Drama Tari Dramatik dari Kerala
Oleh: Uthaya Sankar SB
KUTIYATTAM adalah satu bentuk drama tari tradisional di India. Drama tari ini pada asalnya berkait erat dengan upacara keagamaan Hindu di kuil. Ia menggunakan Bahasa Sanskrit, Malayalam serta Manipravala (gabungan Bahasa Malayalam dan Sanskrit) dalam nyanyian, dialog dan penceritaannya.
Kutiyattam dipersembahkan di atas pentas – disebut kutambalam – yang dibina khas di perkarangan kuil, terutama di Kerala.
Drama tari kutiyattam dipercayai bermula pada abad kesepuluh. Ia dipercayai berasaskan cerita tulisan Tolan. Andaian ini dibuat kerana skrip drama tari yang dihasilkan oleh Tolan diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya di Kerala.
Tolan mengambil cerita-cerita daripada Ramayana, Mahabharata dan Purana, lalu menghasilkan skrip yang diubahsuai ke bahasa tempatan dan mengikut citarasa semasa.
Persembahan drama tari ini dilakukan oleh satu golongan yang membuat persembahan kutiyattam secara sepenuh masa. Mereka digelar golongan cakyaras. Golongan ini terdiri daripada cakyar (penari/pelakon lelaki), nambyar (pemain gendang) dan nannyar (vokalis dan penari wanita).
Drama tari kutiyattam sebenarnya bermula sebagai upacara keagamaan yang dipersembahkan pada hari-hari perayaan keagamaan Hindu. Tetapi ia kemudian menjadi seni persembahan bagi tujuan hiburan semata-mata.
Teknik tarian adalah berpandukan attaprakara (style of acting manual) yang menceritakan secara terperinci setiap teknik interpretasi cerita dalam drama tari kutiyattam.
Posisi asas adalah mandalastanam, sama seperti posisi asas kathakali. Bentuk tubuh semasa posisi asas ini dibentuk oleh kedua-dua kaki penari yang dibengkokkan ke tepi, torso (bahagian bahu ke pinggang) yang tegak dan kedua-dua belah lengan yang diangkat ke paras bahu serta dibengkokkan pada siku supaya tangan menghulur ke arah dada.
Tapak kaki penari menyentuh lantai manakala ibu jari kaki tertonjol ke atas; sepertimana kathakali. Setiap kali selepas melakukan pergerakan dalam tarian, penari akan pulang ke posisi asas – mandalastanam – yang juga dikenali sebagai “posisi rehat”.
Bahagian torso penari dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian atas adalah dada dan bahu, manakala bahagian bawah pula perut dan pinggang. Kedua-dua bahagian ini bergerak secara berasingan. Dalam istilah seni persembahan, dikatakan bahawa torso penari berkerat-kerat (segmented) dan berasingan (isolated).
Teknik pergerakan pula diolah dengan gaya (stylized). Cerita disampaikan melalui hastabhinaya (lakonan melalui pergerakan tangan; atau mudra), netrabhinaya (lakonan melalui pergerakan mata), mukhabhinaya (lakonan melalui ekspresi muka) dan angikabhinaya (lakonan melalui pergerakan seluruh tubuh badan). Ada masanya sebahagian cerita disampaikan melalui mukhabhinaya sahaja tanpa pergerakan tangan, kaki dan badan.
Kutiyattam lebih mementingkan nrittya (pergerakan pantomim, danced mime atau storytelling) daripada nritta (tarian tanpa cerita atau pure dance). Dengan itu, interpretasi dilakukan oleh penari bagi setiap ayat yang dinyanyikan oleh nannyar, bukan bagi setiap perkataan.
Cerita-cerita kutiyattam adalah berpandukan skrip oleh penulis bernama Tolan. Cerita-cerita ini diambil daripada epik Ramayana, Mahabharata dan Purana. Skrip asal oleh Tolan ini diubahsuai sedikit mengikut keadaan semasa untuk menjadikannya lebih menarik.
Contoh cerita adalah “Nagananda” (Delight of Snakes), “Valivadhanka” (Slaying of Vali) dan “Anguliyankam” (Presentation of the Ring).
“Valivadhanka” mengisahkan perselisihan antara Vali, raja kera dengan adiknya, Sugriwa. Sugriwa lalu meminta bantuan Rama untuk membunuh Vali. Aksi pertarungan Sugriwa-Vali dan Rama-Vali dipersembahkan secara penuh dramatik dalam drama tari kutiyattam.
Sementara itu, “Anguliyankam” berkisar tentang episod Rama meminta hanuman meninjau keadaan Sita yang dilarikan oleh Ravana. Apabila bertemu Sita, Hanuman menyampaikan cincin pemberian Rama bagi membuktikan bahawa dia adalah utusan daripada Rama.
Struktur persembahan terbahagi kepada empat bahagian: Talavilkettuka, Arannuvitanam, Purappad dan Nirvahana.
Bahagian Talavilkettuka, iaitu upacara memasang lampu pertama dilakukan di belakang tirai bagi memuja Ganesha, dewa berkepala gajah. Ia dilakukan bagi mendapatkan restu Ganesha yang dianggap dewa utama dalam agama Hindu.
Pada bahagian Arannuvitanam pula, pentas direnjis dengan air suci, ditaburkan bunga serta dihias daun kelapa muda dan daun pokok mangga. Semua ini dilakukan dengan andaian dan kepercayaan bahawa dewa-dewi akan datang untuk turut menonton persembahan yang diadakan.
Pada bahagian Purappad yang bermakna “berangkatlah pergi”, nambyar memainkan tala (ritma) pengenalan dengan gendang. Penari melakukan marayilkriya (gabungan nritta dan nrittya tersembunyi) di belakang tirai berwarna merah. Penonton dapat melihat bayang-bayang penari sahaja.
Kemudian, nannyar (vokalis) menyampaikan lagu. Penari mempersembahkan marayilkriya (gabungan nritta dan nrittya terbuka) di atas pentas. Ia merupakan bahagian cerita dalam persembahan kutiyattam. Biasanya para penontoh sudah sedia mengetahui jalan cerita yang dipersembahkan.
Nirvahana merupakan bahagian di mana para penari menceritakan kisah masa lalu melalui nrittya. Bahagian ini amat kompleks kerana imbas kembali (flashback) dilakukakn secara tidak kronologi. Tetapi kompleksiti ini tidak pernah menghalang penonton daripada menghayati jalan cerita. Tambahan pula, seperti yang sudah disebutkan, penonton sudah sedia mengetahui jalan cerita kisah-kisah yang diangkat daripada epik Ramayana, Mahabharata dan Purana.
Apa yang dipentingkan oleh penonton adalah kesan dramatik, hiburan, pakaian dan solekan yang grandeur serta muzik yang menggetarkan jiwa. Peralatan muzik yang digunakan bagi mengiringi persembahan drama tari kutiyattam adalah berpandukan apa yang dinyatakan dalam Natyasastra; iaitu sebuah manual lengkap tentang seni persembahan India yang meliputi bidang muzik, tarian dan drama. Alat-alat muzik yang digunakan dalam persembahan kutiyattam adalah gendang bulat, kesi, sangkakala, trompet kecil dan gendang kecil.
Gaya solekan muka para penari diolah dengan gaya (stylized) bagi menunjukkan jenis watak dan perwatakan. Muka watak wira biasanya berwarna hijau atau merah serta memakai kadbod putih dari telinga hingga ke dagu meliputi pipi. Wajah watak jahat pula berwarna campuran hijau, merah dan putih. Terdapat juga lukisan corak pisau pada dahi. Oleh sebab itulah juga watak jahat turut digelar katti yang bermakna ‘pisau’.
Watak-watak binatang dalam persembahan kutiyattam pula boleh dikenali melalui warna pada janggut mereka. Misalnya, Hanuman, si lotong/kera daripada epik Ramayana digelar Si Janggut Putih; mengikut warna janggutnya.
Pakaian asas penari terdiri daripada kupayam iaitu baju seperti jaket yang berlengan panjang, poyatakam iaitu dua helai kain putih yang dipakai oleh penari dari paras pinggang ke bawah dan uttariya iaitu skaf berbentuk bunga teratai yang dipakai oleh penari pada bahu seperti selendang atau diikat pada pinggang.
Perlu dinyatakan bahawa corak persembahan kutiyattam yang bermula pada abad kesepuluh mempunyai beberapa persamaan dengan kathakali yang diasaskan pada abad ke-17. Hal ini tidaklah menghairankan kerana kathakali dipercayai menerima pengaruh daripada kutiyattam.
Namun begitu, antara kedua-dua bentuk drama tari ini masih terdapat beberapa perbezaan yang ketara. Misalnya, kutiyattam disertai oleh golongan cakyaras yang terdiri daripada lelaki dan wanita. Kathakali pula dikhaskan untuk penari lelaki sahaja kerana teknik persembahan yang jauh lebih rumit.
Selain itu, kathakali dipersembahkan di tanah lapang terbuka di perkarangan kuil manakala kutiyattam dipersembahkan di atas kutambalam yang dibina di perkarangan kuil. Selain itu, kutiyattam amat mementingkan bahagian imbas kembali; tidak demikian halnya dengan kathakali.
Daripada aspek netrabhinaya, penari kathakali mementingkan mata yang merah tetapi penari kutiyattam tidak mementingkan hal ini. Satu lagi perbezaan yang ketara adalah bahawa cerita kutiyattam berpandukan skrip yang ditinggalkan oleh Tolan manakala kathakali mengambil terus cerita daripada epik Ramayana, Mahabharata dan Purana. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa skrip Tolan masih berpandukan kisah-kisah dalam Ramayana, Mahabharata dan Purana.
Dewan Budaya, April 1997