KISAH WALI ALLAH YANG SOLAT
DI ATAS AIR
Sebuah kapal yang sarat dengan muatan dan bersama
200 orang termasuk ahli perniagaan berlepas dari sebuah pelabuhan di
Mesir. Apabila kapal itu berada di tengah lautan maka datanglah
ribut petir dengan ombak yang kuat membuat kapal itu
terumbang-ambing dan hampir tenggelam. Berbagai usaha dibuat untuk
mengelakkan kapal itu dipukul ombak ribut, namun semua usaha mereka
sia-sia sahaja. Kesemua orang yang berada di atas kapal itu sangat
cemas dan menunggu apa yang akan terjadi pada kapal dan diri mereka.
Ketika semua orang berada dalam keadaan cemas, terdapat seorang
lelaki yang sedikitpun tidak merasa cemas. Dia kelihatan tenang
sambil berzikir kepada Allah s.w.t..
Kemudian lelaki itu turun dari kapal yang sedang terunbang-ambing
dan berjalanlah dia di atas air dan mengerjakan solat di atas air. Beberapa
orang peniaga yang bersama-sama dia dalam kapal itu melihat lelaki
yang berjalan di atas air dan dia berkata, "Wahai wali
Allah, tolonglah kami. Janganlah
tinggalkan kami!" Lelaki itu tidak memandang ke arah orang yang
memanggilnya. Para peniaga itu memanggil lagi, "Wahai wali
Allah, tolonglah kami. Jangan
tinggalkan kami!"
Kemudian lelaki itu menoleh ke arah orang yang memanggilnya dengan
berkata, "Apa hal?" Seolah-olah lelaki itu tidak mengetahui apa-apa.
Peniaga itu berkata, "Wahai wali Allah,
tidakkah kamu hendak mengambil berat tentang kapal yang hampir
tenggelam ini?" Wali itu berkata, "Dekatkan dirimu kepada
Allah s.w.t.." Para penumpang itu
berkata, "Apa yang mesti kami buat?" Wali
Allah itu berkata, "Tinggalkan semua hartamu, jiwamu akan
selamat." Kesemua mereka sanggup meninggalkan harta mereka. Asalkan
jiwa mereka selamat. Kemudian mereka berkata, "Wahai wali
Allah, kami akan membuang semua
harta kami asalkan jiwa kami semua selamat."
Wali Allah itu berkata lagi, "Turunlah
kamu semua ke atas air dengan membaca
Bismillah." Dengan membaca
Bismillah, maka turunlah seorang demi seorang ke atas air
dan berjalan menghampiri wali Allah
yang sedang duduk di atas air sambil berzikir. Tidak berapa lama
kemudian, kapal yang mengandungi muatan beratus ribu ringgit itu pun
tenggelam ke dasar laut.
Habislah kesemua barang-barang perniagaan yang mahal-mahal terbenam
ke laut. Para penumpang tidak tahu apa yang hendak dibuat, mereka
berdiri di atas air sambil melihat kapal yang tenggelam itu.
Salah seorang daripada peniaga itu berkata lagi, "Siapakah kamu
wahai wali Allah?" Wali
Allah itu berkata, "Saya ialah
Awais Al-Qarni." Peniaga itu berkata lagi, "Wahai wali
Allah, sesungguhnya di dalam kapal
yang tenggelam itu terdapat harta fakir-miskin Madinah yang dihantar
oleh seorang jutawan Mesir." Wali Allah
berkata, "Sekiranya Allah s.w.t.
kembalikan semua harta kamu, adakah kamu betul-betul akan
membahagikannya kepada orang-orang miskin di Madinah?" Peniaga itu
berkata, "Betul, saya tidak akan menipu, ya wali
Allah."
Setelah wali itu mendengar pengakuan dari peniaga itu, maka dia pun
mengerjakan solat dua rakaat di atas air, kemudian dia memohon
kepada Allah s.w.t. agar kapal
itu ditimbulkan semula bersama-sama hartanya. Tidak berapa lama
kemudian, kapal itu timbul sedikit demi sedikit sehingga terapung di
atas air. Kesemua barang perniagaan dan lain-lain tetap seperti asal.
Tiada yang kurang. Setelah itu dinaikkan kesemua penumpang ke atas
kapal itu dan meneruskan pelayaran ke tempat yang dituju. Apabila
sampai di Madinah, peniaga yang berjanji dengan wali
Allah itu terus menunaikan janjinya
dengan membahagikan harta kepada semua fakir miskin di Madinah
sehingga tiada seorang pun yang tertinggal. Wallahu a'alam. |