Kesusasteraan Jawa Baru
Kesusasteraan Jawa baru bermula pada abad ke 18 sehingga Zaman pujangga Ranggawarsita. Pada zaman ini karya-karya kesusasteraan telah menampakkan pembaharuan mahupun dari segi penulisan dan corak-corak yang ingin ditonjolkan. Kesusasteraan ini lebih dikenali sebagai Zaman Surakarta awal karena di waktu inilah mulai disalin kembali karya-karya yang menggunakan bahasa Jawa Kuno ke dalam bahasa Jawa Baru. Karya-karya zaman ini dibahagikan kepada dua bahagian:
1. Karya-karya pembangunan.
2. Karya-karya ciptaan baru.
Bahagian pertama bermaksud menghidupkan kembali karya-karya lama menggunakan tembang macapat sebagaimana yang sudah dimulai di tahap akhir dalam Zaman Jawa Tengahan. Contohnya kitab Arjunawiwaha telah digubah menjadi Wiwaha Jarwa oleh Sinuhun Paku Buwana 111 yang memerintah Kerajaan Surakarta pada tahun 1749-1788 masihi, dan Bhratayuddha telah digubah kembali oleh Kyai Yasadipura dari kitab asal Kekawin Bharata-Yuddha.
Pada zaman ini banyak karya ciptaan baru yang ditemui seperti yang dilakukan oleh Pujangga Agung Jawa Ranggawarsita. Antara karya-karyanya termasuklah Jayabaya, Jakalodhang Cemporet, Paramajoga dan sebagainya. Selain Ranggawarsita terdapat juga pujangga-pujangga baru yang muncul pada zaman ini dan antaranya ialah:-
Sunan Pakubuwana IV
Sunan Pakubuwana V
R. Ng. Yasadipura I
R. Ng. Yasadipura II
K.G. Mangkunagara IV dan
P. Kusumadilaga
Antara mereka ini, Pujangga Ranggawarsitalah yang paling menonjol. Beliau bukan sahaja setakat menggubah kembali karya-karya lama tetapi banyak karya-karya barunya yang dihasilkan dan menjadi warisan dan banggaan. Terdapat banyak pembaharuan dalam teknik penulisan Kesusasteraan Jawa yang telah diterokainya seperti penggunaan ¡°Sandhiasma¡± disamping corak pemakaian bahasa yang indah dan unik.
Ranggawarsita atau dikenali sebagai Bagus Burham (ungkapan Jawa daripada Bagus Burhan) merupakan seorang pujangga istana Surakarta yang terkenal. Nama beliau bermakna bagus atau baik. Penglibatan beliau dengan keraton Surakarta bermula sewaktu beliau dilantik menjadi carik (jurutulis) Kadipaten Anom, dengan gelaran Mas Rangga Pajang Anom pada tahun 1819. Pada tahun 1822, beliau dinaikkan pangkat menjadi Mantri Carik dengan gelaran Mas Ngabehi Sarataka. Ranggawarsita memegang jawatan ini selama lapan tahun dan pada tahun 1830, beliau dilantik menjadi Panewu Carik Kadipaten yang membawa gelaran Raden Ngabehi Ranggawarsita. Sejak itu nama Bagus Burham kurang digunakan malahan nama Ranggawarsita menjadi nama diri dan terbukti dalam kebanyakan karyanya yang ditulis secara sandiasma iaitu nama yang disamarkan. Pada tahun 1845, ketika usinya menjangkau 40-an, beliau dinaikkan pangkat kepada Pujangga Dalem dengan gelaran Abdi Dalem Kliwon Kadipaten Anom dan dalam usia dewasanya inilah beliau banyak menumpukan waktunya dalam bidang penulisan.
Corak lama kesusasteraan Jawa berpusat di keraton dan kadangkala penulisan yang dilakukan adalah di atas kehendak raja yang memerintah atau untuk seseorang tokoh tertentu. Begitulah langkah pengarang yang berani mengkritik raja walaupun secara andaian sebagaimana yang terdapat dalam teks Jayengbaya. Apabila terjadi pertembungan dengan Barat khususnya Belanda, pengarang Jawa sudah berani menulis nama mereka secara terbuka dalam karya-karya mereka dan tidak disandikan (disamarkan) kerana beranggapan bahawa ada hak individu dalam berkarya.
Ranggawarsita dikatakan sebagai pujangga penutup tetapi penutup bukan bermakna tidak ada lagi penulis lain sesudah beliau. Walaupun beliau sudah tiada, kesusasteraan Jawa tetap berkembang dan tugas kepujanggaan tetap diperlukan sepanjang masa. Dalam hal ini Ranggawarsita dapat dilihat sebagai pujangga Jawa yang sukar ditandingi, di samping menjadi pendorong dalam perkembangan kesusasteraan Jawa.