Uthaya Sankar SB dan Panchayat

Diwawancara oleh: Nik Nazmi Nik Ahmad 

(Editor SuaraAnum.com)

     

        

    

SuaraAnum.com: Bilakah novel Panchayat akan diterbitkan?  

  

Uthaya Sankar SB: Pada mulanya, saya bercadang menerbitkannya pada Ogos 2002 kerana pada Februari 2002, antologi cerpen Vanakam akan terbit. Bagaimanapun, berikutan cadangan, sokongan dan saranan rakan-rakan, saya memutuskan untuk menerbitkan novel Panchayat pada April 2002; dengan izin Tuhan.  

   

   

Berapakah bilangan cetakan pertama Panchayat?

 

Kumpulan Sasterawan Pulau Cinta (2001) dicetak 500 naskhah sahaja kerana ia cubaan pertama. Antologi Vanakam dicetak 1000 naskhah. Panchayat juga akan dicetak 1000 naskhah.  

     

     

Bolehkah saudara menceritakan sedikit sebanyak mengenai novel Panchayat ini?  

   

Saya menggunakan konsep yang AMAT MUDAH bagi novel ini. Cerita dikembangkan daripada cerpen "Pancayat" yang saya tulis dulu dan termuat dalam kumpulan Siru Kambam (1996). Saya katakan ‘mudah’ kerana disampaikan dengan bahasa yang paling mudah. Pembaca tentu tidak perlu membelek kamus untuk mencari makna bagi perkataan dan frasa yang saya gunakan dalam novel ini.  

      

Kisah yang dipaparkan dalam novel ini, pada dasarnya, juga mudah. Panchayat mengisahkan misteri kehilangan berhala emas Kaali Devi dari kuil Maha Kaali yang terletak kampung Kubur Gajah, Perak. Latar masa, bulan Julai 1960. Majoriti penduduk kampung berkenaan adalah kaum India beragama Hindu. Mereka mengamalkan ‘panchayat’ iaitu majlis timbang cara – lebih kurang seperti mahkamah penghulu dalam budaya Melayu.  

    

Novel Panchayat bukan cerita misteri. Sebaliknya adalah pemaparan tentang budaya, amalan, kepercayaan, pandangan, agama dan segala hal berkaitan kaum India beragama Hindu. Bagi orang ramai yang biasa menonton filem Tamil dan Hindi yang berlatarkan suasana kampung, mungkin biasa dengan konsep ‘panchayat’ yang saya sebutkan. Malah, tidak sukar untuk membayangkan (visualize) segala babak semasa membaca novel ini.  

    

Terdapat 18 bab. Bab satu hingga lapan saya tulis sebelum Februari 1994; iaitu sebelum saya kemalangan. Baki sepuluh bab pula saya tulis selepas April 1994. 

     

Apa yang menarik, walaupun ditulis empat tahun sebelum istilah “adil” mula menjadi bualan ramai, novel Panchayat mengutarakan soal yang sama – mengenai keadilan: mampukan majlis timbang cara berlaku adil, apakah seorang individu mampu menjamin keputusan yang benar dan adil, sukarnya menegakkan keadilan dan seumpamanya. Tapi ingat: novel ini sudah saya tulis pada tahun 1994 lagi. Jadi, jangan ada pihak yang memutar-belitkan cerita dan mengatakan bahawa novel ini berciri anti-establishment!  

     

Sudut pencerita dalam novel ini juga bertukar dalam setiap bab. Penggunaan teknik ini pasti menjadikan pembacaan lebih menarik. Pembaca sendiri akan mula terfikir watak mana yang bercakap benar.  

    

Setiap bab berakhir dengan satu lagi persoalan baru yang pasti mengundang – atau memaksa – pembaca meneliti bab seterusnya. Mungkin kedengaran seperti memuji karya sendiri, tapi apa salahnya mengaku kelebihan sesebuah karya?  

  

Novel ini sesuai dibaca oleh khalayak pelbagai kaum. Tapi jangan pula menuduh saya cuba memesongkan akidah sesiapa semata-mata kerana menampilkan watak kaum India beragama Hindu.  

    

Bagaimanapun, novel ini lebih sesuai bagi pembaca berumur lebih 18 tahun kerana novel ini mengandungi unsur ganas, seram, politik, keagamaan, dan lain-lain lagi. Mungkin sesuai dikategorikan sebagai 18PL!  

   

Maklumat mengenai novel Panchayat terdapat di SINI.  

       

      

Jika tidak silap saya, ini merupakan usaha kedua saudara untuk menerbitkan sendiri karya saudara. Mengapa saudara tidak menerbitkan karya-karya saudara menerusi penerbit-penerbit established memandangkan saudara sendiri seorang penulis muda yang dikenali ramai?  

     

Buku pertama yang saya terbitkan adalah kumpulan cerpen Bahasa Malaysia berjudul Sasterawan Pulau Cinta (2001). Buku berkenaan saya terbitkan, antara lain, untuk kegunaan Bengkel Karyawan Muda anjuran Kavyan (Persatuan Penulis Kaum India Malaysia). 

     

Sambutan rakan-rakan, peminat dan peneliti sastera terhadap buku berkenaan amat menggalakkan. Semua ini menjadi pemangkin dan memberi motivasi kepada saya untuk meneruskan kerja-kerja penerbitan sendiri.  

    

Sering kali, pada seminar sastera anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), saya akan nyatakan secara terus-terang bahawa usaha promosi oleh penerbitan berkenaan amat mengecewakan. Saya turut berikan sarana bagi cara menjual “jenama” bagi melariskan “produk”. “Jenama” yang saya maksudkan adalah “penulis” manakala “produk” pula “buku”. Kertas kerja saya mengenai perkara ini boleh dibaca di SINI.  

    

Pada sekitar tahun 1999 juga, timbul masalah apabila sebuah penerbit terkemuka tanah air membatalkan penerbitan antologi cerpen yang memuatkan cerpen oleh penulis kaum India Malaysia. Saya merupakan penyelenggaran antologi berkenaan. 

      

Surat perjanjian penerbitan sudahpun ditanda tangani. Tetapi editor di penerbitan berkenaan meminta saya menggugurkan penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” dengan alasan bahawa istilah itu tidak wujud! 

      

Saya mempertahankan pendirian saya dengan menegaskan bahawa istilah “Bahasa Malaysia” wujud dan sah digunakan. Akhirnya, penerbit berkenaan membatalkan penerbitan antologi berkenaan tanpa sebarang alasan yang kukuh.

    

Apatah lagi, surat perjanjianpenerbitan dengan jelas menyatakan “Bahasa Karya: BAHASA MALAYSIA”. Segala kisah mengenai tindakan penerbit berkenaan boleh dibaca dalam artikel di laman saya. Dan saudara akan tahu sendiri penerbit mana satu yang saya maksudkan.

    

Berikutan itulah saya memutuskan untuk tidak mengirim karya saya kepada mana-mana penerbitan yang tidak memperakukan istilah “Bahasa Malaysia”. 

    

Memang, seperti kata saudara, saya adalah penulis muda yang agak dikenali peminat sastera. Tapi saya tidak sanggup “melacurkan diri dan karya” dengan membenarkan buku saya diterbitkan oleh sebuah penerbit yang tidak memperakukan kewujudan istilah “Bahasa Malaysia”.  

   

Apa yang melucukan … penerbit yang sama menerbitkan buku teks “Bahasa Malaysia” bagi pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 5. Jadi, apa sebenarnya pendirian penerbit itu? Penerbit berkenaan tidak membenarkan saya menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” dalam antologi cerpen penulis kaum India. Tetapi penerbitan yang sama menerbitkan buku “Bahasa Malaysia” untuk kegunaan sekolah. 

    

Hipokrit! Diskriminasi!

    

Ada pembaca dan peneliti yang mengungkitkan kemungkinan penerbit berkenaan menganak tirikan antologi berkenaan semata-mata kerana memuatkan sepenuhnya cerpen Bahasa Malaysia oleh penulis kaum India. Entahlah! Penerbit berkenaan tidak memberikan sebarang alasan apabila menghantar surat membatalkan penerbitan. Malah, penerbitan berkenaan tidak berani menulis dalam surat itu bahawa alasan membatalkan penerbitan adalah kerana saya menggunakan istilah “Bahasa Malaysia”.  

      

     

Adakah 'self-publishing' dapat membawa pendapatan yang lumayan kepada saudara selaku penerbit dan penulis?  

   

Tidak sama sekali. Tapi motif saya menerbitkan sendiri buku-buku saya bukan kerana mahu untung. Sebaliknya mahu membuktikan bahawa istilah “Bahasa Malaysia” sedia wujud dan sah digunakan. Saya juga mahu membuktikan kepada penerbit tertentu bahawa terdapat pelbagai cara untuk mempromosi buku; selain cara bodoh menyimpan buku di stor dan mengharapkan pembeli pergi ke stor untuk membeli sebuah buku!  

      

Saya juga mendapat sokongan padu dan kerjasama utuh  daripada rakan-rakan pelbagai kaum. Tidak timbul langsung soal perkauman dalam usaha saya. 

    

Misalnya, antologi cerpen Vanakam khusus memuatkan cerpen penulis kaum India. Tetapi ramai pembaca pelbagai kaum sudahpun menunjukkan minat untuk membelinya. Mereka mahu tahu teknik penceritaan, gaya dan tema yang dibawakan oleh penulis kaum India yang menulis cerpen Bahasa Malaysia. Tidak pula timbul soal mengapa istilah “Bahasa Malaysia” digunakan.  

   

Kedai buku Silverfish Books di Bangsar turut menjual Sasterawan Pulau Cinta. Sambutan amat menggalakkan walaupun rata-rata pengunjung ke kedai itu adalah peminat sastera Bahasa Inggeris. Promosi dan jualan juga saya lakukan melalui e-mel dan laman web. Rakan-rakan juga banyak membantu.  

    

Memang tidak untung tetapi saya berasa puas. Puas kerana berjaya membuktikan bahawa memang ada banyak cara untuk mempromosi buku sastera. Puas kerana dapat membuktikan kepada penerbit tertentu bahawa istilah “Bahasa Malaysia” memang wujud dan sah digunakan.  

     

Kepuasan mengatasi keinginan mengaut untung. Sebab itulah, selepas Sasterawan Pulau Cinta, saya menerbitkan pula Vanakam. Pada April 2002, akan muncul Panchayat.  

    

Pada mulanya, novel Panchayat sepatutnya diterbitkan oleh sebuah penerbit terkemuka tanah air; iaitu penerbit yang turut menafikan kewujudan istilah "Bahasa Malaysia". 

  

Penilai telah meluluskan manuskrip Panchayat  untuk terbit. Anehnya, tidak lama kemudian, saya diberitahu bahawa novel yang sama sedang dinilai semula sebagai novel kanak-kanak! Aduh, sebuah novel 18PL mahu dijadikan novel kanak-kanak?  

   

Kemudian manuskrip novel diberikan pula kepada seorang "ustaz" di penerbit yang sama. Itu kali terakhir saya mendengar kisah mengenai manuskrip berkenaan. “Lesap” begitu sahaja. Entah apa alasan sebenar novel berkenaan tidak terbit. 

    

Tidak mengapa, kini saya menerbitkannya sendiri. Pembaca berpeluang membacanya sendiri dan memikirkan apakah agaknya punca novel berkenaan tidak diterbitkan sebelum ini.  

       

       

Apakah situasi penulis-penulis Bukan Melayu dalam dunia sastera Bahasa Malaysia? Apakah halangan-halangan yang terpaksa mereka hadapi?  

   

Saya secara peribadi berpendapat tidak ada beza antara penulis Melayu dan penulis Bukan Melayu. Bagaimanapun, hakikat yang wujud adalah bahawa tidak ramai penulis kaum India menulis sastera Bahasa Malaysia. 

    

Ramai yang mencuba tetapi terlalu terikut-ikut gaya penulisan penulis Melayu. Akibatnya, tidak ada jatidiri dan gaya sendiri. Penulis kaum India menghasilkan cerpen mengenai watak dan masalah kaum Melayu-Islam. Akibatnya, cerpen itu gagal.  

   

Penguasaan Bahasa Malaysia (termasuk ejaan, kata sendi, imbuhan, tanda baca) juga agak mengecewakan. Saya berani nyatakan demikian daripada pengalaman saya sendiri mengendalikan bengkel-bengkel penulisan serta pengalaman menyelenggarakan antologi cerpen (termasuk yang dibatalkan penerbitannya dulu!).  

   

Buat masa ini, Saroja Theavy Balakrishnan adalah penulis kaum India yang amat menonjol dalam sastera Bahasa Malaysia. Di kalangan kaum Cina dan keturunan Siam memang ada ramai penulis terkenal tapi di kalangan penulis kaum India masih terlalu sedikit. Hakikat yang pahit, tetapi perlu diakui.  

      

       

Adakah seorang sasterawan di Malaysia yang menulis dalam bahasa kebangsaan dapat menyara hidup hanya dengan menulis?  

    

Terus-terang, tidak. Kecuali jika anda menjadi Sasterawan Negara. Pun tidak terjamin juga … misalnya Pak Samad Said yang terpaksa selalu melakukan mogok dan menyuarakan masalah yang timbul. 

    

Ringkasnya: belum boleh lagi. Apatah lagi dalam keadaan sekarang di mana saya sendiri terpaksa berjuang untuk menggunakan istilah “Bahasa Malaysia"!  

      

        

Kini dengan perkembangan globalisasi dan Bahasa Inggeris, apakah masa hadapan yang anda lihat buat penulis-penulis bahasa kebangsaan?  

   

Saya percaya dan yakin bahawa tetap akan ada khalayak bagi sastera bahasa kebangsaan. Walaupun ada usaha untuk menidakkan kewujudan istilah “Bahasa Malaysia” itu sendiri oleh sesetengah kelompok kecil, namum, saya percaya sastera Bahasa Malaysia akan terus berkembang.

    

Generasi baru juga sudah fasih berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia. Mereka akan tetap memilih bahan bacaan Bahasa Malaysia – selain Bahasa Inggeris dan sebagainya.  

      

Malah di ruang siber sekarang, penggunaan Bahasa Malaysia semakin berkembang. Saya telah membantu memasukkan Bahasa Malaysia bagi interface laman web www.vettipechu.org dan sambutan pengunjung memang membanggakan.  

   

Masalah timbul apabila Bahasa Malaysia dipolitikkan. Misalnya, apabila penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” tidak dibenarkan oleh sebuah penerbit terkemuka tanah air. 

   

Mujurkan istilah “Bahasa Malaysia” memang wujud. Jadi, saya tidak perlu bimbang walaupun ada penerbit yang menentang usaha memartabatkan Bahasa Malaysia.  

   

Andai kata, istilah “Bahasa Malaysia” dimansuhkan oleh kerajaan … pada waktu itu, saya akan lebih rela menggunakan bahasa lain untuk berkomunikasi kerana bahasa saya adalah “Bahasa Malaysia”. Apabila “Bahasa Malaysia” sudah tidak ada dan diwartakan ‘tidak wujud’ (seperti dilakukan oleh penerbit tertentu), saya terpaksa beralih menggunakan bahasa lain.  

   

Namun, saya yakin bahawa Bahasa Malaysia akan terus wujud. Malah SuaraAnum.com juga kini semakin banyak menggunakan Bahasa Malaysia! Jadi, pasti penulis bahasa kebangsaan tidak akan kehilangan ruang untuk menulis. Pembaca juga akan terus ada… asalnya sahaja Bahasa Malaysia terus ada.  

      

     

[Petikan webzine SuaraAnum.com, keluaran #3,  Februari 2002 di http://www.suaraanum.com]