Penasihat Dr. Kamariah bt.Junoh Timb.Pengarah (Perubatan) Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan
Ketua Pengarang
Grafik Berkomputer
Percetakan/Penjilidan
Jurufoto
Koresponden
Alamat Redaksi
Segala sumbangan dari seluruh kakitangan
Pemenang Anugerah
Berita HTAA diterbitkan |
Sidang Pengarang Selamat Tahun Baru Baru kepada semua warga HTAA. Seperti lazimnya ketibaan tahun baru sentiasa memberikan kita azam serta tekad baru. Walaubagaimanapun diharap segala perancangan tahun sebelumnya sudah dapat dilaksanakan sepenuhnya. Kepada yang masih gagal mencapai apa yang diharapkan tahun sudah, cubalah buat sesuatu untuk mencapainya pada tahun ini. Jangan berputus asa dalam sebarang pekerjaan yang dilakukan. Kalau kita gagal dalam tahun ini mungkin tahun hadapan akan memberi kejayaan buat kita. Yang penting usaha dan semangat kita untuk mencapainya ditingkatkan beserta dengan sifat sabar dan tekun pasti kejayaan itu akan mendampingi kita. Justeru pada tahun 2002 ini marilah kita sama tingkatkan semangat dan azam untuk membawa institusi kita HTAA sebagai sebuah institusi yang terbaik sesuai dengan hasrat kerajaan mewujudkan masyarakat yang sihat dan sejahtera. Baru-baru ini sebahagian dari kita telah ditimpa bencana Banjir. Kepada mereka yang terlibat diharap banyak bersabar menghadapi dugaan ini. Sesungguhnya apa yang berlaku itu ada hikmah disebaliknya. Akhir sekali Selamat Tahun Baru Cina diucapkan kepada kakitangan Tiong Hua. Semoga Tahun Baru ini akan memberi banyak kemakmuran kepada semua tak kira bangsa dan agama. ‘Gong Xi Fa Chai’
Ketua Pengarang |
Renungan Pagi
Disampaikan oleh: Dr. Sri Kumar Pakar Klinikal Oftalmologi
Pada perhimpunan pagi Januari 2002
Yang mulia pengerusi majlis, yang Berbahgia Pengarah Hospital, Timbalan Pengarah Klinikal, Timbalan Pengarah Pengurusan, Pakar-pakar dan semua warga HTAA yang hadir.
Selamat pagi saya ucapkan. Saya merasa bangga kerana seperti tahun-tahun yang lepas Jabatan Oftalmologi diberi peluang menjadi pembuka tirai untuk renungan pagi tahun 2002.
Saya rasa masih belum terlewat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada kakitangan Muslim dan Selamat Hari Natal kepada yang beragama Kristian dan akhir sekali selamat menyambut Tahun baru 2002.
Rasanya ramai yang telah membuat resolusi baru untuk tahun ini. Sebelum itu cuba renungkan adakah kita berjaya mencapai resolusi tahun lepas atau sebahagian yang dapat dicapai ataupun tiada satupun resolusi tersebut dapat dipenuhi.
Sebagai insan, kita sentiasa berharap agar diri berubah ke arah yang lebih baik. Sebagai santapan minda di awal tahun sama-samalah kita renungkan ciri-ciri positif kekuatan sifat baik hati untuk dipraktikkan ke arah memenuhi resolusi 2002 yang telah dibuat.
Antaranya ialah Bersopan Santun (tidak kasar), Pemaaf (tidak berdendam), Simpati Terhadap Masalah Orang Lain (tidak bersikap tidak peduli), Ikhlas (bukan tidak bertimbang rasa), Pemurah tidak mementingkan diri sendiri),Mudah Mesra Dan Bekerjasama, Merendah Diri (tidak bongkak), Berhati Mulia (tidak bermuka-muka), Adil (tidak mudah membuat tuduhan tanpa siasatan), Sedia Menerima Cadangan (tidak cepat membuat kritikan atau tidak boleh menerima kritikan).
Oleh itu nilailah diri samada amalan-amalan positif tersebut ada dalam diri Kita dan jadikanlah sebagai panduan untuk melaksanakan tanggungjawab dimasa akan datang tidak kira dimana jua kita bertugas.
Sebelum saya mengakhiri renungan pagi ini, takziah kepada warga HTAA yang terlibat dengan bencana BANJIR baru-baru ini. Saya harap mereka tabah dan sabar menghadapi dugaan ini.
Sekian terima kasih.
Sorotan Peristiwa HTAA 2001
susunan: Rudy
02/2/2001 | Kembara Jejak Rasul anjuran Jawatankuasa Agama Islam HTAA ke Patani dan Yala melibatkan 35 orang kakitangan. | 11/2/2001 | Majlis Makan Malam Tahunan HTAA 2000 di Hotel MS Garden. Majlis diserikan dengan persembahan oleh kakitangan HTAA sendiri. Majlis diharidi lebih 600 kakitangan. | 24/2/2001 | HTAA menerima kunjungan lawatan Isteri Timbalan Perdana Menteri Malaysia Yabhg.Datin Sri Endon bt.Mahmood. | 07/3/2001 | Majlis Qorban Perdana Sempena Hari Raya Aidil Adha 1421H. | 29/3/2001 | Majlis Tahlil di Istana Sultan Abdul Aziz Indera Mahkota Kuantan. | 10/4/2001 | Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr.Hj.Ahmad Tajudin Jaafar telah mengadakan lawatan ke HTAA. Lawatan bertujuan untuk sesi dialog bersama Pengarah dan semua Ketua Jabatan Klinikal HTAA. | 12/4/2001 | Universiti Islam Antarabangsa Malaysia cawangan Kuantan Pahang dengan kerjasama HTAA telah menganjurkan Kursus Stampling Haemorhoidectomy. | 18/4/2001 | HTAA telah diberi penghormatan untuk menerima lawatan peserta Kursus Malaysian Technical Cooperation Programme International Management 2001. Peserta seramai 24 orang pegawai terdiri dari 13 orang peserta luar negara dan 11 orang pegawai kanan awam Malaysia. | 21/4/2001 | Perkhemahan Diabetis 2001 telah diadakan di Agro Resort Sg.Semuji Kuantan melibatkan 28 orang pesakit diabetis. | 28/5/2001 | HTAA menerima kunjungan lawatan Hospital Melaka. Anggota seramai 40 orang diketuai oleh Dr.Raja Norliza Raja Omar Pakar Perunding Ophthalmologi Hospital Melaka. | 23/6/2001 | Jawatankuasa Agama Islam HTAA dengan Kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah Kuantan telah menganjurkan Tilawah Al-Quran (KKM) Peringkat Daerah Kuantan di Dewan Sri Pelangi HTAA. | 01/7/2001 | Pegawai Pendidikan Pesakit Tuan Hj.Wan Rokman Hj.Wan Yaacob telah dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM. | 06/7/2001 | Kemalangan maut melibatkan Ambulan HTAA dengan kenderaan pancuan empat roda berlaku di kilometer 157 jalan Kuantan Kuala Lumpur mengakibatkan kematian pesakit En.Liu King Ling yang dalam perjalanan ke HKL untuk rawatan lanjut. | 09/7/2001 | Majlis pelancaran kempen Cara Hidup Sihat 2001 peringkat HTAA telah disempurnakan perasmiannya oleh Dr.Zahari Che Dan Pengarah HTAA pada perhimpunan pagi Julai 2001 yang membawa tema “Promosi Keluarga Sihat”. | 18/7/2001 | HTAA menerima lawatan Pengarah Kesihatan Negeri Pahang baru Dr.Sara bt.Yaakob serta Pakar Perunding Kanan Traumalogi dan Ketua Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur. | 21/7/2001 | HTAA dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kuantan dan Pergigian Daerah Kuantan telah mengadakan Aktiviti Khemah Perubatan 2001 bertempat di Sek.Men.Keb.Sungai Lembing. | 28/7/2001 | Forum Perdana HTAA 2001 telah diadakan bertempat di Dataran Hospital dengan anjuran Jawatankuasa Kerja Agama Islam HTAA dengan kerjasama Radicare (M) Sdn.Bhd. | 15/7/2001 | Konvensyen QAP kali ke 6 Peringkat Kesihatan Negeri Pahang telah diadakan di Dewan Sri Pelangi HTAA. 20 kumpulan mengambil bahagian. Johan Unit Kejururawatan HTAA. | 13/8/2001 | Konvensyen KMK dan Inovasi Jabatan Kesihatan Negeri Pahang 2001 telah diadakan di Dewan Sri Pelangi HTAA. | 04/9/2001 | HTAA kehilangan Allahyarham Zaini bin Khalid, 32 Pembantu Am Rendah N13 yang berkhidmat di Unit Hasil. Allahyarham meninggal di Unit Rawatan Rapi HTAA. Allahyarham seorang yang dedisaki dalam tugas juga seorang Sarjan di Jabatan Pertahanan Awam meninggalkan seorang balu dan dua orang anak. | 10/9/2001 | Pihak Pengurusan SUK dengan kerjasama HTAA telah menganjurkan lawatan Ybhg.Puan Sri Suslita bt. Abd.Majid isteri kepada Ketua Setiausaha Negara Ybhg.Tan Sri Shamsuddin b.Osman yang dalam rangka lawatan kerja ke Negeri Pahang. | 16/9/2001 | Bertempat di De Rhu Resort Balok telah diadakan Bengkel Budaya Korporat Perasa HTAA. Ia menimbulkan kesedaran dan keinsafan yang jitu dalam diri serta memberi impak yangbaik kepada organisasi. | 29/9/2001 | Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah menganjur Majlis Perasmian Sambutan Hari Jantung Sedunia 2001di Ruang Legar Mega Mall. Majlis tersebut adalah anjuran bersama HTAA, KMC, KSH, AMOCO Sdn.Bhd dan TUDM. | 03/10/2001 | KDYMM Sultanah Pahang Sultanah Kalsom telah berkenan ke Majlis Kurniaan dan Sumbangan Cenderamata kepada 70 pesakit kanak-kanak di Wad Kenanga sempena Hari Keputeraan KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah yang ke 71. | 23/10/2001 | Majlis Perasmian Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Pahang di Wisma Belia Indera Mahkota. | 31/10/2001 | HTAA menerima kunjungan lawatan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). | 2-4/11/2001 | Khemah Perubatan dan Kebajikan anjuran bersama HTAA, Pertubuhan Kebajikan Wanita Islam (PERTIWI) dan Jab.Hal Ehwal Orang Asli Pahang diadakan di Perkampungan Orang Asli Kuala Tahan Jerantut. | 03/11/2001 | Ybhg. En.Ti Lian Ker ADUN Indera Mahkota telah merasmikan Majlis Pelancaran Hari Diabetis Sedunia 2001 peringkat HTAA di Sek.Keb.Semambu. | 13/11/2001 | HTAA menerima lawatan 6 Pegawai Democratics People’s Of Korea yang diketuai oleh Mr.Kim Hyan IL Pegawai NCC Coordinator For UNFPA Of DPR Korea. | 12-13/11/2001 | Kursus Pengurusan Pencen anjuran bersama HTAA dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang melibatkan 35 orang kakitangan JKN Pahang seluruh Negeri Pahang diadakan di Hotel Sri Malaysia. | 15/11/2001 | Seminar Ahli Lembaga Pelawat Hospital Zon Timur telah diadakan di Hyatt Hotel. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan Malaysia Dato’Chua Jui Meng. Seminar dihadiri oleh 114 orang Ahli Lembaga Pelawat Hospital Zon Timur. | 06/12/2001 | Bertempat di Surau HTAA telah diadakan Majlis Berbuka Puasa dan Sembahyang Terawih yang dihadiri lebih 60 kakitangan HTAA serta Radicare (M) Sdn.Bhd. | 16-17/12/2001 | Selamat Hari Raya kepada semua warga HTAA yang beragama Islam. Maaf Zahir Dan Batin antara satu sama lain. | 25/12/2001 | Selamat Hari Krismas. |
Konvensyen KMK HTAA Kali ke 7
laporan: Rudy
Konvensyen KMK yang dilaksanakan setiap tahun bermula 2 Ogos 1995 telah menjadi tradisi kualiti di HTAA. KMK menjadi satu budaya kerja warga HTAA untuk memupuk halatuju pengurusan kerja berpasukan dengan menggunakan sumber sedia ada yang terhad.
Konvensyen KMK HTAA kali ke 7 telah diadakan pada 10 Januari 2002 bertempat di Dewan Sri Pelangi HTAA. Konvensyen ini disempurnakan perasmiannya oleh Dr.Zahari Che Dan Pengarah HTAA. Sebanyak 5 kumpulan telah menyertai konvensyen pada kali ini iaitu Kumpulan Resque 3002 dari Jab.Kecemasan dengan projek (Kerusi Roda Layan Diri), Kumpulan Mawar dari Wad Mawar dengan projek (Troli Mawar), Kumpulan Teratai dari Wad Teratai 2 dengan projek (Kelambu Fototerapi), Teratai dari Wad Teratai 2 dengan projek (Kelambu Fototerapi), Kumpulan Lebah dari Jab.Psikiatri dengan projek (Masalah Pengendalian Fail di bilik rekod klinik psikiatri) dan kumpulan Pelangi 2001 dari Jab.Kecemasan dengan projek ( Rekacipta 3S).
Keputusan Konvensyen KMK HTAA kali ke 7 tempat Pertama jatuh kepada Kumpulan Teratai. Menerima piala pusingan, wang tunai RM500.00 beserta Sijil, tempat kedua Kumpulan Pelangi menerima wang tunai RM400.00 beserta Sijil dan tempat ketiga Kumpulan Mawar menerima RM300.00 beserta Sijil.
Panel Pengadil konvensyen kali ini terdiri daripada En.Abdullah Shukur dari Majlis Perbandaran Kuantan dan En.Elfikri b.Ishak dari Jabatan Kerja Raya Bukit Penggorak.
“Dosa Yang Lebih Besar Dari Berzina”
Pada suatu senja yang lengang, terlihat seorang wanita berjalan terhuyung-hayang. Pakaiannya yang serba hitam menandakan bahawa ia berada dalam dukacita yang mencengkam. Kerudungnya menangkup rapat hampir seluruh wajahnya. Tanpa hias muka atau perhiasan menempel di tubuhnya. Kulit yang bersih, badan yang ramping dan roman mukanya yang ayu, tidak dapat menghapus kesan kepedihan yang tengah merosakkan hidupnya.
Ia melangkah terseret-seret mendekati kediaman rumah Nabi Musa a.s. Diketuknya pintu pelan-pelan sambil mengucapkan uluk salam. Maka terdengarlah ucapan dari dalam "Silakan masuk". Perempuan cantik itu lalu berjalan masuk sambil kepalanya terus merunduk. Airmatanya berderai tatkala ia berkata, "Wahai Nabi Allah. Tolonglah saya. Doakan saya agar Tuhan berkenan mengampuni dosa keji saya." "Apakah dosamu wahai wanita ayu?" tanya Nabi Musa a.s. terkejut. "Saya takut mengatakannya."jawab wanita cantik. "Katakanlah jangan ragu-ragu!" desak Nabi Musa. Maka perempuan itupun terpatah bercerita, "Saya... telah berzina.
Kepala Nabi Musa terangkat,hatinya tersentak. Perempuan itu meneruskan,"Dari perzinaan itu saya pun... lantas hamil. Setelah anak itu lahir,langsung saya... cekik lehernya sampai... tewas," ucap wanita itu seraya menangis sejadi-jadinya. Nabi Musa berapi-api matanya. Dengan muka berang ia mengherdik, "Perempuan bejad, enyah kamu dari sini! Agar siksa Allah tidak jatuh ke dalam rumahku kerana perbuatanmu. Pergi!"... teriak Nabi Musa sambil memalingkan mata kerana jijik.
Perempuan berwajah ayu dengan hati bagaikan kaca membentur batu, hancur luluh segera bangkit dan melangkah surut. Dia terantuk-hantuk ke luar dari dalam rumah Nabi Musa. Ratap tangisnya amat memilukan. Ia tak tahu harus kemana lagi hendak mengadu. Bahkan ia tak tahu mau dibawa ke mana lagi kaki-kakinya. Bila seorang Nabi saja sudah menolaknya, bagaimana pula manusia lain bakal menerimanya? Terbayang olehnya betapa besar dosanya, betapa jahat perbuatannya.
Ia tidak tahu bahawa sepeninggalannya, Malaikat Jibril turun mendatangi Nabi Musa. Sang Ruhul Amin Jibril lalu bertanya, "Mengapa engkau menolak seorang wanita yang hendak bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu dosa yang lebih besar daripadanya?" Nabi Musa terperanjat."Dosa apakah yang lebih besar dari kekejian wanita pezina dan pembunuh itu?" Maka Nabi Musa dengan penuh rasa ingin tahu bertanya kepada Jibril. "Betulkah ada dosa yang lebih besar daripada perempuan yang nista itu?" "Ada!" jawab Jibril dengan tegas. "Dosa apakah itu?" tanya Musa kian penasaran."
"Orang yang meninggalkan sholat dengan sengaja dan tanpa menyesal. Orang itu dosanya lebih besar dari pada seribu kali berzina" Mendengar penjelasan ini Nabi Musa kemudian memanggil wanita tadi untuk menghadap kembali kepadanya. Ia mengangkat tangan dengan khusuk untuk memohonkan ampunan kepada Allah untuk perempuan tersebut. Nabi Musa menyedari, orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan tanpa penyesalan adalah sama saja seperti berpendapat bahawa sembahyang itu tidak wajib dan tidak perlu atas dirinya. Bererti ia seakan-akan menganggap remeh perintah Tuhan, bahkan seolah-olah menganggap Tuhan tidak punya hak untuk mengatur dan memerintah hamba-Nya.
Sedang orang yang bertobat dan menyesali dosanya dengan sungguh-sungguh bererti masih mempunyai iman didadanya dan yakin bahwa Allah itu berada di jalan ketaatan kepada-Nya. Itulah sebabnya Tuhan pasti mau menerima kedatangannya. (Dikutip dari buku 30 kisah teladan - KH Abdurrahman Arroisy) Dalam hadis Nabi SAW disebutkan : Orang yang meninggalkan sholat lebih besar dosanya dibanding dengan orang yang membakar 70 buah Al-Qur'an, membunuh 70 nabi dan bersetubuh dengan ibunya di dalam Ka'bah.
Dalam hadis yang lain disebutkan bahwa orang yang meninggalkan sholat sehingga terlewat waktu, kemudian ia mengqadanya, maka ia akan disiksa dalam neraka selama satu huqub. Satu huqub adalah delapan puluh tahun. Satu tahun terdiri dari 360 hari, sedangkan satu hari di akhirat perbandingannya adalah seribu tahun di dunia. Demikianlah kisah Nabi Musa dan wanita pezina dan dua hadis Nabi, mudah-mudahan menjadi pelajaran bagi kita dan timbul niat untuk melaksanakan kewajiban sholat dengan istiqomah.
Insyaalah.
KUSTA adalah penyakit berjangkit kronik yang melibatkan kulit dan saraf. Penyakit kusta ini disebabkan oleh bakteria Mycobacterium Leprae.
Jenis Penyakit KUSTA
* Paucibacillary
Calitan torehan kulit negatif
* Multibacillary
Calitan torehan kulit positif
Tanda-tanda Penyakit KUSTA
Jenis Paucibacillary
* Terdapat satu atau beberapa tompok yang mati rasa (kebas) atau tompok-tompok merah yang tidak gatal
* Permukaan kulit yang kering, kasar, tidak berpeluh serta tidak tumbuh bulu-rambut.
* Penyakit KUSTA ini tidak berjangkit tetapi jika lambat dirawat menimbulkan kecacatan.
Jenis Multibacillary
* Tompokan putih kemerahan yang berebak di seluruh kulit badan. Tanda-tanda awal penyakit ini sering dapat dikesan pada cuping telinga dan muka. Penyakit KUSTA jenis ini jika tidak dirawat boleh menjangkiti orang lain.
Cara Rawatan
Dengan rawatan terkini menggunakan MDT (Multi Drug Therapy) memerlukan jangka waktu:
a) Jenis Paucibacillary – 1 tahun
b) Jenis Multibacillary – 3 tahun atau calitan torehan negatif.
Akibat Rawatan Tidak Mengikut Peraturan
a) Kecacatan tangan
- kehilangan otot-otot tapak tangan
- jari jemari membengkak
- tenaga pada tangan lemah
- fungsi pada tangan lemah
b) Kecacatan kaki
- jari jemari kaki hilang rasa
- peringkat melarat jari atau keseluruhan tapak kaki akan buruk
c) Kecacatan wajah/muka
- hidung akan mengepis
- bulu kening/mata hilang
- mata akan jadi buta
Rawatan penyakit KUSTA boleh didapati di klinik pusat rawatan atau hospital kerajaan yang berhampiran.
KUSTA boleh sembuh tanpa kecacatan dengan pengesanan awal dan pengubatan cara teratur.
Banjir yang melanda Negeri Pahang pada 23-26 Disember 2001 lalu memberikan kesan yang amat pilu dikalangan warga HTAA khususnya. Bah besar yang datang pada tahun ini adalah yang paling teruk sejak tahun 1971.
Terima kasih diucapkan kepada Pengerusi dan AJK MAKSUKES HTAA kerana prihatin menghulurkan sedikit bantuan berupa kewangan bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir. Terima kasih juga diucapkan kepada Pengarah, Timbalan Pengarah (Klinikal) Dr.Kamariah Junoh, Ketua Jabatan Kecemasan (Dr.Jaya) yang bertungkus lumus membantu warga HTAA yang didalam kesusahan dengan cepat membuka Bilik Gerakan Banjir HTAA di Jabatan Kecemasan bagi mengesan warga HTAA yang terlibat dan mendapatkan bantuan makanan, selimut serta keperluan lain.
Tidak lupa juga kepada ahli sukarelawan HTAA (En.Salim) yang membantu untuk mendapatkan bantuan makanan, selimut dan keperluan lain untuk mangsa banjir yang ditempatkan di Asrama Jururawat dan Asrama Pelawat. Segala usaha murni tuan-tuan semua diberkati Allah S.W.T jua. Sekian terima kasih.
Unit Penyeliaan Pembantu Perubatan berpindah ke tingkat atas Dewan Sri Pelangi.
Unit Pendidikan Pesakit berpindah ke tingkat atas Unit Kualiti HTAA.
Unit Rekod Perubatan berpindah ke Unit Pendidikan Pesakit Lama.
Unit Haemodialisis berpindah ke tingkat bawah Asrama Pelawat.
Bangunan Pertama HTAA
dulunya dikenali
(Rumah Sakit Umum Kuantan)
telah dibina pada tahun 1904.
Bangunan Baru HTAA
mula dibina
pada tahun 1988