PUTERI GUNUNG LEDANG
| keretapi muar | panglima lidah hitam | bukit kepong | puteri gunung ledang | tokoh agama |
| madrasah al haji taib | lembing Awang pulang ke Dayang | seri menanti |

Mengikut kepercayaan orang Melayu di zaman silam, di puncak Gunung Ledang itu tinggal seorang puteri mambang yang cantik jelita bernama Puteri Gunung Ledang. Puteri itu mempunyai tujuh beradik berasal dari Tanah Jawa Indonesia. Saudara-saudaranya yang lain di Tanah Melayu ialah Puteri Gunung Banang di Batu Pahat, Puteri Gunung Panti di Kota Tinggi dan Puteri Gunung Beremban di sempadan Johor dengan Pahang.

Puteri-puteri mambang ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana mereka berbangsa jin. Mereka hanya dapat dilihat dan ditemui oleh pawang-pawang Melayu dan orang-orang yang sesat di gunung itu.

Mengikut cerita mulut orang-orang Melayu, Puteri Gunung Ledang yang duduk di puncak Gunung Mahligai mempunyai seorang kekasih yang tinggal di puncak Gunung Rundok. Kononnya pada tiap-tiap malam puncak Gunung Rundok itu mendekati puncak Gunung Mahligai untuk bertemu dan mengeluarkan perasaan hati masing-masing hingga ke suboh. Setelah beberapa tahun mereka berkasih-kasihan, pada suatu malam oleh kerana asyik berkasih-kasihan, waktu suboh pun terlepas. Perbuatan mereka yang melanggar sumpahan dewa-dewa mengakibatkan Puncak Gunung Runduk itu condong hingga sekarang.

Sekiranya kita mendaki Gunung Ledang mengikut jalan dari Kampung Asahan Melaka, kita akan berjumpa dengan sebuah gaung yang dalam sebelum kita sampai ke puncak Gunung Ledang. Gaung itulah dipercayai pada masa dulu memisahkan puncak Gunung Rundok dengan Gunung Mahligai di banjaran Gunung Ledang.

Oleh sebab puncak Gunung Rundok itu tidak boleh tegak semula, putera mambang itu pun terpaksa tinggal di puncak Gunung Mahligai bersama-sama Puteri Gunung Ledang dan kemudiannya mereka pun berkahwin.

Selepas berkahwin, mereka pergi berbulan madu ke Pulau Besar di Selat Melaka. Pada suatu hari Puteri Gunung Ledang duduk menjahit di bawah sepohon kelapa di tepi pantai itu. Suaminya berenang dalam air yang tidak jauh dari situ. Sedang Puteri Gunung Ledang asyik menjahit baju, suaminya datang mengusiknya dari belakang. Dengan sebab terperanjat, jarum yang di tangan Puteri itu tercucuk ke jari manis suaminya. Dengan serta merta anak raja Mambang itu jatuh tergolek di atas pasir lalu mati kerana telah menjadi sumpahannya tidak boleh dicucuk jarum. Apabila melihat kejadian yang menyedihkan itu, puteri pun memeluk tubuh suaminya sambil bersumpah :

   "Oh kekasihku putera Mambang, aku bersumpah tidak akan berkahwin lagi sehingga mati"

Tidak lama kemudian Puteri Gunung Ledang pun kembali semula ke Puncak Gunung Ledang.