PERISTIWA BUKIT KEPONG
| keretapi muar | panglima lidah hitam | bukit kepong | puteri gunung ledang | tokoh agama |
| madrasah al haji taib | lembing Awang pulang ke Dayang | seri menanti |

Gambar Muhammad Indera (duduk di depan murid lelaki yang tersenyum). Gambar diambil pada 3 Mac 1941 sewaktu beliau menjadi guru agama di Sek. Ugama Parit Setongkat Muar. Menurut bapa En. Jazlan (pemilik gambar ini) Muhammad Indera menyertai Parti Komunis bukan kerana ideologi, sebaliknya sebagai tempat berlindung dari diburu British memandangkan beliau kuat menjalankan aktiviti anti British. Penglibatan beliau dengan serangan Balai Polis Bukit Kepong masih kontroversi. Ini dikatakan beliau hanya melihat dari jauh semasa serangan tersebut. Beliau telah ditangkap British semasa sedang tidur setelah diberi makan makanan yang memabukkan oleh orang kampung. Semasa tidur ini "tangkal' yang dipakai beliau telah ditanggalkan dan tidak dapat melepaskan diri. Beliau ditahan di penjara Batu Pahat dan kemudian di bawa ke Penjara Ipoh untuk di hukum gantung sampai mati.

Peristiwa ini berlaku pada 23 Februari 1950. Pada waktu itu Bukit Kepong hanyalah sebuah pekan kecil dengan mempunyai dua puluh buah kedai kecil kebanyakannya dipunyai oleh orang cina terletak di tebing sungai Muar. Pekan ini hanya bersambung dengan jalan rentas, rumah-rumah penduduknya berselerak anggaran dua hingga empat buah rumah sebatu. Bilangan penduduknya kira-kira seribu orang. Perhubungan utama pekan ini ke Bandar Maharani hanyalah melalui Sungai Muar.

Subuh 23 Februari 1950 merupakan hari yang paling malang bagi penghuni di sebuah berek polis Bukit Kepong. Sedang beberapa orang anggota pasukan keselamatan selesai menunaikan solat Subuh dan ada diantara ibu-ibu yang membancuh susu untuk anak kecil yang terbangun, dengan tiba-tiba saja seluruh berek itu dihujani dengan peluru-peluru ganas.

Kira-kira jam lima setengah pagi , tiba-tiba meletus tembakan yang bertalu-talu menghujani ke Balai Polis di situ dan ledakan senjata otomatik sekurang-kurangnya lima bren-gun.

Gambar hiasan : 
Wajah dua orang pengganas komunis (wanita) yang ditembak mati oleh pasukan keselamatan pada 10 Oktober 1973 di Kanowit Sarawak. Gambar ihsan Tn. Hj. Hussin Markom Parit Keroma Muar (bekas tentera)

Pihak polis yang sedikit bilangannya itu segera membalas tembakan tersebut. Dalam tembak menembak itu, kedengaran suara dari pengganas komunis menyuruh pihak polis menyerah. Tetapi tiada jawapan dari pihak polis, malahan membalas tembakan dengan bertalu-talu lagi.

Pihak pengganas makin lama makin mara untuk masuk ke Balai Polis. Namun pihak polis dapat menghalangnya dengan tembakan bertalu-talu. Di bahagian rumah kelamin mula-mula sekali diserang. Beberapa isteri anggota polis turut mencapai senjata mempertahankan kediaman mereka sehingga kehabisan peluru.

Apabila tiada tembakan dari rumah kelamin, beberapa orang pengganas menyerbu masuk dan menangkap salah seorang isteri anggota polis dengan mengacu pistol di kepalanya sambil memekik kepada pihak polis yang masih mempertahankan Balai supaya menyerah diri. Tetapi jawapan yang diberi ialah mereka rela mati dari menyerah diri.

Akhirnya isteri anggota polis ini ditembak di situ juga. Kemudian rumah kelamin ini dibakar. Beberapa orang anak kecil yang berada di rumah itu juga turut terkorban dalam kebakaran ini.

Balai Polis Bukit Kepong terus diserang dan pasukan polis yang tinggal masih terus mempertahankannya. Beberapa anggota polis telah mati dan tidak kurang yang cedera. Selama tiga jam berjuang, akhirnya beberapa anggota polis terpaksa keluar balai kerana bahang kepanasan api yang membakar. Beberapa anggota yang keluar itu menembak sambil mencari tempat perlindungan. Kerana tiada tempat perlindungan yang yang baik sebahagian dari mereka akhirnya mati ditembak.

Pengawal-pengawal kampung yang berdekatan datang menolong. Walaupun mereka menggunakan senapang patah, tetapi semangat yang kental, akhirnya mereka dapat mengundurkan pengganas itu.

Sebelum pengganas berundur, mereka sempat membakar pejabat penghulu dan beberapa rumah yang lain termasuk Balai Polis. Sebuah motobot polis turut dibakar.

Di akhir tragedi ini, seramai dua puluh lima anggota polis dan isteri telah terkorban dan lima orang lagi tercedera. Dipercayai serangan pengganas diketuai oleh Muhammad Indera dengan anggotanya seramai 200 orang.