KISAH
KREW PENERBANGAN
Assalamualaikum dan selamat
datang ke ruangan ini, di mana saya bersama-sama isteri saya yang
masing-masing bertugas dengan salah sebuah syarikat penerbangan di
Malaysia akan memuatkan pelbagai kisah-kisah menarik dan
mengerunkan berkenaan pengalaman kami serta krew yang lain sewaktu
bertugas ke stesyen-stesyen di serata dunia. Selamat membaca.
===================
Kisah 01: Langkawi (LGK)
===================
Kisah ini dialami oleh salah seorang Ketua Pramugari (yang
bergelar WC) sewaktu bermalam di salah sebuah hotel di Pulau
Langkawi selepas sehari suntuk dia bertugas.
Sesampai di biliknya pada tengah malam, WC terus bersalin pakaian
untuk keluar makan bersama krew yang lain. Selalunya ini menjadi
praktis kami kerana hotel tersebut tidak menyediakan perkhidmatan
"Room Service". Disebabkan kedudukan blok-blok kami yang
agak berjauhan dengan lobi, kami terpaksa memberanikan diri
berjalan dalam keadaan yang malap lagi menyeramkan untuk sampai ke
"Coffee House". Di sini sahajalah tempat yang dapat
menyediakan makanan untuk menghilangkan kelaparan kami pada waktu
malam.
Oleh kerana biliknya berada di blok yang hujung sekali, krew yang
lain mengujarnya supaya singgah ke bilik mereka sebelum mereka
boleh terus pergi ke "Coffee House".
Setelah bersiap, WC pun keluar dari biliknya. Keadaan di luar
terlampau sunyi pada malam itu. Dia terpaksa berjalan merentasi
suatu laman yang gelap untuk sampai ke blok rakan-rakannya yang
lain. Laman inilah yang amat terkenal di kalangan krew kami.
Pernah dikatakan bahawa seorang pengawal keselamatan telah
terserampak dengan satu lembaga berupa manusia bertanduk yang
sedang berlari-lari di sekeliling laman itu. Lembaga itu
menjelirkan lidahnya sambil tertawa dengan sinis apabila terlihat
pengawal itu. Pengawal tersebut didapati pengsan keesokan harinya
oleh salah seorang pekebun hotel tersebut. Semenjak itu,
bermacam-macam lagi kisah yang dapat didengari sesama
pekerja-pekerja, tidak ketinggalan juga dengan krew kami.
WC teringat tentang kisah tersebut dan dalam keadaan yang cemas
dia mempercepatkan langkahnya. Namun langkahnya terencat apabila
kedengaran suatu bunyi tapak kaki yang mengekorinya dari belakang.
Dijenguknya ke belakang, tiada apa yang dapat dilihatnya lalu
terus melangkah dengan laju, akan tetapi bunyi tapak kaki tadi
masih lagi mengekorinya. Tapi pada kali ini di tempat yang agak
bercahaya sedikit, dengan mengetepikan perasaan takut WC cuba
menjenguk sekali lagi ke belakangnya. Amat terperanjat sekali WC
pada waktu itu bila mengetahui bunyi tapak kaki tadi datangnya
dari satu lembaga yang menyerupai bayi berwarna hitam, bermata
merah dan bertaring halus berdiri dibelakangnya sambil tersenyum.
Dengan tidak berfikir apa WC terus memecut ke koridor tapi langkah
kecil tadi tidak kurang hebat, terus meluru mengekorinya. Sampai
saja dia di hadapan pintu bilik rakannya cepat-cepat dia mengetuk
pintu itu dengan harapan untuk tidak bersua muka dengan makhluk
itu lagi. Pintu bilik terus dibuka oleh rakannya dari dalam,
dengan perasaan yang lega bercampur takut WC terus masuk tanpa di
pelawa oleh rakannya itu.
Pada malam itu tiada siapa yang berani keluar setelah mendengar
peristiwa yang di alami oleh WC sebentar tadi.Dan pada malam yang
sama WC mengambil keputusan untuk bermalam beramai-ramai di dalam
satu bilik hingga keesokkan hari bagi mengelakkan peristiwa tadi
berulang lagi.
|