KUALA LUMPUR 28 Jan. - Jabatan Penuntut Malaysia di Britain
dan Eire mengesahkan bahawa pelajar Malaysia tidak terbabit
dengan keputusan kerajaan Britain menaikkan yuran pengajian
universiti sehingga tiga kali ganda menjadi 3,000 pound (RM20,900)
setahun.
Pengarahnya
Datuk Dr. Kamarudin Mohd. Noor berkata, ini kerana keputusan
tersebut hanya membabitkan pelajar dari negara-negara Kesatuan
Eropah (EU) sahaja.
Beliau
berkata, sehubungan itu para ibu bapa dan penaja di Malaysia
tidak perlu bimbang dengan keputusan tersebut.
Tambahnya,
pengumuman tersebut juga disambut dengan rasa lega oleh pelajar-pelajar
Malaysia di Britain kerana mereka sebelum ini turut bimbang
jikalau kenaikan tersebut akan melibatkan mereka sekali.
``Para
pelajar kita agak cemas sebelum ini kerana jika berlaku kenaikan
ia pastinya membebankan mereka tambahan pula tukaran wang
sekarang berada pada nilai 1 pound bersamaan RM7.20.
``Ini
kerana kebanyakan mereka belajar di sini dengan menggunakan
pembiayaan sendiri dan sebelum ini kenaikan mata wang pound
sudah cukup membebankan,'' katanya ketika dihubungi Utusan
Malaysia di sini hari ini.
Parlimen
Britain hari ini meluluskan usul menaikkan yuran pengajian
universiti dari 1,125 pound (RM7,695) kepada 3,000 pound (RM20,900)
dengan kelebihan undi tipis, 316 undi menyokong dan 311 lagi
menentang.
Menurut
Kamarudin, langkah kerajaan Britain berbuat demikian adalah
untuk membolehkan pentadbiran universiti dan kolej di sana
mendapat sumber kewangan yang mencukupi.
``Oleh
sebab itu mereka terpaksa menaikkan yuran ke atas pelajar
EU disebabkan yuran yang dibayar mereka adalah terlalu rendah
iaitu 1,125 pound (RM7,695) sahaja berbanding pelajar bukan
dari negara EU.
``Pelajar
bukan dari negara EU terpaksa bayar sebanyak lapan kali ganda
lebih dari itu dan bagi kursus perubatan pula ia jauh lebih
tinggi kira-kira 15,000 pound (RM105,000) setahun.
``Bagaimanapun
kemungkinan untuk mereka menaikkan pula yuran ke atas pelajar
bukan negara EU memang ada tetapi mungkin kenaikan kecil sahaja,''
jelasnya.
Kamarudin
berkata, jumlah pelajar Malaysia di Britain dianggarkan kira-kira
12,000 orang dan mereka merupakan penuntut di lebih 190 buah
universiti dan kolej di sana.
``Bagaimanapun
yang berdaftar dengan pihak Jabatan Penuntut Malaysia hanyalah
berjumlah 4,000 orang yang mana kebanyakan mereka adalah pelajar
tajaan agensi kerajaan.
``Lagi
8,000 orang datang atas pembiayaan sendiri dan tidak berdaftar
dengan kita dan oleh sebab itu saya meminta ibu bapa di tanah
air supaya mengarahkan anak-anak mereka mendaftar secepat
mungkin dengan kita.
``Bukan
apa, ini akan memudahkan untuk tujuan rekod dan juga sekiranya
apa-apa berlaku, senang untuk kita mengambil tindakan susulan,''
ujarnya.
Source:
Utusan Online
|