MEKKAH PADA TAHUN 1927
Harga getah di Jambi, di seluruh tanahair sedang
naik, negeri Mekah baharu sahaja pindah dari
tangan
Shariff
Hussin ke tangan Ibn Sa'ud, Raja Hijaz dan Najad dan
daerah takluknya yang kemudian ditukarkan namanya
menjadi kerajaan "Arabiah Sa'udiah". Setahun sebelum itu
telah naik haji dua orang yang kenamaan dari negeri
kita. Keamanan negeri Hijaz, telah tersiar. Kerana itu
banyak orang yang berniat menyempurnakan Islam yang
kelima itu. Tiap-tiap kapal haji yang berangkat menuju
Juddah penuh sesak membawa jemaah haji. Konon khabarnya,
belumlah pernah orang naik haji seramai tahun 1927 itu,
baik sebelum atau pun sesudahnya. Ketika itulah saya naik haji. Dari pelabuhan Belawan
saya telah belayar menuju ke Juddah menumpang kapal
"Karimata". Empat belas hari lamanya saya
terkatung-katung di dalam lautan besar. Pada hari kelima
belas sampailah saya di pelabuhan Juddah, pantai Laut
Merah itu. Dua hari kemudian saya pun sampai ke Mekah
tanah suci kaum Muslimin sedunia. Betapa besar hati saya ketika melihat
Ka'bah tidaklah
dapat saya perikan, kerana dari kecilku sebagai
kebiasaan tiap-tiap orang Islam, Ka'bah dan menara
Masjidil Haram yang tujuh itu menjadi kenang-kenanganku.
Saya injak tanah suci itu dengan persangkaan yang baik,
saya hadapi tiap-tiap orang yang mengerjakan ibadat
dengan penuh kepercayaan, bahwa mereka pun berasa
gembira iaitu sebagaimana yang saya rasai itu. Mula-mula
saya menyangka, bahawa dinegeri yang suci itu saya tidak
akan bertemu dengan kejadian-kejadian yang ganjil atau
hikayat yang sedih daripada penghidupan manusia. Sebab
sangka saya tentu sahaja selain daripada diri saya
sendiri, orang-orang yang datang kesana itu adalah
orang-orang yang gembira dan yang mampu banyak
tertawanya daripada tangisannya. Tetapi rupanya, di
mana-mana jua di atas dunia ini; asalkan sahaja
ditempati manusia, kita akan bertemu dengan yang tinggi
dan yang rendah, kita akan berjumpa dengan kekayaan dan
kemiskinan, kesukaan dan kedukaan, tertawa dan
ratapan tangis. Saya telah mendengar di antara azan(bang) yang
sayup-sayup sampai di puncak menara yang tujuh, di
antara gemuruh doa manusia sedang berkeliling (tawaf) di
sekeliling Ka'bah, di antara takbir umat yang sedang
berlari pergi balik di antara bukit Safa dan Marwah, saya telah
mendengar ratap dan rintih seorang makhluk Tuhan,
sayup-sayup sampai antara ada dengan tiada hilang-hilang
timbul di dalam gemuruh yang hebat itu.
Sebagaimana kebiasaan jemaah yang datang dari tanah
Jawa, saya menumpang di rumah seorang syeikh yang
pekerjaan dan pencariannya semata-mata daripada
memberi tumpangan bagi orang-orang haji, di hadapan
bilik yang telah ditentukan oleh syeikh untuk saya,
ada pula sebuah bilik kecil yang muat dua orang.
Disana tinggal seorang belia yang yang baharu berusia
32 tahun, badannya kurus lampai, rambutnya hitam
berminyak, sifatnya pendiam, suka bermenung seorang
diri di dalam biliknya itu. Biasanya sebelum
kedengaran azan subuh ia lebih dahulu bangun pergi ke
masjid seorang diri. Menurut keterangan syeikh kami
belia itu berasal dari Sumatera, datang pada tahun
yang lalu, jadi ia adalah seorang yang telah bermukim
di Mekah.
Melihat kebiasaannya demikian dan sifatnya yang salih
itu, saya menaruh hormat yang besar atas dirinya dan
saya ingin hendak berkenalan.
Maka dalam dua hari sahaja hasillah maksud saya itu;
saya telah beroleh seorang sahabat yang mulia patut
dicontohi. Hidupnya sangat sederhana, tiada lalai
daripada beribadat, tiada suka membuang-buang waktu
kepada yang tidak berfaedah, lagi pula sangat suka
memerhatikan buku-buku agama, terutama kitab-kitab yang
menerangkan kehidupan orang-orang yang suci, ahli-ahli
tasauf yang tinggi.
Bila saya terlanjur mempercakapkan dunia dan hal
ehwalnya, dengan sangat halus dan tiada terasa
percakapan itu dibelokkannya kepada ke halusan
budi-pekerti dan ketinggian kesopanan agama, sehingga
akhirnya saya terpaksa tunduk dan memandangnya lebih
mulia daripada biasa. Baharu dua bulan sahaja semenjak awal Ramadhan sampai
Syawal, pergaulan saya dengannya, saya telah banyak
tertarik olehnya di dalam menuju kesucian, terutama di
dalam negeri yang semata-mata untuk beribadat itu.
Tetapi pergaulan yang baik itu tiba-tiba telah terusik
sebab dengan kapal yang paling akhir telah tiba seorang
teman baharu dari Padang. Entah kerana kebetulan sahaja atau disengaja lebih dahulu, ia telah menjadi
jemaah syeikh kami pula. Sahabat saya yang baharu tiba ini
sangat terkejut melihat bahawa sahabat saya ada di
Mekah. Rupanya tidak disangka-sangkanya mereka akan
berjumpa disana dan sahabat saya pun rupanya tidak
menyangka akan berjumpa dengan sahabat baharu itu. Nama sahabat saya ialah Hamid dan nama saudara baharu itu
Salleh. Salleh, menurut keterangannya, hanya dua atau tiga hari
sahaja sebelum naik haji akan tinggal di Mekah, ia akan
pergi ke Madinah lebih dahulu; dua tiga hari pula
sebelum jemaah haji ke 'Arfah ia akan balik ke Mekah.
Setelah selesai mengerjakan haji, ia akan meneruskan
perjalanannya ke Mesir, menyambung pelajarannya. Setelah musta'id maka Salleh pun berangkat ke
Madinah. Ketibaan sahabat baharu itu mengubah
keadaan-keadaan dan sifat-sifat Hamid, entah khabar
apakah agaknya yang baharu dibawanya dari kampung
yang mengganggu kesejahteraan fikiran Hamid. Ia
bertambah tekun membaca kitab-kitab terutamanya tasauf
karangan Imam Ghazali. Terkadang-kadang kelihatan ia
bermenung seorang diri di atas
satah*
rumah tempatnya tinggal melihat tenang-tenang kepada
qal'ah (bintang-bintang) tua di atas puncak Jabal
Hindi. Saya seakan-akan tidak dipedulikannya lagi.
Sedang saya mengerjakan tawaf keliling Ka'bah maka
terlihat oleh saya ia bergantung kepada
kaswah**
menengadahkan mukanya ke langit, airmatanya menitik
dengan derasnya membasahi serban yang membalut dadanya,
kedengaran pula ia berdoa: "Oh Allah! Kuatkanlah hati
hambamu ini!"
Sebenarnya saya ini pun seorang yang lemah hati,
kesedihan itu telah pindah ke dada saya, meski pun
saya tak tahu apa yang disedihkannya. Khabar apakah yang agaknya yang telah dibawa oleh Salleh
dari kampung? Apakah sebab Hamid bersedih hati demikian
rupa? Dunia yang manakah yang telah memutuskan
harapannya? Tipudaya siapakah yang telah melukai
hatinya, hingga ia menjadi demikian rupa itu? Itu
sentiasa menjadi soal kepada saya. Pada suatu malam, sedang ia duduk seorang dirinya di
atas satah, pada sebuah bangku yang bertikar daun khurma
berjalin memandang kepada bintang-bintang yang
memancarkan cahayanya yang indah di halaman langit, saya
beranikan hati saya dan saya dekati dia. Maksud saya kalau dapat hendak membahagi kedukaan
itu atau merentang-rentang barang sedikit kedukaan
hatinya.
"Saudara Hamid!" – kata saya.
"Oh saudara, duduklah kemari!" – katanya pula sambil
memperbaiki duduknya dan mempersilakan saya.
Setelah sama-sama duduk, ia pun menanyakan keramaian
orang haji dan kami pun memperkatakan keadaan pada tahun
ini. Tiap-tiap perkataan terhadap kepada tanahair,
pembicaraan diputarnya kepada yang lain, serupa ia tak
suka. Maka akhirnya hati saya tiada tahan lagi, saya pun
berkata: "Sudah lama saya perhatikan hal ehwal kamu, saudara,
rupanya engkau dalam dukacita yang amat sangat. Agaknya
engkau kurang percaya kepada saya, sehingga engkau tak
mahu menyatakan kedukaan itu dengan saya. Sebagai
seorang kawan, yang wajib berat sama memikul dan rengan
sama menjinjing apa lagi jauh dari tanahair,
sewajibnyalah saya engkau beritahu, apakah yang
menyusahkan hati engkau sekarang, sehingga banyak
perubahanmu daripada yang biasa?"
Ia memandang kepada saya dengan tenang.
"Katakanlah kepada saya, wahai sahabat!" – ujar saya
pula.
"Saya akan menolong engkau sekadar tenaga yang ada
pada saya. Kerana meski pun kita belum lama bergaul,
saya telah tahu bahawa engkau adalah seorang yang
budiman, saya tidak akan mensesiakan kepercayaan
engkau kepada diri saya."
"Ini satu rahsia tuan!" – katanya.
"Saya akan pikul rahsia itu jika engkau percayakan
kepada aku dan saya akan masukkan ke dalam
perbendaharaan hati saya dan kemudian saya kunci
pintunya erat-erat. Kunci itu akan saya lemparkan
jauh-jauh sehingga seorang pun tak dapat mengambilnya
kedalam lagi.
Mendengar perkataan saya itu mukanya kembali tenang
dan ia pun berkata : "Jika telah
demikian tuan berjanji, tentu
tuan tidak akan
mensesiakan janji itu dan saya telah percaya
penuh kepada tuan, kerana kebaikan budi tuan dalam
pergaulan kita selama ini. Saya akan menerangkan kepada
tuan sebab-sebab saya bersedih hati dan akan saya
paparkan satu-persatu, sebagaimana berkata-kata dengan
hati saya sendiri.
Memang, saya harap tuan simpan citra diri saya
selama saya hidup, tetapi jika saya lebih dahulu
meninggal daripada tuan, siapa tahu ajal di dalam tangan
Allah, saya izinkan tuan menyusun hikayat ini baik-baik,
mudah-mudahan ada orang yang akan suka meratap
memikirkan kemelaratan nasib saya, meskipun mereka tak
tahu siapa saya. Moga-moga air matanya akan menjadi
hujan yang dingin dan memberi rahmat kepada saya di
tanah perkuburan."
Air mata saya terpercik mendengarkan perkataan itu.
Ia bermenung kira-kira dua atau tiga minit; di antara
gemuruh suara manusia yang hampir sunyi di dalam
Masjidil Haram itu, di antara doa-doa beribu-ribu
makhluk yang sedang berangkat ke hadzrat Tuhan sahabatku
itu mengumpulkan ingatannya. Awan gelap yang menutup
keningnya hilanglah dari sedikit ke sedikit; setelah itu
ia menarik nafas panjang, seakan-akan mengumpulkan
ingatan yang bercerai-cerai dan ia pun memulai
perkataannya. |