Pilatus terhempas juruterbang terbunuh

ALOR STAR 27 Mei - Seorang pelatih juruterbang, Lt. Mualimin Jasid, 23, terkorban apabila pesawat latihan Pilatus PC-7 yang dipandunya secara solo terhempas di tebing sungai di Kampung Padang Gelanggang, Sanglang dekat sempadan Kedah-Perlis, 25 kilometer dari sini petang ini.

Nahas itu berlaku pada pukul 2.15 petang semasa pesawat tersebut membuat latihan, setelah berlepas dari Kolej Tentera Udara (KTU) di Kepala Batas dekat sini pada pukul 2.09 petang.

Waris Lt. Mualimin berasal dari Taman Datuk Senu, Sentul, Kuala Lumpur telah dimaklumkan mengenai nahas tersebut.

Pegawai Perhubungan Awam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Roslan Salam dalam satu kenyataan memberitahu, pelatih pesawat itu membuat panggilan terakhir ke menara kawalan pada pukul 2.12 petang.

Menurut Roslan, sebuah lembaga siasatan akan ditubuhkan untuk menyiasat punca kemalangan tersebut.

Kemalangan itu adalah yang kedua melibatkan pesawat PC-7 dalam tempoh setahun, selepas pelatih wanita, Lt. Mai Elny Sefrina Jalaluddin, 22, terkorban apabila pesawat yang serupa terhempas di kebun getah di Sintok dekat Changlun, pada 12 Ogos tahun lalu.

Sementara itu beberapa orang saksi ketika ditemui memberitahu, pesawat latihan buatan Switzerland itu dikatakan berlegar-legar rendah diikuti bunyi deruman enjin yang kuat sebelum menjunam ke tepi sungai Sanglang.

Bangkai pesawat itu dilihat berkecai dan serpihannya bertaburan beberapa meter dari tempat kemalangan tersebut.

Sementara itu kerja-kerja mengeluarkan mayat pelatih juruterbang dan serpihan pesawat oleh pegawai TUDM dengan bantuan pasukan polis, bomba dan penyelamat masih diteruskan sehingga pukul 10 malam ini.

Kawasan nahas itu juga menjadi tumpuan penduduk kampung yang ingin melihat lebih dekat nahas itu.

Read more Jeritan, letupan kedengaran di udara, Allahyarham Mualimin tidak sempat beri ibu RM1,000
 

note: the late Lt. Mai Elny Sefrina Jalaluddin also was a friend of Lanun dear while attending the course at Alor Setar, about a year ago.