Surat Dari Madras 

menghargai sokongan dan dorongan

para pembaca.

tanpa kalian, siapalah saya

   

Kumpulan cerpen Surat Dari Madras (DBP: 1999) menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/99 bagi kategori kumpulan cerpen remaja.

Ia mengumpulkan 16 buah cerpen yang mencabar minda serta merangsang pemikiran kreatif dan kritikal di kalangan pembaca.

    

Judul Buku: Surat Dari Madras

Pengarang: Uthaya Sankar SB

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Cetakan Pertama: 1999

ISBN: 983-62-6464-7

Harga Pasaran: RM20.00

  

  

Bayangkan diri kita menjadi seekor burung yang duduk di dalam sangkar. Kita boleh menjadi apa-apa burung: tiung, nuri, pipit, gagak, kakaktua, merbuk. Kita boleh berada di dalam apa-apa jenis sangkar: emas, buluh, besi. Dari situ, kita melihat alam yang terdapat di luar dari sangkar kita.

  

Melalui konsep ini, saya menjadi burung yang boleh bercakap secara langsung kepada khalayak. Dan ada kalanya pula saya menjadi burung yang diperhati dan ditafsir sendiri oleh khalayak. Begitulah juga dalam penulisan saya; ada masanya saya bercerita secara langsung dan ada masanya saya minta khalayak mentafsir sendiri kata-kata saya.

  

Sebenarnya, sebagai Penulis Angkatan Baru, saya tidak suka untuk sekadar menghayati apa yang tertulis (tersurat) dalam teks semata-mata. Sebaliknya saya mahu mengetahui apa yang tersembunyi (tersirat) di sebalik apa yang terdapat di permukaan teks.

  

Saya tidak mahu menjadi burung pasif yang terkurung di dalam sangkar teks. Sebaliknya saya mahu menjadi burung kreatif yang berupaya melihat jauh ke luar dari sangkar teks yang dihuninya.

  

Begitulah juga yang saya harapkan daripada pembaca karya-karya saya. Itulah sebabnya saya menjadi "penimbul persoalan untuk renungan pembaca" dan bukannya "penyelesai masalah".

  

Saya mahu khalayak pembaca melihat apa yang terdapat di luar daripada teks; dalam realiti (alam), dalam masyarakat (khalayak sendiri), dalam fikiran penulis serta dalam teks-teks lain (intertekstualiti).

  

Saya tahu bahawa pembaca karya-karya saya adalah golongan berfikiran kritikal; bukan pasif. Jadi, sudikanlah membaca Surat dari Madras secara kritikal. Semoga anda berupaya melihat sesuatu itu dari sudut yang lain pula. Bagi saya, Surat dari Madras bukan sepucuk surat biasa - daripada seekor burung. Ia sebenarnya sebuah warkah rahsia yang menuntut kita melihat dan mentafsirkan apa yang tersembunyi di dalamnya!