RIAK MEMUSNAHKAN PAHALA
Syidad bin Ausi berkata, "Suatu hari saya melihat
Nabi Muhammad s.a.w. sedang
menangis, lalu saya pun bertanya Baginda
s.a.w.: "Ya Rasulullah,
mengapa anda menangis?"
Sabda Nabi Muhammad s.a.w.:"Ya
Syidad, aku menangis kerana khuatir terhadap umatku akan perbuatan
syirik, ketahuilah bahawa mereka itu tidak menyembah berhala tetapi
mereka berlaku riak dengan amalan perbuatan mereka."
Rasulullah s.a.w.
bersabda lagi, "Para malaikat penjaga akan naik membawa amal
perbuatan para hamba dari puasanya, solatnya, dermanya dan
sebagainya. Para malaikat itu mempunyai suara seperti suara lebah
dan mempunyai sinar matahari dan bersama mereka itu 3,000 malaikat
dan mereka membawa ke langit ketujuh."
Malaikat yang diserahi ke langit berkata kepada para malaikat
penjaga, "Berdirilah kamu semua dan pukulkanlah amal perbuatan
ini ke muka pemiliknya dan semua anggotanya dan tutuplah hatinya,
sungguh saya menghalangi sampainya kepada
Tuhan saya setiap amal perbuatan yang tidak dikehendaki untuk
Tuhan selain daripada
Allah (membuat sesuatu amal bukan
kerana Allah s.w.t.)." "Berlaku
riak di kalangan ahli fiqh adalah kerana inginkan ketinggian supaya
mereka menjadi sebutan. Di kalangan para ulama pula untuk menjadi
popular di kota dan di kalangan umum. Allah
s.w.t. telah memerintahkan agar saya tidak membiarkan amalnya
melewati saya akan sampai selain kepada saya."
Malaikat penjaga membawa amal orang-orang soleh dan kemudian dibawa
oleh malaikat di langit sehingga terbuka semua aling-aling dan
sampai kepada Allah s.w.t.
Mereka berhenti di hariban Allah s.w.t.
dan memberikan persaksian terhadap amal orang tersebut yang
betul-betul soleh dan ikhlas kerana Allah
s.w.t. Kemudian Allah s.w.t.
berfirman yang bermaksud, "Kamu semua adalah para malaikat
Hafazdah (malaikat penjaga) pada amal-amal perbuatan hamba-Ku,
sedang Aku-lah yang mengawasi dan
mengetahui hatinya, bahawa sesungguhnya dia menghendaki amal ini
bukan untuk-Ku, laknat para malaikat
dan laknat segala sesuatu di langit."
|
MAKANAN DARI HASIL TILIK
Abu Bakar mempunyai seorang hamba yang menyerahkan
sebahagian daripada pendapatan hariannya kepadanya sebagai tuan.
Pada suatu hari hambanya telah membawa makanan yang dimakannya
sedikit oleh Abu Bakar. Hambanya berkata, "Kamu selalu bertanya
tentang sumber makanan yang aku bawa, tetapi hari ini kamu tidak
berbuat demikian ?"
Abu Bakar menjawab, "Aku terlalu lapar sehingga aku lupa bertanya.
Terangkanlah kepada aku di mana kamu mendapat makanan ini ?" Hamba
menjawab, "Sebelum aku memeluk Islam, aku menjadi tukang tilik.
Orang-orang yang aku tilik nasibnya kadang-kadang tidak boleh
membayar wang kepadaku. Mereka berjanji membayarnya apabila sahaja
memperolehi. Aku berjumpa dengan mereka hari ini. Merekalah yang
memberikan aku makanan ini."
Mendengar kata-kata hambanya, Abu Bakar memekik, "Ah! Nyaris-nyaris
kau bunuh aku." Kemudian dia cuba mengeluarkan makanan yang telah
ditelannya. Ada orang yang mencadangkan supaya dia mengisi perutnya
dengan air dan kemudian memuntahkan makanan yang ditelannya tadi.
Cadangan ini diterima dan dilaksanakannya sehingga makanan itu
dimuntahkan keluar. Kata seorang pemerhati, "Semoga
Allah s.w.t. mencucuri rahmat ke
atasmu. Kamu telah bersusah-payah kerana makanan yang sedikit."
"Aku sudah pasti memaksanya keluar walaupun dengan berbuat demikian
aku mungkin kehilangan jiwaku sendiri. Aku mendengar
Nabi Muhammad s.a.w. berkata, "Badan
yang tumbuh subur dengan makanan haram akan merasai api neraka. Oleh
kerana itulah maka aku memaksa makanan itu keluar takut kalau-kalau
ia menyuburkan badanku." |