Melayu dan Islam : Olahan sejarah.
 
‘Jika ingin tahu kesuburan sesuatu tanaman, lihatlah pada bajanya.  Jika ingin tahu kekuatan suatu bangsa, lihatlah pada sejarahnya’.  Apabila kita menelusuri kembali sejarah bangsa melayu,  terdapat kepelbagaian aspek, ciri dan budaya yang menjadi aspirasi terpenting dalam menentukan survival bangsa melayu hingga kini.  Nilai yang terpenting ini adalah kekuatan yang perlu dipertekankan kembali agar ia bercambah selari dengan idealisme dan pemikiran melayu baru.  Tetapi, apakah kekuatan atau nilai yang terpenting itu …..?

Sebelum kedatangan Islam pada abad ke-15,  ramai pengkaji sejarah bersependapat bahawa majoriti bangsa melayu adalah buta huruf.  Cara berkomunikasi atau penyebaran maklumat adalah melalui interaksi percakapan (verbal).  Ini adalah antara sebab mengapa bangsa melayu amat kaya dengan sastera seperti pantun, puisi serta sajak.  Tetapi, tiadanya kebolehan untuk menulis membantutkan perkembangan ilmu, sekaligus menyumbang kepada mudahnya bangsa ini untuk dipengaruhi oleh pelbagai unsur samada berbentuk kepercayaan dan budaya.  Maka, bukanlah sesuatu yang menghairankan, sebelum kedatangan Islam, melayu telah pun menganut agama Buddha dan Hindu.

Budaya melayu yang lembut dan penuh kesopanan mendekati ciri dan budaya yang dibawa oleh Islam.  Oleh itu, Islam diterima dengan mudah dikalangan orang melayu. Di Melaka, sultan memainkan peranan yang penting dalam penyebaran syiar Islam.  Ini dibuktikan dengan tindakan Sultan Muhammad Shah (Sejarah Melayu, karya Tun Sri Lanang) yang mengarahkan seluruh rakyatnya untuk memeluk Islam.  Kesan daripada itu,  Melaka mulai terkenal sebagai tempat pembelajaran ilmu  dan perdagangan.

 Peristiwa pengislaman ini membuka lembaran baru bagi orang melayu. melayu telah mula celik huruf dan tulisan jawi mengambil tempat sebagai  wadah penulisan yang utama.  Ini sekaligus membawa perubahan yang ketara dalam pembinaan minda dan cara berfikir orang melayu.  Mereka diajar mengenal jati diri, memahami erti maruah diri dan menolak kepercayaan karut yang telah lama membelenggui pemikiran mereka.  Jika melayu tidak ditakdirkan untuk menerima hidayah ini, barangkali  melayu masih lagi terkongkong dengan pengetahuan yang terbatas sehingga kini.  Ini adalah satu  nikmat dari Allah s.w.t sebagaimana firman-Nya,
“Mereka merasa telah memberi nikmat kepadamu dengan keislaman mereka.  Katakanlah: Janganlah kamu merasa telah memberi nikmat kepadaku dengan keislamanmu, sebenarnya Allah Dialah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan menunjuki kamu kepada keimanan jika kamu adalah orang-orang yang benar”     (Al Hujaraat 49:17)

Sedikit rentetan sejarah diatas, memberikan satu gambaran yang jelas bahawa Islam memainkan peranan yang terpenting dalam mengangkat martabat dan mengasuh minda melayu.  Dewasa kini, melayu pernah dianggap sebagai bangsa yang akan membawa Islam ke mercu kegemilangannya. Menurut John L. Esposito “At the dawn of the 21th century, history may well repeat itself as the Southest Asian periphery moves to the center as a dynamic force in the renewal of Islam and Muslim societies”.  Samada ini adalah realiti atau tidak, ia merupakan pengiktirafan ikhlas kepada rumpun melayu yang dianggap mampu menjadi pencetus kearah pembaharuan Islam.
 
Akhirul kalam, saya berkeyakinan bahawa  kelansungan (survival) dan kemajuan melayu dalam alaf mendatang adalah bertitik tolak kepada sejauh mana melayu dapat berpegang kepada unsur-unsur Islam serta idealismenya.   Wassalam.


Kembali ke....
[ DuniakuArtikel 1Artikel 2Artikel 3 ]