MASJID JAMEK MUAR

| masjid pertama | masjid jamek muar | masjid pt setongkat | masjid pt keroma |
| masjid pt bakar | surau jln hashim | surau jln daud | surau kg serkam | madrasah al haji taib |

Pandangan depan Masjid Muar Lagi pandangan depan Masjid Muar Masjid ke 2 Muar di Tanjung Agas dilihat dari Masjid pertama

Masjid Jamek Bandar Maharani Muar ini telah dibina di tapak yang sama dengan Masjid Jamek yang pertama dulu (tapak yang ada sekarang). Masjid ini dibina dengan kos RM400 000 dimana RM10 000 adalah hasil kutipan derma orang ramai manakala bakinya adalah perbelanjaan dari Kerajaan.

Bangunan masjid ini direkabentuk oleh Datuk Haji Muhamad Said bin Haji Sulaiman dan dilukis oleh Sulaiman bin Haji Alias iaitu Pelukis Negeri Johor.

Masjid ini telah dibina pada tahun 1925 dan mula digunakan pada 1930. Masjid ini dirasmikan oleh Datuk Mustafa bin Jaafar iaitu Menteri Besar Johor.

Dalam Hikayat Johor Kedua, terdapat satu keterangan bahawa oleh kerana agama rasmi Kerajaan Johor ialah Agama Islam dan Duli Yang Mulia Tuanku Sultan Johor adalah seorang yang kuat imannya maka diperintahkan semua para pegawai dan Kakitangan Kerajaan hadir ke Masjid bagi menunaikan Fardu Jumaat. Malah pada 1927 telah diadakan satu daftar di Masjid Jamek untuk merekodkan kedatangan mereka dan diberi kuasa pula pada Tuan Kadhi Daerah Muar untuk mengenakan hukuman.

Satu catatan dalam buku Cenderamata "Selamat Johor" yang diterbitkan pada 1935 oleh Dato Onn Jaafar menyatakan bahawa Pasukan Setia dan Pasukan Meriam Johor juga telah mulai ditempatkan di Bandar Maharani. Pasukan Timbalan Setia Negeri Johor itu terdiri daripada orang Melayu manakala Pasukan Meriam pula terdiri dari orang Kabul (Gurhka).

Diantara tugas-tugas yang dilakukan oleh Pasukan Meriam ialah membunyikan semboyan dengan menembak meriam untuk menandakan waktu tengahari, menyambut  Awal Puasa Ramadhan, menyambut ketibaan Hari Raya dan menyambut nama Sultan Johor yang diseru dalam Khutbah Jumaat dan Hari Raya.