PENYAKIT TIROID
Kelenjar tiroid menghasilkan hormon beriodin yang mengawal kadar metabolisme badan. Iodin diperlukan dalam diet untuk fungsi normal kelenjar tiroid. Kekurangan iodin dalam badan boleh menyebabkan penyakit goiter iaitu pembesaran kelenjar tiroid.
Hipotiroidisme digunakan untuk keadaan kelenjar tiroid yang kurang aktif dari normal. Ini menyebabkan penurunan kadar metabolisme badan. Simptom yang terlibat termasuklah goiter, keletihan, pertambahan berat badan, mudah berasa sejuk, sembelit serta kulit dan rambut yang kering. Hipotiroidisme lebih kerap berlaku dalam golongan tua. Hipotiroidisme boleh menyebabkan peningkatan paras kolesterol darah dan penurunan keupayaan penukaran beta karoten kapada vitamin A. Ini menyebabkan pengumpulan karoten dalam darah dan tisu yang memberikan warna jingga kekuningan kepada kulit.
Tip Rawatan:
Memperbanyakkan
makanan kaya dengan iodin seperti ikan air masin dan rumpai laut.
Mengurangkan
kobis, turnip, kacang tanah dan mustard yang menghalang penggunaan iodin oleh badan.
Turnip Kobis
Hipertiroidisme digunakan untuk keadaan kelenjar tiroid yang terlampau aktif di mana kelenjar tiroid menghasilkan hormon tiroid secara berlebihan. Hipertiroidisme lebih kerap berlaku dalam wanita berbanding lelaki. Simptom yang terlibat termasuklah peningkatan kadar denyutan jantung, kehilangan berat badan, keletihan, peningkatan selera makan, irritabiliti, berpeluh, mudah berasa panas, mata tersempul dan goiter. Hipertiroidisme meningkatkan kadar metabolisme. Ini menyebabkan penggunaan kalori dan nutrien yang lebih cepat dari normal. Punca hipertiroidisme biasanya dikaitkan dengan kehadiran antibodi yang merangsang sel tiroid.
Tip Rawatan:
Memperbanyakkan
makanan yang kaya dengan vitamin B seperti ikan, bijirin dan benih untuk mengatasi masalah kehilangan berat badan.
makanan kaya protein seperti ikan dan telur untuk penggantian tisu otot dalam kes kehilangan berat badan yang serius.
Mengurangkan
rokok, alkohol dan kafein yang dapat meningkatkan kadar metabolisme.