KISAH SI PEMALAS DENGAN ABU
HANIFAH
Suatu hari ketika Imam Abu Hanifah sedang
berjalan-jalan melalui sebuah rumah yang jendelanya masih terbuka,
terdengar oleh beliau suara orang yang mengeluh dan menangis
tersedu-sedu. Keluhannya mengandungi kata-kata, "Aduhai, alangkah
malangnya nasibku ini, agaknya tiada seorang pun yang lebih malang
dari nasibku yang celaka ini. Sejak dari pagi lagi belum datang
sesuap nasi atau makanan pun di kerongkongku sehingga seluruh
badanku menjadi lemah longlai. Oh, manakah hati yang belas ikhsan
yang sudi memberi curahan air walaupun setitik."
Mendengar keluhan itu, Abu Hanifah berasa kasihan lalu beliau pun
balik ke rumahnya dan mengambil bungkusan hendak diberikan kepada
orang itu. Sebaik sahaja dia sampai ke rumah orang itu, dia terus
melemparkan bungkusan yang berisi wang kepada si malang tadi lalu
meneruskan perjalanannya. Dalam pada itu, si malang berasa terkejut
setelah mendapati sebuah bungkusan yang tidak diketahui dari mana
datangnya, lantas beliau tergesa-gesa membukanya. Setelah dibuka,
nyatalah bungkusan itu berisi wang dan secebis kertas yang bertulis,
" Hai manusia, sungguh tidak wajar kamu mengeluh sedemikian itu,
kamu tidak pernah atau perlu mengeluh diperuntungkan nasibmu.
Ingatlah kepada kemurahan Allah s.w.t.
dan cubalah bermohon kepada-Nya
dengan bersungguh-sungguh. Jangan suka berputus asa, hai kawan,
tetapi berusahalah terus."
Pada keesokan harinya, Imam Abu Hanifah melalui lagi rumah itu dan
suara keluhan itu kedengaran lagi, "Ya
Allah Tuhan Yang Maha Belas Kasihan dan
Pemurah, sudilah kiranya memberikan
bungkusan lain seperti kelmarin, sekadar untuk menyenangkan hidupku
yang melarat ini. Sungguh jika Tuhan
tidak beri, akan lebih sengsaralah hidupku, wahai untung nasibku."
Mendengar keluhan itu lagi, maka Abu Hanifah pun lalu melemparkan
lagi bungkusan berisi wang dan secebis kertas dari luar jendela itu,
lalu dia pun meneruskan perjalanannya. Orang itu terlalu riang
sebaik sahaja mendapat bungkusan itu. Lantas terus membukanya.
Seperti dahulu juga, di dalam bungkusan itu tetap ada cebisan kertas
lalu dibacanya, "Hai kawan, bukan begitu cara bermohon, bukan
demikian cara berikhtiar dan berusaha. Perbuatan demikian 'malas'
namanya. Putus asa kepada kebenaran dan kekuasaan
Allah s.w.t.. Sungguh tidak redha
Tuhan melihat orang pemalas dan
putus asa, enggan bekerja untuk keselamatan dirinya. Jangan….jangan
berbuat demikian. Hendak senang mesti suka pada bekerja dan berusaha
kerana kesenangan itu tidak mungkin datang sendiri tanpa dicari atau
diusahakan. Orang hidup tidak perlu atau disuruh duduk diam tetapi
harus bekerja dan berusaha. Allah s.w.t.
tidak akan perkenankan permohonan orang yang malas
bekerja. Allah s.w.t. tidak akan
mengkabulkan doa orang yang berputus asa. Sebab itu, carilah
pekerjaan yang halal untuk kesenangan dirimu. Berikhtiarlah sedapat
mungkin dengan pertolongan Allah s.w.t..
Insya Allah, akan dapat juga
pekerjaan itu selama kamu tidak berputus asa. Nah…carilah segera
pekerjaan, saya doakan lekas berjaya."
Sebaik sahaja dia selesai membaca surat itu, dia termenung, dia
insaf dan sedar akan kemalasannya yang selama ini dia tidak suka
berikhtiar dan berusaha. Pada keesokan harinya, dia pun keluar dari
rumahnya untuk mencari pekerjaan. Sejak dari hari itu, sikapnya pun
berubah mengikut peraturan-peraturan hidup (Sunnah
Tuhan) dan tidak lagi melupai nasihat orang yang
memberikan nasihat itu. Dalam Islam tiada istilah pengangguran,
istilah ini hanya digunakan oleh orang yang berakal sempit. Islam
mengajar kita untuk maju ke hadapan dan bukan mengajar kita tersadai
di tepi jalan. |