Assalamualaikum
wbt
Pada bulan Jun hingga
Julai ini, kita akan disajikan dengan himpunan
tiga buah planet, yang akan melakukan tarian-tarian
duet dan trio di antara satu sama lain. Planet
yang terlibat ialah Utarid, Kejora (Zuhrah) dan
Zuhal. ( Saya akan namakan Venus sebagai Kejora
bagi mengelakkan sebarang kekeliruan antara Zuhrah
dan Zuhal).
Di dalam isitilah astronomy
inggeris, fenomena ini dipanggil conjunctions
of planets. Saya gelarkan di sini sebagai Himpunan
Planet-planet. Maksudnya sama saje.
Ok, berbalik kepada fenomena
yang bakal berlaku ini, ketiga-tiga buah planet
ini akan berada di kaki langit sebelah barat,
selepas waktu Maghrib. Saya rasa waktu paling
sesuai untuk mencerapnya ialah sekitar jam 7.45
malam. Jika kita tinjau sejurus selepas matahari
terbenam, mungkin agak sukar untuk mengecam Zuhal
dan Utarid. Tetapi jika kita benarkan diri kita
tunggu seketika, sekitar 1/2 jam selepas maghrib,
langit sudah mulai gelap, dan contrast antara
langit dan planet-planet ini akan lebih menjurang.
Artikel ini akan memperincikan
fenomena ini bemula 15 Jun 2005 hingga 30 Jun
2005.
15 Jun 2005 - Petang ini,
Zuhal, Kejora dan Utarid membentuk satu garisan
lurus. Perhatikan, untuk hari-hari mendatang,
Utarid dan Kejora sedang mendaki dan bergerak
semakin tinggi, manakala Zuhal semakin rendah.
Utarid berada paling rendah pada altitud (ketinggian)
8 darjah sahaja dari kaki langit. Anda perlukan
kawasan yang luas dan bebas dari sebarang halangan
untuk menjejaki planet ini.
Kejora berada lebih kurang
7 darjah ke atas Utarid. Dan ia akan semakin tinggi
setiap hari. Saya rasa tidak sukar untuk menjejaki
Kejora kerana kecerahan agak tinggi, iaitu sekitar
magnitud -3.9.
22 Jun 2005 - Pada hari
ini, setelah seminggu berlalu dari 15hb, kita
akan dapat lihat betapa pantasnya perubahan posisi
planet-planet ini, serta corak-corak dibentukkan.
Pada petang ini, Utarid dan Kejora semakin tinggi
berbanding 7 hari lepas. Perhatikan juga Utarid
seolah-olah mengejar Kejora, dan kedua-dua planet
ini semakin hampir antara satu sama lain.
Jangan lupa planet Zuhal,
yang berada hampir tegak ke atas dari posisi planet
Utarid dan Kejora. Amat menarik jika diperhatikan
posisi ketiga-tiga planet ini, yang mana ia membentuk
satu garisan yang lurus.
Tidak lengkap jika kita
melupakan bintang Castor dan Pollux, yang selama
ini telah menemani planet Zuhal merentasi langit
petang, sejak istiqbal Zuhal beberapa bulan yang
lepas. Kedua-dua bintang ini akan berada di sebelah
kanan dari lokasi planet Utarid dan Kejora. Cuba
guna binokulars untuk memudahkan pencarian bintang-bintang
ini. Walaupun pada asasnya magnitud kecerahannya
agak tinggi, namun posisi altitudnya agak rendah,
dan hampir dengan kaki langit, serta keadaan langit
sekitar jam 7.45 malam masih bercahaya, mungkin
akan menyukarkan kita menjejakinya dengan mudah.
24 Jun - Utarid dan Kejora
semakin rapat. Malah kedua-dua planet ini dipisahkan
sejauh kurang dari 1 darjah pada petang ini! Ini
lebih kurang saiz angular Bulan! Jika teleskop
kita boleh melihat Bulan secara keseluruhannya,
maka pada petang ini, kita akan dapat melihat
Utarid dan Kejora di dalam satu medan penglihatan
teleskop yang sama!
Zuhal berada di sebelah
atas kiri dari Utarid dan Kejora, dan ia berada
2 darjah dari Kejora
25 Jun - Ketiga-tiga planet
ini semakin rapat dan mula berkumpul di dalam
satu kawasan yang kecil. Perhatikan jika kita
unjurkan satu garisan dari bintang Castor ke Pollux,
ia akan bertemu dengan planet-planet ini.
Utarid dan Kejora dipisahkan
sejauh 34 arc minit sahaja (lebih kurang 1/2 darjah)!
Dan Zuhal berada 1.5 darjah ke sebelah atas kiri
dari Kejora.
26 Jun - Utarid dan Kejora
sungguh rapat, iaitu 1/3 darjah sahaja antara
satu sama lain! Subhanallah! Jangan lepaskan peluang
untuk melihat kedua-dua planet ini serentak menerusi
teleskop!
Zuhal pula berada 1.3
darjah dari Utarid dan Kejora.
Jika kita mempunyai teleskop
berkuasa amat rendah, yang membolehkan kita 'memuatkan'
2 buah Bulan, InsyaAllah pada petang ini, kita
akan berpeluang melihat KETIGA-TIGA planet ini
di dalam satu medan penglihatan yang sama!!!!!
27 Jun - Petang ini kita
bertuah untuk melihat himpunan planet yang begitu
rapat antara Utarid dan Kejora. Kedua-dua planet
ini dipisahkan sejauh 1/12 darjah sahaja!!!! Dekat
sangat tu!! Menerusi mata, binokulars atau teleskop,
cuba perhatikan perbezaan saiz dan kecerahan antara
kedua-dua planet ini. Kita mungkin tidak berpeluang
melihat himpunan planet seumpama ini dalam masa
terdekat.
Zuhal pula semakin jauh
dari planet Utarid/Kejora ini, iaitu hampir 2
darjah. Dan ia juga semakin rendah ke kaki langit.
28 Jun - Utarid dan Kejora
mula menjarak diri, namun kedua-duanya masih rapat,
iaitu sekitar 1/4 darjah sahaja! Manakala Zuhal
pula berada hampir 3 darjah dari posisi kedua-dua
planet tersebut.
Hari-hari selepas ini,
Zuhal semakin rendah ke kaki langit, tetapi Utarid
dan Kejora semakin tinggi. Namun jarak antara
Utarid dan Kejora semakin membesar. Pada 8 dan
9 Julai nanti, Bulan akan berada berhampiran lokasi
planet-planet ini, membentuk satu lagi jenis himpunan
planetari yang indah untuk dicerap.
Sepanjang fenomena ini,
saya berpendapat bagi kita yang mempunyai kamera,
samada slr atau digital, jangan lepaskan peluang
untuk mengambil foto kejadian ini. Dan jika berjaya
jangan lupa untuk berkongsi bersama di Falak-Net
atau di laman web Falak-Online.
Apa lagi, jom teropong!!!
Wassalam
_________________
-Shahrin-
Admin FALAK-ONLINE >>>>>>>>>>Artikel
ini disumbangkan oleh Shahrin, Falak
-Online |