Nasib Malang Penulis Muda Sastera Tamil

Oleh: M. Balachandran

    

SUASANA penulisan karya kreatif Bahasa Tamil di Malaysia kini tidak begitu aktif. Dunia penulisan Bahasa Tamil masih dikuasai para penulis veteran. Suasana ini memberi gambaran seolah-olah proses menulis karya kreatif tidak mudah dikuasai golongan muda. Secara realiti, kebanyakan daripada penulis veteran ini berpendidikan rendah.

Namun timbul juga barisan penulis muda daripada kalangan pelajar sekolah menengah mahupun mahasiswa universiti. Penampilan barisan ini sering mencetuskan prasangka di kalangan penulis veteran. Sering juga timbul kritikan bahawa penulis muda tidak mempunyai kecekapan menulis dan karya mereka tidak mencapai tahap penulis veteran.

Media cetak Bahasa Tamil juga dewasa ini tidak begitu membuka ruang untuk karya kreatif Bahasa Tamil. Tiga akhbar Bahasa Tamil tempatan di hujung minggu - Malaysia Nanban, Thina Murasu, Tamil Nesan - memberikan tidak kurang daripada separuh halaman untuk sebuah cerpen. Selain itu, akhbar tabloid juga menyediakan ruangan yang sama untuk cerpen. Namun secara analisis, cerpen-cerpen yang disiarkan masih berada pada tahap konvensional.

Karya penulis veteranlah yang sering memenuhi ruangan yang terhad itu. Karya penulis muda atau penulis peringkat awal sering dikritik tanpa karya mereka disiarkan. Antara alasan yang sering kedengaran adalah bahawa mereka tidak berupaya berkarya, tidak menguasai bahasa, mesej kurang jelas, tidak mempunyai nilai-nilai yang baik dan sebagainya.

Dalam aliran zaman moden yang serba moden dan canggih ini, para penulis muda yang cuba-cuba menghantar karya dan mendapati karya mereka tidak disiarkan merasakan bidang tersebut hanyalah untuk orang tertentu yang mempunyai pengaruh dalam sesuatu media. Dengan ini, pada hakikatnya, tidak ramai penulis muda yang berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Tamil.

Para penulis veteran pula mempunyai sikap yang negatif terhadap kalangan penulis muda. Bagi mereka, pengiktirafan yang diberikan kepada kemampuan penulis muda boleh melenyapkan populariti mereka. Mereka seolah-olah ingin mencipta sejarah bahawa karya Bahasa Tamil di Malaysia tidak boleh "hidup" tanpa mereka.

Dalam suasana yang suram ini, kini muncul pula barisan penulis Tamil elit dari pusat-pusat pengajian tinggi. Di pelbagai jabatan seperti Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Penulisan kreatif dan cereka menjadi kertas pilihan mahasiswa.

Mahasiswa yang berpendidikan Tamil turut mengambil kertas ini. Kemudian golongan ini cuba mencipta karya-karya yang teorikal dan eksperimental. Malah mereka mahu memperkenalkan arus perkembangan terkini dari timur dan barat dalam karya mereka. Arus ini mencipta karyawan Tamil seperti N. Pachaibalan dari UKM serta M. Balachandran dan V. Vijayaletchumy dari UM.

Namun pada hakikatnya, perkembangan seperti ini tidak mudah diterima oleh media dan para penulis veteran Tamil. Bagi mereka, pengetahuan ilmiah tidak perlu untuk karya kreatif seperti cerpen dan novel Bahasa Tamil. Lalu, hasil karya penulis barisan muda ini sering diperkecilkan dan ditolak daripada disiarkan.

Malah di pusat pengajian tinggi sendiri, sejumlah pensyarah kesusasteraan Tamil bulat-bulat menolak karya barisan baru ini. apa yang paling menyedihkan adalah tafsiran yang tidak teorikal yang dipegang oleh para pensyarah itu sendiri. Sebagai contoh, Pertandingan Cerpen Tamil Kebangsaan yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Tamil Universiti Malaya (PBTUM).

Walaupun ia dianjurkan oleh para mahasiswa, namun autoriti syarat dan pemilihan karya dikuasai sepenuhnya oleh pensyarah tertentu. Antara syarat pertandingan yang dikemukakan adalah: tema yang harus ditangani oleh penulis adalah seperti motivasi dan propaganda kepada masyarakat. Karya yang diharapkan dan yang diberi hadiah adalah karya-karya yang berunsur propaganda secara terang-terangan dan mengagung-agungkan pemimpin tertentu dalam masyarakat.

Realiti yang wujud ini menyebabkan cerpen kontemporari yang berunsur teorikal dan eksperimental dikritik habis-habisan dalam laporan penilai yang disertakan dalam antologi karya pemenang yang diterbitkan. Laporan penilai yang seharusnya memperkatakan tentang karya-karya yang memenangi hadiah, secara lantang mengkritik karya yang tidak memenuhi citarasa penilai terbabit. Misalnya dalam antologi Pertandingan Cerpen Tamil Kebangsaan ke-11 yang dilancarkan pada tahun 1996, penilai lantang mengkritik beberapa cerpen yang kononnya mempunyai nilai negatif di akhir cerpen; semata-mata kerana pengarang menangani karya secara teorikal, eksperimental dan non-konvensional.

Sebagai penilai, pensyarah terbabit tidak seharusnya mengkritik sesebuah karya sebelum karya itu sampai kepada pembaca. Para penilai Pertandingan Cerpen Tamil Kebangsaan ternyata tidak memahami perbezaan antara "laporan panel penilai" dan "kritikan" sehingga mereka beranggapan segala yang dikatakan oleh mereka adalah betul dan diterima oleh khalayak penulis dan pembaca.

Mereka juga tidak faham perbezaan antara sebuah karya sastera dan esei. Sebuah esei harus menyatakan topik yang diperkatakan dengan jelas dan memastikan nilai-nilai murni dikemukakan tanpa mengelirukan pembaca. Tetapi sebuah karya sastera tidak semestinya begitu. Segala unsur baik dan buruk dalam sesebuah karya sastera harus dinilai secara intelek oleh pembaca. Di sekolah menengah sekalipun kemahiran penghayatan karya sastera menekankan aspek tersirat dan tersurat yang membuka minda pelajar untuk memikirkan pro dan kontra dalam karya sastera yang dibaca.

Kalau golongan penulis dan panel sastera Bahasa Tamil di Malaysia terus menjadi katak di bawah tempurung, malanglah nasib sastera Bahasa Tamil di negara kita. Generasi baru yang berpendidikan dan berfikiran matang akan jemu membaca karya konvensional yang dihasilkan oleh penulis-penulis yang cetek ilmu. Nescaya pembaca kaum India akan beralih membaca karya-karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh penulis kaum India.

Malah, mungkin itulah yang lebih baik bagi masyarakat India yang berfikiran matang!

Dewan Sastera, Mei 1997

Surat Berita - Kavya - Newsletter

Lebih banyak maklumat penulis kaum India Malaysia!