Antologi Puisi Bahasa Malaysia
Penulis Kaum India Malaysia
Antologi Cerpen "Vanakam" di SINI
Novel "Panchayat" di SINI
Selepas kejayaan antologi cerpen Vanakam, Puan Raja Rajeswari telah mengusulkan agar sebuah antologi khas diterbitkan bagi memuatkan puisi Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh penulis kaum India Malaysia.
Suatu cadangan yang baik kerana memang ada ramai penulis puisi di kalangan kaum India di negara kita. Jadi, saya akan selenggarakan antologi puisi ini bersama Raja Rajeswari Seetha Raman.
Kami mengalu-alukan kiriman puisi bermutu bukan hanya daripada pemuisi yang sudah dikenali, malah juga daripada pemuisi baru yang berbakat.
Antologi berkenaan juga akan diterbitkan sendiri oleh saya (Uthaya Sankar SB). Jangan risau, saya sudah mempunyai kelulusan daripada Perpustakaan Negara untuk menerbitkan buku. Rujuk nombor penerbitan saya dalam kumpulan cerpen Sasterawan Pulau Cinta (2001), antologi cerpen Vanakam (2002) dan novel Panchayat (2002).
Bagi memastikan kesemua penulis yang karya mereka termuat dalam antologi ini turut bertanggungjawab dan sama-sama memikul beban penerbitan antologi ini, maka kos dikongsi bersama. Jadi ini bukan projek peribadi saya sebagai penerbit atau projek Rajesh sebagai rakan penyelenggara. Sebaliknya adalah sebuah projek oleh Penulis Kaum India Malaysia; secara tidak langsung, projek penerbitan kedua bagi Kavyan.
Antologi puisi berkenaan bakal menjadi antologi sulung yang mengumpulkan sepenuhnya puisi Bahasa Malaysia oleh penulis kaum India Malaysia.
Dicadangkan agar antologi berkenaan tebalnya 100 halaman. Jadi ada 100 puisi. Setiap puisi panjangnya satu halaman sahaja. Saiz buku sama seperti Sasterawan Pulau Cinta, Vanakam dan Panchayat.
Panjang setiap puisi dihadkan maksimum 30 baris sahaja. Saiz setiap halaman adalah sama dengan separuh halaman kertas A4. Kalau puisi terlalu panjang dan menggunakan dua halaman, maka semasa kiraan wang dibuat, puisi itu dikira sebagai dua puisi.
Bagi setiap puisi (panjangnya satu halaman dan 30 baris sahaja), penulis perlu menyumbangkan RM50 (Ringgit Malaysia Lima Puluh Sahaja) untuk menampung kos mencetak antologi. Kalau dua puisi, tentulah RM100. Tapi kalau satu puisi panjangnya dua halaman, perlulah bayar RM100.
Puisi mestilah menggunakan Bahasa Malaysia. MESTI karya asli. Kalau ada unsur ciplak, maka akan ditolak. Penulis dinasihatkan supaya memastikan mereka tidak terlalu "terpengaruh" dengan pemuisi lain sehingga karya mereka termasuk dalam kategori "puisi ciplak".
Jika puisi yang dikemukakan bagi antologi ini pernah tersiar di mana-mana, sila nyatakan sumber di akhir puisi.
Penulis tidak dibayar royalti atau honorarium. Sebaliknya penulis akan diberi sejumlah naskhah buku antologi apabila terbit nanti.
Misalnya, katakan bahawa saya mengemukakan sebuah puisi. Jadi saya perlu membayar RM50. Apabila antologi berkenaan terbit, saya akan menerima 10 (sepuluh) naskhah antologi berkenaan. Terpulanglah kepada saya sama ada mahu menjualnya untuk mendapatkan semula wang RM50 itu atau mahu menyimpan buku berkenaan.
Syarat mengirim puisi:
Puisi MESTI sampai kepada Uthaya Sankar SB atau Puan Raja Rajeswari pada atau sebelum 21 Ogos 2002; sempena perayaan Onam bagi kaum India berketurunan Malayalam.
Penulis mesti bersedia menyumbangkan RM50 bagi setiap puisi (satu halaman) untuk menampung kos mencetak antologi.
Sebelum mengirim puisi kepada kami, sila semak dengan teliti sekurang-kurangnya SEPULUH kali untuk memastikan tiada kesilapan bahasa, ejaan, tanda baca dan sebagainya.
Tema puisi adalah bebas. Tetapi pastikan puisi tidak menyentuh isu sensitif, tidak menyinggung perasaan individu/kelompok serta tidak melanggar Perlembagaan negara.
Sebaik-baiknya puisi dikirim melalui e-mel. JANGAN HANTAR SECARA ATTACHMENT. Jika ada puisi dihantar secara attachment, saya dan Rajesh akan DELETE segera tanpa membukanya.
Sila kirim puisi kepada Uthaya Sankar SB melalui e-mel uthayasb@tm.net.my dan Puan Raja Rajeswari melalui e-mel avg12345@tm.net.my. Sebaik-baiknya hantar puisi saudara kepada kedua-dua penyelenggara sekaligus.
Bagi antologi puisi ini, kami masih menerima penghantaran melalui pos biasa. Tapi pastikan puisi yang dikemukakan menggunakan tulisan yang terang, jelas dan mudah dibaca. Gunakan mesin taip atau cetakan komputer. Kalau tak ada mesin taip atau komputer, pinjam atau gunakan cybercafe.
Puisi bertulis tangan TIDAK akan dilayan.
Puisi yang dikirim melalui pos biasa MESTILAH dialamatkan kepada: Penyelenggara Antologi Puisi, Prabhamandala, 27 Jalan 25/82-B, Taman Sri Muda, 40400 Shah Alam. JANGAN hantar melalui poslaju dan seumpamanya. Gunakan pos biasa dengan setem 30 sen sahaja.
Kami hanya akan melakukan pengesahan penerimaan bagi puisi yang dihantar melalui e-mel. Pengesahan penerimaan TIDAK akan dibuat bagi pengiriman puisi melalui pos biasa.
Bukti pengiriman bukan bukti penerimaan.
Jika kiriman dibuat melalui pos biasa, sila telefon saya untuk mendapatkan pengesahan sama ada puisi sudah diterima.
Perkembangan mengenai antologi akan saya dan Rajesh hantar melalui e-mel kepada semua penulis terbabit. Jika mana-mana penulis tidak mempunyai alamat e-mel, bolehlah menghubungi kami melalui telefon untuk mendapatkan maklumat terkini. Atau lebih baik dapatkan segera satu alamat e-mel untuk memudahkan segala urusan.
Penulis MESTI mengirimkan bersama-sama puisi mereka sedikit maklumat diri (disebut "biodata"). Puisi yang tidak disertakan biodata tidak dilayan. Lihat contoh biodata dengan klik di SINI.
Tidak semestinya biodata dimuatkan dalam antologi. Tetapi setiap penulis WAJIB menghantar biodata bersama puisi. Ia pasti akan dimuatkan di laman Biodata Penulis Kaum India Malaysia.
Penggunaan nama samaran tidak digalakkan. Kalau mahu, boleh gunakan format Nama Samaran @ Nama Sebenar. Contohnya: Mottei Talei Murugan @ Vellu Samy atau Hanuman O @ Uthaya Sankar SB.
Bersama setiap puisi juga MESTI disertakan nama penulis, nombor telefon, alamat pos, alamat e-mel (jika ada) dan nombor kad pengenalan baru. (Kalau belum memiliki kad pengenalan baru yang diperkenalkan hampir sepuluh tahun lalu, sila tukar dulu kad pengenalan saudara sebelum menghantar puisi kepada kami!)
Semua puisi mesti sampai kepada penyelenggara pada atau sebelum 21 Ogos 2002. Sekurang-kurangnya "peperiksaan" tidak akan menjadi alasan! Puisi yang lewat TIDAK akan dilayan. Puisi yang tidak disertakan segala maklumat yang diminta juga tidak akan dilayan.
Antologi hanya mempunyai 100 halaman bagi 100 puisi. Siapa cepat, dia dapat!
Setiap penulis dibenarkan mengirim maksimum 5 puisi sahaja. Langkah ini agar peluang dapat diberi kepada lebih ramai penulis.
Penyelenggara akan selesai menilai dan memilih puisi bagi antologi selewat-selewatnya pada 30 September 2002. Selepas itu, surat rasmi akan dihantar kepada penulis terbabit untuk mendapatkan izin penerbitan.
Penulis perlu mengembalikan surat izin serta bayaran pada atau sebelum 31 Oktober 2002. Cara membuat bayaran akan dinyatakan dalam surat itu nanti.
Jika surat izin dan bayaran tidak diterima sehingga 31 Oktober 2002, maka puisi penulis terbabit akan digugurkan dan diganti puisi penulis lain.
Penulis dinasihatkan agar tidak mengirim puisi sekadar "suka-suka" dan tidak mahu membayar apabila surat izin dihantar. Jika ada penulis berbuat demikian, tindakan tegas akan diambil.
Setelah semua surat izin dan bayaran diterima, penyelenggara akan melakukan tugas penyelenggaraan. Saya sekali lagi akan melakukan layout, setting dan sebagainya.
Saya juga akan uruskan ISBN dan CIP dengan bantuan Cik Bathma. Untuk itu, saya perlukan segala maklumat penulis seperti yang diminta di atas.
Kalau semuanya berjalan lancar, antologi puisi Bahasa Malaysia penulis kaum India Malaysia boleh terbit pada 1 Januari 2003.
Pesanan akhir: Kalau saudara tidak boleh akur pada tarikh-tarikh akhir (due dates) yang dinyatakan bagi projek antologi ini, tolong jangan hantar puisi kepada kami.
Jika ada sebarang kritikan atau bantahan terhadap antologi ini, sila hubungi saya melalui e-mel uthayasb@tm.net.my atau telefon 013-3913278. Elakkan mengata dan mengumpat dan menambah dosa.
Judul, harga dan cara mendapatkan antologi ini akan dimaklumkan kemudian. Tapi yang pasti, setiap penulis terbabit akan menjual sendiri antologi ini.
Terima kasih kepada Sharon Nelson dari NST yang sudi menyiarkan pengumuman mengenai projek ini dalam akhbar berkenaan pada 16 Januari 2002.
Harap saudara turut sudi menyebarkan maklumat mengenai antologi ini kepada rakan-rakan dan kenalan yang saudara fikir mungkin berminat untuk terlibat dalam projek ini atau berminat membelinya apabila terbit nanti.
Sila maklum bahawa antologi puisi ini hanya akan diterbitkan jika pihak penyelenggara menerima sekurang-kurangnya 100 puisi yang berkualiti dan layak diterbitkan. Jika tidak, projek ini terpaksa dibatalkan atau ditangguh.