SEJARAH SUNGAI BALANG MUAR
| sejarah sg. balang | sejarah sarang buaya | jambatan sg. sarang buaya | sejarah sg. resik |
| kenangan sg. sarang buaya | rumah adat bugis |

Orang Kaya Ali bin Said, pembuka Sungai Balang Muar Pemandangan Sungai Balang di Kampung Parit Subari.
Jalan utama Muar - Batu Pahat akan melalui Pekan Sungai Balang Keindahan Sungai Balang........

Sejarah pembukaan Sungai Balang, sebuah pekan kecil kira-kita 30 km dari Bandar Maharani, bermula dengan perlantikan seorang tokoh agama bertaraf ulama, Ali Said, yang berasal dari Parit Sakai sebagai Orang Kaya oleh Sultan Abu Bakar (Sultan Johor) pada 1886.

Ali dihantar oleh ayahandanya Orang Kaya Said, iaitu penghulu pertama Muar yang dilantik oleh Temenggong Ibrahim, ke Tanah Suci Mekah untuk belajar agama selepas menamatkan pengajian di Melaka ketika berusia 15 tahun. Ketika itu, penduduk Padang yang pentadbirannya berpusat di Parit Bakar dan meliputi Parit Sakai hingga ke Parit Samsu mempunyai sebuah rumah wakaf di Mekah yang didirikan di Kampung Shuib Ali pada abad ke 19.

Rumah itu bertujuan menempatkan anak orang kenamaan dan pembesar Padang untuk mendalamkan lagi ilmu keagamaan dan meneruskan pengajian agama hingga tamat selepas pengajian di Melaka. Adalah menjadi hasrat orang-orang Padang ketika itu untuk menjadikan anak-anak mereka bijak dalam pengajian agama dan bergelar "Orang Alim" dan menghantar mereka melanjutkan pelajaran agama di Mekah atau Mesir.

Ibu bapa yang berbuat demikian bukan sahaja menaruh harapan agar masing-masing menjadi orang alim, malah mereka sanggup menetap di Tanah Suci kketika anak-anak belajar agama di luar negara sehingga ada yang meninggal dunia di sana. Menurut catatan sejarah, Orang Kaya Ali pulang ke Padang selepas ayahananda Orang Kaya Said meninggal dunia di Mekah. Beliau kemudian menuntut jawatan penghulu Muar yang dipangku oleh sepupunya bernama Omar Junid semasa ketiadaan Allahyarham Omar. Bagaimanapun permintaan itu ditolak oleh Sultan kerana usia Ali masih muda dan belum boleh memegang jawatan penghulu, lebih-lebih lagi jawatan itu bertaraf diraja yang menjadi wakil Sultan serta pemerintah Muar.

Bagi mencari jalan penyelesaian, Sultan melantik Ali sebagai menteri. Namun begitu, perlantikan itu tidak memuaskan hati Ali serta pengikutnya kerana jawatan berkenaan tidak memberi erti dalam pentadbiran Wilayah Muar. Berikutan itu, timbul perselisihan di antara pengikut Ali dan penyokong Omar sehingga kedua-dua kumpulan itu mengibarkan bendera masing-masing, Merah bagi penyokong Ali dan Putih bagi pengikut Omar. Peristiwa itu berlarutan selama beberapa bulan hingga memaksa Sultan datang ke Muar untuk mengamankan kembali keadaan yang agak genting di antara pengikut kedua-dua kumpulan.

Bagi mengelakkan pertumpahan darah, Sultan memberi perkenan kepada pengikut Ali untuk membuka sebuah kawasan baru diselatan Muar bagi membolehkan Ali dilantik menjadi penghulu. Ali berundur ke arah selatan di persisiran Selat Melaka dengan menaiki sampan besar yang beratnya kira-kira satu tan bersama 16 orang pengikutnya untuk mencari kawasan baru yang sesuai dijadikan perkampungan. Bekalan makanan yang dibawa cukup untuk 30 hari.

Selepas mendarat di sebuah kawasan kira-kira 30 km dari Muar, pengikut Ali membuka sebuah perkampungan dan menanam pelbagai pokok dutian, ubi keledek dan bersawah padi. Lama-kelamaan kawasan perkampungan yang baru dibuka itu gah keseluruh Muar dan Ali bersama pengikutnya menyusur pantai Selat Melaka yang banyak dengan lanun untuk mengadap Sultan bagi mempersembahkan hasil tanaman.

Nama "Sungai Balang" diabadikan daripada ilham Sultan apabila pengikut Ali yang membuka kawasan baru itu berjaya menghapuskan lanun di Selat Melaka untuk membawa persembahan hasil pertanian melalui pantai di Johor Bahru dengan selamatnya. Keberanian Ali dan pengikutnya menentang lanun di Selat Melaka dianggap sebagai kegagahan yang dicapai oleh hulubalang. Dari perkataan 'hulubalang' inilah lalu Sultan menitahkan kawasan baru itu itu diberi nama Sungai Balang hingga ke hari ini.

Menurut catatan sejarah, Sungai Balang diwartakan menjadi mukim meliputi kawasan Sarang Buaya Kiri, Sarang Buaya Kanan dan Sungai Balang serta ditadbir oleh seorang penghulu bergelar Orang Kaya dan dua naib penghulu. Sistem pentadbiran itu berakhir pada 1954 apabila ketiga-tiga kawasan itu dicantumkan menjadi sebuah mukim dan hingga sekarang diberi nama Mukim Sungai Balang.

Antara kesan sejarah yang masih kekal di Sungai Balang ialah ialah Makam Orang Kaya Ali di tanah perkuburan Islam di pekan itu dan sekolah rendah di kampung itu yang diberi nama Sekolah Kebangsaan Orang Kaya Ali bagi mengambil nama sempena orang pertama membuka Sungai Balang.

Salah seorang keturunan Orang Kaya Ali ialah cucu beliau yang masih hidup iaitu Abdul Manaf  bin Abu Bakar, pemilik Toko Buku Manaf yang terkenal di Jalan Abdullah Muar. Manakala keturunan Orang Kaya Omar (penghulu Muar) sepupu Orang Kaya Ali ialah bekas Speaker Dewan Rakyat, Allahyarham Tan Sri Mohd. Noh bin Omar.