Fail Merah

Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta

Oleh: Uthaya Sankar SB

     

Catatan: Kali terakhir Uthaya Sankar SB mengirim cerpen Bahasa Malaysia ke media cetak adalah pada tahun 1999; iaitu cerpen "O" yang disiarkan dalam majalah Dewan Masyarakat, Julai 1999. Sejak tahun 2000, Uthaya mula menerbitkan sendiri karya-karyanya sebagai protes peribadi untuk membuktikan bahawa istilah "Bahasa Malaysia" wujud dan sah digunakan.  Kini, selepas tiga tahun, Dewan Masyarakat sekali lagi menjadi pilihan Uthaya untuk menyiarkan cerpen terkininya. Mengapa? Bacalah cerpen "Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta" dan saudara (mungkin) akan faham mengapa. Dan sekadar untuk makluman, mulai Januari 2003, DBP mengambil semula tugas penerbitan majalah Dewan Masyarakat daripada Karangkraf.

____________________

            

KAMI memutuskan untuk membunuh sasterawan berkenaan setelah menyedari bahawa kedudukannya dalam peta sastera Pulau Cinta semakin kukuh.

            “Kalau dibiarkan, dia mungkin terpaksa diperakukan sebagai sasterawan terkemuka Pulau Cinta,” kata Rama yang mempengerusikan mesyuarat.

            “Tapi, bagaimana?” tanya Ravana. “Bukankah dia semakin prolifik berkarya? Baru-baru ini karyanya menang lagi Anugerah Sastera Pulau Cinta. Dan kalau tak silap saya, tahun depan karyanya layak menang lagi.”

Masing-masing terdiam seketika. Masing-masing mula membelek buku-buku sastera yang bertimbun di atas meja mesyuarat. Halaman demi halaman diselak. Dalam diam, masing-masing mengakui kehebatan sasterawan berkenaan berkarya.

Nah! Itulah masalahnya. Penulis yang bukan penduduk peribumi Pulau Cinta sudah mampu menguasai sepenuhnya Bahasa Pulau dan mampu pula menghasilkan karya sastera yang sudah tidak dapat dipertikaikan ketinggian mutunya.

“Dia tidak boleh dibiarkan.” Rama menggeleng sambil menghisap rokok tembakau. “We have created a monster! Dia sudah berani bersuara lantang dan mengkritik melalui karya.”

Untuk seketika, wakil Penerbit Buku Dewasa (PBD) merasakan seperti pihaknya dipersalahkan dalam hal ini. Memang PBD bertanggungjawab menerbitkan sembilan daripada sepuluh buku cerita yang dihasilkan oleh sasterawan berkenaan.

“Karyanya memang sudah tersiar di akhbar dan majalah sebelum dijadikan buku,” kata wakil PBD dengan harapan dapat menangkis sebarang andaian bahawa pihaknya bersalah dalam isu yang timbul sekarang.

“Bukan salah PBD,” kata Ravana setelah memandang Rama sekilas lalu. “Dia memang hebat. Itu hakikat yang terpaksa kita akui.”

Azmi yang turut dipanggil menghadiri mesyuarat itu mengangguk dalam diam. Sebagai editor yang menangani beberapa kumpulan cerpen sasterawan berkenaan, dia sedar benar akan ketinggian mutu karya terbabit. Sukar dicari salah.

“Ini,” kata Rama pula seraya mengangkat sebuah fail merah yang mencatatkan nama sasterawaan berkenaan pada kulit hadapan. “Segala laporan akhbar dan tulisan mengenai sasterawan itu ada di sini. Kamu semua tentu telah membacanya sebelum datang ke mesyuarat ini.”

Dalam diam, Azmi tersenyum puas. Dia memang mengiri kehebatan sasterawan tersebut. Sepanjang dia bertugas mengedit manuskrip kumpulan cerpen sasterawan berkenaan sejak beberapa tahun lalu, rasa cemburunya semakin membusut. Cemburu atas penguasaan Bahasa Pulau oleh sasterawan berkenaan. Cemburu atas daya kreativiti. Cemburu atas keberanian sasterawan berkenaan mengemukakan isu-isu masyarakat dalam karya. Cemburu atas kemampuan sasterawan berkenaan menggambarkan citra budaya komunitinya dalam karya sastera Bahasa Pulau.

            Ah! Azmi membenci istilah itu. Dia membenci istilah “Bahasa Pulau”.

“Cuma ada satu cara untuk membunuh dia.” Ravana memandang setiap individu yang dipanggil menghadiri mesyuarat tertutup itu. “Sasterawan ini amat mementingkan penggunaan istilah ‘Bahasa Pulau’ apabila merujuk pada bahasa rasmi Pulau Cinta.”

“Betul,” Azmi mencelah. “Ada sekali itu saya ubah istilah ‘Bahasa Pulau’ dalam manuskripnya kepada ‘Bahasa Malayalam’. Terus dia minta saya kekalkan istilah ‘Bahasa Pulau’ dengan alasan istilah yang dia gunakan memang betul.”

“Betul. Memang dia pencinta Bahasa Pulau. Dan cintanya bukan cinta buta. Dia tahu apa yang dia lakukan. Dia tahu bahawa dia memang berhak menggunakan istilah ‘Bahasa Pulau’. Jadi, kita harus menyusun strategi untuk menggunakan kecintaannya terhadap istilah ‘Bahasa Pulau’ sebagai senjata yang bakal membunuhnya.”

Masing-masing memandang tepat ke wajah Rama. Dia pula membalas pandangan mereka dengan senyuman yang berisi keyakinan.

“Bagaimana? Kau jangan lupa bahawa kita kini dalam buangan. Kerajaan bukan di tangan kita,” Ravana mengingatkan.

Seketika Rama terkenangkan zaman kegemilangannya sebagai Ketua Jemaah Pemerintah Pulau Cinta. Dia tersenyum puas memikirkan cara-cara yang telah digunakannya untuk mengaibkan Ravana. Dia pernah merampas istana Ravana di atas bukit dan mengubahnya menjadi sebuah hotel peranginan dan pusat perjudian. Mereka berdua pernah bergelut seperti anjing kurap di tengah jalan. Mereka pernah saling berebut untuk memiliki Sita.

Tetapi semua itu kisah lalu. Kini mereka sama-sama menjadi orang buangan. Kerajaan kini milik Bharata. Sebuah kerajaan demokratik yang tidak menghalang penggunaan istilah ‘Bahasa Pulau’.

“Saya benci pada istilah ‘Bahasa Pulau’!” tengking Rama. Wajahnya memerah. “Bertahun-tahun saya cuba melenyapkan istilah itu sedikit demi sedikit dan mengembalikan istilah ‘Bahasa Malayalam’ tapi Bharata menghancurkan rancangan saya. Dia menggalakkan semula rakyat Pulau Cinta menggunakan istilah jahanam itu. Dan sasterawan itu pula sejak dulu tetap berkeras menggunakan istilah itu.”

“Dan karya-karyanya semakin mendapat tempat di kalangan belia dan remaja. Mereka juga semakin selesa menggunakan istilah ‘Bahasa Pulau’ berbanding ‘Bahasa Malayalam’,” Azmi mencelah. Tapi segera pula dia menambah sambil mempamerkan barisan gigi kuningnya: “Tapi penyokong tuan berdua tetap menggunakan istilah ‘Bahasa Malayalam’ sebagai tanda sokongan terhadap tuan berdua.”

Rama dan Ravana sama-sama tahu bahawa kata-kata Azmi hanya bertujuan untuk mengampu. Tidak semua rakyat Pulau Cinta yang menggunakan istilah ‘Bahasa Malayalam’ merupakan penyokong mereka berdua. Ramai penduduk peribumi suka menggunakan istilah ‘Bahasa Malayalam’ semata-mata untuk menunjukkan ketuanan mereka di pulau ini.

Secara realiti, Bahasa Malayalam yang digunakan di Pulau Cinta bukan Bahasa Malayalam yang asli. Malah, kajian yang dilakukan oleh jawatankuasa khas beberapa tahun lalu menunjukkan bahawa hanya empat patah perkataan asal masih digunakan. Selebihnya adalah perkataan bahasa-bahasa lain yang dipinjam dan diadaptasi. Namun, tetap dirujuk sebagai ‘Bahasa Malayalam’ semata-mata untuk menunjukkan bahawa bahasa rasmi Pulau Cinta adalah milik penduduk keturunan Malayalam di Pulau Cinta.

“Saya mahu pihak kamu kekal dengan keputusan membatalkan rancangan menerbitkan buku terbaru sasterawan tu,” Ravana memberikan kata putus setelah berbincang dengan Rama.

“Tapi. …” Wakil PBD ragu-ragu. “Surat perjanjian penerbitan sudah pun ditandatangani. Apa alasan untuk membatalkan perjanjian itu?”

Sementara itu, Azmi pula tersenyum puas. Impian kecilnya untuk melihat kejatuhan sasterawan tersebut bakal menjadi kenyataan. Manuskrip cerpen yang sedang ditanganinya akan dibatalkan penerbitan. Kurang satu lagi beban kerja. Bolehlah Azmi meluangkan lebih banyak masa bersama isteri keduanya. Malah, tidak mustahil boleh menambah isteri ketiga.

“Itu bukan urusan kami,” Rama menegaskan. “Kami tahu bahawa setiap seorang daripada kamu yang menghadiri mesyuarat sulit ini mempunyai alasan tersendiri untuk melihat kejatuhan sasterawan itu. Malah, ada di kalangan kamu – saya tidak mahu menyebut nama – yang banyak menerima bimbingan daripada dia tetapi kini kamu mencari peluang untuk menjatuhkannya supaya kamu boleh naik dengan mudah dalam dunia sastera Pulau Cinta. Nah! Ini peluang untuk kamu terlibat dalam konspirasi membunuh sasterawan itu.”

 

Kavya, September 2002

(Teks lengkap dalam Dewan Masyarakat, September 2002)

Petikan cerpen ini juga disiarkan dalam SuaraAnum.com (15 Mei 2002)