Masyarakat Maklumat dan Demokrasi Elektronik


DAP mencadangkan kursus khas untuk semua Menteri Kabinet dan ahli Parlimen untuk menjadikan mereka penyokong dan bukannya penghalang bagi mengujudkan satu Masyarakat Maklumat di Malaysia

Semasa membentangkan Rang Undang-undang Pindaan Penyiaran hari semalam, Menteri Penerangan, Datuk Mohamad Rahmat berkata bahawa rang undang-undang ini, yang bertujuan untuk memenuhi teknologi baru dalam era penyiaran satelit, merupakan sebahagian dari usaha kerajaan untuk mengujudkan satu Masyarakat Maklumat.

“Masyarakat Maklumat” telah menjadi suatu ungkapan penarik yang popular di kalangan para menteri semasa memberi ucapan dan kenyataan, untuk memberikan gambaran bahawa mereka memang kontemporari dan mukakhir, tapi malang sekali, hanya sebilangan kecil dari Menteri-menteri berkenaan yang telah menunjukkan bahawa mereka memang faham dengan maksud “Masyarakat Maklumat” ini.

Dalam ucapan beliau, Menteri Penerangan Datuk Mohamad Rahmat telah berkata bahawa akses kepada maklumat adalah amat penting kepada pembangunan, tetapi adakah beliau juga telah mempraktikkan peringatan mengenai kepentingan akses kepada maklumat ini semasa membentuk, mebentangkan dan meluluskan Rang Undang-undang Pindaan Penyiaran ini?

Menteri Penerangan merupakan salah seorang Menteri Kabinet yang bercakap mengenai “Masyarakat Maklumat”, tetapi beliau nampaknya merupakan salah seorang yang paling tidak faham mengenai konsep ungkapan ini. Saya ingin bertanya kepada Datuk Rahmat, apakah yang beliau faham tentang “Masyarakat Maklumat”?

Sekurang-kurangnya, satu “Masyarakat Maklumat” merupakan satu masyarakat di mana maklumat menjadi bertambah mudah didapati dan prosesnya lebih demokratik.

Sekiranya Menteri Penerangan benar-benar memahami maksud “Masyarakat Maklumat”, maka beliau tidak akan membentangkan Rang Undang-undang Penyiaran ini atas alasan bahawa ia sebahagian dari usaha kerajaan untuk memupuk sebuah “Masyarakat Maklumat”, tapi melakukannya dengan cara yang langsung bertentangan dengan semangat dan intipati sebuah “Masyarakat Maklumat”.

Sekiranya Menteri Penerangan telah memahami maksud dan intipati sebuah Masyarakat Maklumat, beliau tidak akan mendraf Rang Undang-undang Pindaan Penyiaran ini secara rahsia dalam beberapa tahun yang lepas, tanpa melibatkan orang awam atau membuat rundingan terbuka terdahulu, dan tidak akan juga memaksa Parlimen untuk membahaskan Rang Undang-undang serta membawanya melalui tiga kali bacaan sungguhpun rang undang-undang ini belum lagi diumumkan kepada rakyat jelata dan hanya dibentangkan ke Dewan Rakyat pada hari semalam - kerana kelakuan sebegini memang merupakan dosa di dalam sebuah Masyarakat Maklumat yang merampas hak akses maklumat orang ramai dan Parlimen sendiri.

Peraturan Mesyuarat 48 mewajibkan sekurang-kurangnya satu hari notis sebelum bacaan kedua dan perbahasan ke atas satu-satu rang undang-undang boleh dijalankan, dan ini merupakan pelindung Parliament biasa untuk mencegah salah guna kuasa kerajaan, yang menguasai majoriti undi di dalam Parlimen, dengan merempuhkan Rang Undang-undang di Parlimen tanpa memberikan masa yang secukupnya kepada para ahli Parlimen dan rakyat jelata untuk mengkaji dan membahas sebarang cadangan ke atas perundangan baru.

Ini bolehlah dianggap sebagai pelindung minima di Malaysia dalam era sebelum Masyarakat Maklumat diujudkan untuk memastikan bahawa akses minima kepada maklumat boleh diperolehi - yang mana harus diperluaskan praktiknya dalam usaha memupuk sebuah Masyarakat Maklumat.

Sebaliknya, dengan alasan untuk memupuk sebuah Masyarakat Maklumat dalam masa depan yang terdekat yang bakal meletakkan akses kepada maklumat sebagai agenda utama, Menteri Penerangan pula telah memusnahkan `pelindung minima’ dalam akses kepada maklumat di era sebelum Masyarakat Maklumat ini dengan memperhentikan Peraturan Mesyuarat 48 supaya beliau dapat membawa Rang Undang-undang Penyiaran ke tiga tahap bacaan sekali gus, tanpa memberikan para ahli Parlimen atau negara pada keseluruhannya peluang untuk mengkaji dan membincang (dan saya bermaksud membincang secara cerdas, berhubungan dengan sesuatu Rang Undang-undang khusus) pindaan-pindaan yang dicadangakan itu.

Nampaknya Kementerian Penerangan telah diberikan nama yang salah dan sepatutnya digelar Kementerian Penafian Penerangan, dan Menterinya harus digelar sebagai Menteri Penafian Penerangan.

Sekiranya Malaysia benar-benar serius hendak mendapat peningkatan yang besar ke masa depan Teknologi Maklumat sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. mahathir Mohamed, pada awal Ogos semasa beliau berucap mengenai Multi-Media Super Corridor (MSC), maka para Menteri-menteri Kabinet dan ahli-ahli Parlimen harus menyertai secara menyeluruh di dalam arus peningkatan besar ini untuk mencipta sebuah masyarakat maklumat di Malaysia.

Saya mencadangkan supaya diadakan satu kursus khas untuk semua Menteri Kebinet dan ahli-ahli Parlimen untuk menjadikan mereka penyokong dan bukannya penghalang dalam pembinaan sebuah Masyarakat Maklumat, untuk memastikan bahawa Menteri-menteri Kabinet dan ahli-ahli Parlimen adalah antara kumpulan ulung di Malaysia yang memiliki penumpuan minda betul mengenai Masyarakat Maklumat, yang dapat menjadi teladan kepada seluruh negara dalam menonjolkan nilai mudah memperolehi dan pendemokrasian maklumat.

Dengan penumpuan minda Masyarakat Maklumat sebegini, tidak akan ada lagi mana-mana Menteri yang akan membentangkan Rang Undang-undangnya di Parlimen untuk dibahas dan diluluskan tanpa memberikan masa dan peluang yang secukupnya kepada para ahli Parlimen untuk mengkaji dan membincang sebarang cadangan perundangan baru, termasuklah peluang kepada orang ramai menyertai dalam fasa-fasa yang berlainan dalam pembentukan sesuatu dasar atau perundangan.

Dengan penumpuan minda Masyarakat Maklumat sebegini, Parlimen dan Kerajaan tidak akan perlu menunggu sehingga siapnya MSC dan Pejabat Perdana Menteri menjadi paperless apabila ia dipindahkan ke Putra jaya pada 1998, tetapi dengan serta mertanya dapat memulakan proses digitisasi.

Memandangkan kedua-dua Parlimen dan Kementerian Penerangan mempunyai website mereka masing-masing., mengapakah teks Rang Undang-undang Pindaan Penyiaran ini tidak diumumkan samada di atas website Parlimen ataupun Kementerian Penerangan untuk mengundang komen dan reaksi orang ramai - terutama sekali memandangkan Menteri Penerangan telah berkata bahawa Rang Undang-undang ini telahpun siap awal-awal lagi?

Demokrasi Elektronik untuk Malaysia

Ucapan-ucapan Perdana Menteri kini telahpun mula disiarkan di Internet sebaik sahaja mereka telah disampaikan, dan tindakan seperti ini patut dipuji. Tidak ada sebarang alasan yang dapat menjelaskan sebab mengapa rang-rang undang-undang tidak boleh disiarkan di atas Internet selepas mereka siap digubal dan bukannya kena tunggu sehingga mereka dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama.

Adalah dikatakan bahawa pada masa kita menjangkau ke milenium baru, garis di antara kejayaan dan kegagalan sesuaut negara adalah bergantung ke atas digital.

Sekiranya Malaysia hendak melompat ke Era Digital, maka Parlimen dan kerajaan patut menjadi penyokong terdepan Internet dengan menggunakannya untuk memimpin penyebaran maklumat berkaitan kepada masyarakat awam. - memperkenalkan konsep ‘demokrasi elektronik’ di mana rakyat dapat mendapat akses dan menyebarkan maklumat melalui Internet, suatu cara yang tidak mungkin dilakukan pada masa-masa yang lampau.