak ada orang
yang akan sudi menyerahkan diri menjadi isterinya,
kerana dia miskin, tidak ada gadis yang akan sudi
mempedulikan dia, kerana rupanya tak gagah. Itulah
sebabnya dia saya cintai, hartaku ada sedikit, cukup
untuk membantu cita-citanya, kerana saya lihat dia akan
menjadi seorang ahli seni jika ada yang membantu. Buat
saya dialah orang yang paling pantas dan cekap. Meskipun
bagi orang lain agaknya tidak. Saya leluasa melihatnya
lalu lintas di halaman rumah, meskipun dia tak melihat
saya. Jika sekali-sekali dia datang mengunjungi ibuku,
aku dengarkan perkataannya yang penuh dengan ilmu dan
pengetahuan itu baik-baik.
Pada suatu hari, hari yang tak dapat saya lupakan, ia
datang kerumah ini menemui ibuku. Ketika itu ibu tiada
di rumah, tiba-tiba saya bertemu muka dengan dia.
Rupanya ada perkataan yang hendak dikatakannya, mulutnya
masih gugup dan tak lancar, rasa-rasa terdengar olehku
sekarang: "Zainab, sebenarnya tidaklah pernah saya lupa
hendak datang kemari, barangkali engkaulah yang agak
lupa kepadaku."
Alangkah nikmatnya rasa hatiku mendengar perkataannya
itu, tetapi belum sempat saya menyusun kata untuk
menjawab, ibu datang, perkataan kami terhenti sehingga
itu. Badanku serasa bayang-bayang perkataannya menjadi
teka-teki bagi hatiku, adakah tutur katanya itu daripada
rasa pertalian adik dan kakak*(abang) saja atau daripada
kesucian cinta?
"Agaknya, engkau pandang rendah saya ini, Ros,
mencintai seorang yang tiada bersekedudukan dengan diri
sendiri, dan jauh tak tentu tempatnya."
"Waktu itu isteriku menjawab," kata
Salleh, ujarnya: "Tidak Nab, cinta itu adalah perasaan yang mesti ada
pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang
turun dari langit, bersih dan suci, cuma tanahnyalah
yang berlainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang
tandus tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan,
kedustaan, penipuan, langkah serong dan lain-lain
perangai yang tercela. Tetapi kalau ia jatuh ke tanah
yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati,
keikhlasan, setia, budipekerti yang tinggi dan lain-lain
perangai yang terpuji. Saya tiada hendak menghinakan
engkau kerana jatuh cinta padanya, wahai sahabatku
Zainab, dan saya banyak pula membaca dalam buku-buku,
bahawa biasa cinta yang suci bersih itu tidaklah tumbuh
dengan sendirinya, kerana jiwa itu bertemu dengan batin,
dalam azal*(baka) kejadian Allah sebelum badan kasar
manusia ini berkenalan. Itulah kuasa ghaib yang perlu
kita percayai. Sebab itu saya percaya bahawa cintamu tak
jatuh ke pasir tentu saja Hamid mencintai engkau pula;
tidaklah jiwa engkau tertarikh mengingat akan dia, kalau
kiranya jiwanya tak mengingat engkau pula. Hati orang
yang bercinta mempunyai mata, ia dapat melihat barang
yang tak dilihat oleh orang lain."
"Ah" jawab Zainab "Itu
cuma kira-kira dan agak-agak
belaka, agak-agak dan kira-kira tak dapat dipercayai,
masakan orang yang berpisah sangat jauh, tak berhubungan
surat sedikit jua pun akan ingat kepada orang yang
ditinggalkannya."
"Jangan begitu, Zainab, engkau tiada percaya
percakapanku, kerana hatimu terlalu dipengaruhi oleh
angan-anganmu. Percayalah bahawa Hamid ingat pula akan
engkau."
"Wahai……kesana rumit ke sini rumit, Ros; saya percayai
bahawa dia ingat kepadaku sebagaimana saya ingat
kepadanya, entah agaknya saya menggantang-gantang asap.
Tidak saya percayai, hati saya bertambah luka. Saya tahu
mengingat orang jauh itu penyakit, tetapi saya pun takut
penyakit itu akan hilang dari hati saya….aduh gusti
Allah!"
Setelah itu terhenti-henti sendiri percakapan kedua sahabat
itu. Yang kedengaran hanya sedu-sedan dua orang
seperasaan dan yang kelihatan ialah orang yang keluh
kesah putus asa."
Sekianlah cerita yang dibawa oleh sahabat kita Salleh
itu. Tidak berapa lama ia menerima riwayat ganjil itu
dari isterinya, ia pun berangkat. Rupanya dengan takdir
Tuhan, kami pun bertemu di tanah suci ini, pertemuan
yang tidak di sangka-sangka sedikit juga.
"Barangkali terganggu perjalanan jiwamu menuju bakti
kesucian kerana mendengar berita yang saya bawa itu"
kata Salleh. "Tetapi saya sebagai orang yang tiada
tahan memegang rahsia sehingga terkatakan juga olehku
kepada engkau, dan beruntung engkau Hamid…..berbahagia
sekali."
"Apakah keuntungan dan bahagianya cinta yang tak
berpengharapan?" Tanya saya dengan tiba-tiba kepadanya.
"Bukanlah cinta itu sudah satu keuntungan dan satu
pengharapan Hamid?" Tanyanya pula…..
Setelah saya menerangkan berita itu, tidak berapa
hari kemudian Salleh mengirimkan sepucuk surat buat
isterinya Rosnah menerangkan pertemuan kami dengan
tiba-tiba itu…..
Tuan!….telah bertahun-tahun saya berjalan di dalam gelap
gelita. Tidak tentu arah yang saya tempuh, tidak
kelihatan suatu bintang di halaman langit akan saya
jadikan pedoman dalam menuju perjalanan itu demi setelah
sampai berita yang demikian, seakan-akan kegelapan itu
terang sedikit ke sedikit, sebab dari Timur melintang
cahaya fajar, cahaya yang saya nanti-nanti, cahaya itu
lebih benderang dari cahaya suria, lebih nyaman dari
cahaya bulan dan lebih dingin dari cahaya kelap-kelip
bintang-bintang.
Saya hidup laksana seorang buangan yang tersisih pada
suatu padang belantara yang jauh laksana seorang
bersalah besar yang dibuang fulus(negeri), tiada manusia yang
datang menengok, tidak ada famili yang melihat, ditimpa
oleh haus dan dahaga, sekarang saya telah lepas dari
pembuangan, saya telah dibolehkan pulang dan beroleh
ampun, telah ada manusia yang lalu-lintas, telah hilang
haus dan dahaga, sekarang baharu saya tahu baharu saya mengerti,
bahawa sukacita itu ada juga dijadikan Tuhan di dalam
dunia fana ini.
Dahulu kalau disebut orang kepada saya untung dan
bahaya, tidak lain yang terlintas dalam fikiran saya
daripada rumah yang indah, gedung yang permai, wang
berbilang, emas bertahil, cukup dengan kenderaan dan
kehormatan, dijunjung orang ke mana pergi. Sekarang saya
telah insaf, bahawa semua itu bukan untuk bahagia, yang
sejati ialah jika kita tahu, bahawa kita bukan hidup
terbuang di dalam dunia ini, tetapi ada orang yang
mencintai kita.
Lebih setahun saya menghilangkan diri, tidak ada orang
lain yang bertanya hal-ehwal saya dan saya pun tak
bertanya hal-ehwal orang lain. Segala kesakitan hidup
telah saya tanggungkan. Ada juga orang yang menyatakan
kasihan, ada orang yang lalu-lintas di hadapan saya,
sambil menggelengkan kepala. Tetapi bukanlah mereka
mengasihi jiwa saya, mereka mengasihi tubuh kasar saya
yang kurus tak makan atau ditimpa penyakit. Semuanya
tiada bererti buat saya. Sekarang barulah saya tahu diri
saya ada harganya buat hidup, sebab ada orang yang
mencintai saya, iaitu orang yang saya cinta.
Dahulu saya telah putus asa hendak hidup, kadang-kadang
terlintas di dalam hati saya hendak membunuh diri. Akan
sekarang, wahai tuan, saya hendak hidup, hendak merasai
kelazatan cahaya matahari sebagai orang lain pula, sebab
pengetahuan hidupku telah ada.
***************************
Habislah cerita sahabatku Hamid hingga itu, mukanya
kelihatan berseri-seri, sebab simpanan dadanya meluap
selama ini telah dapat ditumpahkannya kepada orang yang
dapat dipercayainya.
Waktu itu saya menjawab sambil bergurau sedikit: "Insya Allah,
sehabis mengerjakan haji saya akan lekas
kembali pulang, mudah-mudahan kita dapat pulang
bersama-sama."
Iapun menjawap sambil tersenyum "Mudah-mudahan………"
|