Ramayana
Tarikh
sebenar Ramayana ditulis sukar dikesan,
tetapi dipercayai ia ditulis antara abad ke-4 SM dan abad ke-2 M.
Penulis
asal Ramayana ialah Valmiki iaitu seorang penyair agung. "Ayana"
bermaksud "perjalanan hidup" atau "panduan hidup". Rama pula
adalah watak utama epik ini.
Ramayana
adalah epik suci agama Hindu dan menjadi panduan hidup kepada para penganut. Ia
juga merupakan karya sastera agung (adi-kavya)
dan karya sejarah (itihasa).
Karya
ini tersebar luas ke seluruh dunia bersama penyebaran agama
Hindu. Epik ini juga
dialih bahasa serta diubahsuai mengikut keadaan setempat.
Ramayana
terdapat dalam bahasa Tamil, Telegu, Malayalam serta bahasa-bahasa lain di
India. Ia juga ditemui di negara-negara Asia, terutamanya Malaysia, Thai,
China, Jepun, Tibet, Fiji, Surinam, Indonesia dan Burma.
Tema
Ramayana adalah tentang kebaikan
menentang kejahatan. Cerita asas adalah mengenai penculikan Sita, isteri Rama,
oleh Ravana. Lalu Rama, Laksamana dan Hanuman berusaha menyelamatkan Sita.
Tidak
lama selepas Sita diselamatkan dan mereka pulang ke Ayodhya, Rama mencurigai
kesetiaan Sita. Maka Sita dihantar ke hutan.
Di
situ, dia dipelihara oleh Valmiki. Penyair inilah yang kemudian kononnya
menghasilkan Ramayana.
Epik
ini sentiasa diubahsuai dan diberi interpretasi baru. Misalnya dalam versi
di Tibet, Sita dikatakan anak Ravana. Hikayat
Seri Rama (Malaysia) dan Ramajataka (Thai)
pula menyebut Hanuman sebagai anak Rama.
Rama
pula dipercayai adalah inkarnasi (avatara)
Dewa Vishnu. Penganut agama Buddha pula percaya bahawa Rama adalah inkarnasi
Gautama Buddha. Hanuman adalah inkarnasi Dewa Shiva yang kesebelas iaitu Rudra.
Ramayana
juga menjadi bahan cerita bagi drama tari Kutiyattam, Kathakali, Yakshgana,
Ramlila dan Therukuttu di India.
Di
Kerala dan Mysore, India, ia menjadi sumber pertunjukan wayang kulit; seperti di
Malaysia, Indonesia dan Thai.
Bentuk-bentuk
seni persembahan seperti Wayang Wong dan Tari Puteri di Indonesia serta Nang
Yai, Nang Talung dan Khon di Thai turut mengambil kisah daripada epik Ramayana.
Epik
ini boleh didapati dalam pelbagai edisi dan bahasa. Ada edisi ringkas yang
dipenuhi lukisan bagi bacaan kanak-kanak. Ada juga edisi yang sesuai bagi bacaan
remaja dan dewasa.
Malah
pada setiap kali kita membacanya, kita boleh mendapat suatu pengalaman serta
ilmu baru.
Epik
Ramayana sentiasa diberi interpretasi
baru dari masa ke semasa oleh para pengkaji yang peka dan berfikiran kritikal.
Misalnya Kembang Kanigara (DBP: 1992) karya S.M. Zakir cuba menghalusi jiwa Indrajit, anak Ravana. Hanuman: Potret Diri (DBP: 1996) pula menghalusi jiwa Hanuman, si kera putih bermata hijau.
Di
tangan Uthaya Sankar SB juga lahir beberapa cerpen parodi yang mengambil bahan
daripada pelbagai versi Ramayana.
Antaranya “Bitara Sita”, “Bitara Rama”, “Sengketa Pulau Cinta” dan
“Sasterawan Pulau Cinta”.
Ramayana,
sebagaimana juga Mahabharata, Hikayat Hang
Tuah dan Sejarah Melayu
adalah umpama telaga ilmu yang boleh terus ditimba airnya. Makin kita menimba,
makin jernih dan segar air yang kita perolehi.
Generasi
baru diharap akan terus menaruh minat terhadap epik-epik seperti ini. Mereka
diharap berupaya menghayati dan menginterpretasi apa yang tersirat di dalamnya.
Utusan Malaysia, 9
Mac 1996
Kavya, Jan-Feb 2000
Bacaan Tambahan - Ramayana Dari Sudut Pandangan Yang Lain