Proses Pembacaan Novel Sinappapal
Suatu
Pengalaman Pasca Kolonial
Apabila berkarya, kita harus sentiasa ingat bahawa pembaca karya kita bukan calang-calang orang. Teks karya sastera kita bakal meninggalkan kesan pada khalayak. Karya yang baik akan diterima dan disambut baik. Karya yang memperbodoh-bodohkan pembaca akan ditertawakan oleh mereka; tentunya dan selayaknya. (“Mendekati Khalayak Remaja”, Dewan Sastera, Julai 1995.)
Surat Berita - Kavya - Newsletter Lebih banyak maklumat penulis kaum India Malaysia! |
Saya
telah mendapatkan senaskhah novel remaja Sinappapal
(Azizi Haji Abdullah, DBP: 1993) dengan harapan akan dapat menghayati budaya kaum
India melalui kaca mata seorang penulis Melayu yang bukan calang-calang
orang.
Selama
ini, karya-karya Azizi kebanyakannya diakhiri dengan tragedi (Dewan Sastera,
Disember 1993, hlm. 31). Jadi, melalui novel Sinappapal,
saya ingin juga tahu jika akan berlaku sesuatu seperti itu di akhir novel setebal 101
halaman ini.
Catatan
ini saya lakukan apabila selesai membaca setiap bab. Jadi, catatan ini lebih
merupakan “pengalaman membaca novel pasca kolonial” tanpa dipengaruhi
apa-apa teori kritikan yang khusus.
Terus-terang,
tajuk novel ini sendiri telah menimbulkan sedikit tanda tanya dan sekaligus
menimbulkan minat untuk dibaca.
Sinappapal.
Apakah
watak Sinappapal dalam novel ini seorang budak perempuan atau lelaki? Demikian
fikir saya setelah selesai membaca bahagian blurb.
Walaupun begitu, saya memulakan pembacaan pasca kolonial terhadap novel ini dengan menganggap Sinappapal sebagai seorang budak lelaki kaum India.
Dalam
bab pertama, Sinappapal (Sina) disuruh tinggal di dalam kelas semasa pelajaran
agama Islam oleh ibunya, Minaci. Ini kerana Sina selalu diusik oleh
kawan-kawannya di kelas Moral. Sina yang berusia lapan
tahun belajar di kelas tahap satu tahun dua.
Ustaz
Sudin mengajar agama Islam dengan “tidak peduli lagi sama ada murid-murid
bukan beragama Islam atau tidak” (hlm. 10). Beliau mengajar murid-muridnya
mengucapkan dua kalimah syahadat sambil mengingatkan, “Orang Islam sahaja.
Yang lain diam!” (hlm. 11).
Di
bab pertama lagi sudah nampak usaha penulis yang cuba mempermudahkan cerita.
Adalah tidak wajar bagi Ustaz Sudin mengajar agama Islam semasa Leong dan Gordi
Singh masih ada di dalam kelas. Sepatutnya Ustaz Sudin mengajar dua kalimah
syahadat semasa kelas agama. Penulis tidak sepatutnya terburu-buru dalam usaha
menonjolkan minat Sina terhadap ajaran agama Islam.
Adalah
pelik dan kurang wajar juga sikap Peter Lim (guru besar) dan Minaci yang
membenarkan Sina duduk dalam kelas agama Islam semata-mata kerana Sina diusik
oleh kawan-kawannya. Penulis seperti “memaksa” watak Peter Lim dan Minaci
bertindak mengikut kemahuan penulis tanpa alasan yang kukuh dan meyakinkan.
Sampai
di bab dua, saya bertambah hairan memikirkan bagaimana Sina boleh tahu kata-kata
Ustaz Sudin bahawa “Allah jadikan burung!” dan “Berdosa bunuh burung” (hlm.
16). Bukankah kata-kata itu diucapkan oleh Ustaz Sudin “pada satu hari” (hlm.
17)? Saya tertanya-tanya bagaimana Sina boleh tahu sedangkan baru pada hari
berkenaan dia mengikuti kelas agama Islam.
Dalam
bab ketiga, penulis mendedahkan bahawa ibu Sina iaitu Minaci “tidak sembahyang
dan tidak pernah pun ke kuil” (hlm. 20). Malah Sina sendiri dikatakan tidak
tahu di mana terletaknya kuil!
Bab
ini mewajarkan mengapa Sina begitu berminat dengan ajaran agama Islam. Minatnya
timbul bukan kerana dia tidak yakin dengan agama asalnya, tetapi kerana dia
langsung tidak diberikan ajaran asas agama. Lalu, apabila disuakan dengan agama
Islam, Sina terus terpikat.
Ustaz
Sudin terus mengajar murid-murid Islam menulis dua kalimah syahadat. Anehnya,
Leong, Gordi dan Sina masih ada di dalam kelas. Sina begitu berminat untuk
belajar menulis dua kalimah syahadat yang diajar tetapi Ustaz Sudin asyik tidak
memberikannya peluang.
Seterusnya,
sewaktu membaca bab kelima, saya tiba-tiba terfikir akan kemungkinan Zulkifli (Zul)
dan Sinappapal adalah anak kembar. Ini kerana “kebanyakan orang hairan,
mengapa Pak Akob setua itu, baru mendapat anak dan kini baru berusia lapan tahun”
(hlm. 32).
Saya
mula memikirkan kemungkinan Zul sebenarnya anak Minaci yang diserahkan kepada
Pak Akob dan Mak Biah yang tidak mempunyai anak. Mungkin juga akibat kesempitan
hidup Minaci; lebih-lebih lagi setelah kematian suaminya enam tahun terdahulu (hlm.
32).
Dalam
bab enam, Gordi Singh menyorokkan roti canai Zul dalam bungkusan Sina. Zul lalu
merajuk apabila Sina memanggilnya “pencuri”. Zul tidak mengendahkan teguran
Sina selepas itu.
Kalau
di bab pertama tadi penulis mengatakan bahawa Sina “… tidak mahu berpisah
dengan Zulkifli” (hlm. 13), maka dalam bab ini pula pembaca akan mengakui
sendiri kenyataan itu melalui penceritaan Azizi yang begitu menyentuh perasaan
pembaca.
Sina
tiba-tiba datang ke rumah Zul selepas waktu maghrib dalam bab ketujuh. Zul
benar-benar cemburu kerana Sina tahu menyebut dua kalimah syahadat dan “Laila
ha illallah” lebih baik daripadanya; walaupun ucapan Sina masih pelat.
Atas
dasar cemburu, Zul berkata dengan marah, “Ini Tuhan kami! … dua kalimah
syahadat ni orang Islam punya” (hlm. 45).
Keesokannya,
dalam bab yang seterusnya, Minaci agak hairan melihat Sina asyik menyebut “La
ila ha ilala …”. Apabila Sina memberikan salam kepada Zul sewaktu bertembung
semasa dalam perjalanan ke sekolah, Zul pula membalas dengan “poraahh!”
Penulis
terus mengusik perasaan pembaca dalam bab yang seterusnya. Mazni, rakan sekelas
Sina, menyorokkan pemadam Zul. Zul pula ditampar oleh Ustaz Sudin kerana memadam
kesalahan dalam buku dengan air liur (hlm. 54-55).
Pada
waktu rehat, Sina memaksa Mazni mendedahkan hal yang sebenar kepada Ustaz Sudin.
(Hmm! Mungkin Sina budak perempuan kerana berkelahi dengan Mazni. Mungkin.)
Ustaz itu pula hanya berkata, “Sudahlah! Pergi!” (hlm. 61) kerana merasakan
waktu rehatnya terganggu.
Selepas
waktu rehat, Sina membantu Zul mengucapkan kalimah syahadat. Zul juga tidak
membawa kain untuk bersembahyang di surau. Lalu Sina meminjamkan kain yang
dibawanya. Sina benar-benar seronok apabila Zul sudi menggunakan kain yang
dibawanya itu untuk bersembahyang.
Oleh
kerana Zul menumbuk Leong di kelas (dalam bab sembilan tadi, hlm. 65), maka
tengah hari itu, Leong dan Gordi Singh menghalang Zul dan Sina dalam perjalanan
pulang. Zul dan Leong bertumbuk.
Dalam
bab sebelas, Minaci menyangka Sina dan Zul bertumbuk. Sina lalu mendedahkan
bahawa Gordi Singh dan Leong yang menumbuk Zul. Selepas itu, Mak Biah pula
memukul Zul. Walau bagaimanapun, kanak-kanak itu berjaya melarikan diri.
Zul
duduk di bawah pokok manggis di belakang rumah Sina. Dia hairan memikirkan
mengapa kawan-kawannya seperti membencinya. Ustaz Sudin dirasakannya berlaku
tidak adil dan asyik suka menghukumnya (hlm. 70).
Sejurus
selepas itu, Sina datang dan mengajak Zul pulang ke rumahnya. Malam itu di rumah
Minaci, Sina mengajar Zul mengucap dua kalimah syahadat.
Keesokannya,
Ustaz Sudin mengajar murid-murid Islam sembahyang di surau sekolah. Sina
menyelinap masuk tanpa disedari oleh sesiapa. Tetapi saya pasti setiap pembaca
novel ini menyedarinya!
Semasa
di kelas kemudian, Leong dan Gordi memberitahu Ustaz Sudin bahawa Sina telah
turut bersembahyang di surau. Lalu Sina ditampar berkali-kali. Walaupun begitu,
Sina terus mengucap “Allahuacbat!” dan “Lailaha ilala!” secara spontan (hlm.
88).
Zul
cuba memberitahu Ustaz Sudin bahawa Sina yang mengajarnya mengucap tetapi tidak
diendahkan oleh Ustaz Sudin. Penulis telah berjaya mengusik perasaan pembaca
sekali lagi. Aksi dramatik yang digunakan pasti membuatkan pembaca terharu.
Akan
tetapi, tidak lama selepas itu, Sina jatuh pengsan. Dia dibawa ke surau. Sepuluh
minit kemudian dia sedar diri. Persoalannya di sini, mengapa Sina dibawa ke
surau? Adakah kerana “di sana agak selesa” (hlm. 90)? Bilik darjah tahap
satu tahun dua berupaya memuatkan tiga puluh pelajar (hlm. 4) manakala surau
boleh memuatkan empat puluh orang (hlm. 81). Lalu?
Memang
surau lapang dan bilik darjah pula berisi meja dan kerusi. Tetapi bukankah lebih
lojik – juga logis; walaupun mungkin tidak logik – sekiranya Sina yang
pengsan di dalam kelas itu dibaringkan di lantai atau di atas meja guru? Penulis
ternyata sengaja mahu mewujudkan suasana syahdu bagi mengusik hati pembaca
dengan penggunaan objek “surau”.
Dalam
bab keempat belas, Pak Akob, Mak Biah dan Zul menziarahi Sina di rumah Minaci.
Zul juga telah memutuskan untuk bermalam di situ.
Tiba-tiba
saya teringat kembali akan tindakan Zul “lari” dari rumah dalam bab sebelas
dan dua belas tadi. Nampaknya kejadian itu mati begitu sahaja – atau sengaja
dimatikan oleh penulis atas sesuatu sebab.
Keesokan
pagi, Pak Akob menghantar Zul dan Sina ke sekolah. Sepanjang perjalanan, mereka
mengucapkan kalimah “asyhadu an la ilala illalah” (hlm. 95).
Pada
hari-hari berikutnya, dalam bab enam belas yang panjangnya satu halaman sahaja,
Ustaz Sudin terus mengajar agama di kelas. Dia mengajar pelajaran agama Islam
walaupun pada waktu pelajaran lain semata-mata kerana “mata pelajaran lain
bukan bidangnya” (hlm. 96).
Bahagian
ini amat meragukan. Pelik, kurang wajar dan memperbodohkan
pembaca, malah. Masakan pula Peter Lim selaku guru besar boleh membiarkan sahaja
pelajaran lain terabai. Penulis ternyata “memperalatkan” – tetapi tidak
berjaya sampai ke tahap “mengeksploitasi” – ketiadaan Cikgu Hamid untuk
berusaha mempercepatkan proses penerimaan ilmu agama Islam oleh Sina. Tetapi
kurang wajar, saya kira.
Adalah
lebih diterima akal jika penulis mengatakan bahawa Ustaz Sudin mengajar agama
Islam semasa pelajaran agama Islam yang mana turut dihadiri oleh Sinappapal. Ini
lebih munasabah dan tidak meragukan. Setelah “memaksa” Minaci dan Peter Lim
membenarkan Sina duduk di kelas agama Islam, penulis nampaknya masih tidak puas
sekiranya Ustaz Sudin mengajar agama Islam semasa pelajaran agama Islam sahaja.
Lalu penulis menggunakan ruang ketidakhadiran Cikgu Hamid untuk menyampaikan
hasrat dan wacana “mengislamkan Sinappapal” secepat mungkin.
Selepas
sekolah, Ustaz Sudin pergi ke surau untuk solat Zohor. Sina mengikutnya tanpa
disedari. (Tetapi sekali lagi, pembaca yang paling bodoh sekalipun pasti sedar
tanpa ragu-ragu!) Semasa Ustaz Sudin bersolat, Sina menurut.
Melihat
tindakan Sina, perasaan benci dalam diri Ustaz Sudin bertukar menjadi kagum dan
simpati. Sina lalu dipeluknya. (Hmm! Agaknya Sina budak lelaki. Sebab itulah
Ustaz Sudin menerkam dan memeluknya tanpa rasa kekok di dalam surau sekolah.
Mungkin.)
Anehnya,
perasaan itu tiba-tiba sahaja muncul dalam diri Ustaz Sudin sedangkan Sina sejak
awal-awal lagi sudah menunjukkan minat terhadap Islam (hlm. 11). Masakan pula
Ustaz Sudin – dan Azizi juga barangkali – tidak sedar.
Penulis
tidak memberikan akhiran yang mutlak bagi novel sepanjang tujuh belas bab ini.
Namun begitu, ada bayangan yang agak jelas bahawa Sina akan masuk Islam dan
tinggal bersama Ustaz Sudin. Memang itulah wacana yang cuba diterapkan oleh
Azizi melalui novel ini.
Atau
tidak mustahil juga jika Minaci yang “tidak sembahyang dan tidak pernah pun ke
kuil” (hlm. 20) itu tidak menerima “lamaran” Ustaz Sudin. Ini pasti
membuka ruang perbicaraan pasca kolonial yang baru pula; seperti yang saya
lakukan melalui proses pembacaan ini.
Segalanya adalah mungkin. Karya kreatif adalah bersifat subjektif. Penulis adalah penimbul persoalan untuk renungan pembaca; bukan penyelesai masalah. Dan, terima kasih kepada Azizi Haji Abdullah kerana di sebalik wacana “mengislamkan Sinappapal dengan apa cara sekalipun” penulis tetap memberikan ruang yang cukup luas kepada pembaca – termasuk saya sendiri secara peribadi – untuk memikirkan sendiri pengakhiran cerita secara pasca kolonial.
Oleh
kerana di bahagian awal tadi saya telah mengharapkan agar novel ini memaparkan
budaya hidup kaum India, maka saya berhadapan dengan kekecewaan. Novel
Sinappapal ini saya dapati tepu – melebihi tahap “penuh” – dengan nilai
Melayu-Islam. Namun begitu, sekurang-kurangnya saya mendapat sedikit lagi ilmu
tentang Islam; seperti “tahanan”, “takbiratul” dan “tahiyat”.
Saya
masih tidak tahu adakah watak Sinappapal seorang budak lelaki atau perempuan.
Mungkin juga dia perempuan kerana dia memakai kain batik (hlm. 99) seperti yang
dipakai oleh Mazni (hlm. 82). Malah kain pelikat yang dibawanya ke sekolah
adalah milik emaknya (hlm. 52). Dengan itu, saya fikir mungkin Sinappapal budak
perempuan. Saya sendiri yang tidak cukup prihatin semasa membaca novel Sinappapal
tadi; agaknya.
Dengan
penuh ragu-ragu dan rasa tidak pasti, saya merujuk semula pada dialog “Haaaa,
por, por!” (hlm. 8). Ketawa semula saya dibuatnya. Por bermakna
“perang” dalam bahasa Tamil. Mungkin penulis tersalah eja po (“pergi”).
Jadi apakah mungkin Azizi tersalah eja sehingga “Sinappayal” (budak lelaki)
menjadi “Sinappapal” (budak perempuan)? Sebagaimana Othman Puteh dalam novel
Kalut (Fajar Bakti: 1997) menamakan wataknya
“Ariosamy” dengan menyangka ia adalah “Arokiasamy”?
Mustahil
juga. Masakan begitu sekali. Azizi bukannya calang-calang penulis! Nampaknya
saya sendiri yang “gagal” memahami bahawa Sinappapal adalah seorang budak
perempuan.
Saya
cuba mencari-cari kalau-kalau ada klu yang diberikan oleh penulis; seperti pottu
di dahi, tocang, pakaian perempuan dan sebagainya yang boleh menjawab kekeliruan
saya. Tiada yang saya temui.
Ah!
Sama ada Sinappapal perempuan atau lelaki tidak penting. Bukankah penulis telah
lebih mementingkan mesej keislaman yang cuba diterapkan secara paksa ke atas
watak Sinappapal?
Tetapi masakan saya harus membiarkan proses pembacaan saya terbiar begitu sahaja. Mungkin saya perlu membaca novel ini sekali lagi untuk memungkinkan saya mencapai tahap kepuasan yang telah saya harapkan. Membaca tanpa pemikiran pasca kolonial tetapi diganti pemikiran Melayu-Islam, mungkin.
Hanya setelah terbaca cerpen “Seeds of Love” saya faham bahawa Sinappapal sebenarnya watak perempuan; itu pun lantaran penggunaan kata ganti she dan her.
Mingguan Watan, 30 Julai 1995 & 6 Ogos 1995
www.suaraanum.com 15 September 2002
Surat Berita - Kavya - Newsletter Lebih banyak maklumat penulis kaum India Malaysia! |