Keluaran Kelima (16 Mac 1997)

    Menyusur era teknologi perkongsian maklumat
    NYATA ATAU MAYA?

    IPDA, BANDAR DARULAMAN, 9 Mac.

    Telah kerap diperkata dan diperdengarkan mengenai konsep perkongsian maklumat. Pelbagai pihak memperkatakannya sama ada di dalam media cetak mahupun elektronik, di seminar-seminar ataupun kursus. Hatta, di bilik-bilik kuliah. Persoalannya sekarang, sejauhmana konsep perkongsian maklumat ini dipraktikkan? Adakah ianya telah dijadikan kenyataan ataupun masih berada di alam maya dan terawang-awang? Atau masih menjadi ‘penyeri’ dan ‘pembuka selera’ untuk kertas-kertas kerja atau tugasan sepanjang kursus semata-mata?

    Tanpa rasa jemu, (biarpun ada pihak yang sudah rasa ‘mual’), persoalan berhubung perkara ini akan terus dibangkitkan. Keadaan yang wujud pada masa ini, ramai yang ingin berkongsi maklumat yang sedia ada tetapi agak kurang yang ingin menyumbang serta berkongsi maklumat yang dimiliki.

    Situasi sebegini perlu diubah. Perkongsian maklumat melibatkan trafik ‘dua-hala’ iaitu berasaskan semangat memberi dan menerima. Biasanya kebanyakan kita hanya memilih untuk menerima dan agak kurang untuk memberi. Itu fitrah, itu paradigma yang perlu bukan sekadar dianjak, tetapi perlu ditolak hingga terbalik!

    Masih ramai yang beranggapan, amat rugi jika maklumat yang dimiliki dikongsi oleh orang lain. Sebaliknya amat beruntung jika dapat mengongsi maklumat orang lain. Bukanlah bermaksud segala apa maklumat perlu dikongsi bersama. Ada batasannya. Kita memiliki kebijaksanaan untuk memilih dan menilai maklumat mana yang dapat dikongsi dan yang mana tidak boleh dikongsi. Malangnya, sering kita melampaui batasan tersebut. Kita menetapkan beberapa pra-syarat serta ‘agenda-agenda yang tersembunyi’ menyebabkan diri kita amat sukar untuk ‘memberi’ tetapi amat suka menerima. Inilah fitrah dan paradigma yang perlu kita anjak atau, jika perlu, terbalikkan.

    Sekiranya kita terlalu membataskan diri kita dalam soal perkongsian maklumat, maka samalah seperti kita membataskan keupayaan MPC yang kita miliki. Oleh itu, sumbernya turut terbatas kepada perisian-perisian siap-bina CD-ROM, CDi, disket dan lain-lain, berasaskan perkongsian maklumat ‘satu hala’. Sebaliknya, jika kita ‘tidak membataskan’ keupayaan MPC kita, sumbernya hampir-hampir tidak mempunyai batasan. Oleh itu, Internetkanlah MPC dan diri anda!

    Berbalik kepada teknologi perkongsian maklumat, golongan yang digelar (atau bakal bergelar) Educational Information Technologist, merupakan pemain utama barisan hadapan. Tugas yang sememangnya berat ini menjadi lebih berat disebabkan kita perlu berkemahiran mencari, menyebar. menyedia dan berkongsi maklumat bukan sahaja dengan para pelajar kita tetapi masyarakat TANPA batasan geografi! Itu kenyataan yang sedang dan bakal dihadapi.

    Kita tidak lagi umpama katak di bawah tempurung. Tetapi jika dikatakan katakpun, biarlah katak yang ‘inovatif’, berupaya mengalihkan tempurung menghala ke angkasa menjadi ‘parabola’ untuk menerima dan menghantar maklumat!

    Lawatan

    Pada 12 Mac 1997 yang lalu, Kumpulan TM2 dan TM1 telah mengadakan satu lawatan sambil belajar ke Pusat Sumber Elektronik SM Sultanah Asma dan ke Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) di Alor Setar.

    Lawatan di sertai 41 peserta dan diiringi seorang pensyarah PSPP, Encik Omar Zakaria.

    Peserta lawatan telah diraikan oleh Pengetua serta guru-guru SM Sultanah Asma dalam satu majlis jamuan ringan sebelum dibawa menghadiri sesi taklimat dan demonstrasi Pusat Sumber Elektronik (Rangkaian Munsyi).

    Para peserta telah diberi penerangan ringkas mengenai Rangkaian Munsyi serta kerja-kerja berkaitan perpustakaan elektronik oleh Penyelaras PSE dibantu beberapa guru PSE.

    Peserta telah meneruskan aturcara lawatan ke PSPN. Setelah mendengar taklimat serta tayangan video berhubung fungsi PSPN peserta seterusnya dibawa melawat ke Makmal Multimedia PSPN.

    Seminar Multimedia Dalam Pendidikan

    Pada 15 Mac 1997, sahabat TM2, KDPK TM1 menganjurkan Seminar Multimedia Dalam Pendidikan untuk Guru-guru sekolah negeri Perlis, di Kangar. Seramai 5 orang wakil daripada TM2 telah dijemput hadir bersama-sama.

    Seminar yang disertai 83 buah sekolah di negeri Perlis ini dianjurkan bersama oleh IPDA dan JPN Perlis.

    Lawatan lagi..

    Kumpulan TM2 telah merancangkan satu lagi lawatan sambil belajar ke Universiti Utara Malaysia, Sintok. Lawatan dijangka akan diadakan pada 26 Mac 1997.

    Antara tempat-tempat yang akan dilawati ialah Pusat Komputer, Perpustakaan dan Unit Teknologi Pengajaran.

    Pihak Jawatankuasa Lawatan berharap melalui lawatan tersebut, Kump. TM2 akan mendapat melihat penggunaan teknologi komputer dalam proses P&P serta pengendalian sistem perpustakaan berkomputer yang menggunakan 'smart card' - universiti pertama yang memperkenalkan teknologi tersebut di negara kita.


    Oleh: Kay Ee TM2 aka spidey@lelabah

    PERANAN HOMPEJ

    Keluaran lalu menerangkan mengenai proses penyediaan hompej dan kerja-kerja pencarian pelayan tapak-tapak web (websites) untuk meletakkan hompej. Siri kali ini akan memperkatakan mengenai peranan atau fungsi hompej.

    Seperti yang telah dijelaskan berulang kali (ini perlu), di segi teknikalnya, hompej bermaksud halaman web utama sesebuah organisasi atau individu. Hompej biasanya tidak mengandungi maklumat lengkap/terperinci. Ia sekadar mempamerkan nama hompej, senarai kandungan, pembilang dan juga senarai hubungan (links) ke beberapa tapak web atau hompej lain yang dianggap menarik.

    Daripada hompej, pengunjung diberi pilihan untuk meluncur (surf) ke bahagian-bahagian lain yang mengandungi bahan yang lebih lengkap. Penyedia dan pengendali hompej (webmaster) biasanya menggunakan satu tapak web yang telah didaftarkan atas satu nama, sebagai contoh ~tm2ipda adalah nama yang didaftarkan untuk tapak web KDPK Teknologi Maklumat 2.

    Pengendali web akan memuat ke atas (upload) segala halaman web, grafik dan sebagainya daripada PC ke dalam tapak web yang telah didaftarkan. Dengan menggunakan hiperteks, pengunjung hanya perlu mengklik bahagian tertentu di hompej untuk pergi ke halaman-halaman lain hompej berkenaan.

    Bagaimanapun, istilah hompej telah diterima umum sebagai keseluruhan isi kandungan tapak web bagi sesebuah organisasi atau individu.

    KELEBIHAN HOMPEJ

    Memang terdapat banyak kelebihan bagi mana-mana organisasi atau individu yang memiliki hompej. Yang paling utama, organisasi itu dapat dikenali oleh seluruh warga Netizen (pengguna-pengguna Internet) dari seluruh pelosok dunia.

    Melalui hompej, sesebuah organisasi dapat menyebarkan maklumat berhubung perkhidmatan atau peranan yang mereka mainkan secara interaktif.

    Seolah-olah menjadi satu kemestian bagi pengendali tapak web menyediakan pembilang, Buku Pelawat dan alamat e-mel di hompej masing-masing. Ini amat berguna kepada pengendali tapak web kerana melalui pembilang, sesebuah organisasi atau individu ataupun pengunjung hompej dapat mengetahui jumlah ‘hit’ (jumlah capaian/akses) yang telah dilakukan ke hompej berkenaan.

    Untuk makluman, Hompej TM2 telah menerima lebih daripada 410 hits sejak dilancarkan pada 14 Januari 1997, iaitu kira-kira dua bulan lalu. Ini tidak termasuk hits yang dilakukan oleh pengendali tapak web ketika melakukan kerja-kerja mengemaskini Hompej TM2, kerana tugas berkaitan dilakukan melalui tapak cerminan (mirror site) di Geocities.

    Buku Pelawat berfungsi sebagai perantara maklumbalas daripada pengunjung. Selain mengetahui latarbelakang pengunjung, maklumbalas yang mereka berikan amat berguna kepada pengendali tapak web. Tindakan susulan dapat dilakukan di mana perlu seperti mengemaskini segala bahan dan maklumat yang terkandung di tapak web (hompej) dari masa ke semasa. Berdasarkan catatan Buku Pelawat, Hompej TM2 telah berjaya ditemui oleh beberapa pelajar Malaysia yang sedang menuntut di seberang laut.

    Selain itu, hompej turut menyediakan hubungan e-mel pengendali tapak web sekiranya pengunjung ingin memberikan maklumbalas terus kepada pengendali.

    BAGAIMANA MANARIK PENGUNJUNG KE HOMPEJ?

    Terdapat pelbagai cara untuk menarik pengguna Internet mengunjungi hompej. Antara cara yang paling mudah ialah mendaftarkannya dengan enjin-enjin pencari (search engines).

    Hompej TM2 telah didaftarkan di Infoseek dan juga Malaysia On-line. Ini menyebabkan Hompej TM2 mencapai jumlah hits yang agak tinggi kerana hompej ini bukan sahaja diakses oleh pengunjung tempatan tetapi turut diakses oleh masyarakat antarabangsa yang tidak memahami bahasa Melayu!

    HOMPEJ SEBAGAI PENGHUBUNG (LINK)

    Kebanyakan hompej turut menyertakan beberapa hubungan (links) ke beberapa hompej lain untuk kemudahan pengunjung. Hubungan yang disediakan biasanya mempunyai kelebihan atau keistimewaan tertentu ataupun yang mempunyai kaitan dengan hompej asal.

    Hompej TM2 antara lain menyediakan hubungan ke hompej Institut Perguruan Darulaman (IPDA), Net@talk Prof. Dr. Zoraini Wati yang mengandungi artikel-artikel beliau yang pernah disiarkan dalam Computimes. dan juga Hompej Zul, Pengetua sebuah institusi pendidikan komputer. Hompej Zul mengandungi pelbagai bahan untuk rujukan di samping menyenaraikan link-link yang menarik. (URL diperolehi melalui kiriman e-mel daripada Prof. Zuraini dan catatan Buku Pelawat TM2 oleh Encik Zulkifly Haron)

    Catatan: Untuk makluman, rencana ini juga sebenarnya dihubungkan terus ke hompej-hompej berkenaan. Sila cuba klik perkataan-perkataan yang berwarna biru di atas, InsyaAllah, anda akan dihubungkan terus ke hompej berkenaan.

    Untuk kembali ke Buletin TM2 On-line, sila tekan ikon BACK.

    Inilah keistimewaannya hompej.


    GLOSSARI: (Internet/world wide web)

    Sedang dikemaskini

    "A person who has a computer now and is willing to share his knowledge is more important than the guy who invented the computer." - Dr.Mahathir, (17-1-1997)

    emailed by: chewks@tm.net.my


    SUDAHKAH ANDA MEMBERIKAN SUMBANGAN BAHAN UNTUK BULETIN TM2?

    Jika belum, silakan. Anda boleh menyumbangkan apa saja bahan yang anda fikir sesuai untuk dikongsi warga TM2. Tak kira apa bahan sekalipun - multimedia! Anda boleh sediakan dalam bentuk Word, text files, bertulis tangan (style lama...), melalui faks, e-mail ataupun voice-mail (bacakan saja bahan anda ke dalam peti pesanan mel suara TM2 di talian 924 2121 / 714 1194 selepas bunyi beep) Mudah boy, ANGKAT, TEKAN, BACA DAN LETAK.


    Sila hubungi Sidang Redaksi sekiranya anda ada bahan:Ketua Eksekutif TM2: Tel: 700 5893 / 924 2121 (fax) e-mail: spidey@lelabah
    Setiausaha Eksekutif TM2: Tel: 7141194 (fon/fax) e-mail: rohazi@tm.net.my
    PRO TM2: Tel: 733 4836 e-mail: afauzi@hotmail.com
    Buletin TM2 bukan sebarang buletin.. kami tidak mengikut paradigma yang sama. Kami menyajikan kelainan. Ianya tidak dapat diakses di mana-mana kedai buku, kedai suratkhabar ataupun di pasar-pasar malam. Hanya di TM2.

    ARKIB: Buletin TM2 On-line keluaran lalu:

    Buletin TM2 On-line Keluaran Tarikh Keluaran
  • Pertama (Pengenalan)
  • 7 Januari 1997
  • Kedua
  • 14 Januari 1997
  • Ketiga
  • 21 Januari 1997
  • Keempat
  • 3 Februari 1997

    Jangan lupa... Tandatangan Buku Pelawat TM2 sekarang!

    Kembali ke


    Buletin TM2 diterbitkan oleh TeknoMedia
    (satu lagi anak syarikat subsidiari milik Kumpulan TM2)