Elak Hipokrasi Sastera Alaf Baru
TULISAN
ini membincangkan seorang sasterawan muda berpotensi dan menyerlah yang pada
masa kini sedang berkembang dan kita mengharapkan beliau akan menjadi karyawan
terkemuka negara pada dekad akan datang. Sasterawan yang dimaksudkan ialah Uthaya
Sankar SB.
Beliau
terpilih membentangkan kertas kerja bertajuk "Genius
dan Maru Malarchi" pada Seminar
Kebangsaan Kesusasteraan di Malaysia yang diadakan di Universiti Sains
Malaysia (USM) Pulau Pinang pada November 1998.
Meskipun
Uthaya diminta menyampaikan kertas kerja bersama Dr Krishanan Maniam dan Saroja
Theavy Balakrishnan, tetapi awal-awal lagi Uthaya sudah memperjelaskan
kedudukannya bukan sebagai penulis Tamil, tetapi penulis Malaysia yang menulis
dalam bahasa kebangsaan; dengan salah satu agenda,
menyorotkan latar masyarakat India di Malaysia.
Tajuk
esei ini boleh dilihat dari dua perspektif: menyeru sasterawan mengelak daripada
menjadi hipokrit; dan kedua, menyeru sasterawan jangan menghasilkan sastera yang
berinti hipokrit.
Uthaya
tidak mengharapkan khalayak yang besar; sekadar mereka yang sanggup berfikir dan
menghayati karyanya adalah memadai. Dia tidak mahu menghasilkan karya “bodoh”
justeru dia tidak mahu membaca karya “bodoh”; kerana hasil daripada
pembacaan karya “bodoh” akan lahir dalam karangannya nanti “kebodohan”.
Uthaya tidak mahu menipu khalayak dengan karya yang “bodoh” kerana matlamat
khalayaknya [khalayak sasarannya] adalah mereka yang mampu berfikir.
Dalam
kata-kata Uthaya: “Kalau saya menghasilkan ‘karya bodoh’, memang jumlah
pembaca bermentaliti rendah boleh bertambah. Pada masa yang sama, kelompok
bermentaliti tinggi akan kecewa kerana ‘karya bodoh’ saya memang
memperbodohkan mereka. Selayaknyalah mereka beralih membaca ‘karya bijak’.”
Bagi
saya, visi seumpama ini bukan sesuatu yang salah; malah lahir sebagai penyumbang
kepada khalayak sastera yang mahu berfikir. Di sebalik itu, kita juga perlu
sedar bahawa tanggapan terhadap ‘keindahan’ berbeza mengikut daya sugestif
khalayak. Kita tidak ada hak untuk melabelkan sesuatu ‘tidak indah’ kerana
mungkin ia ‘indah’ bagi orang lain.
Namun
saya terpaksa membenarkan perjuangan Uthaya kerana bukan sahaja saya meminati
dan menyanjungi karya serius yang meminta orang berfikir, tetapi kerana Uthaya
berjuang untuk satu kelompok khalayak tertentu [kelompok yang mahu berfikir
menggunakan otak].
Ini
saya kira bukan memencil atau menyempitkan peluang mempopularkan sastera kepada
khalayak ramai, tetapi sebenarnya meragamkan dan melengkapkan keperluan bagi
setiap golongan khalayak.
Pemilihan
kata “bodoh” bagi pembaca yang tidak mahu berfikir, di sebalik fungsi
revolusioner – atau dalam istilah kritikan sastera India disebut “kejutan”
– bagaimanapun tidak berupaya memberikan tafsiran jitu kepada kelahiran
sastera dan karya sastera. Setahu saya, sastera mempunyai fungsi menghibur.
Tanpa kehadiran fungsi ini, sastera akan terus memencil.
Khalayak
akan bergantung kepada karya picisan dan kita tidak boleh mempersalahkan mereka.
Pada pendapat saya, ini salah kita sebagai sasterawan kerana tidak dapat
memenuhi keperluan jiwa dan emosi mereka [khalayak yang tidak mahu dan tidak
tahu berfikir menggunakan otak].
Sekiranya
Uthaya menafikan dirinya daripada menelaah ‘karya bodoh’, mahupun mengarang
‘karya bodoh’, bagi saya, dia belum memperlihatkan kepintarannya dalam
menangani masyarakat sastera secara umumnya kerana dia masih berada pada tahap
pertama dalam hierarki estetik sastera Hindu mahupun sastera Melayu kerana hanya
menerima yang ‘baik’ sebagai ‘indah’.
Penerimaan
seperti ini adalah penerimaan terhadap ‘bahagian’ dan bukan ‘keseluruhan’.
Bahagian yang diterima sebagai ‘indah’ itu sebenarnya bukanlah ‘indah’
kerana ia tidak lahir dalam ‘keseluruhan’.
‘Keseluruhan’
bermakna, yang ‘baik/indah’ dan yang ‘tidak baik/tidak indah’ perlu
hadir bersama-sama; untuk menentukan pada akhirnya bahawa ‘kebaikan/keindahan’
mencapai kemenangan.
Konsep
ini mendasari sastera, terutama sastera India dan tempiasnya banyak sekali pada
sastera Melayu.
Kepintaran
memerlukan keupayaan menyesuaikan diri. Dalam hal ini, saya rasa Uthaya masih
perlu menyesuaikan diri dengan masyarakat untuk memenangi hati mereka.
Keupayaan
mencari alternatif dan menawan khalayak adalah kepintaran; ditambah dengan
keupayaan menghibur sambil mendidik, dan pada tahap yang lebih tinggi menjadi
pelantar asas kepada peningkatan spiritual melalui penyerahan estetik dalam
karya.
Kalau diukur dari perspektif Uthaya, apakah kita hendak melabelkan pengarang karya klasik sebagai pengarang ‘bodoh’ kerana memaparkan adegan lebih ‘bodoh’ seperti mitos, alegori yang tidak masuk akal, hiperbola yang sukar untuk dibayangkan dan metafora yang jelasnya penipuan dalam karya mereka?
Berita Harian,
21 Mei 1999
[Catatan: Artikel yang sama, oleh penulis yang sama pernah juga tersiar di akhbar yang sama dengan judul “Penulis Usah Mudah Jadi Hipokrit” pada 6 Januari 1999]