Maklumat Penulis Kaum India Malaysia di akhbar Bahasa Mandarin
Maklumat berikut berdasarkan rencana dalam akhbar Sin Chew Jit Poh (14 April 2002) yang telah dikirim kepada saya melalui e-mel oleh sdr Tan Chee Keong.
(Terima kasih Tan Chee Keong, Chong Fah Hing dan Too Wei Keong atas budi baik memberikan saya keratan akhbar berkenaan!)
* * *
Sebanyak
dua muka surat mengenai dua orang penulis Kesusasteraan Bahasa Malaysia
kaum India (Uthaya Sankar SB dan Saroja
Theavy a/p Balakrishnan) telah direncanakan untuk tatapan para pembaca Sin
Chew Jit Poh keluaran 14 April 2002.
Karya Uthaya - "Orang Pulau" - telah dipaparkan di bahagian atas
sebelah kiri. Wawancara Uthaya dengan penyusun merangkap penterjemah - Chong
Fah Hing - pula disiarkan di bahagian bawah.
Antaranya Uthaya telah mengatakan bahawa kemunculan sekumpulan penulis kaum India pada 80-an dan 90-an mula kelihatan mengatasi taraf para penulis kaum Melayu dalam penulisan kesusasteraan kebangsaan.
[Lihat
juga tulisan Uthaya dan Rajes]
Walau bagaimanapun, ada penulis Melayu yang rasa bangga terhadap pencapaian
Uthaya; ada pula yang cemburu, kata beliau. Beliau juga tidak menafikan bahawa
beberapa tahun kebelakangan ini ada orang cuba menafikan hak warganegara
Malaysia untuk menggunakan istilah "Bahasa Malaysia". Bagi beliau,
penulis-penulis kaum India telah dipinggirkan lantaran tumpuan karya-karya
mereka berkecenderungan terhadap masyarakat India.
Sehubungan itu, beliau juga menjelaskan bahawa dua tahun kebelakangan ini (sejak
1999) karya-karyanya tidak lagi disiarkan di media awam adalah kerana dia
hendak meluahkan bantahannya terhadap pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka
tertentu yang menafikan haknya menggunakan istilah "Bahasa
Malaysia" apabila merujuk pada bahasa kebangsaan Malaysia.
Walau bagaimanapun, karya beliau masih muncul dalam New Strait Times kerana
akhbar Inggeris itu mengiktirafkan kewujudan "Bahasa Malaysia" dan
sejak tahun 2001 beliau telah menyalurkan wang sendiri untuk menerbitkan
karya-karyanya untuk meneruskan perjuangan "Bahasa Malaysia"nya - Sasterawan
Pulau Cinta, Vanakam dan Panchayat
diterbitkan sendiri oleh beliau.
[Baca
wawancara lengkap]
Di sebelah kanan ( bahagian atas), Chong
Fah Hing pula menggalurkan sejarah para
penulis India, khususnya mengenai latar belakang Uthaya dan Saroja serta
karya-karya mereka.
Sungguhpun
demikian, dalam rumusan rencana itu, beliau mengkritik bahawa walaupun karya
Uthaya juga bertemakan masyarakat India atau sengaja menonjolkan latar
belakang orang India setempat, tetapi oleh kerana dia bermatlamat mengasaskan
satu "Bangsa Malaysia", maka mahu tidak mahu
terpaksa mengulangi cerita lama seperti keharmonian kaum dan isu (perselisihan)
kaum telah
menjadi kurang penting.
Misalannya, dalam hujung cerita "Orang Pulau" jelas memperlihatkan
ciri berdilema karya kesusasteraan kaum minoriti, terutamanya setelah zaman
penjajahan. Pada hemat beliau, ini adalah berkaitan dengan latar belakang
pendidikan penulis yang dikongkong oleh sistem kesusasteraan rasmi.
Walau bagaimanapun, memandangkan Uthaya telah secara terbuka mengisytiharkan
pemisahannya dengan sistem berkenaan, Chong
Fah Hing berharap Uthaya dapat melakukan
sesuatu dalam hal ini di masa hadapan.
Surat Berita - Kavya - Newsletter Lebih banyak maklumat penulis kaum India Malaysia! |