Main Page|KPT Website | Kerajaan Terengganu| Forum |GuestBook

BILANGAN 33 TAHUN 08 APRIL / MEI  2002

 

ALTERNATIF SALURAN MINDA ISLAM

 

Laman SUTRA

CITRA SUTRA

  BALIK TABIR SUTRA

 FATWA BULAN INI

  SURAT PEMBACA

  KESIHATAN

  PSIKOLOGI

DAPUR SUTRA

  PEJAM-PEJAM CELIK

SENYUM SUTRA

LUGHATUL QURAN

JUMPA LAGI 


Info Link


 Bicara Hikmah:  "Dunia dan akhirat itu ibarat dua wanita yang di madu. Apabila engkau senang (pada) salah satu (antara) keduanya, maka akan marahlah yang lain."

INFO&NEWS

Harakah OnLine

Tamadun

Muslimah OnLine

Alumni.net

Hizbi OnLine

AL-Azhar OnLine

AL-islam Online

PanduanGuru.Net

Download.com

Syukur.com

Nasyid.com

Soal Jawab Agama

INTERNET EXPLORER

JAVA SKRIPT (I)

JAVA SKRIPT(II)

MICROSOFT.COM

 

 

 

 

This site powered by

 
 

CERPEN

 

BILIK NO 14

Oleh: Nukilan juri

 

 

 

 

 

 

 

             Lelaki itu tetap ketawa. Sudah sebulan dia menjadi penghuni pusat rawatan jiwa yang terletak di Lembah Klang itu. Dia masih merenung kepingan kertas yang bergelimpangan di atas simen. Bilik empat segi berpagar besi itu seolah-olah sangkar baginya. Dia tidak bebas seperti dulu lagi. Melaungkan isi hatinya. Hari-hari yang dilalui bagaikan alamnya sendiri. Bersama surat khabar yang kadangkala lusuh dimamah masa. Dia tidak peduli semua itu. Asalkan dia membaca. Kemudiannya dia ketawa lagi diikuti dengan tangisan yang nyaring. Acapkali juga mata tuanya mengalirkan butiran manik jernih yang jarang-jarang dia banggakan. Manisah masih mencari-cari di balik wajah tua milik lelaki 60-an itu. Kenapa dia begitu?. Perangainya memang aneh. Berbalam kenangan lama datang menerpa seolah-olah dia hadir sekali lagi mengucup hari-hari yang lepas. Lelaki tua itu

suka membaca. Terkadang juga suaranya gah membingarkan keadaan dengan deklamasian sajaknya. Lelaki tua yang bernama Chua Larry. Berkulit kuning langsat. Tiada siapa baginya di sisi. Yang Manisah pasti lelaki itu berketurunan cina

Petang itu, angin bertiup ghairah. Menghayun sekuat-kuatnya pepohonan rendang dan menarikan dedaunan milik si Sena. Di bawah rendangnya Sena duduk seorang lelaki. Chua Larry. Mulutnya terkumat-kamit. Tangan kiri dan kanannya sedang menggayakan sesuatu yang Manisah tidak faham. Kejauhan pandangan gadis itu tidak beralih arah. Ingin dia dekati dan ketahui kacau apa fikiran lelaki itu sampai terdampar di dunianya sendiri. Manisah mampir. Meladeni lelaki itu. Pantas punggungnya melabuh dekat duduk lelaki itu. Mata kedut lelaki itu menyorot jauh pandangan yang Manisah tidak mengerti.

“Tu. Lihat tu. Ha...ha..ha...,”muncung bibir lelaki itu mengunjuk ke arah depan mereka. Sekejap kemudian tangannya seolah-olah menari-nari mengangkat sesuatu. Kelihatan payah geraknya. Dush!. Dush!. Bunyi seperti tembakan terpacul dari mulutnya. Ketawa lagi.

“Mana surat khabar aku ha?. Aku nak surat khabar!, jeritan lelaki tua itu bersipongan menjelajah cuping telinga para pekerja.

“Manisah, kau tolong ambil surat khabar tu. Bagi pada pesakit nombor 14, terjuih mulut Zaiton menyuruhnya. Manisah akur. Dia pun masih baru di situ. Pusat AMAL Pengasih. Bangunan yang mempunyai tiga blok menempatkan pesakit-pesakit tekanan mental itu merupakan pusat rawatan percuma. Manisah suka di situ. Melayan karenah pesakit. Mereka bukan gila. Tetapi mereka mempunyai dunia yang tidak dapat ditembusi oleh fikiran waras manusia. Mereka memiliki dunia mereka sendiri. Kaki Manisah lemah melangkah ke bilik bernombor 14.

Uncle. Ini surat khabar, Manisah menghulur naskhah itu melalui jejari besi yang memisahkan mereka. Orang tua itu merengus kasar. Kemudiannya mengeluh lalu merenung jauh mata Manisah. Seterusnya menguntum senyum penuh makna buat Manisah.

“Kau orang baru ya?, tanya lelaki itu. Angguk.

“Islam?, pertanyaan kedua lelaki itu diikuti dengan jegilan bebola matanya jernih milik lelaki tua itu dibalas oleh Manisah dengan anggukan. Sekali lagi hilai tawa tuanya mendesir. Ketawa yang putus-putus. Hati Manisah membara . Pegangannya dijadikan bahan tawa.

“Tenang anak muda, nada datar lelaki itu sedikit menganjalkan kemarahan Manisah.

“Kau baca surat khabar?, soal lelaki tua di depannya. Jejarinya memegang naskhah 20 helai itu. Mengirai-ngirai helaian-helaian akhabar di depan Manisah.

“Engkau tak percaya berita surat khabar?, mata lelaki itu menjunam ke dalam mata bundar Manisah. Gadis itu angguk.

“Satu dunia dah tahu cerita ini. Tapi kau?. Heh!. Kau nak jadi resmi lalang?. Senang ditebas, Manisah geleng.

“Nah. Baca, lantas lelaki itu melemparkan surat khabar yang diberi oleh Manisah tadi. Anugerah penglihatan gadis itu mencari-cari berita yang dimaksudkan. Terus saja tertacap pada bait-bait akhbar:

Ghanikhel (Afghanistan ): “Tentera Amerika datang ke sini, gugurkan bom ke atas Afghanistan dan membunuh orang yang tidak berdosa,”kata seorang ulama Afghanistan.

Mata gadis itu beralih pada gambar seorang lelaki yang sedang menangisi kematian seorang bayi. Barangkali anaknya. Perlahan-lahan dia membaca tulisan di sebelah gambar itu. “Sedih...seorang lelaki Afghanistan menangis di sisi mayat bayinya yang terkorban bersama sembilan orang awam lain dalam serangan udara Amerika di Kabul semalam-Reuters.

Sebentar kemudian mulut mungil itu perlahan mengungkap tajuk besar berita yang tertulis: “Kanak-kanak Palestine menderita akibat diterjah peluru Israel.

Diikuti dengan gambar-gambar yang menyayat hati. Meracik halus-halus perasaan keperempuanannya.

“Usah kau salahkan sastera. Bukan itu yang salah. Tapi orang yang memegang pena kerana wang. Kau pandai mencari mana benarnya tulisan mereka bukan?. Nah!. Ini dia. Aku percaya ini kerana Amerika yang menjadi Raja segala Keganasan. Tapi ingat!. Seni sastera tidak sekali-kali dilanda kekeliruan oleh pena orang yang ikhlas, lelaki itu merenung kejap-kejap wajah Manisah. Ada perasaan yang sukar dia jelaskan.

Manisah mencari pandangan realiti. Lelaki tua itu sedang menangis. Pandangan Manisah kabur. Globalisasi pengkhabaran telah melempar jauh prinsipnya.

“Ini. Cuba kau baca, belumpun sempat manisah melekapkan pandangannya pada berita yang dimaksudkan, lelaki itu kembali ketawa. Terbahak-bahak. Nyaring membawa bersama rusuh hatinya.

Lebih 500 kanak-kanak yang menganggotai Kelab Kanak-kanak Ronald Mcdonald diraikan pada majlis sambutan sempena Hari Kanak-kanak Sedunia.

Manisah terus membaca.

Mereka disertai kira-kira 50 kanak-kanak istimewa dari tiga buah rumah kebajikan di Lembah Klang.

“Lihat!. Rancangan yahudi yang memberangsangkan. Di Timur Tengah mereka membedil tubuh kanak-kanak itu. Dan di sini mereka meraikan dengan gembira kematian yang kejam bersama kanak-kanak Malaysia. Watan hilang harapnya. Di sana mereka mencacatkan anggota kanak-kanak dan di sini mereka cuba mencacatkan hati generasi kita. Bravo!!!. Umat Islam tak keruan kalau sehari tak makan makanan barat. Tak standard kata mereka kalau tak pakai jenama barat yang hasilnya nanti untuk menghambat kanak-kanak dan orang yang tak bersalah seluruh dunia ini, hilai tawa lelaki tua itu berpanjangan. Terenjut-enjut. Tertahan sedikit dek sedunya. Manisah menilai jauh. Hatinya baru sedar. Yang dia seorang muslim

Petang Jumaat, seperti biasa Manisah bertugas, membantu dan mengerjakan rutin harian. Penampilannya berbeza hari ini. Tudung litup biru tua dikenakan dengan sepasang baju kurung yang sedondon warnanya, dia kelihatan ayu. Siren kecemasan berbunyi dengan tiba-tiba. Membingitkan.

Manisah. Cepat ke bilik 14. Lihat apa yang berlaku, Manisah berlari pantas. Meninggalkan jauh dari kotak ingatannya rangkaian-rangkaian berita dan cerita TV yang ditonton semalam. Sampai di bilik bernombor 14 Manisah terpempan. Jasad lelaki itu sudah terjelepuk di lantai dengan darah merah tua yang melekit mengalir dari luka dalam akibat dibenami peluru-peluru. Manisah menerpa lelaki itu.

Tidak!. Dia tak bersalah. Uncle, cakaplah pada mereka apa yang uncle katakan semalam. Uncle!, esak Manisah semakin menjadi. Mata lelaki itu kuyu. Degup jantungnya perlahan.

Aku Islam. Aku muslim, ayat itu diulang berkali-kali. Manisah masih mendengar desah nafas lelaki itu. Dia dengar ungkapan keramat syahadah lelaki itu. Manisah terpegun. Jeda. Degup jantungnya semakin lemah. Dan akhirnya hilang

Lembah Klang,-Seorang lelaki dari Pusat AMAL Pengasih telah membunuh diri. Mangsa yang dikenali sebagai Abdul Khalid b. Abdullah, 60-an itu dipercayai menggunakan pisau cukur untuk mengelar lengannya. Siasatan masih dijalankan.

 Jauh di satu sudut, mata redup milik gadis genit itu merenung lelaki di hadapannya.

“Manisah, ini barang yang awak mahukan, hulur lelaki berkumis nipis itu.

“Tak nak!. Aku nak surat khabarlah!. Ha...ha...ha,”lolongan tawa Manisah menyegarkan kisah duka bilik bernombor 14 itu.

 

 

 

 

 

 

 

   

 

 

 

 

 

Selanjutnya temui SUTRA 33 dipasaran.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Get a Free E-mail AddressGet ZZN