PERISTIWA BANDAR MAHARANI

| asal nama MUAR | asal bandar maharani | peristiwa bandar maharani | analisis penduduk |
| asal PADANG | asal parit raja  | foto MUAR | sejarah awal MUAR |

Berita-berita tentang kejadian yang berlaku di Bandar Maharani pada awal penubuhannya ada tersiar dalam akhbar berbahasa Inggeris 'Straits Times' dan 'Free Press Singapore'. Kedua-dua akhbar ini mempunyai pemberita sambilan masing-masing di Muar pada masa itu.

1889    :    Pada suatu malam di Bulan Ramadan bandar ini telah diserang kumpulan cempiang atau samseng. Mereka menyerang pada pukul dua pagi secara tiba-tiba dengan membawa andang dan colok dan memukul bereng-bereng. Mereka datang dari arah tepi laut. Cempiang ini dari sebuah kongsi gelap "Bendera Merah" yang diharamkan oleh kerajaan. Mereka dikatakan marah dengan tindakan polis yang menangkap orang-orangnya yang berbuat salah  atas aduan orang-orang "Bendera Putih"(sebuah kongsi gelap yang dihalalkan). Selepas mengganas selama beberapa jam, mereka telah lari diburu oleh polis dan orang-orang kampung di bawah arahan Orangkaya Omar.

20-5-1890    :    Kapal Cecil C-Smith dari Singapura telah masuk dengan membawa masuk ramai baba-baba Cina untuk melancung ke Muar.

1-6-1890    :    Enam orang Cina yang ditahan dalam penjara di sini untuk menunggu perbicaraan telah berjaya melarikan diri dan terus tidak ditemui.

4-1-1892    :    Kapal Kerajaan Johor "Sayang" telah tiba untuk membawa rombongan pasukan Bola Sepak Muar yang akan mengambil bahagian dalam temasya sukan menyambut Tahun Baru di Melaka.

27-6-1892    :    Bangkai seekor Ikan Paus Biru (Blue Whale) yang amat besar telah dijumpai tersadai di tepi pantai Kampung Sebatu Melaka dekat sempadan Muar-Melaka di Kuala Kesang. Atas arahan Residen Counsilor Melaka, bangkai ikan paus itu telah diserahkan kepada pihak Muzium Singapura. Rangka ikan paus itu sampai hari ini masih dipamerkan di Muzium Nasional Singapura.

28-2-1894    :    Duli Yang Mulia Sultan Abu Bakar telah berangkat tiba di sini dan akan bersemayam (tinggal) di sini selama 10 hari.
                       Dalam tahun ini juga minyak tanah telah mula dibawa masuk ke Muar bagi menggantikan "ketaya Damar" sebagai lampu di waktu malam.

4-12-1894    :    Seorang Menteri Cina telah berkunjung ke sini bertujuan untuk mengutip derma bagi peperangan di Negeri Cina. Beliau berjalan ke sana ke mari dengan pakaian kebesaran Cina, akan tetapi kebanyakan pekedai-pekedai Cian di sini kurang yakin bahawa beliau adalah benar-benar diutus oleh Kerajaan Cina.

21-2-1895    :    Bandar Maharani telah mengadakan Ulang Tahun Hari Jadi Ke Bawah Duli Yang Mulia.  Maharaja Abu Bakar telah berkenan berangkat hadir dalam sambutan ini.

29-9-1903    :    Seorang pekerja Cina di Lombong Bukit Mor telah dibaham dan dilarikan oleh seekor harimau semasa sedang memotong rotan dalam hutan di situ.

21-10-1903    :    Landasan Keretapi Muar telah siap dibina sampai ke Parit Jamil sejauh kira-kira 18 km dari Bandar Maharani.

29-10-1903    :    Seorang budak Melayu berumur 13 tahun mati dibaham buaya ketika sedang mandi di Sungai Terap dan mayatnya tidak dijumpai.

3-12-1903    :    Untuk mengatasi masalah ketiadaan Rumah Persinggahan di bandar Muar maka Abdul Kadir bin Kudus, tuanpunya sebuah kedai yang terkenal sebagai JOHN LITTLE MUAR telah membuka rumah persinggahan yang dinamakan "MUAR REST HOUSE" (MRH). MRH ini ditempatkan di sebelah atas loteng kedai tersebut. Penginapnya yang pertama ialah dua orang jurutera lombong emas "Australian Gold Mining Company" Raub Pahang, berbangsa Australia yang kebetulan datang melancung ke Bandar Maharani pada hari pembukaan MRH itu.

30-3-1904    :    Seekor babi hutan yang sangat besar telah sesat dari hutan berdekatan dan merayau-rayau di jalanraya di bandar ini. Ini telah menyebabkan bandar ini kecoh seketika.
                        Pada tarikh ini juga bandar Maharani mempunyai 20 buah kereta beca untuk perkhidmatan sekeliling bandar.

7-5-1904    :    Kira-kira 50 orang ketua Jabatan Kerajaan setempat termasuk Dato Pesruhjaya Kerajaan dan beberapa taukeh Cina, Saudagar Arab dan India telah dijemput oleh Manager Keretapi Muar W.L. Leach, untuk makan angin naik keretapi ke Parit Jamil.

14-6-1904    :    Telah diterima satu berita baik, iaitu satu lagi jalanraya (jalan kereta lembu) telah dibina di Tanjung Agas dan dengan ini bersambunglah bandar ini dengan lombong Kedana Gold Mine di Gunung Ledang.

20-10-1904    :    Adalah menjadi satu perkara yang dikesalkan apabila tanaman kopi telah terbiar pada masa sekarang. Ini adalah akibat kegilaan  orang ramai kepada tanaman getah. Tanaman getah telah diperkenalkan di Muar pada masa ini.