SPEKTRUM
KEHIDUPAN
Resah
Yang Pergi..... Ya,
Allah terima kasih atas keresahan ini. Aku terpanggil
untuk memulakan sequdus bicara dengan-Mu. Serasa aku
semakin hampir dengan-Mu.
- Oleh Nuurahqudsiah L.A.Q
Malam
itu, sepi bertamu lagi....aku diamuk resah...jiwaku parah
keluh kesah dilanda gelisah. Lantas meronta-ronta dihimpit
sangkar duka yang cukup tersiksa. Terbatu aku di sudut
pilu mengenangkan gelojak perasaan yang sukar ditafsirkan.
Aku masih tercari-cari sesuatu yang aku sendiri belum
pasti.... tercari- cari sesuatu yang aku sendiri belum
mengerti maksud yang tersirat dalam fatamorgana yang
mengelirukan !. Aku sendiri sukar, sukar menerokai apa
yang tersirat di sebalik naluri ini. Cubaku selami....
namun masih tak pasti.... adakah aku bermimpi di alam
realiti? atau aku terperangkap antara alam fantasi dan
realiti?.
Buntu..buntu..mengapakah
perasaan ini sukar di mengerti?. Penyelesaian yang ku cari
persoalan pula yang menguji. Aku kerap bermain teka teki.
Cabaran hidup silih berganti datang dan pergi. Aku
termangu-mangu lagi. Sandiwara apakah yang mengurung
diriku kini? Betapa payah untukku kaji. Semakin lama aku
rasakan bagai ada batu besar yang menghimpit dadaku kini.
Lemas...sesak nafasku jadinya. Mengapa aku merelakan
bertambahnya beban di fikiran? aku bungkam. Namun aku
perlu menyelami hakikat percaturan hidupku ini. Ya.... aku
seorang pejuang. Pejuang kecil di perantauan. Apakah aku
inginkan perjuangan ini berakhir tanpa sebuah kegemilangan
yang dijulang?. Mudah benar peluang keemasan ini di buang
lantaran kecamuk perasaan sering menjerut ketenangan.
Apa yang perlu aku
gusarkan? Aku tidak keseorangan di persada ini. Mengapa
aku mesti lemah? Aku tak ingin ditewaskan oleh perasaan.
Sememangnya perasaan ini terlalu banyak sendaannya
tersendiri. Perkara yang remeh pun turut dipersoal.
Entahlah....aku tidak betah dibelenggu gelora rasa, lantas
terulit leka di lautan sia-sia dan terus dipukul ombak
yang mula murka sehingga terdampar di tebing pantai hampa!.
Apakah aku inginkan perkara sebegitu terakam dalam kamus
perjuangan hidupku?. Dan seterusnya menjadi episod
kenangan yang memeritkan bagi seorang pejuang sepertiku?.
Tidak sememangnya tidak. Aku tidak akan biarkannya,
cukuplah .Walaupun aku pernah mengalaminya, aku tidak akan
membiarkan sejarah itu kembali berulang. Perkara itu sudah
lama berada dalam lipatan nostalgia silam. Cuma aku perlu
bijak mengolahnya menjadi satu pemangkin diri yang paling
bermakna . Aku adalah sang musafir perjuangan. Perlu bijak
merungkai fatamorgana kekeliruan menjadi sebuah episod
kehidupan yang nyata bukannya mainan persoalan yang
menguji minda. Jangan kerana kekeliruan yang menduga aku
tersungkur hilang hala. Perjuangan hidup sememangnya
memeritkan. Apa lagi apabila bertarung dengan perasaan.
Kerinduan....kesepian....kekeliruan....kelemahan..kesedihan
lalu dipadukan akan tersulamlah keresahan yang tidak
diundang. Lantas getaran hebatnya akan terasa merajai jiwa
mengheret aku ke lembah duka. Nak mengait madu bukan
senang?. Perlu ada pelbagai pengorbanan dan kepakaran.
Begitulah diibaratkan perjuangan.
Ya, Allah terima
kasih atas keresahan ini. Aku terpanggil untuk memulakan
sequdus bicara dengan-Mu. Serasa aku semakin hampir
dengan-Mu. Meluahkan segala yang terpendam, membina
kembali kekuatan, merungkai segenap kekeliruan, menanam
semula pengharapan lalu membentuk satu keazaman yang tak
bisa dileraikan. Tiada daya untukku mengupas kemelut yang
bertandang melainkan Engkau mengizinkan kerana aku insan
kerdil yang terlalu lemah. Terima kasih keresahan .Terima
kasih pada-Mu Tuhan. Melaut sutera syukur kuhamparkan
pada-Mu Tuhanku. Tiada kusangka keresahan yang tertandang
Engkau gantikan dengan anugerah ketenangan yang sukar
kugambarkan.Dan malam itu....aku didakap syahdu. Hanya
Engkau memahami dan.airmata ini turut mengerti....
sepenuhnya !
Artikel
penuh di dalam SUTRA 33 di pasaran.
|