Berita HTAA Mei 2002
Bil.76 Thn.7 ISSN 1511-1741 Edaran Umum Mei 2002

Penasihat
Dr. Kamariah bt.Junoh
Timb.Pengarah (Perubatan)
Hospital Tengku Ampuan Afzan
Kuantan

Ketua Pengarang
Haji Abdul Hamid bin Abdullah

Grafik Berkomputer
Zulkifli Bin Yaacob

Percetakan/Penjilidan
Sabaruddin Mohd Said / Hafizad

Jurufoto
Sabaruddin Mohd Said / Hafizad

Koresponden
Ketua Unit / Jabatan / Pakar /Penyelia /
Ketua Jururawat / Jururawat

Alamat Redaksi
Perpustakaan Perubatan & Unit Pendidikan HTAA
Telefon: 2417 / 2022

Segala sumbangan dari seluruh kakitangan
Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan
amatlah dialu-alukan.
Adalah menjadi tanggungjawab
penyumbang dan tidak semestinya
menggambarkan sikap serta
pegangan sidang pengarang.

Pemenang Anugerah
Hospital Akreditasi 1999-2002

Berita HTAA diterbitkan
pertama kali pada
Januari 1996

Sidang Pengarang
Peningkatan teknologi baru dibidang perubatan memang tidak dapat disangkal lagi. Perubahan ini menampakkan negara kita Malaysia terus maju dan bersaing dengan negara maju yang lain.

Peningkatan mutu perkhidmatan perubatan dan kesihatan negara kita sekarang adalah untuk merialisasikan wawasan 2020 yang telah menampakkan hasil dimana beberapa hospital telah dan sedang mendapat pengiktirafan hospital akriditasi dan ISO 9000.

Hospital Tengku Ampuan Afzan telah pun bergerak kearah tersebut, namun pengiktirafan ini bukanlah kayu pengukur yang dapat dibanggakan begitu sahaja.

Perubahan sikap, tingkahlaku dikalangan pegawai dan anggota harus dititik beratkan. Tidak dinafikan bahawa walau secanggih mana peralatan, kemahiran yang ada kalau tidak ada perubahan dan kesedaran sikap yang positif dan ingin mengambil bahagian didalam aktiviti yang dapat memberi perubahan kepada mutu perkhidmatan dikalangan pegawai dan anggota, maka matlamat yang diharapkan tidak dapat dicapai dengan sepenuhnya.

Sidang pengarang mengharapkan semua warga HTAA dapat merenung didalam diri agar kita bukanlah sebagai seorang pengikut sahaja malah seorang pemimpin dan pengikut yang dapat memberikan manfaat kepada organisasi kita.

Ketua Pengarang
Hj.Abdul Hamid b.Abdullah


Renungan Pagi

Disampaikan oleh: Dr. Ong Cheng Leng Ketua Jabatan Dermatologi HTAA
Pada perhimpunan pagi bulan Mei 2002

Pengerusi majlis yang saya hormati. Yang berbahagia Tuan Pengarah HTAA Timbalan Pengarah Perubatan dan Pentadbiran, Ketua-ketua Jabatan, Dato’-Dato’ serta tuan puan sekalian. Selamat pagi dan salam sejahtera.

Dalam kehidupan seharian, ada dikalangan kita yang menghadapi kesulitan atau masalah. Ini akan menyebabkan kita berasa dukacita serta kecewa. Kita seharusnya merasa gembira bertugas di hospital ini kerana kita dibayar untuk membantu orang lain. Memberi itu adalah lebih baik daripada menerima, oleh itu teruskanlah memberi khidmat dan mengambil berat keadaan pesakit kita.

Untuk memberi penjagaan yang lebih efektif kepada pesakit, kita sendiri seharusnya menjaga kesihatan diri kita sendiri. Bagaimana untuk menjaga kesihatan orang lain sedangkan kita sendiri tidak menjaga kesihatan diri kita. Mahu atau tidak, pesakit sentiasa melihat dan memandang tinggi terhadap diri kita.

Bagaimanakah caranya untuk menjadi sihat. Kita seharusnya tahu kerana kita berkhidmat dalam bidang kesihatan. Walaubagaimanapun, seringkali kita sendiri tidak mengamalkan apa yang kita nasihatkan kepada pesakit. Marilah kita mengambil peluang ini untuk mengingatkan diri kita akan beberapa perkara:-

i. Amalan Merokok
Cubalah berhenti merokok demi kesihatan diri kita dan juga keluarga. Merokok adalah salah satu punca utama kematian di negara kita. Ini menyebabkan banyak masalah kesihatan dan ia juga membuatkan kita kelihatan lebih tua dari usia sebenar kita.

ii. Kurang Senaman
Cuba membuat jantung kita kuat dan laju dengan bersenam dan berpeluh sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Antara cara paling mudah ialah dengan berjoging. Jangan lupa untuk menggunakan kasut joging yang bagus iaitu kasut yang berharga sekurang-kurangnya RM200. Pastikan anda melakukan ‘warm-up’ dan ‘warm-down’ sebelum dan selepas berjoging.

iii. Kurang Tidur
Ada dikalangan kita yang sering berjaga sehingga lewat malam. Mereka akan mengalami kesan-kesan kekurangan tidur. Antaranya tertidur semasa memandu yang boleh menyebabkan kemalangan.

iv. Penjagaan Diet Pemakanan
Elakkan mengambil pil-pil menguruskan badan, kecuali anda sanggup mengambil risiko untuk menjalani pemindahan hati. Ada banyak lagi langkah-langkah penjagaan kesihatan yang perlu diambil. Lakukanlah. KITA BOLEH


Jadikan Udara Kita Bebas Daripada Asap Rokok

Asap rokok pasif membahayakan kesihatan kita. Asap rokok pasif ialah gabungan asap rokok sisi yang keluar daripada bahagian rokok yang menyala dan asap rokok aliran utama yang dihembus kelaur oleh perokok.

Orang yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok pasif ini dikenali sebagai perokok pasif. Diantara penyakit-penyakit yang dikaitkan dengan asap rokok pasif adalah penyakir jantung, kanser paru-paru dan penyakit saluran pernafasan obstruktif kronik. Perokok pasif menghadapi risiko yang tinggi kepada pelbagai penyakit.

a) Golongan wanita terutamanya isteri perokok berisiko menghidap kanser paru-paru 30% lebih tinggi berbanding isteri seorang bukan perokok. Sekiranya dia hamil, dia berisiko untuk melahirkan bayi yang kurang berat badan, tidak cukup bulan, bayi yang cacat, kematian serta keguguran janin dan sindrom kematian bayi secara mengejut.

b) Rakan-rakan sekerja, serumah dan sebilik dengan perokok. Mereka akan mengalami kesan-kesan seperti batuk, pedih mata, gangguan bau dan alahan. Sekiranya mereka pesakit jantung mereka lebih mudah mendapat serangan jantung manakala pesakit asma pula lebih mudah mendapat serangan lelah yang teruk. Kanak-kanak terutama ibubapa mereka yang merokok mudah diserang jangkitan saluran pernafasan, telinga, paru-paru dan kerap mendapat lelah.

Bagaimana mewujudkan udara yang bebas daripada asap rokok. Memastikan tiada ahli keluarga dan tetamu merokok dalam rumah kita. Tidak menyediakan sebarang peralatan seperti pemetik api dan bekas abu rokok yang boleh menggalakkan tabiat merokok. Sebagai ketua keluarga tunjukkan contoh yang baik kepada ahli keluarga dengan tidak merokok. Menasihati ahli-ahli keluarga yang merokok supaya berhenti merokok.

Di tempat kerja majikan perlu mewujudkan satu dasar melarang pekerja termasuk pengendali makanan daripada merokok semasa bekerja. Mempamerkan tanda-tanda Larangan Merokok ditempat yang strategik. Menganjurkan Kempen Anti Merokok dan Kempen Berhenti Merokok untuk pekerja-pekerja. Para pekerja pula hendaklah jangan memulakan merokok. Berhenti merokok jika anda seorang perokok. Menyokong dan mematuhi dasar larangan merokok ditempat kerja. Menggalakkan rakan-rakan yang merokok supaya berhenti merokok.

Memastikan tidak ada orang merokok di kawasan-kawasan larangan merokok. Kawasan larangan merokok mengikut Peraturan Kawalan Tembakau (Pindaan) 1997 ialah seperti di Pusat Hiburan atau Pawagam, Hospital dan Klinik, Lif Awam, Tempat Makan Berhawa Dingin, Kenderaan Awam,Kedai Berhawa Dingin, Kompleks Membeli-belah, Lapangan Terbang, Premis Kerajaan, Dewan Orang Awam, Institusi Pengajian Tinggi, Pusat Asuhan Kanak-kanak, Tadika dan Taska, Hentian Pengangkutan Awam, Sekolah, Bank/Institusi Kewangan, Stesyen Minyak, Kaunter Perkhidmatan, Kompleks Sukan dan Stadium.

Patuhi larangan merokok didalam kenderaan awam. Bagi penumpang yang tidak merokok, suarakan hak anda untuk menikmati udara bersih dan bebas dari asap rokok. Elakkan merokok ketika memandu kerana selain menjejas kesihatan penumpang, ia juga boleh mengakibatkan kemalangan jalanraya.


Majlis Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur
laporan: Rudy


7 April 2002 Bertempat di Kompleks Belia Indera Mahkota Kuantan berlangsung Majlis Pelancaran Hari Kesihatan Sedunia dan telah disempurnakan oleh Y.A.B Menteri Besar Pahang,Dato’ Sri Haji Adnan bin Haji Yaakob.

Sempena Hari Kesihatan Sedunia ini juga diadakan acara “Larian Sejahtera” sebagai acara kemuncak. Acara-acara lain termasuklah Peraduan Mewarna untuk kanak-kanak, Pameran Kesihatan dan juga Pemeriksaan Kesihatan.

Acara ini adalah merupakan acara tahunan, bagi memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya kita menjaga kesihatan diri sendiri dan masyarakat amnya dan dapat mempelajari aspek-aspek penjagaan kesihatan yang boleh dijadikan amalan dan panduan.

Seramai lebih kurang 800 orang telah turut serta mengunjungi sambutan hari tersebut.


Majlis Asyura HTAA 1423H
laporan: Rudy


HTAA meneruskan tradisi acara tahunan dengan menganjurkan Majlis Asyura pada 9 April 2002. Bertempat di perkarangan Asrama Jururawat HTAA kakitangan bertugas sejak seawal pagi lagi telah memulakan proses memasak bubur asyura.

Sebanyak 5 kawah asyura berjaya disediakan pada kali ini, walaubagaimanapun semangat dan kerjasama antara sesama kakitangan nyata begitu utuh sekali bersesuaian dengan matlamat sebenar peristiwa asyura 1423 tahun lalu.

Bubur asyura kemudiannya diagih-agihkan kepada warga HTAA.


Lawatan Program Dr.Muda
laporan: Rudy


11 Mei 2002 HTAA buat pertama kalinya telah menerima kunjungan lawatan dari program Dr.Muda Sekolah Keb.Bukit Kuin dan Bukit Kuantan.

Turut serta dalam lawatan ini ialah ahli-ahli Panel Pelawat dari Ketua-ketua Kampung Bukit Goh, Bukit Kuin dan Bukit Kuantan.

Anggota rombongan seramai 20 orang terdiri dari 10 orang murid (tahun 5 dan 6) 2 guru dan 8 Panel Pelawat diketuai oleh Jururawat Salmah Muhammad, Jururawat Klinik Kesihatan Bukit Goh. Lawatan adalah bertujuan memberi pendedahan dan menggalakkan pelajar-pelajar, guru dan wakil-wakil kawasan agar lebih aktif dan prihatin tentang penjagaan kesihatan.

Taklimat telah disampaikan oleh Penyelia Jururawat Hasmah Muda dan Dasimah Ahmad. Anggota rombongan telah dibawa melawat ke wad Paliative Care, Tabung Darah dan Unit Haemodialisis.

Diakhir lawatan telah diadakan dialog antara Panel Pelawat, Guru dan Peserta Program Dr. Muda bersama Penyelia Jururawat. Antara topik yang disentuh ialah tentang penggunaan Ambulan di Klinik Kesihatan Bukit Goh, Ceramah Penyakit Berjangkit, Sukarelawan dan Pengurangan Bayaran Bil Hospital pesakit kurang kemampuan.


Lawatan PBSM Sek.Men.Tengku Ampuan Afzan
laporan: Rudy


23 April 2002 Hospital Tengku Ampuan Afzan menerima kunjungan lawatan dari Persatuan Bulan Sabit Merah Sek. Men.Tg.Ampuan Afzan Kuantan. Anggota rombongan PBSM seramai 45 orang murid dan dua orang guru diketuai oleh Pn.Vasantha a/p Nadarajah dan Pn. Fatimah Laili Bustaman.

Lawatan adalah bertujuan untuk memberi pendedahan tentang perkhidmatan rawatan dan pengurusan di HTAA Taklimat ringkas telah disampaikan oleh S/N Wan Rahani Wan Mustapar (Unit Qualiti) dan Rudy (Unit Pendidikan Pesakit).

Hadir sama Sister Mazanah dan Rajesh Istri. Rombongan PBSM ini telah dibawa melawat ke Jabatan Kecemasan, Wad Kiambang 2 dan 3, Wad Dahlia Wanita dan Bengkel Terlindung Jabatan Psikiatri.


Kursus Pemeliharaan Mata
laporan: Rudy

Jabatan Oftalmologi HTAA dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah mengadakan Kursus Pemeliharaan Mata bagi Pegawai.Perubatan, Paramedik dan Jururawat Masyarakat peringkat Negeri Pahang.

Kursus selama tiga hari bermula 11-13 April 2002 telah dihadiri oleh lebih 79 orang peserta dari seluruh Negeri Pahang diadakan di Dewan Sri Pelangi dan Klinik Oftalmologi HTAA. Objektif Kursus ialah untuk memberi didikan dan pengetahuan berhubung dengan masalah mata yang penting dan membolehkan peserta mengenalpasti dan merujuk kes-kes ke klinik mata.

Selain itu ia juga untuk memberi pengetahuan mengenai prosedur rawatan kecil bagi masalah penyakit mata di klinik periferi disamping mengukuhkan sikap yang positif didalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan mata semasa menjalankan tugas.

Para fasilitator terdiri dari Dr.Khow Hoon Hoon, Dr.Sri Kumar, Mr.Vasanth, S/N Khatijah, MA Nadarajah, MA Zaidi Mahmood, MA Mazwadi dan Cik Rosmainiza. Perasmian penutup dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Dr.R.Kalavathy Pakar Pathologi HTAA.


Renungan
Wasiat Buat Muslimah

Dari Imam Al-Ghazali Rahimahullah
“ Wahai anak Adam! Janganlah kamu melaknat sesama makhluk kerana laknat itu akan kembali keatas dirimu sendiri.”

“ Wahai anak Adam! Sesungguhnya langit yang berdiri teguh tanpa tiang itu adalah hanya dengan satu nama daripada nama-nama Allah, tetapi hati kamu tidak pernah teguh walaupun dengan seribu peringatan dari kitabNYA.”

“ Wahai anak Adam! Batu tidak pernah lembut walaupun berada didalam air, begitulah dengan hati kamu yang keras tidak akan berubah walaupun dengan seribu peringatan. Wahai anak Adam! Bagaimana kamu mengaku sesungguhnya kamu adalah hamba Allah, tetapi kamu masih melakukan maksiat terhadapNYA.”

“ Wahai anak Adam! Bagaimana kamu menganggap mati itu tetap akan berlaku sedangkan kamu membenciNYA. Kamu berkata denga lidah tentang perkara yang kamu tidak mempunyai ilmu mengenainya dan kamu menganggap perkara itu kecil, sedangkan perkara itu disisi Allah amatlah besar dosanya.”

Dari Ummu Umamah bt. Harith

“ Wahai puteriku! Jalinkan hubungan dengan suamimu dengan penuh ketaatan, perhatikan tempat-tempat yang menjadi kesenangannya dan jangan sampai ia melihat kepada sesuatu yang buruk atau tercium sesuatu yang busuk. Hiaslah dirimu selalu agar ia senang bila memandangmu dan sentiasalah kamu membanggakannya kerana ini akan membuatkannya bertambah kasih padamu.”

“ Wahai puteriku! Jadikanlah dirimu sebagai pembantu kepada suamimu, nescaya ia akan menjadi penolong pula kepada dirimu. Benarkanlah segala pendapat dan sikapnya itu selagi hal itu tidak melampaui batas syariat dan ini akan membuatkan suamimu bersikap lembut terhadapmu. Uruskanlah rumahtangganya dengan baik dan sempurna disamping memelihara diri, keluarga dan kehormatannya.”

“ Wahai puteriku! Simpanlah segala rahsia suamimu dengan baik, jangan sesekali kamu membantah suruhannya kerana ini akan melukakan hatinya. Jagalah waktu makan dan waktu ia beristirehat kerana perutnya yang lapat akan membuatkan darah cepat naik begitu juga dengan tidur yang tidak cukup akan menimbulkan keletihan.

Jika ia sedang bergembira janganlah pula kamu menunjukkan kesedihan, kamu mesti pandai mengikut suasana hatinya.” Begitulah secebis kisah teladan buat kita semua terutama buat muslimah milenium kini semakin banyak cabaran dan kerenah yang menguji kita untuk mencapai sesuatu yang baik di akhirat kelak. Lumrahnya sesuatu yang baik itu amat sukar dicapai.


Tahukah Anda?

Kumpulan BERLIAN (Jab.Farmasi)
telah mendapat Naib Johan (Pertama)
dalam pertandingan KMK peringkat
Kementerian Kesihatan Malaysia 1998
Dengan projek Farmasi Ekspress.

HTAA telah memenangi
Naib Johan Pertandingan Lanskap
Peringkat Negeri Pahang 1998 kategori
Bangunan Awam dan Keselamatan.


[ Index ] [ Latarbelakang ] [ Keahlian ] [ Perkhidmatan ] [ Hotlink ] [ Renungan ] [ Berita HTAA Online ] [ Koleksi ]