Masyarakat India dalam Sastera Bahasa Malaysia

Oleh: Uthaya Sankar SB

Saya ucapkan vanakam kepada semua yang hadir.

Saya berasa gembira kerana berpeluang berucap di hadapan anda. Saya katakan begitu kerana anda semua adalah mahasiswa universiti. Tahap intelektualiti anda berada pada tahap yang tinggi. Dengan itu, saya yakin bahawa anda akan berupaya untuk mencerna dan bereaksi (jika perlu) terhadap segala perkara yang bakal saya perkatakan di sini.

Ucapan saya akan lebih berupa lontaran isi-isi dan idea-idea penting tanpa huraian yang panjang. Saya percaya anda tidak akan menghadapi sebarang masalah kerana itu.

Baiklah, saya akan bercakap tentang topik penting. Dan biar saya ingat juga bahawa saya akan lebih ketara melontarkan persoalan-persoalan tanpa memberikan jawapan. Menyedari hakikat tentang tahap intelektualiti anda, saya berikan kebebasan kepada anda untuk menjawab sendiri persoalan-persoalan berikut:  

“Sasterawan dan pembaca kaum India dalam sastera Bahasa Malaysia: Untuk apa? Di mana mereka? Berapa ramai? Siapa mereka? Perlukah mereka?”

Terlalu panjang, bukan? Jadi biar saya pecahkannya kepada sepuluh soalan yang mana tidak perlu anda beri jawapan sekarang. Anda boleh renungkan sendiri apabila ada masa. Atau apabila anda fikir anda mahu berfikir tentangnya.  

  1. Untuk apa sasterawan kaum India dalam sastera Bahasa Malaysia?

  2. Untuk apa pembaca kaum India dalam sastera Bahasa Malaysia?

  3. Di mana sasterawan kaum India dalam sastera Bahasa Malaysia?

  4. Di mana pembaca kaum India dalam sastera Bahasa Malaysia?

  5. Berapa ramai sasterawan kaum India dalam sastera Bahasa Malaysia?

  6. Berapa ramai pembaca kaum India dalam sastera Bahasa Malaysia?

  7.  Siapakah sasterawan kaum India dalam sastera Bahasa Malaysia?

  8. Siapakah pembaca kaum India dalam sastera Bahasa Malaysia?

  9. Perlukah sasterawan kaum India dalam sastera Bahasa Malaysia?

  10.  Perlukah pembaca kaum India dalam sastera Bahasa Malaysia?  

   

Apakah Tanggungjawab Pengkarya?

Adakah pengkarya bertanggungjawab memberitahu, menunjukkan atau mencadangkan sesuatu perkara kepada khalayaknya?

Bagi saya, pengkarya yang hanya memberitahu atau bercerita melalui karyanya hanya boleh mengaku dirinya seorang penulis. Pengkarya yang berupaya menunjukkan kepada khalayaknya tentang apa yang berlaku dalam masyarakat, saya anggap sebagai sasterawan atau Penulis Angkatan Baru. Pengkarya yang bertindak mencadangkan sesuatu untuk dianalisis oleh khalayak pula berada pada tahap Sasterawan Baru.

Telah saya katakan bahawa segala ini adalah pendapat saya. Anda sebagai golongan intelek boleh memberi pendapat sendiri. Kalau tidak, sia-sialah saya berucap kepada anda.

     

Unsur-unsur Kavya

Topik ini tentu telah banyak kali anda dengar; sama ada dari mulut saya sendiri atau daripada pihak lain. Cuma bezanya, saya menggunakan istilah Sanskrit ‘kavya’ bagi menggantikan istilah ‘karya’. Apa yang ingin saya timbulkan di sini adalah tentang keprihatinan anda sebagai pembaca karya sastera dan sebagai penulis karya sastera.

Apakah karya-karya yang dihasilkan oleh penulis kaum India dan dibaca oleh masyarakat India dipenuhi unsur intelek? Adakah ia dihasilkan melalui penggunaan unsur teknik yang terkini atau masih konvensional? Dan bukankah masih terlalu sarat dengan unsur imaginasi melulu, emosi keterlaluan dan hiburan semata-mata?  

   

Kuantiti dan Kualiti Kavya Sasterawan Kaum India

Dalam hal ini, saya mahu membandingkan antara penulis karya berbahasa Tamil dan berbahasa Malaysia. Bagi saya, dari segi kuantiti, terdapat sekian ramai penulis kaum India yang menghasilkan karya berbahasa Tamil. Tidak perlulah saya senaraikan nama-nama mereka di sini. Bukankah anda sendiri tahu?

Dalam sastera Bahasa Malaysia pula, jumlah penulis boleh dibilang dengan jari sebelah tangan. Antara penulis kaum India yang saya maksudkan adalah Saroja Theavy Balakrishnan, T. Devaraj, M. Balachandran dan M. Mahendran.  

Surat Berita - Kavya - Newsletter

Lebih banyak maklumat penulis kaum India Malaysia!

Dari segi kualiti karya pula, ingin saya nyatakan bahawa mutu karya berbahasa Malaysia yang dihasilkan oleh penulis kaum India adalah jauh lebih berkualiti. Malah ramai penulis karya Tamil pernah memberitahu saya bahawa mereka tidak mementingkan kualiti karya. Yang dipentingkan adalah karya, bukan mutu karya.

Walau bagaimanapun, perlu saya akui bahawa karya-karya Tamil berbentuk cerpen dan skrip drama radio yang dihasilkan oleh saudara M. Balachandran berupaya menaikkan kualiti karya berbahasa Tamil di negara kita. Sasterawan seperti inilah yang diperlukan oleh masyarakat dan dunia sastera.

   

Di Mana Kita (Anda dan Saya) dalam Dunia Sastera?

Di sini, saya mahu kita berfikir tentang kedudukan kita – anda dan saya – sebagai sasterawan mahupun sebagai khalayak (peminat) sastera. Untuk itu, biar saya huraikan serba ringkas siklus dunia penulisan sastera.

Ekan (Tuhan Yang Maha Esa) menjadi titik mula segala yang wujud; termasuk dunia sastera. Tetapi pengkarya tidak harus menanti Tuhan menurunkan ilham (wahyu?) dari langit. Sebaliknya, Ekan telah mencipta alam semesta. Alam inilah yang berfungsi memberi idea (bukan ilmah) kepada pengkarya.

Alam berserta penghuninya memberi idea bagi seribu satu tema karya. Salah satu daripada seribu satu tema itu adalah tema akam (“cinta murni”). Tema akam inilah yang menjadi pilihan para penulis kaum India sejak zaman Sangam (abad 3SM-3M) dahulu. Kalau tidak percaya, tanyalah Dr. Thilagawathi, ketua Jabatan Pengajian India yang turut hadir bersama kita pada petang ini.

Anda pun tahu, bukan?

Akam adalah satu daripada seribu satu tema yang terdapat dalam alam. Apakah seribu tema yang lain? Dalam Sastera Sangam, tema-tema ini disebut puram. Maksudnya, tema-tema selain daripada tema “cinta murni” (kekalkan tanda kutip) disebut tema puram.

Betapa ter“buka”nya fikiran sasterawan kaum India sejak Zaman Sangam lagi! Hampir setiap karya membawa tema akam. Ada peruntinai, kaikilai, kalavu karpu, pirivu, kurunci, marutam, palai dan banyak lagi. Tema-tema puram pula hanya layak menjadi persoalan sampingan bagi karya-karya bertema akam.

Hebat, bukan?

Dr. Thilagawathi sendiri mengakui betapa khalayak pembaca kaum India kurang sedar akan hal yang baru saya sebutkan tadi. Beliau mengakui betapa khalayak selama ini dibuai dengan tema akam semata-mata. Tema-tema puram yang berjumlah seribu (andaian sahaja!) tidak diberi perhatian. Dan kita pun tidak pernah mahu mempersoalkan hal itu.

Pernahkah anda terfikir?

Kalau demikian halnya, apa akan jadi pada mutu karya? Saya bukan bercerita tentang filem Muthu yang dibuat gimik kononnya merupakan filem terakhir lakonan Rajinikanth sebelum dia menceburi bidang politik. Saya bercakap tentang kualiti karya dari segi isi dan bentuk.

Bercakap tentang mutu karya, siapa yang akan menentukannya? Siapa yang boleh memilih karya yang kuat dari segi bentuk dan isi? Tentulah pengkarya dan khalayak sastera seperti anda!

Ada dua kelas khalayak sastera. Pertama, golongan intelek seperti anda. Kedua, golongan kurang intelek yang tidak tahu dan tidak mahu menggunakan otak untuk menilai karya.

Begitu juga, bagi saya, terdapat empat kelas pengkarya. Pertama, golongan yang digelar penulis. Asal sahaja mereka menulis, mereka digelar penulis. Kita tidak boleh menghalang mereka daripada mengaku diri mereka penulis, bukan?

Kedua, golongan pengkarya amatur. Mungkin mereka produktif tetapi dari segi mutu, karya mereka masih boleh dipersoalkan. Mungkin mereka menulis untuk suka-suka sahaja. Dan mereka tidak kisah jika mereka tidak dibayar walau sesen pun bagi karya yang mereka hasilkan. Yang penting, karya mereka tersiar.

Ketiga, golongan sasterawan. Jangan tersalah tafsir istilah ini sebagai Sasterawan Negara. Memang ramai orang, termasuk beberapa pengkarya mapan sendiri, tidak tahu membezakan antara sasterawan dan Sasterawan Negara! Mereka fikir hanya Sasterawan Negara boleh digelar sasterawan. Saya nasihatkan mereka supaya membaca cerpen “Sasterawan Pulau Cinta” (Mingguan Malaysia, 12 November 1995).

Apa yang saya maksudkan dengan ‘sasterawan’ adalah ‘penulis karya sastera’. Kalau anda menghasilkan karya sastera yang berkualiti, anda berhak menggelar diri anda sebagai sasterawan. Tetapi mereka yang menghasilkan karya popular dan karya picisan usahlah menggelar diri sebagai saterawan. Cukuplah gelaran “penulis pop” dan “penulis picisan” kerana gelaran itu lebih tepat menggambarkan penulisan mereka.

Apakah semata-mata kerana seorang individu itu menjadi pengacara rancangan sastera di TV atau radio, maka dia menganggap dirinya sasterawan? Atau semata-mata kerana puisinya yang memuja seorang gadis tersiar dalam akhbar berbahasa Tamil, maka dia menganggap dirinya seorang sasterawan? Lucu? Tapi bukankah itu realitinya sekarang?

Keempat, golongan pengkarya profesional. Dalam hal ini, tidak semestinya pengkarya menjadi penulis sepenuh masa. Saya sendiri tidak mahu menjadi penulis sepenuh masa. Bukan di Malaysia! Mustahil.

Golongan profesional ini sedar bahawa karya sastera yang mereka hasilkan harus dihargai oleh pihak-pihak yang terbabit. Untuk itu, penerbit perlu membayar bagi karya yang tersiar. Mana boleh penilik akhbar menyiarkan karya kita secara percuma? Sampai bila mesti percuma dan percuma, seperti ditanya oleh Zaen Kasturi (Dewan Sastera, Disember 1995).

Pertanyaan yang cukup berani, bukan?

Saya sendiri cukup marah jika ada penerbit yang berbuat demikian. Misalnya, saya cukup terkilan apabila Mingguan Watan tidak membayar honorarium bagi cerpen-cerpen saya yang disiarkan dalam akhbar itu pada tahun 1995. Saya pernah cuba meminta penjelasan daripada mereka secara bertulis, tetapi hingga hari ini belum ada berita. Agaknya surat tidak sampai kepada mereka.

Memandangkan bahawa golongan pengkarya profesional menuntut bayaran bagi karya yang dihasilkan, tentulah mereka akan memastikan bahawa mutu karya mereka setimpal dengan bayaran yang dituntut. Maknanya, karya yang dihasilkan oleh pengkarya profesional biasanya bermutu. Apatah lagi jika dia adalah sasterawan profesional.

Atau adakah anda memiliki pandangan lain? Sila kemukakan. Boleh kita berdialog. Bukankah saya sedang berucap di hadapan golongan mahasiswa Universiti Malaya? Jangan berdiam diri.

Di antara pengkarya dan khalayak juga perlu ada interaksi. Pengkarya perlu menghormati mentaliti dan tahap intelektualiti khalayak. Lainlah kalau pembaca sasaran adalah golongan bermentaliti rendah atau golongan kurang intelek.

Tetapi bagaimana kalau sasaran pembaca adalah golongan intelek seperti anda? Tentulah pengkarya harus menghasilkan karya yang boleh menambat hati golongan terpelajar seperti anda. Mudahlah kalau pengkarya itu datang daripada kelompok sasterawan atau sasterawan profesional. Kalau tidak … anda sendiri tahu apa yang akan berlaku, bukan?

Khalayak pembaca pula harus berani mengkritik karya-karya yang dibaca. Jangan takut walaupun karya itu dihasilkan oleh Sasterawan Negara. Bukankah anda golongan pembaca intelek? Kalau anda tidak berani mengkritik, apa bezanya antara anda dengan golongan pembaca yang satu lagi? Fikirkan!

   

Siklus Dunia Penulisan Sastera

Sekarang biar saya ringkaskan siklus dunia penulisan sastera yang sedang dibincangkan. Kita buang mana-mana bahagian yang kurang berperanan. Kita ambil kira bahagian-bahagian yang berperanan sahaja.

Ekan tetap ada. Begitu juga alam ciptaan-Nya. Bagi kavya pula, kita ambil kira karya-karya yang bermutu dari segi isi dan bentuk. Persetankan yang selebihnya. Begitu juga dari segi khalayak pembaca karya sastera. Kita ambil kira golongan bermentaliti dan yang tahu menggunakan otak. Persetankan mereka yang tidak tahu sama ada mereka ada otak atau tidak!

Tentunya dari segi pengkarya pula, kita beri perhatian kepada golongan sasterawan (penulis karya sastera) dan sasterawan profesional. Mengapa perlu kisah tentang penulis karya popular atau personaliti TV dan radio yang menggunakan populariti (dan lain-lain) untuk melariskan hasil karya? Biarlah golongan kurang intelek menjadi peminat setia mereka.

Pati dalam siklus dunia penulisan sastera sudah kita tentukan. Sekarang, saya mahu bertanya sekali lagi: di mana kedudukan kita – anda dan saya – dalam siklus dunia penulisan sastera? Atau hadirkah kita di dalam siklus itu?

Saya tidak berhak memberi sebarang jawapan. Biarlah jawapan saya menjadi asas pegangan saya saya sendiri. Anda sebagai golongan intelek harus membuat penilaian sendiri. Kalau tidak, apa gunanya saya menimbulkan sekian banyak persoalan dan pertanyaan di hadapan anda pada petang ini? Saya percaya bahawa anda tidak akan berhenti daripada memikirkan secara serius dan mendalam segala persoalan yang telah saya timbulkan sebentar tadi.

Surat Berita - Kavya - Newsletter

Lebih banyak maklumat penulis kaum India Malaysia!

* Uthaya Sankar SB, “Masyarakat India dalam Sastera Bahasa Malaysia”, teks ucapan “Ceramah Sastera” di Bilik Seminar, Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya pada 14 Disember 1995 yang dihadiri mahasiswa dan penulis kaum India. Teks ini juga diterbitkan dalam Dewan Sastera, Mei 1997, hlm. 18-21.