KENYATAAN seorang ekspatriat Australia, Lance Skelton baru-baru ini mengenai Kuala Lumpur `dilimpahi' dengan lebih ramai wanita cantik berbanding bandar-bandar lain di dunia ini, memang mengejutkan.
Malah, mungkin ramai wanita di negara ini sendiri tidak menyangka bahawa diri mereka tergolong dalam kategori wanita cantik.
Walaupun seronok dengan pujian tersebut, hakikatnya tidak ramai wanita di negara ini yang berbangga dengan kecantikan mereka sendiri.
Bahkan, golongan lelaki di negara ini juga mungkin tidak menyedari mengenai kecantikan wanita di depan mata mereka termasuk isteri sendiri - sehingga menunggu orang asing yang `menyedarinya'.
Bagaimanapun, kecantikan merupakan satu perkara yang subjektif kepada setiap individu yang berlainan, sebagaimana ungkapan Inggeris `Beauty is in the eye of the beholder'.
Justeru, apabila ada yang berpandangan begitu golongan wanita sepatutnya tidak berasa bermegah sehingga terlupa diri.
Apa yang pasti, biar bagaimana cantik sekalipun seorang wanita itu, ia mesti disulami dengan akhlak yang mulia sejajar dengan kecantikan diri yang dimiliki.
Menurut sebuah hadis Rasullullah s.a.w: Sesungguhnya manusia itu dijadikan dengan sebaik-baik kejadian.
Sememangnya, kejadian manusia itu secara fitrahnya diciptakan Tuhan, sukakan kepada keindahan dan kecantikan.
Manusia juga sanggup berusaha mendapatkan sesuatu yang dianggap begitu istimewa demi memenuhi kepuasan diri.
Justeru, manusia perlu dibimbing agar aspek kecantikan dan keindahan yang dianggap bernilai tadi tidak salah dimengerti, serta tersasar daripada perspektif Islam.
Islam tidak melarang kecantikan dan keindahan, bahkan Islam menganjurkan setiap penganutnya memelihara kecantikan tersebut asalkan menurut batas-batas syarak.
Menurut Pengarah Projek Self Dynamic & Management Training Consultant, Huzairi Zainuddin, terdapat banyak rahsia `kecantikan wanita' yang boleh menambat hati seorang suami.
Tips-tip ini diperoleh berpandukan penyelidikan dan pengalaman sendiri mengenai apa yang para suami mahukan daripada isteri mereka.
Katanya, menerusi kecantikan semula jadi, kulit yang bersih dan tidak memerlukan banyak solekan, masih boleh memikat suami.
Malah, penampilan dengan solekan yang keterlaluan memperlihatkan kekurangan yang cuba dilindungi oleh wanita berkenaan.
Berpakaian kemas dan sopan walaupun bukan daripada pakaian berjenama, tetapi dengan gaya penampilan tersendiri tetap mampu menyerlahkan kewanitaan seseorang.
Sebaliknya, berpakaian menjolok mata dan keterlaluan bukan sahaja menampakkan kejahilan wanita tentang fahaman agamanya, bahkan akan turut mengundang pelbagai masalah.
``Menitik beratkan kekemasan dan kebersihan juga boleh menambat hati suami, bersikap mesra dan sentiasa memberikan kad ucapan tanda ingatan membuktikan kehadiran diri suami di dalam hati si isteri.
``Penggunaan perkataan sayang dalam perkahwinan amat besar maknanya di dalam rumah tangga dan sepatutnya dikekalkan,'' katanya.
Tetapi apabila usia perkahwinan sudah semakin lama, perkataan sayang jarang lagi kedengaran bahkan telah bertukar kepada `ayahnya' atau `atuknya'.
Banyak juga terdapat panggilan abang telah bertukar menjadi `abah' dan berkongsi panggilan dengan anak-anak.
``Orang lelaki mudah terangsang dengan panggilan yang menampakkan kemesraan dan luahan kasih sayang. Panggilan yang mesra dapat meruntun hati suami,'' katanya.
Dalam pada itu, suami akan merasa gembira sekiranya isteri sentiasa bermanja-manja dengannya, tetapi tidaklah berlebihan.
Suami juga sukakan isteri yang rajin dan kreatif dalam mencuba masakan baru, penampilan diri dan susun atur rumah tangga.
Selain itu, isteri juga perlu selalu bersikap positif dan berpandangan terbuka serta berlapang dada tatkala menghadapi pelbagai masalah.
``Jadilah pendengar yang baik. Ramai di kalangan suami yang mengadu tentang sikap isterinya yang tidak mahu berkongsi masalah dengan mereka.
``Walaupun tidak memahami sepenuhnya, berilah sepenuh perhatian sewaktu suami meluahkan,'' katanya.
Para isteri juga diingatkan agar jangan menjadi seorang pendesak tetapi cubalah memahami keadaan suami.
Bersikap cerewet dalam keadaan tertentu itu baik, tetapi janganlah terlalu cerewet dalam semua hal yang boleh menimbulkan kebencian lelaki.
``Adalah lebih baik memberi nasihat secara langsung atau tidak langsung agar mudah difahami oleh suami daripada meleterinya.
``Pengakuan maaf dan mengaku kesilapan diri adalah payah, sekalipun secara terang telah membuat kesilapan. Perkara ini kerap berlaku walaupun tidak semua bersikap demikian.
``Kadangkala persoalannya kecil sahaja tetapi apabila dibiarkan ia menjadi kusut. Jangan merasa terhina dengan pengakuan maaf sekalipun di hadapan suami sendiri, biarlah merendah diri,'' katanya.
Namun menurutnya, bersikap pemaaf memang susah untuk diamalkan kerana sekali dua kesalahan mungkin boleh diberi kemaafan, tetapi apabila sudah kerap kali berlaku, hilang juga kesabaran.
Golongan isteri juga diminta agar tidak selalu merajuk. Perbuatan merajuk sekali sekala itu ada baiknya dan ada manisnya tetapi janganlah keterlaluan.
``Bersifatlah seperti seorang yang matang dan jangan bersifat keanak-anakan. Sifat suka bergurau dan tersenyum selalu mampu menyediakan suasana yang kondusif dan penuh mesra.''
Keserasian ini boleh dipupuk sentiasa dan jangan dibiarkan perhubungan menjadi sejuk dan hambar, sebaliknya kebolehan bergurau merupakan satu kelebihan.
Wanita yang cekap di dalam menguruskan dan mengendalikan urusan rumah tangga juga mampu membuat suami kagum dengan mereka.
``Cemburu itu tanda sayang dan sekiranya berlaku, ada manisnya, tetapi jangan sampai jadi cemburu buta kerana ia sangat melemaskan suami,'' katanya.
Isteri juga perlu menghargai pemberian suami walau sekecil mana asalkan hati suami senang memandangnya.
Seorang isteri katanya, perlu memandang tinggi keupayaan suami dan jangan sesekali memperkecilkan kemampuan suami terutama di hadapan anak-anak.
Selain itu, wanita yang bercita-cita tinggi, bersemangat kuat bersikap lemah lembut, menghormati orang lain, sentiasa sihat, pandai berkomunikasi,
menjadi peminat setia terhadap suami, sentiasa bercakap benar dan sukakan kanak-kanak, adalah antara faktor yang boleh dijadikan penambat kasih suami kepada isteri.
|