Mempromosi Karya Sastera dalam Era Teknologi Maklumat: Suatu Catatan Peribadi

 

 

 

Maaf. Menulis bukan suatu kerjaya di Malaysia. Ini tidak pula bermakna kita boleh menulis ala kadar. Penulisan lebih berupa tanggungjawab sosial. Dan bagi penulis profesional – sebagai kontra kepada penulis amatur – pula, penulisan adalah salah satu cara memperoleh pendapatan sampingan secara yang halal. Semakin banyak karya dihasilkan serta tersiar, semakin banyak honorarium diterima.

 

Dalam hal ini, tidak dapat tidak, kita terpaksa mengakui hakikat kelembaban minat membaca di Malaysia. Tetapi saya tidak mahu menuding pada masyarakat umum semata-mata. Dalam ruangan “Surat Kepada Editor” di Dewan Sastera April 1997, dua pembaca mengemukakan masalah mendapatkan majalah berkenaan di pasaran. Maaf. Segala yang saya katakan di sini memang kisah lama.

 

Kalau anda melawat laman web http://www.dbp.gov.my dan membaca catatan dalam buku tetamu, rungutan @ rasa kesal yang hampir sama sering dikemukakan oleh pengguna internet yang nampaknya terlalu mengharap – overestimate – terhadap kemampuan penerbit berwibawa itu.

 

Sewaktu saya berceramah di beberapa tempat, ramai yang merungut tentang kelemahan pihak penerbit dalam memasarkan buku. Hakikat ini terpaksa diterima oleh pihak penerbit. Usahlah mencari “alasan” untuk menutup kelemahan pengurusan. Sebaliknya, jadikannya teguran membina demi kebaikan.

 

Sekadar contoh, buku-buku sastera terbaru sering diiklankan dalam majalah Dewan Sastera. Soalnya, siapakah pembaca majalah berkenaan? Kebanyakan daripada pembacanya adalah kelompok masyarakat yang sudah sedia meminati bidang sastera. Lalu, iklan tadi hanya sampai kepada kelompok yang itu-itu sahaja. Bukankah lebih berkesan – dan lebih bijak – jika buku-buku sastera diiklankan dalam akhbar dan majalah yang mempunyai pembaca dari kelompok yang pelbagai?

 

Sewaktu diwawancara untuk ruangan sastera majalah Dakwah (Julai 1996), Pak Abdullah Hussain menimbulkan persoalan tentang siapakah yang bertanggungjawab mempromosi karya. Saya ingin mengemukakan pertanyaan yang sama kepada anda: Siapakah yang bertanggungjawab mempromosi buku yang diterbitkan?

 

Maaf. Ini mungkin persoalan yang klise. Saya pernah menimbulkan pertanyaan ini dalam kertas kerja bertajuk “Kisah yang Diulang-ulang” semasa Pertemuan Karyawan Sastera MPR: Perbincangan Proses Kreatif dan Karya sempena Minggu Penulis Remaja 1997 di Sudut Penulis DBP pada 26 Mei 1997. Malah perkara yang sama saya timbulkan dalam sebuah tulisan bertajuk “Penerbit harus kenalkan penulis” yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 5 April 1998.

 

Tetapi memandangkan bahawa persoalan ini masih belum terjawab, rasanya tidak salah jika persoalan yang sama ditimbulkan berulang kali – dengan harapan akan mendapat reaksi pihak terbabit.

 

Mungkin karya yang tersiar secara eceran tidak memerlukan promosi individual. Tetapi bagaimana dengan karya berbentuk buku (antologi dan kumpulan cerpen misalnya)? Siapa yang bertanggungjawab mempromosikannya: penerbit, pekedai buku atau penulis sendiri?

 

Dengan royalti tidak seberapa yang diterima, mampukah penulis menjelajah serata tanah air untuk mempromosi karyanya – seperti yang dipersoalkan oleh Pak Abdullah Hussain. Atau wajarkah kita mengharapkan pekedai buku mempromosi karya sastera sedangkan tujuan utama mereka adalah mencari untung hasil daripada  perniagaan buku yang dijalankan.

 

Dalam soal ini, saya bersetuju dengan pendapat Pak Abdullah Hussein bahawa penerbitlah yang sepatutnya memainkan peranan serta tanggungjawab utama dalam mempromosi karya melalui unit pemasaran. Soalnya, setakat manakah tanggungjawab berkenaan dilaksanakan?

 

Maaf. DBP sebagai badan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera kebangsaan sewajarnya memainkan peranan dalam menangani isu ini – sekurang-kurangnya bagi buku-buku yang diterbitkannya. Malangnya dalam perkembangan terbaru, DBP terpaksa menghantar surat kepada penulis untuk menawarkan mereka membeli baki stok buku mereka sendiri dengan potongan harga sebanyak 80% sebelum penerbit menghapus kira buku-buku berkenaan.

 

Misalnya pada 10 Februari 1999 saya menerima surat mengatakan bahawa kumpulan cerpen Orang Dimensi masih berbaki sebanyak 725 naskhah. Saya ditawarkan membeli baki stok berkenaan; walhal pada waktu itu artis berjadual di RTM terpaksa mengikat perut kerana gaji bulan Disember 1998 belum nampak bayangnya sekalipun. Hajat di hati, nak beli kesemua baki stok Orang Dimensi untuk disebar luaskan semasa saya megendalikan bengkel dan ceramah sastera. Tetapi apa kan daya poket tak berisi.

 

Dengan mengesampingkan soal dalaman RTM mengenai tunggakan gaji artis berjadual, paradoksnya di sini – mengenai soal menghapus kira stok buku yang tidak terjual – adalah bahawa di masa lalu, apabila saya mahu membeli Orang Dimensi untuk diedarkan semasa bengkel cerpen, saya sentiasa diberikan jawapan bahawa tidak ada stok di kedai buku. Akhirnya saya terpaksa membeli buku-buku lain bagi kegunaan semasa bengkel cerpen; atau sekadar mengedar salinan fotokopi cerpen-cerpen saya sendiri kerana buku asal tidak terdapat di kedai-kedai buku DBP sendiri.

 

Maaf. Usaha promosi harus diperhebatkan dan dilakukan secara yang terancang. Mungkin penerbit dan penulis dapat bekerjasama dalam usaha promosi. Misalnya apabila penerbit mengadakan pameran buku, selitkan sekali sesi pertemuan dengan penulis. Pada sesi seumpama itu, di samping masyarakat dapat bersemuka dengan penulis, promosi buku juga dapat dilakukan secara tidak langsung.

 

Memanglah promosi seumpama ini ada dilaksanakan sebelum ini. Tetapi ia lebih tertumpu kepada penulis besar yang sudah sedia dikenali umum; selalunya Sasterawan Negara. Bagaimana dengan penulis muda seperti Hizairi Othman, Mawar Shafei, Faisal Tehrani, Saroja Theavy Balakrishnan dan saya sendiri? Perlukah kami menunggu sehingga kami dinobatkan sebagai Sasterawan Negara sebelum DBP, penerbit-penerbit lain serta penganjur pameran buku di PWTC terfikir untuk menjemput kami?

 

Biasanya saya gunakan sesi ceramah dan bengkel penulisan untuk mempromosi karya saya kerana saya tidak mahu buku-buku saya terus tidur nyenyak di dalam stor penerbit. Tetapi itu hanyalah usaha pada skala kecil-kecilan. Saya tidak dapat menjelajah seluruh negara untuk mempromosi buku-buku saya. Kosnya siapa yang akan tanggung?

 

Sebaliknya, betapa baik jika penerbit yang menganjurkan pesta buku mengambil inisiatif mengundang penulis-penulis muda bagi mempromosi karya. Tambahan, usaha promosi memang menjadi sebahagian daripada tugas pemasaran pihak penerbit.

 

Menurut seorang pakar aktiviti pemasaran bernama Jerome McCarthy, aktiviti pemasaran melibatkan produk, penentuan harga, pengedaran dan promosi. Perlu diakui bahawa para penerbit di Malaysia masih cukup lemah dalam aspek pengedaran dan promosi.

 

Antara bentuk promosi yang mudah dilakukan adalah membuat iklan, majlis pelancaran, majlis diskusi buku serta tawaran diskaun. Penerbit yang berwibawa pastinya tahu merancang strategi dan taktik pemasaran.  

                  

Surat Berita - Kavya - Newsletter

Lebih banyak maklumat penulis kaum India Malaysia!

                

Media elektronik juga wajar dieksploitasi secara positif bagi mempromosi karya sastera ke seluruh negara. Tidak usahlah kita bercakap tentang slot khas bagi sastera di televisyen. Usah terus menanti bulan gugur ke riba. Sebaliknya, gunakan slot sastera yang sedia ada di radio. Radio Satu dan Radio KL mempunyai target audience yang cukup ramai.

         

Daripada pengalaman saya sendiri menyertai ruangan sastera di kedua-dua stesen radio berkenaan, saya dapati ramai pendengar menelefon untuk mengetahui tentang dunia sastera. Pada masa yang sama, mereka mengakui betapa mereka tidak tahu tentang buku-buku karya sastera terbaru di pasaran.

 

Sebaliknya mereka lebih terdedah kepada iklan dan promosi kaset lagu terbaru di pasaran. Ini adalah hasil promosi yang terancang di radio. Syarikat rakaman turut mengusahakan agar artis dibawa ke studio untuk memberi peluang kepada para pendengar radio berinteraksi melalui telefon.

 

Di sini, usahlah kita salahkan masyarakat kalau mereka lebih mengenali kaset daripada buku. Sebaliknya penerbit buku perlu bertindak bijak menggunakan air time di radio untuk mempromosi karya sastera. Ruangan sastera yang sedia ada wajar digunakan sepenuhnya secara bijak dan terancang. Promosikan buku-buku terbaru secara profesional. Jangan pandai meminta ruang tetapi tidak pandai mengisi ruang.

 

Bawalah penulis ke studio untuk memberi peluang masyarakat berbual dengan mereka melalui telefon. Saudara Ismail Karmun dan saudara Jaafar Abdul Rahim dari DBP sering melakukan promosi seperti ini sekitar tahun 1997 dulu. Usaha mereka wajar dipuji dan dicontohi. Usaha saudara Jamil Hashim yang menyelenggara rancangan Sembang-sembang Sastera di Radio Satu – setiap Jumaat, 3:15 petang – juga wajar dipuji, dihargai dan dimanfaatkan sepenuhnya.

 

Namun begitu, perlu juga dipastikan bahawa promosi seumpama ini dilakukan secara profesional. Pastikan bahawa penulis yang dibawa ke studio berkebolehan untuk bercakap di radio atau tv. Saya perhatikan beberapa penulis – termasuk penulis mapan – yang dibawa ke studio terlalu gementar untuk menjawab pertanyaan pendengar. Lain yang ditanya, lain yang dijawab. Ramai penulis nampaknya hanya mampu “bercakap” melalui karya. Apabila dibawa ke studio untuk berinterkasi secara live dengan pendengar, mereka mula menampakkan sifat tidak profesional.

 

Apa yang nyata, strategi pemasaran buku perlu ditingkatkan secara profesional. Promosi tidak lagi harus tertumpu kepada produk (buku) semata-mata. Sebaliknya, gunakan strategi pemasaran melalui promosi “jenama” (penulis) untuk membantu melariskan “produk”. Belajar daripada penerbit kaset lagu dan filem.

 

Pengurusan dan organisasi penerbitan juga amat perlu diberi perhatian serius. Usahlah tunggu sehingga ditegur tokoh politik, baru penerbit mula sibuk meningkatkan mutu kerja – dan dua-tiga minggu kemudian kembali lembap seperti sedia kala! Dan kembali mengirim surat mengenai “jual lambak” kepada para penulis yang sebelum ini sering tidak menemui bukunya sendiri di kedai buku.

 

Maaf. Saya sudah terlalu banyak kali mengungkitkan perkara yang sama. Dan seperti yang dapat diduga, tidak ada reaksi daripada pihak terbabit. Mungkin itulah sebabnya saya lebih suka menjadi lone ranger; mempromosi sendiri karya-karya saya – dan sekaligus penerbit dapat menjimatkan kos promosi!

 

Maaf. Saya memang sasterawan yang ambitious, confident, and even perhaps, a little arrogant seperti yang disimpulkan oleh seorang wartawan dalam The Sun Megazine (28 September 1998) serta outrageous, bold, blunt and confident, with a tinge of sarcasm and arrogance … a writer who does not fail to capture the the attention of his audience with his outspokenness and, not to forget, provocative introductions seperti dinyatakan dalam akhbar New Straits Times (2 Disember 1998).

 

Seperti yang saya jelaskan – antara lain – dalam Dewan Sastera Mei 1997 dan dalam kertas kerja bertajuk "Genius dan Marumalarchi" pada Seminar Kebangsaan Kesusasteraan di Malaysia di Universiti Sains Malaysia pada 8 November 1998, saya mula menulis – antara lain – kerana mual membaca karya klise. Lalu tidak hairanlah jika lantaran kecewa dengan kegagalan (ketidakjayaan?) penerbit mempromosi “jenama” dan “produk”, saya memutuskan untuk melakukannya sendiri setakat yang termampu.

 

Sejak mempunyai kemudahan internet pada Mei 1998, saya memutuskan untuk menyebarluaskan karya-karya saya melalui e-mel. Saya sedar bahawa tidak semua orang berpeluang menatap karya-karya saya yang tersiar di akhbar dan majalah. Malah saya juga sedar akan konsep pemasaran masa kini. Kita tidak boleh lagi membuka gerai makanan dan menunggu pelanggan datang makan di gerai kita. Sebaliknya kita perlu mendekati pelanggan yang berpotensi.

 

Tetapi sebelum itu, seperti yang saya huraikan tadi, saya mahu melakukan promosi “jenama” terlebih dahulu. Maksudnya, mempromosi pengarang. Jadi saya memutuskan untuk mengedarkan salinan manuskrip cerpen-cerpen saya yang sudah tersiar di akhbar/majalah kepada seramai mungkin pembaca melalui e-mel.

 

Siapa kata dalam era IT, MSC dan internet ini sastera sudah terpinggir? Nah! Saya sudah membuktikan bahawa sastera lebih mampu mengeksploitasi teknologi. Sebelum ini, saya tampil di kaca tv sebagai pengacara rancangan Prisma. Peluang itu saya gunakan sebagai salah satu strategi memperkenalkan “jenama” kepada khalayak. Saya juga menyumbang suara dalam berita di tv; juga satu cara mudah menjadikan nama dan suara saya mencapai tahap household di kalangan masyarakat.

 

Lalu apabila saya mengirim e-mel kepada orang ramai untuk memberitahu mengenai “Kumpulan Khalayak Siber Intelek Sastera” (KKSIS), ramai yang sudah mengenali siapa Uthaya Sankar SB. Ramai berminat menyertai KKSIS untuk menerima salinan cerpen-cerpen dan tulisan saya melalui e-mel.

 

Mengapa percuma?

 

Maaf. Saya tidak dapat memberikan jawapan untuk itu. Mungkin ia adalah kos yang terpaksa saya tanggung untuk memasyarakatkan karya-karya saya. Lantaran minat. Atau semata-mata kerana mahu membuktikan kepada pihak penerbit bahawa terdapat 1008 cara mempromosi karya sekiranya kita berusaha. Laman web penerbit bukan sekadar hiasan untuk menghitung berapa ramai ‘mangsa’ yang melawat laman berkenaan tetapi boleh digunakan dengan bijak demi memartabatkan sastera.

 

Mungkin tidak boleh dianggap lari daripada konteks jika saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak – terutama ahli-ahli KKSIS – yang membantu saya menambah ahli. Dan percayalah, jumlah ahli KKSIS sentiasa meningkat. Anda yang berminat dipersilakan menghubungi saya melalui alamat e-mel uthayasb@tm.net.my pada bila-bila masa.

 

 

(Wahai! Wahai wartawan yang membuat liputan acara ini! Sudilah berikan perhatian terhadap perkara ini. Wahai! Wahai sesiapa yang membaca maklumat ini! Sudilah heboh-hebohkan perkara ini.)  

 

 

Sewaktu kertas kerja ini ditulis, terdapat 14 cerpen dewasa/umum dan sekurang-kurangnya 5 cerpen remaja yang saya edarkan kepada para ahli KKSIS secara percuma. Begitu juga dengan teks-teks ceramah dan rencana-rencana saya yang tersiar di pelbagai media. Segala bahan yang sesuai saya sebarkan kepada para ahli melalui e-mel.

 

Malah para ahli juga berpeluang mengemukakan maklum balas dan komen untuk dikongsi bersama ahli-ahli lain dalam KKSIS. Sehingga kini, sambutan yang diterima sungguh memberangsangkan. Ahli KKSIS bukan hanya golongan penulis. Bukan hanya orang dewasa. Bukan hanya di Malaysia. Bukan hanya membicarakan karya sastera. Bukan hanya sehala. Bukan hanya kaum India.

 

Penggunaan ruang siber, internet dan e-mel untuk promosi sastera bukanlah sesuatu yang baru. Memang ramai penulis sudah membina laman web bagi memuatkan karya masing-masing untuk tatapan masyarakat seluruh dunia. Bukan hanya dalam Bahasa Inggeris tetapi juga dalam Bahasa Malaysia.

 

Lalu mengapakah golongan penerbit – dan pihak-pihak lain yang terlibat sama – terlalu tidak mampu berbuat apa-apa dalam usaha mempromosi karya sastera? Apakah bagi mereka, teknologi terlalu hebat daripada sastera dan sastera tidak mungkin boleh mengeksploitasi teknologi?

 

Usahlah kita – golongan sasterawan dan pencinta sastera – terlalu mengharap kepada pihak yang tidak berkemampuan @ impotent. Usah dinanti bulan jatuh ke riba. Usah dinanti sehingga usaha promosi sastera dimasukkan dalam senarai sebagai salah satu agenda utama MSC dan Wawasan 2020. Usah menanti untuk membeli buku-buku sendiri dari gudang penerbit dengan diskaun 80% untuk diedarkan kepada masyarakat umum. Usah menanti misi perdagangan membawa buku sastera Bahasa Malaysia untuk dijual di luar negara. Usah mengharapkan pemimpin politik memulakan usaha menggesa rakyat membaca buku sastera. Usah menyalahkan masyarakat yang lebih mengenali Nafas Cinta daripada Siru Kambam; atau Yusuf Haslam daripada Hizairi Othman. Usah ternanti-nanti buku-buku kita dijadikan bacaan tambahan di sekolah. Usah mengharap buku-buku sastera dijual di plaza tol seluruh negara. Usah menanti Menteri Besar Kedah mencetuskan idea “gila-gila” bagi mempromosi dan melariskan jualan buku sastera. Usah tertanya-tanya bila buku kita yang sudah dicetak akan dikeluarkan dari dalam gudang nun jauh di sana untuk kemudian disembunyikan pula di bahagian belakang rak di kedai-kedai buku. Usah berpuas hati jika buku kita sudah ada di Pulau Langkawi. Usah ditanya mengapa penerbit ada kemudahan internet untuk membolehkan kakitangannya memesan buku-buku penerbit barat tetapi tidak menyediakan laman web untuk memudahkan masyarakat umum mengetahui buku terbaru di pasaran tempatan. Usah tertanya-tanya apakah golongan pemimpin membaca karya-karya kita dan memahami mesej yang tersirat di dalamnya. Usah menyalahkan masyarakat yang tidak berminat membeli buku sastera. Usah disalahkan pekedai yang lebih suka menjual bahan bacaan pop. Usah merajuk jika remaja lebih menggemari sastera luar negara. Usah ditanya berapa abad lagi sastera Bahasa Malaysia akan terus terpinggir. Usah menagih simpati. Usah menanti. Usah.

 

Berusaha.

Mulakan dengan KKSIS.

(Nah! Ini juga semacam promosi.)

 

 

Uthaya Sankar SB

Pertemuan Sasterawan Malaysia I

16-20 April 1999

Johor Bahru, Johor