Cerpenis
Karya: Uthaya Sankar SB
Karya ini merupakan satu-satunya cerpen yang saya tulis khusus untuk diterjemah ke Bahasa Tamil bagi disiarkan dalam media cetak Bahasa Tamil. Kerja menterjemah dilaksanakan dengan bantuan Sdr Balachandran dan cerpen ini disiarkan dengan judul "Kathaasiriyar" dalam akhbar Thina Murasu pada 7 Januari 1996. Versi Bahasa Malaysia dengan judul "Cerpenis" pula kemudian disiarkan dalam majalah Karya keluaran Oktober 1997 sebelum dimuatkan dalam kumpulan Sasterawan Pulau Cinta (2001). Versi ringkas cerpen ini disiarkan dalam majalah NILA keluaran 15 Disember 2002. Berikut petikan awal cerpen berkenaan.
__________________
“TAPI bukankah suami kau tak izinkan?”
Vasanthi mengeluh mendengar kata-kata Mallathi.
“Benar, kakak. Tetapi saya benar-benar mahu menghasilkan karya untuk disiarkan di media massa,” jawabnya.
“Suami kau tidak marahkah nanti?”
Vasanthi tidak menjawab. Dia meneruskan kerja memasak. Kakaknya pula membantu memarut kelapa. Masing-masing terdiam. Fikiran Vasanthi melayang kepada kenangan lalu. Kenangan sewaktu dia belum berkahwin.
Sejak di bangku sekolah, dia berminat menulis cerpen dan dikirim ke pelbagai akhbar Tamil. Hatinya cukup gembira kerana karya-karyanya sering tersiar. Prakash juga sering menggalakkannya. Sebagai seorang kekasih, dia sering memuji-muji karya Vasanthi.
“Kau layak terima anugerah tertinggi dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Tamil!”
Tetapi kata-kata itu diucapkan sewaktu mereka hangat bercinta. Juga sewaktu mereka baru berkahwin dahulu. Sebaliknya Prakash terus berubah setelah beberapa bulan mereka berkahwin. Dia sudah tidak menggalakkan Vasanthi meneruskan minatnya.
“Kalau kau asyik berkarya, siapa yang akan menjaga kebajikan aku? Siapa yang akan memasak dan mengemas rumah?” tanyanya.
Walau bagaimanapun, penentangan Prakash tidaklah terlalu ketara. Dia sedar bahawa Vasanthi sedang mengandung. Dia mahu menjaga hati isterinya kerana dia tahu bahawa wanita mengandung senang kecewa jika permintaan mereka ditolak.
Maka sepanjang sembilan bulan Vasanthi hamil, dia terus bebas menghasilkan cerpen. Suaminya tidak menghalang. Setelah melahirkan anak sulung, Vasanthi terlalu sibuk untuk menulis. Hampir setahun dia tidak menghasilkan apa-apa karya.
Kini, dia bercadang hendak menulis semula. Malangnya Prakash tidak mengizinkan.
“Aku tidak mahu kau hanyut dalam dunia khayalan!” katanya malam tadi. “Lebih baik kau jaga hal ehwal rumah tangga.”
“Tetapi, bang, bidang penulisan sudah sebati dengan jiwa saya. Saya berasa tidak selesa jika tidak menulis. Lagi pun, bukankah melalui hasil tulisan bermutu, saya akan dapat membimbing golongan pembaca khasnya golongan wanita?”
“Yalah tu! Bila ada karya tersiar, ramailah peminat lelaki akan menghubungi kau ... ,” Prakash menyindir.
Muka Vasanthi merah padam. Dia tidak faham mengapa suaminya menghalang peng-libatannya dalam bidang penulisan.
“Adakah dia takut aku akan mengabaikan tugas dan tanggungjawab aku sebagai seorang isteri dan seorang ibu? Atau adakah dia sebenarnya cemburu?” fikirnya.
Pagi tadi, sejurus sebelum Prakash bertolak ke pejabat, Vasanthi sekali lagi melahirkan keinginannya untuk berkarya.
“Saya menulis, ya, bang?” tanyanya dengan suara manja.
“Ah! Janganlah membazir masa. Lebih baik kau membuat kerja rumah,” Prakash menjawab pedas. “Biarlah bidang penulisan menjadi kenangan masa lalu. Kau sekarang bukannya anak dara. Kau sudah jadi isteri dan ibu. Kau harus terima hakikat ini. Zaman menulis kau sudah berakhir!”
“Tapi, bang, bukankah ada penulis wanita yang masih menulis selepas berumah tangga? Misalnya Saroja Theavy Balakrishnan, penulis cerpen BAHASA MALAYSIA yang sangat terkenal tu. Saya dapat tahu, suaminya tidak menghalang. Malah dia beri galakan dan sokongan,” Vasanthi membela diri.
“Itu orang lain. Ini kau. Kau isteri aku. Kau kena ikut cakap aku!”
Vasanthi begitu kecewa. Sebaik sahaja suaminya pergi, dia mula menangis semahu-mahunya. Pada waktu itulah kakaknya datang. Mujurlah Mallathi berjaya meredakan tangisan Vasanthi.
“Dia memang tahu apa minat kau, bukan?” tanya Mallathi sambil menuang santan kelapa ke dalam periuk.
“Itulah, kak. Waktu bercinta dulu dia asyik memuji karya saya. Malah sewaktu baru berkahwin, dia masih memuji. Tetapi selepas itu dia sudah berubah … .”
“Agaknya dia cemburu, tak?”
“Cemburu?” Vasanthi bertanya kehairanan.
“Ya. Mungkin dia takut akan ada ramai peminat lelaki yang menghubungi kau!”
“Isy! Pembaca seharusnya menghargai karya, bukan memuji penulisnya semata-mata.”
“Atau mungkin suami kau risau kau akan terlalu leka menulis sehingga kerja-kerja rumah terbengkalai,” kata Mallathi lagi. “Golongan suami memang mahu sentiasa diberi layanan!”
“Mungkin juga,” Vasanthi mengakui sambil menggaul lauk di dalam periuk. “Tetapi dia tidak pernah berterus-terang kepada saya.”
“Saya ada satu cadangan,” kata si kakak.
“Apa dia?”
“Mengapa tidak kau menulis tanpa pengetahuan Prakash? Yang penting, kau mahu menulis, bukan?” Mallathi berkata dengan penuh bersemangat. “Jadi, siarkanlah cerpen-cerpen kau di akhbar dengan menggunakan nama samaran. Suami kau tentu tidak akan tahu!”
Vasanthi terdiam sekali lagi. Dia berfikir secara mendalam kata-kata kakaknya. Apakah itu suatu cadangan yang baik? Memang itu satu cara untuk meneruskan minat Vasanthi tanpa pengetahuan Prakash. Vasanthi boleh menggunakan masa yang terluang untuk menulis cerpen dan mengirimnya ke akhbar tanpa pengetahuan suaminya. Dengan itu, Prakash tidak boleh memarahinya kerana dia tidak akan tahu.
Tetapi bagaimana jika Prakash mengetahui apa yang dilakukannya? Apa yang akan berlaku nanti? Vasanthi semakin runsing memikirkan semua itu. Dia tahu bahawa dia mahu terus menulis cerpen. Itulah salah satu cara untuk dia mengubah fikiran masyarakat. Untuk dia mengemukakan persoalan-persoalan baru dalam cerpennya untuk difikirkan oleh para pembaca.
Pada masa yang sama, Vasanthi tidak mahu menipu suaminya. Sebaliknya, dia mahu menjadi cerpenis dengan izin suaminya. Dia mahu Prakash memperakukan minatnya. Dia mahu Prakash menghormati minatnya; pilihannya.
______________