Kemunculan puisi moden atau sajak secara umumnya
dapat dikatakan beriringan dengan kemunculan sikap dan fikiran baru
dalam masyarakat kita. Perubahan berlaku agak perlahan dan tidak
drastik. Puisi moden yang pertama dihasilkan oleh Omar Mustaffa
dalam tahun 1913. Karyanya berjudul Angan-Angan dengan Gurindam
tersiar dalam Utusan Melayu, 18 Januari 1913. Usaha Omar Mustaffa
tidak segera diikiuti oleh penulis-penulis lain. Hanya setelah dua
dekad kemudian – dalam tahun 1933 – barulah muncul sajak-sajak yang
lebih dikenali sajak-sajak awal Tanah Melayu.
Semenjak
tarikh tersebut, muncul lagi sajak-sajak yang lebih moden. Sajak-sajak
yang tercipta jelas membawa kemajuan dari segi tema dan gaya. Penyair
yang mencipta sajak-sajak tersebut rata-ratanya bergerak dalam Angkatan
Sasterawan 50 (ASAS 50).
Tema
puisi Melayu memang jelas memperlihatkan kemajuan. Tema puisi dikatakan
maju kerana ada usaha penyajak membawa aliran baru, pemikiran baru,
dan gaya baru dalam karya mereka.Tema turut berubah mengikut peredaran
zaman,Dalam dekad 30-an dan 40-an misalannya, kebanyakan penyair
menulis puisi mereka dalam suasana romantik dan melankolik. Mereka
dikongkong oleh teknik dan gaya puisi klasik. Bahasa mereka lembut
dan nada mereka mendayu-dayu. Ini sesuai dengan lenggang kehidupan
mereka pada dekad itu.
Dekad
40-an, khususnya dalam zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu
(1942-45), terhasillah sajak-sajak yang mempunyai ciri-ciri tertentu.
Persoalannya diuliti dengan dasar dan cita-cita pemerintah Jepun
yang dilaungkan melalui slogan 'Asia Timur Raya Makmur Di Bawah
Pimpinan Dai Nippon'. Sekitar tahun-tahun tersebut, Jepun menggunakan
akhbar dan majalah sebagai media untuk meniupkan propaganda mereka
melalui slogan 'Asia untuk Asia'. Suara penyair dalam dekad 40-an
ternyata lebih optimis dan patriotik nadanya jika dibandingkan dengan
suara penyair sebelum Perang Dunia Kedua.
Penerokaan
daerah tema yang lebih meluas mulai jelas dan ketara dalam tahu-tahun
60-an. Dalam tahun-tahun 70-an dan 80-an, tema puisi Melayu semakin
rencam dan beragam sifatnya dengan teknik yang menarik dan lebih
kukuh Beberapa orang penyair yang mula menulis dalam tahun 60-an
dan masih menulis hingga sekarang telah memperlihatkan graf kemajuan
yang menggalakkan.
Demikianlah
secara ringkas pekembangan puisi Melayu moden semenjak awal pertumbuhannya.
Pendidikan, pengalaman, dan pengaruh yang diterima oleh para penyair
turut membantu mereka menghasilkan sajak-sajak yang bermutu, dan
menjadi aset yang berharga bagi khazanah kesusasteraan Melayu.
Untuk itu, di sanggar ini, kami akan memaparkan
beberapa karya yang telah dihasilkan oleh para penyair semasa. Antara
mereka termasuklah:- Usman Awang,
Latiff Mohidin, Rahman Shaari, dan beberapa penyair wanita. Marilah
kita hayati sajak-sajak mereka
|