Antologi Cerpen Pilihan Penulis Tamil Malaysia

Seruling di Persimpangan

Prakata oleh Uthaya Sankar SB

Bidang penulisan karya kreatif Bahasa Tamil di negara kita bermula dengan novel Karunakaran Allathu Katalin Matchi (Karunakaran atau Kesucian Cinta) pada tahun 1917. Manakala antologi cerpen pertama muncul pada tahun 1930. Genre cerpen Tamil terus berkembang pesat mulai tahun 1950-an hingga kini. Pemangkin utama dalam perkembangan ini adalah kelahiran akhbar dan majalah; antaranya Tamil Nesan, Tamil Celvan, Tamil Kodi dan Tamil Murasu.

Sebenarnya masyarakat India terdiri daripada pelbagai keturunan yang masing-masing berasa bangga memiliki budaya dan bahasa ibunda mereka sendiri. Walau bagaimanapun, memandangkan bahawa majoriti masyarakat India di Malaysia berketurunan Tamil, maka Bahasa Tamil dijadikan bahasa yang mewakili seluruh masyarakat India di negara ini. Dengan itu, karya sastera yang dihasilkan juga dominan menggunakan Bahasa Tamil. Golongan penulisnya pula dikenali sebagai "penulis Tamil" tanpa mengambil kira keturunan mereka.

Walaupun pada mulanya tema dan persoalan penulis Tamil di Malaysia/Malaya tertumpu pada hal-hal di Sri Lanka dan India, khususnya Tamil Nadu, tetapi mulai pertengahan tahun 1940-an, sudah nampak perubahan ke arah yang positif.

Karya-karya sastera Bahasa Tamil sudah semakin bercirikan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Antara cerpen yang wajar disebutkan di sini adalah "Onril Munru" (Tiga dalam Satu), "Pukkari Punita" (Punita Penjual Bunga), "Cinakkilavan" (Lelaki Tua Cina), "Kuranku Antu Palan" (Kebaikan Tahun Monyet) dan "Pavamuttai" (Bebanan Dosa).

Segala maklumat lanjut berhubung hal ini terkandung dalam buku Cerpen Tamil dan Melayu (1957-1970): Perbandingan Tema dan Struktur tulisan Dr Krishanan Maniam (DBP: 1993).

Di samping menghasilkan cerpen Bahasa Tamil, beberapa orang penulis yang memiliki penguasaan bahasa yang baik mula menterjemah cerpen Bahasa Malaysia ke Bahasa Tamil. Cerpen-cerpen terjemahan ini tersiar dalam akhbar dan majalah Tamil sejak tahun 1950-an lagi.

Jadi, apa yang jelas di sini adalah bahawa pembaca kaum India yang menguasai Bahasa Tamil berupaya menghayati karya penulis-penulis Melayu yang diterjemah ke Bahasa Tamil. Sebaliknya agak mengecewakan kerana cerpen Bahasa Tamil kurang diterjemah ke Bahasa Malaysia.

Dewan Sastera misalnya menyiarkan terjemahan cerpen-cerpen luar negara. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri menerbitkan antologi cerpen dan novel terjemahan dari India. Akan tetapi, agak mengecewakan kerana cerpen yang ditulis oleh penulis Tamil di Malaysia kurang diberi perhatian.

Usaha terjemahan seperti ini adalah penting bagi membolehkan kita menghayati hasil kesusasteraan, kebudayaan dan permasalahan hidup masyarakat pelbagai kaum yang mana kita sendiri menjadi sebahagian daripadanya.

Pada masa ini, kehadiran beberapa penulis kaum India yang menghasilkan cerpen Bahasa Malaysia sekurang-kurangnya dapat mengisi tuntutan yang disebutkan tadi. Saroja Theavy Balakrishnan, M. Mahendran, Rajendran dan T. Devaraj adalah antara penulis kaum India yang secara penuh tanggungjawab menghasilkan karya Bahasa Malaysia bagi menampilkan permasalahan hidup masyarakat India di Malaysia dalam karya mereka.

Surat Berita - Kavya - Newsletter

Lebih banyak maklumat penulis kaum India Malaysia!

Di samping menggalakkan penghasilan karya Bahasa Malaysia, adalah wajar sekiranya karya sastera Bahasa Tamil dan Mahua diterjemah ke Bahasa Malaysia. Tambahan pula, tidak semua penulis Tamil dan Mahua yang boleh menghasilkan karya Bahasa Malaysia.

Cerpen Mahua (Malaysian Tionghua) telah banyak diterjemah ke Bahasa Malaysia dan diterbitkan oleh DBP. Usaha Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF) sewajarnya dipuji dan diucapkan syabas. Sehingga kini, DBP telah menerbitkan beberapa buah buku yang diterjemahkan oleh PERSPEKTIF.

Penterjemahan karya Bahasa Tamil ke Bahasa Malaysia (dan sebaliknya) pula dilakukan oleh orang perseorangan. Walaupun Persatuan Penulis Tamil Malaysia dilaporkan sebagai pernah "menjalinkan hubungan yang erat dengan persatuan penulis Melayu dan Cina serta dengan Dewan Bahasa dan Pustaka", tetapi nampaknya tidak ada usaha bersungguh-sungguh dan menyeluruh dalam menterjemahkan dan menerbitkan antologi cerpen penulis Tamil di Malaysia.

Dalam hal ini, tidak dapat tidak, usaha Saudara M. Balachandran menterjemahkan sebanyak 12 buah cerpen bagi antologi ini harus dipuji. Apabila Tuan Haji Ayob Yamin, Ketua Bahagian Anugerah dan Penataran Sastera, DBP menyarankan agar saya "melakukan sesuatu" bagi menterjemahkan cerpen Bahasa Tamil, saya menerima cadangan itu sebagai suatu cabaran dan dorongan. Lalu saya menghubungi Saudara M. Balachandran kerana saya sendiri belum berupaya melakukan penterjemahan daripada Bahasa Tamil ke Bahasa Malaysia.

Cerpen-cerpen yang terkumpul dalam antologi Seruling di Persimpangan (DBP: 1999) mengemukakan persoalan yang pelbagai. Dari segi teknik penulisan, perlu diakui bahawa hampir kesemua cerpen dalam antologi ini memaparkan teknik penceritaan yang bersifat konvensional. Penulis ketara campur tangan dalam "menceritakan" (telling) kepada pembaca apa yang berlaku. Begitu juga dalam beberapa cerpen, penulis ketara bercerita secara meleret-leret tentang hal-hal yang tidak membantu ke arah perkembangan cerita. Penceritaan yang meleret-leret ini telah saya sunting semasa mengedit manuskrip versi Bahasa Malaysia bagi memadatkan plot.

Sekiranya dibandingkan dengan cerpen-cerpen Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh Saroja Theavy Balakrishnan dan Uthaya Sankar SB, cerpen-cerpen Bahasa Tamil masih berada jauh di belakang. Hal ini antara lain mungkin disebabkan kurangnya pendedahan terhadap teknik penulisan dan ilmu bantu. Tidak terkecuali juga tuntutan pihak penerbit (akhbar dan majalah), ketidakseriusan penulis dalam berkarya serta tiada permintaan daripada kalangan pembaca akhbar dan majalah Tamil bagi mewujudkan ruangan sastera secara tetap dalam media tersebut.

Walau bagaimanapun, kesemua cerpen dalam antologi ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Sekurang-kurangnya penterjemahan cerpen-cerpen ini memberi kita (termasuk pembaca kaum India yang kurang berupaya membaca karya Bahasa Tamil) peluang untuk merenung luahan perasaan dan lontaran fikiran penulis Tamil.

Malah ada masanya tema yang dikemukakan oleh penulis Tamil hampir sama dan serupa dengan tema dalam karya Bahasa Malaysia. Persamaan ini menunjukkan bahawa walaupun bahasa yang digunakan adalah berlainan, tetapi persoalan yang dikemukakan oleh penulis dalam kedua-dua bahasa adalah hampir sama. Cuma, bezanya, penulis Tamil ketara mementingkan isi (content) berbanding bentuk(form).

Pembaca sekarang tidak mahu disogokkan dengan bahan bacaan berselera rendah. Penulis - termasuk penulis Bahasa Tamil - seharusnya berusaha membuka minda pembaca melalui karya sastera bermutu tinggi. Jika saranan positif seumpama ini terus tidak diendahkan, nescaya mutu karya Bahasa Tamil di Malaysia akan terus kekal di takuk lama. Dan ini tentunya turut membantutkan usaha menterjemah karya-karya Bahasa Tamil ke Bahasa Malaysia untuk tatapan semua lapisan masyarakat pada masa hadapan.

Tema yang menjadi pilihan penulis dalam antologi ini adalah tema-tema yang berkisar pada hal kekeluargaan di ladang-ladang. Masyarakat India digambarkan sebagai masih mundur dan belum mencapai mobiliti sosial yang sewajarnya. Golongan pemimpin masyarakat - terutama yang terlibat dalam parti politik - digambarkan sebagai manusia yang mementingkan diri sendiri.

Nampaknya tema dan persoalan yang lebih luas tidak diteroka oleh para penulis Bahasa Tamil. Sepatutnya hal-hal kontemporari dalam masyarakat India turut disentuh dalam karya. Jika tidak - dengan mengandaikan bahawa cerpen-cerpen Bahasa Tamil yang dihasilkan akan diterjemahkan ke Bahasa Malaysia - maka pembaca akan mendapat gambaran dan maklumat yang salah tentang kaum India di Malaysia. Atau lebih teruk lagi, cerpen Bahasa Tamil akan gagal menjadi penggambar citra masyarakat.

Pada masa yang sama, penceritaan tidak semestinya berpusat pada watak-watak daripada satu kaum sahaja. Kelemahan ini sebenarnya turut dimiliki oleh kebanyakan penulis kaum Melayu yang ketara mengemukakan watak-watak kaum Melayu sahaja. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa penulis Bukan Melayu yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia lebih berjaya menggambarkan citra masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Hal ini mungkin boleh dipertikaikan tetapi tidak dapat dinafikan.

[Baca Vanakam: Antologi Cerpen Bahasa Malaysia Penulis Kaum India Malaysia]

Seruling di Persimpangan merupakan antologi sulung yang memuatkan cerpen-cerpen Bahasa Tamil karya penulis Tamil di Malaysia. Diharap antologi ini akan dapat membantu para pembaca melihat sebahagian daripada keseluruhan citra kaum India sebagaimana yang digambarkan oleh 12 orang penulis Tamil yang tidak dapat dinafikan ketrampilan mereka dalam dunia sastera Bahasa Tamil di Malaysia.

Antologi cerpen Seruling di Persimpangan ini mengumpulkan karya 12 orang penulis Tamil tempatan yang mempunyai ketrampilan dalam penghasilan cerpen. Mereka mengutarakan pelbagai persoalan yang sentiasa menjadi rintangan dan cabaran dalam pembangunan masyarakat India di Malaysia. Sebanyak 12 buah cerpen yang dipilih daripada antologi Peravai Kathaigal 1-8 (koleksi Persatuan Bahasa Tamil, Universiti Malaya) mengutarakan pelbagai tema, teknik dan gaya persembahan. Koleksi Peravai Kathaigal sebenarnya merupakan satu-satunya usaha pada peringkat nasional untuk mengumpulkan karya penulis Tamil tempatan dan seterusnya memberikan hadiah yang berpatutan.

Saya percaya bahawa usaha menterjemahkan karya Bahasa Tamil akan diteruskan dengan memilih cerpen-cerpen yang mengemukakan tema dan teknik yang pelbagai. Sementara itu, antologi ini diharap menjadi seruling di persimpangan yang bakal mengorak langkah sebelum tikus dibaham ular dan sebelum fajar menyingsing bagi menceritakan memori cinta, niat murni, monolog dan protes melampaui halangan pagar, lalu tampil mengakhiri penantian raja kehilangan tampuk yang dahagakan belaian.

      

Uthaya Sankar SB

(Sila rujuk Prakata dalam antologi Seruling di Persimpangan untuk membaca sepenuhnya ulasan saya terhadap kesemua 12 cerpen yang terkandung dalam antologi berkenaan.)