Awal 1960-an
Pada awal tahun 1960-an, perang dingin di antara Amerika dengan Soviet Union telah
menyebabkan Amerika bimbang tentang serangan nuklear Soviet Union. Sehubungan
dengan itu, Amerika telah mewujudkan sebuah pusat strategik iaitu Rand Corporation
sebagai pusat pemikiran untuk menghasilkan satu sistem perhubungan selepas perang
nuklear. Pada tahun 1964, seorang ahli Rand Corporation iaitu Paul Baran telah
memikirkan satu idea iaitu rangkaian tidak berpusat dan direka untuk menghadapi
keadaan kehancuran serta kemusnahan. Rangkaian ini akan diwakili oleh nod-nod
yang mempunyai kesamaan dari segi status iaitu membentuk, menghantar dan
menerima mesej.
Dalam tahun-tahun tersebut juga, beberapa orang saintis turut mengemukakan
pandangan mereka mengenai rangkaian komputer (networking). Antaranya ialah
J.C.R Licklider dari MIT yang telah menulis beberapa siri memo berkaitan dengan
teori yang dipanggil Galactic Network.
1965
Secara rasminya Internet boleh dikatakan bermula pada tahun 1965. Advanced
Research Project Agency (ARPA) telah menaja satu penyelidikan iaitu Co-operative
Network Of Time Sharing Computer tentang bagaimana sesebuah rangkaian dapat
disambungkan dengan rangkaian komputer yang lain. Hasilnya satu rangkaian
yang bernama TX-2 yang terletak di Massachuset Institute of Technology (MIT) dan
juga rangkaian Q-32 yang terletak di System Development Corporation, Santa Monica,
California berjaya disambungkan.
1967
Satu simposium ACM diadakan berhubung dengan prinsip-prinsip pengoperasian
rangkaian dan satu lagi plan cadangan berhubung dengan rangkaian pensuisan
paket dibentangkan di simpo tersebut. Hasilnya satu kertas kerja berkiatan dengan
rekabentuk dan struktur rangkaian yang dikenali sebagai ARPANet telah berjaya
disiapkan oleh Lawrence G. Roberts, seorang penyelidik dari MIT. National Physical
Laboratory (NPL) yang terletak di Middlesex, England pula telah membangunkan
NPL Data Network di bawah pengendalian D.W Davies.
1968
Satu lagi kertas kerja bertajuk PS Network telah dikemukakan kepada ARPA dan
pada masa yang sama Lawrence G. Roberts dengan kerjasama Defence Advanced
Research Project Agency (DARPA) mengkaji semula infrastruktur ARPANet dan
membuat beberapa perubahan. Satu lagi kertas kerja dikeluarkan oleh DARPA
iaitu Request For Question (RFQ) yang lebih menitikberatkan proses pembangunan
pensuisan paket rangkaian tersebut dengan menggunakan Interface Message
Processors (IMP).
IMP dibangunkan oleh Frank Heart daripada Bolt Beranek & Newman (BBN) sambil
dibantu oleh Bob Kahn yang bertungkus lumus membangunkan struktur ARPANet.
Di samping itu, Lawrence G. Roberts pula merekabentuk satu topologi rangkaian
untuk ARPANet sambil dibantu oleh Howard Frank dari Network Analysis Corporation
dan pengukuran rangkaian pula dilakukan oleh Kleinrock dari University of California
(UCLA). The National Physical Laboratory di Great Britain telah mengadakan ujian
pertama rangkaian serupa itu dengan kerjasama Rand, MIT dan UCLA.
1969
Hasil dari teori, fokus, rekabentuk dan analisis proses pengukuran rangkaian yang
dijalankan oleh Kleinrock di UCLA, pusat pengukuran rangkaian (Network
Measurement Center) mereka secara tidak langsung dipilih untuk menjadi nod yang
pertama untuk rangkaian ARPANet. Nod kedua pula disediakan dan dipasang di
Stanford Researh Institute di mana beberapa penambahan telah dibuat dan nod kedua
ini berjaya mentadbir beberapa komputer sekaligus di samping menyediakan alamat
direktori untuk Request For Comment (RFC). Dua lagi nod kemudiannya dibangunkan
di University of California, Santa Barbara dan juga University of Utah. Empat buah nod
ini saling dirangkaikan di antara satu sama lain dan dijadikan asas pembangunan
rangkaian ARPANet. Tarikh 01 September 1969 telah diambil secara rasmi sebagai
permulaan internet. Kempat-empat nod pertama ini telah menggunakan talian khas
untuk memindahkan data serta mengaturcara program komputer dari jarak jauh.
1970
Satu lagi rangkaian dikenali sebagai ALOHANet berjaya dibangunkan oleh Norman
Abrahamson dari University of Hawaii yang kemudiannya disambungkan ke rangkaian
ARPANet. Pada tahun ini juga ARPANet mula menggunakan Protokol Kawalan
Rangkaian (Network Control Protocol).
1971
Sebanyak 15 jaringan nod (UCLA, SRI, USCB, University of Utah, BBN, MIT, Rand
Corporation, SDC, Harvard, Lincoln Lab, Stanfirf, UIU (C), CWRU, CMU dan NASA/
Ames) yang mempunyai 23 komputer pusat turut disambungkan ke ARPANet.
1972
Jumlah nod yang disambungkan ke ARPANet bertambah kepada 37 nod. Dengan
pertambahan lebih banyak nod, kerjasama dan pertukaran maklumat di antara ahli
penyelidik dan pihak universiti telah dijalankan melalui rangkaian ini. Ray Tomlinson
dari BBN berjaya merekabentuk aplikasi program mel elektronik yang pertama
bertujuan untuk menghantar pesanan ke setiap rangkaian yang dihubungkan dengan
ARPANet.
Internet Working Group (INWG) ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Vincent Cerf.
Tujuan penubuhan badan ini ialah untuk menghasilkan dan memastikan segala jenis
protokol berhubung dengan rangkaian diselaraskan. Dalam pada itu satu lagi spesifikasi
RFC 318 iaitu Telnet telah dibangunkan.
1973
Satu jaringan rangkaian (networking) antarabangsa yang pertama disambungkan
ke ARPANet telah berjaya dilakukan oleh University College of London (England)
dan Royal Radar Establishment. Bob Kahn pula memberikan satu lagi teori rangkaian
baru iaitu Internet di samping menemui beberapa masalah yang berkaitan dengannnya.
Bob kemudiannya melakukan kajian di ARPA manakala Vincent Cerf pula berusaha
untuk merangka struktur rangkaian Internet tersebut. Mereka berdua kemudiannya
mengemukakan idea asas pembentukan Internet tersebut di INWG pada bulan September
di University of Sussex, Brighton, UK. Satu lagi spesifikasi rangkaian RFC 454
dibangunkan iaitu File Transfer Protocol (FTP).
1974
Vincent Cerf dan Bob Kahn telah membentangkan saru kertas kerja bertajuk A Protocol
For Packet Network Communication yang telah menerangkan secara terperinci mengenai
struktur dan rekabentuk Transfer Control Protocol (TCP). BBN menyediakan
perkhidmatan Telnet (perkhidmatan komersial pertama ARPANet untuk orang ramai).
1975
Operasi pentadbiran pembangunan rangkaian dipindahkan ke DCA (sekarang dikenali
sebagai DISA).
1976
Teknologi Unix -to-Unix-CoPy (UUCP) telah dibangunkan khusus untuk sistem
pengoperasian Unix.
1977
Larry Landwebber dari University of Wisconsin telah membangunkan THEORYNET
iaitu sebuah perkhidmatan yang menyediakan mel elektronik kepada 100 pengkajiselidik
sains komputer dengan menggunakan sistem mail tempatan dan TELENET untuk
mendapatkan akses ke pelayan mel tersebut. BBN pula melakukan demonstrasi pertama
yang menghubungkan ARPANet, Packet RadioNet serta SATNET. Ketiga-tiga rangkaian
ini beroperasi dengan menggunakan Protokol Internet (IP).
1978
USENET telah dibangunkan oleh Tom Truscott, Jim Ellis dan Steve Bellovin dengan
menggunakan protokol UUCP di antara Duke dan UNC. Hampir keseluruhan hirarki
USENET adalah net.*. ARPA pula telah membangunkan Internet Configuration Control
Board (ICCB).
Satu perjumpaan di antara University of Wisconsin, DARPA, NSF dan beberapa orang
saintis dari universiti-universiti yang terlibat dengan ARPANet diadakan untuk
membangunkan sebuah bahagian komputer sains dan rangkaian penyelidikan komputer
(yang kemudiannya dikendalikan oleh Larry Landwebber).
1981
Computer Science Network (CSNET) telah dibangunkan hasil kerjasama para saintis
komputer dari Universiti Delaware, Rand Corporation dan BBN dengan ditaja oleh NSF
bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan rangkaian (terutamanya mel elektronik)
kepada para saintis yang tidak mempunyai akses ke ARPANet. Rangkaian Because It's
Time Network (BITNET) dibangunkan. Ia turut menyediakan perkhidmatan mel
elektronik dan juga senarai pelayan yang boleh digunakan untuk penyaluran maklumat
termasuk pemindahan fail.
1982
DCA dan ARPA menjadikan Transfer Control Protocol (TCP) dan Internet Protocol (IP)
sebagai asas protokol utama. Kedua-dua protokol ini kemudiannya digabungkan dan
dikenali sebagai TCP/IP. Hasil daripada inilah perkataan Internet mula digunakan
memandangkan ianya saling dirangkaian satu sama lain dengan menggunakan TCP/IP.
DoD mengumumkan bahawa TCP/IP sebagai satu standard struktur pembangunan
rangkaian untuk DoD. Kini TCP/IP terus digunakan sebagai piawai untuk rangkaian
selain daripada ARPANet.
European UNIX Network (EUnet) dibangunkan dan dikendalikan oleh EUUG yang
bertanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan USENET. EUnet menghubungkan
England, Belanda, Denmark dan juga Sweden. Satu lagi spesifikasi dibangunkan iaitu
External Gateway Protocol (EGP RFC 827) yang digunakan sebagai laluan antara
rangkaian.
1983
Universiti Wisconsin telah membangunkan nama-nama untuk rangkaian dan ini
memudahkan pengguna terus memasuki sesebuah sistem yang telah dirangkaikan tanpa
memerlukan mereka untuk mengenalpasti kedudukan serta lokasi sesebuah rangkaian.
ARPANet dibahagikan kepada dua bahagian iaitu ARPANET dan MILNET yang
kemudiannya diintegrasikan dengan Defense Data Network. Internet Activities Board
(IAB) ditubuhkan untuk menggantikan ICCB. FidoNet pula telah dibangunkan oleh
Tom Jennings.
1984
Satu lagi protokol baru Internet diperkenalkan iaitu Domain Name System (DNS). DNS
membolehkan sebuah komputer pusat atau sesebuah rangkaian diberikan nama yang
unik dan hasilnya sebanyak 1,000 komputer pusat mendaftar untuk mendapatkan DNS
mereka sendiri. Moderated Newsgroup diperkenalkan dalam USENET (mod.*).
1987
Penyambungan mel elektronik dibangunkan di antara Jerman dengan China dengan
menggunakan protokol CSNET. Sebuah buku panduan dan rujukan mengenai Request
For Comments (RFC) dikeluarkan. Jumlah komputer yang dirangkaikan kepada
Internet meningkat kepada 10,000 dan jumlah komputer yang dirangkaikan kepada
BITNET meningkat kepada 1,000 buah komputer.
1988
Computer Emergency Response Team (CERT) ditubuhkan oleh DARPA bagi
mengendalikan kes-kes serangan menerusi rangkaian yang dikenali sebagai Cecacing
Morris (Morris Worm). Serangan cecacing Morris tersebut telah mengakibatkan 6,000
buah komputer pusat daripada 60,000 komputer yang saling dirangkaikan mengalami
kerosakan yang teruk.
FidoNet akhirnya berjaya disambungkan ke rangkaian Internet untuk membolehkan
para pengguna bertukar-tukar mel elektronik dan juga berita menerusi Newsgroup.
Dalam pada itu Internet Relay Chat (IRC) yang merupakan salah satu komponen
Internet dibangunkan oleh Jarkko Oikarinen.
1989
Dua pasukan petugas khas iaitu Internet Engineering Task Force (IETF) dan Internet
Research Task Force (IRTF) di bawah pengawasan Internet Architecture Board (IAB)
untuk mengenalpasti dan memperbaiki rangkaian sistem Internet yang sedia ada. Di
samping itu, Corporation for Research and Education Networking (CREN) juga telah
diwujudkan hasil dari percantuman CSNET dan BITNET.
Pada tahun ini, antara negara yang merangkaikan komputer pusat mereka ke National
Science Foundation Network (NSFNET) ialah Australia, Jerman, Israel, Itali, Jepun,
Mexico, Belanda, New Zealand, Puerto Rico dan England.
1990
Archie yang juga merupakan satu protokol asas Internet telah dibangunkan oleh Peter
Deutcsh, Alan Emtage, dan Bill Heelan. Pada tahun ini juga The World Comes On-line
telah menjadi penyedia perkhidmatan Internet komersial yang pertama dengan
menyediakan perkhidmatan Internet secara panggilan telefon.
Dalam tempoh itu juga, bilangan negara yang merangkaikan komputer pusat mereka ke
NSFNET semakin meningkat dengan penyertaan beberapa buah negara baru seperti
Argentina, Austria, Belgium, Brazil, Chile, Greece, India, Ireland, Korea Selatan,
Sepanyol dan Switzerland.
1991
Commercial Internet Exchange (CIX) telah ditubuhkan oleh CERFNet, PSINet dan
AlterNet setelah NSF menarik balik pengharaman terhadap pengkomersilan Internet.
Satu lagi teknologi dikenali sebagai Wide Area Information Server (WAIS) telah
direkabentuk oleh Brewsrer Kahle. Gopher, satu lagi komponen penting Internet telah
dibangunkan Paul Lindner dan Mark P.McCahill. Dalam tempoh ini jugalah World
Wide Web (WWW) dibangunkan oleh Tim Berners-Lee yang sehingga kini menjadi salah
satu komponen terpenting Internet.
Tim Berners-Lee adalah orang pertama yang membangunkan pelayan untuk WWW dan
menyediakan satu standard seperti Universal Research Locator (URL), Hyper Text
Transfer Protocol (HTTP) dan juga Hyper Text Markup Language (HTML) yang
digunakan untuk membangunkan sesebuah laman web.
Teknologi keselamatan turut mendapat perhatian dengan pengenalan Pretty Good
Privacy (PGP) yang telah dibangunkan oleh Philip Zimmerman yang bertujuan untuk
melindungi mel elektronik dari dibaca oleh orang lain. Pada tahun ini juga lebih
banyak negara merangkaikan komputer pusat mereka ke NSFNET iaitu Croatia,
Republik Czech, Hong Kong, Hungary, Poland, Portugal, Singapura, Afrika Selatan,
Taiwan dan Tunisia.
1992
Perkembangan Internet semakin tersusun dengan penubuhan Internet Society (ISOC)
yang bertanggungjawab untuk menyelaraskan segala perkembangan yang berkaitan
dengan Internet. Jumlah komputer pusat yang disambungkan ke rangkaian Internet
meningkat kepada 1,000,000. Internet Architecture Board (IAB) yang merupakan sebuah
badan yang bertanggungjawab untuk mengendalikan sebarang pembangunan berkaitan
Internet sebelum ini telah dikaji semula dan hasilnya mereka telah menyertai ISOC.
Satu aplikasi perisian gopherspace yang juga merupakan enjin pencari terawal iaitu
Veronica telah dikeluarkan oleh Universiti Nevada dan perkataan Surf The Net mula
dipopularkan oleh Jean Armour Polly. Antara aplikasi perisian interaktif Internet
terawal yang terawal dibangunkan pada masa itu ialah MBONE Audio Multicast (pada
bulan Mac) dan Video Multicast (bulan November).
Dalam tempoh itu juga, lebih banyak negara yang merangkaikan komputer pusat
mereka ke NSFNET iaitu Cameroon, Cyprus, Ecuador, Estonia, Kuwait, Latvia,
Luxembourgh, Slovakia, Slovania, Thailand, Venezuela dan juga Malaysia menerusi
MIMOS melalui perkhidmatan Joint Advanced Research Integrated Networking
(JARING).
1993
InterNIC telah ditubuhkan oleh National Science Foundation (NSF) dan menjadi sebuah
badan yang bertanggungjawab untuk menyediakan dan mengendalikan segala
perkhidmatan Internet dengan lebih spesifik sambil turut dibantu oleh beberapa syarikat
lain seperti perkhidmatan pengkalan data direktori (AT&T), perkhidmatan pendaftaran
Internet (Network Solution Inc.) dan perkhidmatan sumber maklumat (General Atomic/
CERFnet). Empat lagi program perosak cecacing dikesan dan mendapat nama jolokan
World Wide Web Worms (W4) iaitu Spiders, Wanderers, Crawler dan Snakes.
Pihak media massa dan organisasi perniagaan mula memberi perhatian yang serius
kepada Internet. Pada tahun ini juga, pelayar Web (browser) iaitu Mosaic telah memberi
satu dimensi baru dalam dunia Internet apabila banyak institusi yang membangunkan
laman web untuk memberi hebahan mengenai syarikat mereka. Dalam pada itu,
penerbitan siaran radio mula dipancarkan secara langsung menerusi Internet.
Di samping itu, Amerika Syarikat telah membentangkan rang undang-undang maklumat
yang pertama iaitu US National Information Infrastructure Act yang turut menjadi
pendorong kepada perkembangan teknologi Internet. Jumlah laman web pula telah
meningkat 100% berbanding tahun sebelumnya hingga menyebabkan kesesakan trafik
berlaku kepada kebanyakan rangkaian manakala jumlah gopher pula meningkat
sehingga 997 peratus.
NSFNET terus berkembang dengan penyertaan negara-negara baru yang merangkaikan
komputer pusat mereka ke NSFNET iaitu Bulgaria, Costa Rica, Mesir, Fiji, Ghana,
Guam, Indonesia, Kazakhstan, Kenya, Liechtenstein, Peru, Romania, Russia, Turki,
Ukraine, UAE dan Virgins Island.
1994
ARPANet/Internet menyambut ulang tahun yang ke 25. National Institute for Standards
and Technology (NIST) mencadangkan agar GOSIP disepadukan dengan TCP/IP dan
tidak lagi menggunakan OSI-Only. Pada masa ini juga World Wide Web (WWW) mula
mendapat perhatian dan menjadi aplikasi perisian kedua Internet yang mendapat
sambutan selepas Telnet di mana ianya dikira melalui peratusan paket data yang
diedarkan menerusi NSFNET.
Radio siber yang pertama iaitu RT-FM telah dilancarkan pada tahun tersebut dan siaran
pertamanya bermula semasa berlangsungnya pameran dan persidangan Interop di Las
Vegas. Pusat membeli-belah maya (online shopping mall) mula mendapat sambutan
daripada pelayar web dan bank maya pertama yang melancarkan perkhidmatannya
ialah First Virtual Bank.
Sebuah syarikat perundangan iaitu Canter & Siegel dari Arizona telah menjadi syarikat
pertama yang menghantar iklan menerusi mel elektronik dalam jumlah yang besar.
Trans-European Research & Education Network Association (TERENA) telah ditubuhkan
hasil daripada penggabungan RARE dan EARN dengan lebih 38 buah negara peserta
yang menganggotai pertubuhan tersebut termasuklah anggota-anggota dari CERN dan
ECMWF.
NSFNET berkembang lagi dengan penyertaan Algeria, Armania, Bermuda, Burkina Faso,
China, Colombia, Perancis, Polinesia, Jamaica, Lebanon, Lithuania, Macau, Maghribi,
New Caledonia, Nicaragua, Nigeria, Panama, Filipina, Senegal, Sri Lanka, Swaziland,
Uruguay dan Uzbekistan.
1995
Pengoperasian NSFNET kembali menjadi rangkaian penyelidikan dan rangkaian
Internet yang sebelum ini berhubung dengan NSFNET dipindahkan kepada penyedia
perkhidmatan rangkaian yang diluluskan oleh kerajaan Amerika Syarikat. NSFNET
kini dikenali dengan nama NSF yang bertanggungjawab untuk menyediakan
perkhidmatan rangkaian berkelajuan tinggi apabila ianya disambung kepada beberapa
pusat komputer utama seperti NCAR, NCSA, SDSC, CTC & PCS.
Real Audio, sebuah teknologi penerbitan radio membolehkan para pelayar mendengar
siaran radio dan lagu menerusi Internet secara langsung walaupun kualiti musik yang
disiarkan belum mencapai standard sebenar. Beberapa syarikat IT yang menjalankan
perniagaan berasaskan Internet mula disebaraikan di bursa saham di mana Netscape
Corporations menjadi syarikat yang pertama dan ketiga terbesar apabila saham
syarikat tersebut disenaraikan di NASDAQ.
Pendaftaran nama domain tidak lagi diberikan secara percuma tetapi dikenakan
bayaran sebanyak US$50 bermula pada 14/09/95. Bagaimanapun NSF masih
memberikan nama domain yang berakhir dengan .edu dan .gov secara percuma.
Beberapa syarikat penyedia perkhidmatan Internet mula beroperasi di AS iaitu America
Online, Prodigy dan Compuserve yang menyediakan perkhidmatan Internet secara akses
panggilan.
Teknologi Internet yang semakin berkembang ialah WWW dan kegunaan enjin pencari.
Teknologi-teknologi yang semakin mendapat sambutan ialah Java, JAVAScript, Virtual
Reality Markup Language (VRML) dan penyepaduan aplikasi/perkakasan.
Antara negara yang mendaftarkan nama domain untuk negara masing-masing ialah
Ethiopia (et), Cote Ivoire (ci), Cook Islands (ck), Cayman Islands (ky), Anguila (ai),
Gibraltar (gi), Vatican (va), Kiribati (ki), Kyrgystan (kg), Madagascar (mg), Mauritius
(mu), Micronesia (fm), Monaco (mc), Mongolia (mn), Nepal (np), Nigeria (ng), Samoa
Barat (ws), San Marino (sm), Tanzania (tz), Tonga (TOAntara), Uganda (ug) dan
Vanuatu (vu).
1996
Sebanyak 9,272 organisasi tidak mempunyai nama domain apabila InterNIC tidak
menyenaraikan nama domain syarikat terbabit kerana dikatakan gagal membuat
bayaran pembaharuan untuk nama domain tersebut.
Teknologi Internet Phone yang membolehkan seseorang menelefon seseorang yang lain
di negara, kawasan dan lokasi yang jauh dengan hanya dikenakan bayaran tempatan
menerusi Internet telah mendapat bantahan dari syarikat-syarikat telekomunikasi
sehingga mereka meminta Dewan Kongres Amerika Syarikat untuk mengharamkan
teknologi tersebut.
Rang undang-undang yang mencetuskan kontroversi iaitu US Communications Decency
Act (CDA) mendapat kelulusan Dewan Senat Amerika Syarikat dan mengharamkan
pengedaran serta penyebaran maklumat-maklumat sulit dan lucah menerusi Internet.
Internet Ad-Hoc Committee mengumumkan cadangan bahawa mereka akan
menambah 7 lagi nama domain iaitu .firm, .store, .web, .arts, .rec, .info dan .nom.
Satu aplikasi robot yang dipanggil Cancelbot dipasang ke dalam USENET untuk
membuang pesanan-pesanan yang tidak berkenaan dan ia berjaya membuang
sebanyak 25,000 pesanan. Peperangan pelayar web bermula apabila Microsoft
mengeluarkan aplikasi pelayar webnya sendiri yang dikenali sebagai Microsoft Internet
Explorer dan bersaing hebat dengan pelayar web yang dikeluarkan oleh Netscape iaitu
Navigator (dan terbaru ialah Communicators).
Beberapa buah negara menetapkan had larangan kepada isi kandungan tertentu yang
terdapat di dalam Internet seperti:-
China: Pengguna dan penyedia perhidmatan Internet dikehendaki berdaftar
dengan pihak berkuasa.
Jerman: Tidak membenarkan pengguna-pengguna Internetnya memasuki
sesetengah kumpulan berita (newsgroup) yang terdapat dalam
Compuserve.
Arab Saudi: Hanya membolehkan beberapa laman web tertentu sahaja (itupun
setelah mendapat kelulusan daripada kerajaan) untuk disalurkan
kepada pihak universiti dan juga hospital.
Singapura: Isi kandungan laman web yang berkaitan dengan politik dan
keagamaan perlulah berdaftar dengan pihak kerajaan.
New Zealand: Mengklasifikasikan cakera komputer sebagai satu bahan
penerbitan yang boleh ditapis dan dikenakan tindakan undang-
undang.
Antara negara yang mendaftarkan nama domain masing-masing ialah Qatar (qa),
Vietiane (la), Djibuti (dj), Noger (ne), Afrika Tengah (cf), Mauretania (mf), Oman (om),
Norfolk Island (nf), Tuvalu (tv), Polynesia (pf), Syria (sy), Aruba (aw), Kemboja (kh),
Guiana (gf), Eritrea (er), Cape Verde (cv), Burundi (bi), Benin (bj), Bosnia Herzegovina
(ba), Andorra (ad), Guadeloupe (gp), Guerney (gg), Isle of Man (im), Jersey (je), Laos
(la), Maldives (mv), Marshall Island (mh), Mauritania (mr), Northern Mauritania Island
(mp), Rwanda (rw), Togo (tg), Yaman (ye) dan Zaire (zr).
1997
RFC yang ke 2,000 ditambah iaitu Internet Official Protocol Standards (IOPS).
Sebanyak 71,618 didaftarkan di Liszt. American Registry for Internet Numbers (ARIN)
ditubuhkan untuk mengendalikan pentadbiran dan pendaftaran protokol Internet
bergantung kepada kedudukan geografi dan kawasan.
1998
ARIN telah berfungsi sepenuhnya pada bulan Mac tahun ini setelah mengambilalih
pentadbiran tersebut daripada InterNIC yang sebelum ini dikendalikan oleh Network
Solution. Teknologi Internet yang semakin berkemang dan mendapat perhatian ialah
teknologi asakan (push technology) dan penyiaran berbilang.
Antara negara yang mendaftarkan nama domain masing-masing ialah Falk Islands (fk),
Timor Timur (tp), Congo (cg), Christmas Island (cx), Gambia (gm), Guinea Bissau (bw),
Haiti (ht), Iraq (iq), Libya (ly), Malawi (mw), Martinique (mq), Montserrat (ms), Myanmar
(mm), French Reunion Island(re), Seychelles (sc), Sierra Leone (sl), Sudan (sd),
Turkmenistan (tm) dan Turks and Caicos Island (tc).
Itulah antara beberapa rentetan sejarah mengenai perkembangan Internet yang dapat
saya paparkan untuk untuk faedah bersama. Kepada para professional IT yang terbaca
laman ini, pandangan tuan terutamanya mengenai ketepatan maklumat dan istilah-istilah
yang saya gunakan di sini amatlah dialu-alukan!. Saya boleh dihubungi di sini.
Kembali Ke Sejarah Komputer
Menguji PC Untuk Y2K
