BERITA DARI KAMPUNG
Setelah setahun saya di sini dan waktu mengerjakan haji
telah datang. Tuan sendiri yang mula-mula saya kenal
semenjak datang orang-orang yang akan mengerjakan haji dari
tanahair kita. Kemudian sebagai tuan maklum, datanglah
pula saudara kita Salleh ini. Salleh adalah salah
seorang teman saya semasa kami bersekolah agama di
Padang dan Padang Panjang; oleh kerana sekolahnya di
Padang telah tamat, dia hendak meneruskan pelajarannya
ke Mesir, ia singgah di Mekah ini untuk mencukupkan
rukun. Sekarang ia berangkat ke Madinah, supaya sehabis
haji dapat ia menumpang kapal yang membawa orang Mesir
kembali yang sewanya lebih murah dari kapal-kapal lain.
Dengan kebetulan sekali, dia telah memilih syeikh kita
menjadi tempatnya, menumpang, sehingga sahabat lama itu
bertemu kembali, setelah kami bercerai selama itu.
Wahai tuan….. kedatangannya telah menghidupkan ingatan
kembali kepada yang lama-lama, dia menceritakan
kepadaku, bahawa dia telah beristeri dan isterinya telah
sudi melepaskan dia belajar sejauh itu.
Padahal mereka baharu saja berkahwin. Dipujinya isterinya
sebagai seorang perempuan yang setia, yang teguh hatinya
melepaskan suaminya berjalan jauh, kerana untuk menambah
pengetahuannya. Setelah beberapa hari dia datang,
dibawanya saya ke Maala di atas sebuah bangku di halaman
qahwa ia membicarakan akan suatu hal yang sangat
menggerakkan fikiran saya.
Sambil meminum syahi (teh) Arab yang panas dan enak, ia
mulai berkata:
"Hamid! tempoh hari sudah saya katakan, bahawa saya
telah beristeri, isteri saya itu ialah Rosnah.. ingatkah
engkau akan Rosnah, sahabat karib Zainab?"
Saya pucat mendengar nama Zainab disebutnya. Kerana
sudah lama benar saya tiasa mendengar nama itu disebut
orang, kecuali saya sendiri, perubahan muka saya itu
dilihat oleh Salleh sambil tersenyum duka.
"Kerapkali isteriku disuruhnya datang kerumahnya"
katanya meneruskan pembicaraan. "Kerana perhubungan
persahabatan mereka itu yang karib. Rupanya Zainab telah
sudi membukakan rahsia-rahsianya yang sulit kepada
isteri saya. Yang paling hebat, ialah seketika pada
suatu hari isteri saya datang ke rumahnya, didapatinya
Zainab merenung sebuah album, di dekat album itu
terkembang sehelai surat kecil yang telah lusuh dan
lunak, kerana kerapkali dibaca dan dibuka lipatannya. "Setelah
adinda kelihatan olehnya" kata isteriku, "album itu
ditutupnya dengan segera dan surat itu disimpannya
baik-baik ke dalam laci mejanya, setelah itu dia
kelihatan kepada adinda dengan tenang, wajahnya muram,
matanya berbekas tangis dan dia menarik nafas panjang".
"Tiada tahan rupanya hati isteriku melihat kejadian
itu, maklumlah kaum perempuan itu seperasaan, lalu ia
berkata: "Zainab!.... mengapa engkau menangis pula,
sahabat? Tidakkah di rumah yang sepermai ini sarang
orang yang berdukacita. Di rumah yang indah-indah dan
gedung yang permai, yang di kiri kanannya dikelilingi
oleh kebun-kebun yang subur, cukup dengan orang-orang
gajian yang setia, tiadalah patut terdapat orang yang
mengalirkan airmata. Disana tidaklah ada kesedihan dan
kedukaan."
Zainab menjawab: "Salah sekali persangkaanmu, sahabat!
Bahawasanya airmata tidaklah ia memilih tempat untuk
jatuh, tidak pula memilih waktu untuk turun. Airmata
adalah kepunyaan bersyarikat, dipunyai oleh orang-orang
yang melarat yang tinggal di dangau-dangau yang buruk,
oleh tukang sabit rumput yang masuk ke padang yang luas
dan ke tebing yang curam, dan juga oleh penghuni
gudang-gudang yang permai dan istana-istana yang indah.
Bahkan di situlah lebih banyak orang menelan ratap dan
memulas tangis. Luka jiwa yang mereka hidupkan,
dilingkung oleh tembok dinding yang tebal dan tinggi,
sehingga yang kelihatan oleh orang di luar penuh dengan
kepahitan."
"Kesedihan orang lain lebih merdeka dan lebih puas,
dapat ia menerangkan fahamnya yang tertumbuk kepada alam
yang sekelilingnya, dapat pula mereka lupakan dan
menghilangkan. Tetapi di rumahtangga yang sebagai ini,
kedukaan akan dirasakan sendiri, airmata akan dicucurkan
seorang, rumah dan gedung menjadi kubur kesedihan yang
tiada berujung".
Airmata Zainab kembali jatuh.
"Mengapa engkau menangis juga, sahabatku! Kesedihan
apakah yang engkau tanggungkan? Teringatkah engkau
kepada ayahmu? Kalau demikian, engkau salah, Zainab!
Lupa engkau agaknya, bahawa kedukaan itu tumbuh diapit
oleh dua rumpun kesukaan."
"Bukan demikian, sahabat!" jawabnya. "Buat diriku
sendiri, Tuhan telah mentakdirkan berlainan dari orang.
Kedukaanku tumbuh di antara dua kedukaan pula. Dahulu
saya telah berduka, sekarang berdukacita dan kelak akan
terus berluka hati."
" Engkau mengesali nasib, Zainab!"
"Menyesali nasib saya tidak, menyedar untung saya
bukan, melainkan yang sebetulnyalah yang saya katakan."
" Zainab…. Kalau tidak akan merbahaya benar, nyatakanlah
kepadaku, apa yang menjadi sebab dukacitamu sebesar itu
benar. Kerana sudah agak lama saya melihat mukamu muram,
sehingga airmata saya sendiri kerapkali bersyarikat,
tercurah untuk kesedihanmu, sahabat! Saya akan meratap
menuruti ratap engkau, kerana engkau, dan untuk engkau,
biarlah airmataku kering, kerana tidak ada kepandaian kita
kaum perempuan selain dari menangis."
Laksana seorang anak yang memohon dikasihani, dipeluknya
Rosnah, seketika lamanya kedua sahabat itu
berpeluk-pelukan, bertangis-tangis tiada berkata-kata.
"Sudahlah, zainab, ingatlah akan dirimu, kelak engkau,
demikian pun saya, ditimpa oleh penyakit lain.
Ceritakanlah kepada saya hal yang engkau rahsiakan itu,
mudah-mudahan kerana sesudah ada tempat menerangkan,
tanggungan itu supaya rengan sedikit, sebab beban untuk
sendiri telah dibahagi dua."
Mula-mula termenung, setelah
beberapa saat lamanya iapun berkata: |