Keperwiraan

Hanuman & Hang Tuah

Raja Rajeswari & Uthaya Sankar SB

 

Menurut M. Lewis dalam The Novel and Society: Vargas Liosa’s Literary Interpreation of Peruvian Reality (1974), seorang wira adalah:

… the personage who normally reflects the author’s system of values as set forth in the work of fiction. If the author is creating a work which encompasses a positive outlook on life, usually the hero will exemplity such characteristics such as astuteness, courage and fortitude.

Manakala Joseph Champbell pula dalam bukunya The Hero With A Thousand Faces (1970) mengklasifikasikan “the composile hero of monomyth is a personage of exceptional gifts.”

Sementara itu, Harun Mat Piah melalui tulisan bertajuk “Dunia Orang Melayu yang Terpancar dalam Karya-karya Melayu Lama” dalam Dewan Sastera (Mac 1988) mengatakan bahawa wira adalah lelaki yang gagah, berasal daripada keturunan yang baik, berbudi pekerti, pengasih dan menghormati orang lain.

Berdasarkan pendapat di atas, watak Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah (1991) ternyata memiliki ciri-ciri keperwiraan yang dimaksudkan. Tulisan ini akan cuba mengemukakan satu per satu ciri-ciri keperwiraan yang dominan pada watak Hang Tuah. Ciri-ciri keperwiraan ini akan dibandingkan dengan ciri-ciri keperwiraan watak Hanuman dalam Hanuman: Potret Diri (1996) untuk melihat persamaan yang wujud.

Wira dalam sejarah kesusasteraan tidak dilahirkan; tetapi sebaliknya dibina. Demikian kata Munro S. Edmonson dalam Lore: An Introduction to the Science of Folklore and Literature (1971). Dalam bukunya Anatomy of Literature (1957), Northrop Frye mengatakan bahawa teori genre Aristotle telah mengenal pasti lima kategori wira dalam karya prosa dan fiksyen.

Pertama, “wira mitos” yang memiliki sifat-sifat luar biasa melebihi manusia lain. Kedua, “wira romance” seperti yang terdapat dalam sastera rakyat. Ketiga, “wira pemimpin” yang memiliki sifat-sifat kepimpinan.  Keempat, “wira biasa” yang tidak memiliki apa-apa keistimewaan melebihi manusia biasa. Kelima, “wira ironic” iaitu manusia yang memiliki sifat-­sifat yang dianggap lebih ‘teruk’ daripada manusia biasa.

Tulisan ini akan meneliti ciri-ciri keperwiraan yang nyata pada watak Hang Tuah dan watak Hanuman.

Hang Tuah digambarkan sebagai memiiki sifat keberanian sejak usia muda. Dia berani mengalahkan lanun-lanun, berani menentang orang dewasa yang mengamuk, berjaya menyelamatkan nyawa Datuk Bendahara serta berani menangkap ular Cintamani di Pulau Biram Dewa.

Manakala Hanuman juga memiliki sifat keberanian seorang wira sejak usia muda. Misalnya dia terbang ke matahari untuk bertemu Surya Dewa iaitu dewa matahari.

Makin aku terbang menghampirinya, makin terasa bahang yang membakar. Aku nampak wajah Surya Dewa. Dia ketawa melihatku. Tiba-tiba terasa silau dan bahang yang amat sangat.

Sewaktu Hang Tuah berada di Majapahit, Betara Majapahit sendiri mengakui:

... adapun kulihat Laksamana itu bukan barang-barang orang dan bukan barang­-barang hulubalang dengan beraninya dan bijaksananya; Syahadan tahunya pada ilmu firasat dan penjurit; dan tahu bermain senjata jangan di kata lagi.

Dalam Hanuman: Potret Diri pula, Surya Dewa mengakui keperwiraan Hanuman. Katanya:

“Sebagai menghargai keberanian kau, aku kahwinkan kau dengan anak aku.”

Keberanian Hang Tuah tiada tandingannya. Dia sedikit pun tidak gentar semasa memasuki taman larangan Betara Majapahit walaupun tahu akan padah yang akan diterima. Sifat keberanian yang diwarisi menyebabkan dia berjaya menewaskan musuh dan memasuki taman larangan itu dengan mudah.

Bagi Hanuman pula, dia berjaya memasuki istana Ravana dengan mudah. Walaupun dia mampu memusnahkan seluruh istana itu menggunakan kekuatan yang dimilikinya, namun kera putih itu terpaksa akur pada arahan Rama yang menasihatkannya agar tidak memulakan perang.

Keberanian Hang Tuah dalam mempertahankan pendiriannya pula tergambar ketika dia menolak pelawaan Raja Inderapura untuk tinggal di Inderapura. Sifat keberanian Hang Tuah bukan sahaja ketara dalam menghadapi musuh malah juga semasa melaksanakan tugas-tugas yang luar biasa. Keberaniannya diakui oleh hulubalang Jawa serta Petala Bumi, Sang Kertaksa dan Tun Teja.

Sementara itu, keberanian, keperwiraan dan kebolehan Hanuman diakui oleh Ibu Anjati, Belia Raja, Surya Dewa dan Rama sendiri. Hanuman tidak gentar menghadapi musuh berupa raksasa yang ditakuti dan digeruni.

Selain daripada sifat keberanian sebagai seorang wira, Hang Tuah juga memiliki ilmu peperangan dan kependekaran. Dalam Hikayat Hang Tuah, watak Hang Tuah telah berguru kepada Sang Aria Putera dan Sang Persata Nala. Dia menuntut ilmu firasat, ilmu perajurit dan ilmu hulubalang.

“Maka laksamana dan Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu pun diajar oleh Sang Persata Nala akan segala penjurit dan hulubalang, tetapi terlebih juga laksamana; diajarnya pelbagai ilmu dan syarat hulubalang dan ilmu penjurit itu, kerana laksamana, selama duduk di gunung itu, tiada ia tidur dan makan dan tiada ia bercerai dengan Sang Persata Nala itu; barang dipintanya oleh laksamana diberinya oleh Sang Persata Nala.”

Kalau Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah berguru pada Sang Aria Putera dan Sang Persata, Hanuman dalam Hanuman: Potret Din pula tidak berguru secara Iangsung dengan sesiapa. Sebaliknya dia sudah memiliki segala ilmu kependekaran sejak lahir. Hal ini tidak menghairankan kerana Hanuman adalah utusan Dewata untuk membantu Rama membunuh Ravana.

Hanuman. Akulah kera putih itu. Akulah yang mempunyai keupayaan membesar sebesar alam dan mengecil sekecil kuman. … Akulah yang diutuskan Brahma untuk membantu Rama membunuh Ravana.

Malah sebelum Hanuman lahir, Brahma memberitahu Maharishyi Kaswa: “Anak yang lahir itu akan memiliki pelbagai anugerah istimewa daripada Dewata. …”

Taat setia yang tidak berbelah bagi merupakan satu lagi sifat keperwiraan. Ini termasuklah sifat kepatuhan, taat, berpegang teguh pada janji, tidak berlaku curang, menurut perintah serta tidak menentang raja yang disembah. Hang Tuah dan Hanuman sama-saina memiliki sifat ini.

Hang Tuah ternyata adalah ‘hamba’ yang sangat setia kepada ‘tuan’. Kesetiaan Hang Tuah kepada Raja Melaka adalah setia yang tidak berbelah bagi.

Malah apabila dia sendiri dijatuhi hukuman bunuh atas sebab fitnah, dia tidak menentang keputusan raja. Sebaliknya dia menerima keputusan raja sebagai seorang wira yang setia.

“ … maka Laksamana pun menghulus kerisnya duri pinggangnya lalu dipersembahkannya pada bendahara; demikian katanya, ‘Aihamdulillah! Si Tuah tiada bertuan dua tiga dan Si Tuah tiada mau derhaka kepada tuannya’.”

Kesetiaan Hang Tuah turut tergambar apabila dia menolak tawaran Betara Majapahit yang menawarkannya jawatan yang tinggi dalam kerajaan Majapahit. Malah Hang Tuah sanggup masuk ke dalam telaga najis untuk menyelamatkan kuda mainan Raden Bahar yang terjatuh ke dalamnya.

Hanuman pula tetap setia kepada Rama dan Sita walaupun mereka tidak mengakuinya sebagai anak. Walaupun dihina semata-mata kerana dia lahir sebagai seekor kera, Hanuman tidak pernah menentang kata-­kata Rama dan Sita. Dalam konteks ini, kesetiaan Hang Tuah dan Hanuman mempunyai banyak persamaan; iaitu kesetiaan yang sedikit pun tidak berbelah bagi.

Selain daripada itu, Hang Tuah yang setia juga sanggup dikuburkan hidup-hidup semata-mata kerana rajanya ingin mengetahui keadaan orang mati dalam kubur. Hanuman pula sanggup tidak diakui anak asalkan dia dapat tetap bersama Rama dan Sita yang sangat dikasihinya.

Sifat keperwiraan Hang Tuah juga lebih menonjol apabila dia digambarkan sebagai memiliki kuasa luar biasa atau supernatural. Sebagai contoh, semasa di Majapahit, Hang Tuah telah menjelma sebagai harimau untuk berhadapan dengan Sang Winara yang menjelma sebagai anjing.

Daripada Nabi Khidir pula dia memperoleh sebiji buah sakti dan secembul air sakti. Apabila air itu disapu pada mulut seseorang, orang itu boleh bertutur dalam apa sahaja bahasa yang diingininya. Dengan kuasa itulah Hang Tuah mampu berbahasa Rom sewaktu berhadapan dengan Maharaja Rom.

Kuasa luar biasa yang dimiliki oleh Hanuunan adalah lebih bersifat supernatural. Misalnya dia boleh menjelma “sekecil kuman, sebesar bumi” serta dalam pelbagai rupa. Visvarupa adalah jelmaan Hanuman dalam bentuk paling besar. Malah Hanuman juga berkeupayaan menjelma dalam mimpi orang-orang yang disayanginya.

Hang Tuah sebagai seorang wira pula turut menampilkan sifat bijaksana dan pintar. Misalnya dia menguasai pelbagai bahasa utama dunia. Sebab itulah juga dia dipilih menjadi duta ke India, China, Siam, Turki dan Majapahit.

Dia juga memiliki kepintaran dan daya fikir yang tinggi dalam melaksanakan setiap pekerjaannya. Penggunaan daya muslihat yang cukup pintar tergambar apabila Hang Tuah menggunakan kepintaran akal untuk merampas keris Taming Sari daripada lawannya.

Tidak sekadar itu, Hang Tuah juga mampu melihat wajah Maharaja China dengan menggunakan muslihat memakan sayur kangkung. Ini merupakan kombinasi sifat keberanian dan daya fikir tinggi seorang wira sejati.

Hanuman juga menggunakan fikiran yang tajam dalam memperdaya Ravana. Misalnya apabila Hanuman pergi menemui Ravana sebagai utusan daripada Rama, raksasa itu meminta Hanuman duduk di lantai. Namun, Hanuman tidak mahu merendah diri. Sebaliknya dia menjadikan ekornya sangat panjang dan dijadikan alas untuk duduk setara dengan singgahsana Ravana.

Selain daripada itu, Hang Tuah dan Hanuman sama-sama memiliki sikap berdiplomasi, berwaspada dan bersopan santun semasa menangani sesuatu keadaan. Segala masalah yang timbul diselesaikan oleh mereka dengan tenang dan berdiplomasi. Kedua-dua watak ini tidak terburu-buru mengambil keputusan; sebaliknya berunding dahulu bagi menyelesaikan masalah.

Dalam pada itu, sebagai seorang wira sejati, Hang Tuah juga menampakkan sifat merendah diri, baik hati dan berbudi pekerti mulia. Walaupun dia seorang pahlawan yang gagah berani, bijaksana dan diberi tempat istimewa di sisi raja, namun Hang Tuah tetap merendah diri dan berbudi pekerti mulia kepada semua. Dia tidak angkuh atau cuba menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan diri.

Hanuman juga memiliki sifat itu walaupun dia menjadi maharaja. Dia sedar bahawa kedudukan maharaja dan rakyat adalah sama sahaja di sisi Tuhan. Dia juga tidak mahu menggunakan khidmat rakyat untuk kepentingan peribadi.

Hang Tuah menampakkan ciri pemurah dan suka melakukan kebajikan. Dia suka bersedekah kepada fakir miskin. Misalnya dalam suatu kejadian, Hang Tuah menjumpai harta milik orang lain. Dia ditawarkan satu per tiga daripada harta itu. Hang Tuah sebaliknya hanya mengambil satu per tujuh. Malah bahagian yang diterima itu disedekahkan pula kesemuanya kepada golongan miskin.

Selain daripada sifat supernatural yang sudah disebutkan tadi, Hang Tuah juga seorang wira yang memiliki unsur mistik; dengan erti kata memiliki ilmu tasawuf untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. Di hari-hari terakhir dalam hidupnya, Hang Tuah memasuki alam mistik. Dia mempersiapkan diri sepenuhnya untuk menghadapi dunia akhirat. Dia berkhalwat di Tanjung Jugra.

“Maka Tun Syeikh itulah yang bersama­-sama Laksamana duduk di Bukit Jugra itu mengerjakan amal Allah siang malam, terlalu keris, tiadalah lagi Laksamana ingatkan pekerjaan dunia, melainkan syuhudnya pada Allah Taala semata-mata.”

Hanuman juga sejak awal sentiasa mengakui kuasa Tuhan. Tidak lama selepas tamatnya perang Rama-Ravana, Hanuman terpaksa mengganti tempat Rama sebagai maharaja. Namun begitu, Hanuman tetap sedar bahawa tujuan dia diutus ke bumi oleh Tuhan adalah untuk membantu Rama membunuh Ravana. Bagaimanapun, dia perlu kekal di bumi selagi Rama dan Sita belum mengakuinya sebagai anak kandung mereka.

Sementara menanti Rama dan Sita membuat pengakuan itu selepas menebus dosa mereka, Hanuman pula mendekatkan diri kepada Tuhan melalui tafakur. Setiap pagi, dia ke makam Tamnat Gangga untuk menenangkan jiwa. Hanuman mengakui bahawa makam itu turut berperanan membantu manusia menyedari kuasa mutlak Tuhan ke atas hamba-hamba-Nya.

Hang Tuah pula memiliki kelebihan sebagai seorang wira Melayu kerana berpeluang bertemu orang bijaksana. Misalnya Hang Tuah berpeluang menemui Nabi Khidir sebanyak tiga kali.

Setelah mengambil kira segala ciri seorang wira dalam dunia Melayu, jelaslah bahawa watak Hang Tuah sesungguhnya adalah seorang wira yang unggul. Dia memiliki segala ciri dan sifat keperwiraan yang diperlukan. Keperwiraannya bukan sekadar berciri fizikal tetapi adalah juga berciri mental, psikologi dan jiwa.

Hanuman juga menampilkan ciri-ciri keperwiraan yang hampir sama. Maka nyatalah bahawa watak Hang Tuah dalam teks Hikayat Hang Tuah dan Hanuman dalam novel Hanuman: Potret Diri sama-sama memiliki sifat-sifat keperwiraan sebagaimana yang diharapkan.

Apa yang menarik adalah bahawa kedua-dua watak ini Hanuman dan Hang Tuah memiliki begitu banyak persamaan; seperti yang telah dihuraikan dalam tulisan ini. Penemuan ini tidaklah menghairankan kerana ciri-ciri keperwiraan adalah bersifat global dan sejagat. Maka ciri-ciri keperwiraan Hang Tuah dan Hanuman mempunyai persamaan yang sangat ketara.

  Kavya, Mei-September 2000